Madu Dari Neraka

Assalamualaikum semua. Ini adalah kali pertama saya menulis di sini.

Saya memilih jalan ini kerana saya perlu mencari medium melepaskan bebanan berat di kepala saya. Bebas dari pandangan dan persepsi orang ramai terhadap diri saya yang sebenar iaitu di dunia realiti.

Nama saya Raiza, tentu sekali bukan nama sebenar. Saya telah 15 tahun tahun berkahwin dengan cinta hati saya Izzam (juga bukan nama sebenar). Perkenalan kami bermula dari pengajian di universiti dari peringkat diploma sehinggalah ke jinjang pelamin.

Saya merupakan pemegang master kejuruteraan dan sedang menyambung PHD. Manakala suami saya seorang berpangkat jurutera berpengalaman dalam bidang pembinaan.

Izzam merupakan menantu kesayangan dalam keluarga saya dan begitu juga saya dalam keluarga Izzam.

Perkahwinan kami sangatlah bahagia walaupun tidak dikurniakan cahaya mata. Kami banyak menghabiskan masa dengan menjelajah dunia.

Dengan jawatan saya sebagai ketua projek bagi sebuah syarikat automotif ternama, saya mempunyai pendapatan yang lebih dari cukup.

Suami yang asalnya bekerja makan gaji telah berhenti kerja dan menubuhkan syarikat pembinaan sendiri. Sayalah yang mengeluarkan modal permulaan untuk syarikatnya.

Ketika syarikatnya mula merangkak-rangkak, sayalah yang sentiasa berada di belakangnya dan bantu kewangan kami.

Malah ketika peringkat awal PKP, saya keluarkan simpanan saya untuk membayar gaji pekerja. Salah seorang kerani yang bekerja di Izzam adalah seorang wanita berpewatakan lelaki (tomboy). Saya tidak mengenali beliau secara dekat tetapi tahu akan kewujudannya.

Setelah berbelas tahun perkahwinan akhirnya saya mula memikirkan tentang anak. Kami mula melakukan ujian kesuburan.

Hasil dari ujian tersebut doktor mendapati sperma Izzam kurang subur dan bermasalah. Doktor meminta Izzam untuk mula mengamalkan gaya hidup sihat serta amalkan suplemen tambahan.

Jadi saya mula membeli dan memastikan Izzam mengambil sumplemen tepat pada masanya dan kami mula membuat aktiviti bersama.

Saya juga telah membeli basikal untuk kami berdua berkayuh, kerap berkhemah dalam hutan dan bermacam2 lagi usaha yang saya lakukan selama lebih setahun.

Akhirnya, menjelang usia perkahwinan kami yang ke 15, saya telah disahkan mengandung. Ketika saya mengandung Izzam sangat sibuk dan jarang berada di sisi saya walaupun ini adalah zuriat pertama kami dan yang ditunggu2 oleh kami.

Kata Izzam, syarikat sedang sibuk menguruskan ‘final touchup’ sebelum handover untuk satu projek mega di KL. Saya sangat mempercayai Izzam memang sibuk dan tak pernah sekali pun saya meraguinya. Saya letakkan sepenuh kepercayaan kepada Izzam.

Jauh di sudut hati yang paling dalam, saya rindukan Izzam yang dulu. Yang selalu bersama-sama di sisi saya. Sampai ramai yang menggelarkan kami pasangan secocok merpati dua sejoli.

Tapi saya bersangka baik, Izzam sibuk untuk kehidupan kami yang lebih baik. Dia mahukan anak kami dapat yang terbaik. Jadi saya redha dan selalu mendoakannya.

Mungkin kerana faktor terlalu lasak di pejabat dan melakukan banyak aktiviti berat saya keguguran ketika usia kandungan saya mencecah 4 bulan. Izzam kata disebabkan keadaan dia yang terlalu sibuk, dia tak dapat menemani saya berpantang di rumah.

Jadi dia hantar saya pulang ke rumah keluarga saya dan saya berpantang di sana dan dia hanya menjengah saya seminggu sekali.

Perubahan Izzam buat saya curiga juga pada ketika itu. Izzam bukanlah seperti ini dulu. Sekali lagi saya kuatkan hati dan kata, ia adalah disebabkan kerja.

Allah nak tunjuk pada saya, satu hari saya terbaca WA yang mencurigakan di telefon Izzam. Dari situ saya paksa Izzam berterus terang. Bagaikan halilintar memanah saya, baru saya tahu Izzam sudah menikah lagi di Siam dengan tomboy keraninya itu.

Alasan Izzam, dia kesian tomboy yang bernama Sheer itu datang dari family yang berpecah belah. Mempunyai 1001 masalah dan menderita sakit kanser yang kronik.

Dek kerana kerap menjadi tempat melepaskan kisah sedih dan nasib malang, Izzam jatuh kasihan dan memutuskan untuk membantu kononnya. Hancurnya hati saya.

Saya meminta petunjuk dari Allah, apa yang patut saya lakukan. Saya tidak redha diperlakukan seperti ini. Akhirnya saya telah mengupah penyiasat persendirian untuk menyiasat siapa gadis bernama Sheer ini.

Dari situ barulah saya tahu Sheer bukanlah tomboy dari awal, dia berubah setelah kecewa sebelum ini.

Sheer bukanlah datang dari keluarga yang berantakan sangat, tetapi keluarganya membuang dia kerana berperangai buruk, telah memalukan keluarga dan pernah dituduh menggunakan ilmu hitam ke atas seseorang.

Agenda untuk memancing Izzam adalah sesuatu yang memang dirancang awal kerana Sheer menyangka Izzam sangat kaya dan boleh membuka mata keluarganya untuk menerima dia semula.

Sheer juga telah berhenti kerja sebaik saja berkahwin dengan Izzam. Makan tanggung, berak cangkung, bak kata pepatah.

Dek kerana terlalu malu saya tidak sanggup bercerita dengan sesiapa pun hatta kawan baik mahupun keluarga saya sendiri. Saya malu sekiranya dituduh tidak pandai jaga suami.

Raiza yang mempunyai serba serbi dan selalu dianggap bertuah rupanya dikhianati Izzam. Sumpah saya malu.

Tetapi seorang sahabat baik saya dapat meneka apa yang berlaku dan saya tak mampu mengiyakan sebaliknya hanya menitiskan airmata.

Dia meminta saya berkongsi masalah dengan keluarga saya. Katanya, “Apa-apapun jangan sesekali kau kebelakangkan keluarga. Seandainya terjadi apa2, merekalah tempat kau bersandar.”

Lebih mengejutkan dan meruntun hati saya apabila saya ditunjukkan gambar Sheer yang sedang berbaring di atas katil kelamin kami. Rupa-rupanya, kisah mereka sangat memualkan. Mereka menjalin hubungan ketika saya sedang mengandung.

Ketika saya keguguran Izzam telah membawa Sheer ke rumah kami dan mereka hidup seperti suami isteri di rumah saya sementara saya berpantang di rumah keluarga.

Hasil dari hubungan terlaknat akhirnya Sheer mengandung. Saya juga dipertontonkan bukti ‘checkup’ pada bulan Disember dan bukti nikah di Siam pada bulan Januari.

Suami yang saya kasihi, yang mithali, menantu kesayangan, warak dan disegani mempunyai anak luar nikah dengan perempuan yang tidak baik. Hancurnya hati saya.

Bukti-bukti itu membuatkan Izzam mengaku segala perbuatannya. Katanya dia terlanjur dengan wanita yang berpewatakan lelaki itu dari dorongan nafsu semata. Dia tidak mencintai langsung Sheer.

Tetapi kerana terlalu rapat, belas kasihan telah bertukar menjadi nafsu, karakter Sheer yang pandai menggoda dan sentiasa positif walaupun mempunyai kanser dan hampir mati membuat dia mengagumi wanita itu.

Sheer juga kononnya sanggup berkorban nyawa melahirkan zuriat Izzam walaupun berisiko sebagai tanda pengorbanan untuk Izzam yang memang menantikan zuriat sekian lama.

Saya rasa nak muntah, Izzam menduakan saya ketika saya masih mengandung. Kononnya gunakan alasan zuriat untuk halalkan perbuatannya??

Saya memaksa Izzam menceraikan saya tetapi Izzam enggan. Dia merayu dan mengatakan tak mampu hidup tanpa saya.

Siang malam saya berdoa diselang selikan dengan bacaan yassin dan Quran untuk tenangkan hati, tidak juga reda ribut di hati saya. Saya disahkan menghidap mild depression.

Akhirnya saya telah mengikuti kelas motivasi untuk tenangkan hati dengan bayaran 6 angka. Saya cuma perlukan orang mendengar rintihan hati saya dan beritahu saya apa yang perlu saya lakukan.

Pakar motivasi saya menyarankan apa yang patut saya lakukan dan memberi tempoh untuk Izzam kembali kepada saya ataupun jalan akhir, perceraian.

Setelah Sheer melahirkan anak, hidup Izzam semakin serabut. Izzam seperti baru sedar dari mimpi yang panjang.

Dia baru menyedari Sheer bukanlah gadis yang positif dan beradab. Itu semua hanya lakonan untuk memancing Izzam sebelum kahwin. Izzam juga baru tau dirinya ditipu tentang penyakit kanser Sheer.

Sheer bukanlah di ambang maut seperti yang diceritakan. Malah dia mula mengenali siapa Sheer melalui ahli keluarga Sheer sendiri. Tak perlu saya bongkarkan kepada Izzam siapa Sheer sebenarnya. Bangkai gajah bukan boleh ditutup dengan nyiru.

Sheer juga sudah pandai meminta-minta. Kerap juga dia post di fb merungut tentang nafkah dan kehidupannya yang tak sesenang mana. Baru dia tahu bahawa segala harta Izzam adalah atas nama saya. Saya yang membeli semua aset.

Kesenangan yang dia nampak adalah atas bantuan saya selama ni. Jadi apabila Izzam berkahwin lain, saya hentikan semua bantuan ke atas Izzam dan saya tuntut nafkah saya yang bertahun-tahun diabaikan.

Izzam mula merasakan ekonomi semakin sempit dan beban mempunyai tanggungan yang lebih.

Tetapi Izzam lelaki yang bertanggung jawab. Saya lihat dia menangis di setiap sujudnya. Dia memohon keampunan dan kekuatan menghadapi hidup ini.

Adakalanya saya sendiri menangis melihat Izzam. Saya tahu dia menyesal yang amat sangat dan berharap segalanya tidak pernah berlaku. Tetapi dalam masa yang sama hati saya juga hancur.

Saya pernah cuba untuk belajar menerima Sheer sebagai madu tetapi setiap kali saya cuba untuk menerimanya saya terbaca WA dia kepada Izzam yang mengamuk tidak mahu bermadu. Dia mahu Izzam sentiasa ada dengannya dan meminta Izzam tinggalkan saya.

Dia juga menggelarkan saya dengan panggilan ‘makcik’ di fb dan kerap memuat naik status menghina dan memerli saya. Saya tak pernah melawan.

Atas nasihat kawan baik saya, katanya jangan sesekali berperang di socmed. Katanya Sheer muda dan memang bukan dalam liga kami.

Jangan sesekali kita jatuhkan martabat kita setaraf dengannya. Saya beritahu pada Izzam, saya bukan anti poligami, tapi sekurang2nya carilah wanita yang baik, beradab dan pandai menghormati saya selaku madunya.

Izzam akui ‘tidak beradab’ itu adalah kelemahan Sheer dan salahnya yang tidak pandai didik Sheer.

Setiap kali giliran suami di rumah saya, Sheer kerap WA dengan pelbagai perkara kecemasan kononnya. Sepanjang mengandung, banyak kali beliau kononnya jatuh bilik air, berlaku pendarahan dan sebagainya.

Kadang Izzam baru masuk rumah, belum sempat duduk dah terima WA Sheer terjatuh dan terpaksa berpatah balik ke rumah Sheer.

Selepas melahirkan kisah kecemasan tak habis lagi. Kali ni anak pulak punya hal, minta suami pulang segera. Tak habis2 drama anak beranak.

Saya juga sering didatangi mimpi yang pelik2, terdapat gangguan2 pelik di dalam rumah kami dan beberapa kali disinggahi pelesit.

Banyak petua yang saya amalkan untuk elakkan benda2 yang tidak baik. Setiap kali saya mengamalkan mandian air bidara, gangguan akan berkurangan.

Atas nasihat seorang ustaz dan kawan baik mereka meminta saya bawa Izzam pergi berubat kerana Izzam banyak berubah. Bukan lagi Izzam yang ceria dan genius seperti yang mereka kenal dulu. Tapi Izzam enggan dan menafikan dia berada bawah pengaruh sihir.

Saya sangat sangat menyayangi Izzam. Saya malu kalau perkara ini diketahui kenalan kami, mereka akan mengatakan saya bodoh kerana masih berharap sedangkan saya mempunyai segalanya, karier, wang, pendidikan dan rupa.

Tetapi Izzam adalah cinta mati saya, saya tak dapat bayangkan hidup tanpa Izzam di sisi.

Saya juga merasakan Izzam patut ‘diselamatkan’ bukanlah ditinggalkan. Lebih-lebih lagi sejak kelahiran anak luar nikahnya saya nampak penyesalan dan keinsafan yang sangat besar di wajah Izzam.

Doakan yang terbaik untuk saya. Saya masih menunggu sehingga tempoh ‘baik pulih’ seperti yang disarankan oleh pakar motivasi saya tamat.

Sekiranya Sheer masih wujud di antara kami, saya sendiri tidak tahu berapa lama lagi saya masih mampu bertahan.

– Yang Disakiti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *