Hi. Assalammualaikum pembaca IIUM Confession. Nama saya Syira berusia 29 tahun. Berasal daripada pantai timur dan sekarang menetap di KL kerana tanggungjawab kerja. Masih mempunyai kedua ibu bapa yang sihat tubuh badan dan juga seorang adik lelaki yang baru sahaja masuk ke alam universiti. Alhamdulillah. Namun, saya juga merupakan seorang balu tanpa anak yang telah kehilangan suami dua tahun yang lepas.
Sejak kehilangan suami, saya menanam azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah disamping untuk mencari kekuatan setelah ketiadaan suami di sisi. Walaupun sudah dua tahun, masih lagi terasa kesedihan dan kekosongan dalam hati. Dan kini, saya hanya mengisi kekosongan itu dengan menghadiri majlis ilmu dan kelas al-Quran. Sedikit sebanyak dapat mengubati hati saya ini. Setelah ketiadaan suami, saya bekerja siang dan malam untuk mengumpul wang demi azam saya. Dan Alhamdulillah simpanan saya sudah cukup untuk membolehkan saya menunaikan umrah tahun ini.
Tetapi saya mempunyai masalah ketiadaan mahram untuk menemani saya menunaikan umrah. Kedua ibu bapa saya telah pun menunaikan umrah tahun lepas dan mungkin sedikit sukar untuk mereka pergi sekali lagi kerana simpanan yang ada telah mereka gunakan untuk umrah tahun lepas. Dan simpanan saya pula hanya cukup untuk diri saya seorang. Saya jugak tidak mempunyai saudara mara yang akan menunaikan umrah kerana semuanya telah pun pernah pergi ke sana.
Saya ada terbaca mengenai Mahram Tumpang di mana kita menumpang mahram orang lain seperti sahabat,jiran etc. Tapi saya tak tahu adakah ianya dibolehkan atau tidak dalam menunaikan umrah. Ada yang kata dibenarkan dan ada yang kata sebaliknya. Dan saya juga ada terbaca mengenai article yang mengatakan Wanita berumur 25 tahun keatas dibenarkan menunaikan umrah tanpa mahram ( refer link : https://www.bharian.com.my/
Saya mohon pencerahan dari pembaca Confession untuk masalah saya ini. Apakah pilihan yang saya ada untuk membolehkan saya menunaikan umrah? Bagaimana pula kalau seorang wanita itu sebatang kara di bumi ni, tiada ibu bapa dan saudara. Adakah dia tidak dibolehkan menunaikan umrah? Saya sentiasa berdoa di dalam solat supaya rezeki saya pula untuk menunaikan umrah dan berharap doa saya dimakbulkan Allah SWT. InsyaaAllah. Terima kasih.
– Syira
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit