Mahal Ke Upah Pengasuh RM400?

Salam. Saya baru saja ternampak sana sini orang share tentang bayaran pengasuh untuk tahun depan dah naik sekitar RM400-RM600 sebulan.

Jadi banyaklah komen yang pelbagai pendapat netizen yang boleh saya renungkan dan ada juga sampai rasa kecilnya hati bila baca. Nak kecam saya, kecamlah.

Saya mengasuh dah hampir lima tahun. Dah macam-macam ragam anak asuhan dan kerenah ibu bapa yang saya jumpa.

Buat masa sekarang saya mengasuh dua orang sahaja dan tak bercadang nak tambah lagi atau dengan kata lain cukuplah setakat yang ada ni. Bayaran saya RM350 sebulan untuk seorang anak.

Awalnya saya tak nak pun mengasuh. Tak pernah terfikir untuk jaga anak orang. Bermula dengan sekadar menolong jiran, end up jadi satu side income bagi saya. Alhamdulillah.

Saya pula memang suka pada kanak-kanak. Anak sendiri dua orang dah besar panjang masing-masing dah bersekolah.

Apa yang saya nak luah kat sini cuma berkenaan dengan upah sahaja. Bila baca komen netizen merungut mahal bayaran cecah RM400 sebulan saya agak terkilan.

Mahal sangat ke RM400 sebulan untuk seorang budak?

Apakah menjadi baby sitter ni cuma satu kerjaya kelas rendah di mata masyarakat?

Tak layakkah kami mendapat bayaran upah yang setimpal dengan penat lelah kami mengasuh anak orang lain? Mahal sangatkan RM400 tu? Jadi berapa harga yang layak kami terima?

Cubalah sendiri kira, RM400 tu bersamaan RM20 saja sehari untuk bayaran sebulan. Berbaloi tak jaga anak orang dari pagi sampai petang dengan upah RM20 sehari?

Kadang-kadang mak ayah, dah malam buta baru datang jemput anak.

RM20 sehari bayaran untuk orang jaga anak kita siap beri makan minum 3 kali sehari. Berbaloi ke?

Mak yang bagi bekal makanan untuk anak-anak memang mak yang bagus sebab mereka tahu RM20 sehari tu semata-mata upah kudrat pengasuh menjaga anak mereka.

Tapi yang tak bagi bekal makanan tu, adakah tanggungjawab pengasuh nak bagi makan anak kita?

Kalau total dengan belanja makan dalam rm20 sehari tu, berapa sen saja la upah untuk kudrat orang lain jaga anak kita?

Itu kalau yang hantar 5 hari seminggu, cuti dua hari weekend. Yang hantar 6 hari seminggu, upah mengasuh tak sampai pun RM20 sehari. Masih lagi orang cakap mahal. Sedih saya dibuatnya.

Kalau rasa mahal, berhenti kerja dan jagalah anak sendiri. Kadang-kadang orang ni, tak semua cuma banyak yang jenis macam ni.

Hantar kat taska elok saja bayar mahal sebulan, yuran daftar beribu, yuran tambahan, bayaran ot bagai. Tak de pun komplen dekat pengurusan taska.

Tapi bila kena pada pengasuh persendirian, macam-macamlah kerenah.

Ot tak pernah pun saya ambil bayaran. Datang ambil lewat sampai dah malam ke apa tak pernah kira sesen pun.

Belum lagi hari minggu tiba-tiba minta tolong jaga anak mereka. Tak pernah nak faham sendiri, waktu cuti nak hantar hulurkan bayaran. Kita diam, dia pun diam.

Kami pengasuh persendirian pun pergi kursus untuk dapatkan sijil mengasuh. Bukan simply saja nak mengasuh anak orang. Awak pergi kerja, bos kasi gaji RM400 sebulan awak nak tak?

Awak rasa setimpal tak dengan khidmat awak kalau gaji setakat RM400 sebulan?

Berbaloi tak awak kerja setiap hari dengan purata gaji RM20 saja sehari? Awak ot sampai malam, bos tak kira bayaran ot awak sakit hati tak?

Bagi saya RM400 sebulan tu dah kira sangat berpatutan. Nak murah banyak mana lagi? Mengasuh ni bukan satu pekerjaan ke? Atau sekadar ihsan semata-mata?

Kalau macam tu baik tak payah mengasuh kalau sekadar nak berihsan. Orang mengasuh sebab tu mata pencarian dia. Sama macam awak kerja jadi cikgu ke, nurse ke, kerja kilang ke.. tu sumber pendapatan awak.

Kalau nak sebut pasal ikhlas, tak payah demand gajilah kalau macam tu. Tak payah. Gaji rm400 saja cukup sebulan yang penting kena ikhlas.

Amboi amboi. Kita siapa nak cakap tentang ikhlas? Tuhan saja yang layak menilai keikhlasan hati orang lain.

Kalau rasa awak bekerja gaji tak setimpal dengan nak bayar upah orang mengasuh anak-anak awak, then you resign jaga anak sendiri kat rumah. Lebih selamat, terjaga dan terjamin.

Awak ingat senang ke jadi pengasuh ni? Keselamatan anak orang, keutamaan kami. Bila ada kes viral melibatkan pengasuh, ingat kami tak risau ke? Takut terjadi kat diri sendiri.

Jaga anak orang lebih lagi kena bagi perhatian dari jaga anak sendiri. Anak sendiri jatuh sikit takpe, kita tak kisah pun. Anak orang kena gigit nyamuk pun kita risau nak menjawab dengan mak ayah mereka.

Bermain, makan, mandi semua kita kena pastikan mereka selamat dan kena buat baik-baik supaya upah yang kita dapat tu berkat.

Janganlah downgrade pekerjaan mengasuh anak orang ni. Mungkin kerja ni tak glamer sebab tu orang rasa tak payah bayar lebih pun.

RM200 dah cukup agaknya. Sedih betul mentaliti macam ni. Kita jaga anak orang macam anak sendiri.. sayang anak orang macam sayang anak sendiri.

Kita siap ajar mengaji, potty trainning dan macam-macam lagi sebab anak orang pandai, kita pun rasa bahagia.

Belum lagi saya mention tentang sikap mak ayah yang lain-lain. Datang hantar anak dengan pampers penuh, tak mandi. Ada tu, macam mana balik petang dari rumah kita, macam tulah datangnya esok pagi.

Anak demam pun hantar kat kita dengan alasan tak boleh cuti. Tau tak risiko besar mana bila ada anak asuhan yang tak sihat kat rumah? Macam-macam benda boleh jadi. Pun orang masih rasa bayaran RM400 sebulan tu mahal.

Syukur mak ayah anak-anak asuhan saya yang sekarang jenis tak berkira bab upah. So saya pun tak berkira dengan mereka.

Anak datang tak mandi, siap pakej berak dalam pampers pun saya diam. Memikirkan ibu ayah mereka tak pernah berkira dengan kami sekeluarga. Saya pejam mata saja bab tu.

Mak ayah ni kena ada toleransi dengan baby sitter. Kalau rasa upah seorang pengasuh tu mahal sangat RM400 sebulan, usahalah cari yang lebih murah. Itu pun kalau ada. Kalau tak ada, entahlah. Senang cerita jaga anak sendiri jelah.

Tak payah kisah pasal nak kena bayar pengasuh sampai rm400 sebulan untuk seorang anak. Cubalah jaga anak sendiri dan minta upah RM400 sebulan dari suami.

Sekian terima kasih.

– Mak pengasuh (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *