Catatan perjalanan bekas pesakit C19 stage 4.
19 hari struggle sebagai pesakit C19 stage 4 bukanlah satu perjuangan yang mudah apabila sepanjang ujian tersebut dua orang meninggal dunia di wad 18B HKL,
Dan mata ini menyaksikan betapa gigihnya doktor dan misi berusaha sehabis daya untuk memastikan jantung pesakit yang tiba-tiba berhenti, berdenyut semula.
Aku dapat saksikan betapa tingginya ikhtiar mereka,
Bersungguh-sungguh pada saat cemas itu melakukan CPR dan menggunakan mesin rawatan elektrik yang berfungsi memberi kejutan elektrik kepada jantung pesakit agar terus berdegup.
Namun, hampir sejam berusaha, akhirnya kematian menjemput tak lambat sesaat atau tak cepat sesaat.
Mayat diselimutkan sehingga tim bilik jenazah sampai dengan keranda besi berwarna putih. Innalilla hiwainna ilaihirojiun.
Pesakit C19 stage 4, yang menggunakan bantuan alat pernafasan kena bersabar kerana rasa tidak selesa menyebabkan ada pesakit yang agak degil mencabut alat tersebut setiap kali nurse memasang,
Dan hanya terbaring tanpa kekuatan semangat seolah-olah menunggu malaikat maut datang mencabut nyawa mereka.
Pesakit digalakkan meniarap tapi bukan mudah sebenarnya dalam situasi memakai alat pernafasan.
Bunyi keluhan pesakit yang dah letih berjuang berhari-hari di situ memang kerap kedengaran.
Bayangkan petugas yang tak ramai terpaksa melayan pesakit yang tak putus-putus bertambah menyebabkan aku yang sakit agak stress dan berusaha membuat latihan pernafasan kerana ingin cepat keluar dari situ.
Pesakit di sebelah kanan katil dah 3 hari tak nak makan dan dimasukkan air serta disuapkan air susu.
Mereka memang betul-betul lemah kerana faktor usia dan ada penyakit kronik lain seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain.
Selain buang air kecil menggunakan tiub, kebanyakan pesakit C19 stage 4 memakai pampers.
Rasa malu dah hilang apabila aurat mereka dah tak dihiraukan asbab kesakitan fizikal dan mental yang tak tertanggung.
“Makin lama aku di sini, makin sakit jiwa raga aku….”
Lampu 24 jam terpasang dan setiap jam pasti ada misi yang datang mengambil darah untuk check gula. Bacaan gula memang tinggi hingga capai angka 11, walaupun aku bukan penghidap kencing manis.
Mengambil tekanan darah, menyuntik ubat dan pelbagai usaha untuk mematikan kuman C19.
Tahap oksigen pula, hendaklah melepasi 95 %. Mana-mana yang tak maintain akan digantikan dengan alat pernafasan daripada saiz kecil kepada saiz yang lebih besar.
Aku melalui saat memakai alat pernafasan saiz kecil semasa di HATTM dan mulai memakai saiz besar di HKL dan akhirnya berjaya memakai saiz kecil semula apabila tahap oksigen semakin baik mencapai 97-98%.
Hakikatnnya, rasa nak putus nyawa menggunakan bantuan alat pernafasan menjadikan rasa nak menangis kerana selama ini kita bernafas bebas dengan oksigen kurniaan Allah SWT tanpa peduli dengan nikmat oksigen kurniaan Allah SWT.
Namun, apabila diuji, betul-betul hadir rasa pergantungan kepada Allah agar dapat meminjamkan lagi nyawa apabila mengenangkan suami dah semakin kritikal di wad ICU dan empat anak turut melalui ujian yang sama di rumah.
Nak beritahu jiran tetangga, risau dengan persepsi negatif mereka.
Namun, apabila diberitahu mereka begitu mengambil berat hal anak-anak yang sakit dengan menghantar makanan setiap pagi dan petang tanpa gagal.
Terima kasih ya Allah kerana dikurniakan jiran tetangga yang sangat baik budi.
“Kenapa tak beritahu kami. Patutlah macam lama tak nampak…” kata jiran sebelah rumah.
“Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya kau menguji sesuai dengan kapasiti tahap kesabaran kami. Namun, bantulah kami melepasi ujian ini. Panjangkanlah umur ayah kepada anak-anakku ini .. ”
Doa tak putus aku panjatkan. Setiap saat berlalu aku dah sedia berwudu. Rasa bimbang melintas saat menyaksikan dua pesakit telah dijemput Allah SWT.
Di wad 18B, pesakit yang menjaga solat akan terus bersolat kerana hanya solat menjadikan jiwa kekal tenang berbanding mereka yang 24 jam melayan perasaan sakit.
– Azza (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit