Mahu Jadi Aku Yang Dulu

Assalamualaikum semua. Aku Zya. Aku hanya ingin meluah dan inginkan tips daripada pembaca.

Umur aku 35. Berkerjaya. Ada dua anak yang bersekolah rendah. Suami aku ok, biasa-biasa sahaja. Rumahtangga aku pun biasa-biasa sahaja. Tak adalah bahagia sangat. Pasang surut tetap ada. Buruk baik tetap ada. Busuk wangi pun pasti ada.

Aku tidak mahu bercerita tentang rumahtangga kerana hanya cerita-cerita biasa yang sering kita baca dan dengar ada dalam rumahtangga aku. Nanti bosan pula hahaha.

Baik. Aku mahu luah tentang aku.

Ketika bersekolah, aku tinggal di asrama. Persekitaran asrama aku sangat baik sebab sekolah berasrama penuh. Mengaji, solat sunat, puasa sunat adalah perkara yang menjadi keutamaan kami selain yang fardu.

Mengaji, satu hari boleh habis satu juz. Setiap kali usai solat fardu, berhelai-helai boleh baca dengan sangat seronok. Puasa, Isnin dan Khamis seolah-olah jadi kewajipan kami. Bulan Rejab, Syaaban pun penuh. Hari-hari putih pun puasa juga.

Kalau bangun sepertiga malam, di musolla asrama penuh dengan kawan-kawan bersolat tahajud, solat tasbih, solat hajat, solat taubat. Masya-Allah. Rindunya saat itu.

Bi’ah hasanah (persekitaran baik) itu aku teruskan di universiti. Masih sama. Malah bertambah pula dengan majlis-majlis usrah dan taman -taman raudhah lain (majlis ilmu).

Seronoknya waktu itu. Walau sibuk dengan assignment, sibuk dengan exam, hati tenang selalu. Tak pernah pula rasa sibuk sehingga tak sempat mengaji, puasa sunat, solat sunat.

Sekarang? Malunya aku bila membandingkan hidup aku sekarang dengan di zaman remaja aku.

Yang wajib masihlah aku buat dengan baik. Cuma solat selalu di lewat waktu. Sedihnya. Puasa wajib pun memanglah tak tinggal kecuali ketika mamnu’ (uzur syar’ie).

Yang aku sedih sangat ni adalah tentang mengaji dan solat sunat/puasa sunat. Mengaji ni nak dapat satu muka surat sehari pun payah. Sebulan satu juzuk pun payah. Allahu Rabbi. Lalainya aku.

Solat sunat? Yang aku selalu buat cumalah solat dhuha dan solat sunat sebelum subuh. Itu pun bukan konsisten setiap hari. Solat hajat ada juga la, itu pun ketika aku ada masalah. Allahu Rabbi, laghanya aku.

Puasa sunat lagilah. Ke Laut China Selatan terus. Teruk sangat tahap tak mampu menahan lapar dahaga tu. Yang hairan masa bulan Ramadan boleh pulak. Allahu Rabbi, tipisnya iman aku.

Pada awal-awal ada baby 10 tahun dulu, selalu juga aku sedapkan hati aku. Ye lah, dengan kerja, dengan urus rumahtangga, baby lagi, mana sempat nak buat ibadah seoptimum masa remaja. Padahal itu hanya helah bela diri.

Sekarang anak-anak aku dah besar pun aku masih malas dan leka. Lebih-lebih di zaman benda berskrin macam melekat ada gam di tangan.

Mengais menyekroll benda ini tak ingat dunia. Berjam-jam dia kat tangan boleh pulak. Pegang Al-Quran sekejap je dah lenguh. Baca Quran di skrin pun terasa lama padahal baru 5 minit.

Betul kata para ulamak. Jika kita tinggalkan al-Quran sehari, maka dia akan lari berhari-hari. Kita makin malas, makin rasa tidak seronok. Makin berat lidah untuk menyebut Kalamullah.

Makin berat badan untuk solat sunat. Makin kering lidah untuk berwirid dan berdoa panjang. Sebab apa? Sebab makin banyak benda lain yang menyeronokkan kita. Sehingga hilang kelazatan beribadah.

Ya Allah, ampunkan kami. Teruskan kami dalam nikmat iman. Kuatkanlah hati kami dalam mentaati-Mu. Kuatkanlah hati kami dalam menjauhi larangan-Mu. Kuatkanlah hati kami dalam menepis segala godaan duniawi

Terima kasih kerana sudi membaca.

– Zya Zira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *