Mainan Hati atau Sekadar Ujian

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera kepada pembaca semua. Saya Epsilon yang bakal memasuki umur 29 tahun ini.

Ini adalah satu luahan saya sendiri untuk menenangkan diri dari perasaan gelisah.

Nak dipendekkan cerita, saya hanyalah lelaki normal. Pernah bercinta sebanyak 2 kali pada umur 23 (3 tahun) dan 27 (2 tahun)

Tapi kedua-duanya berakhir tanpa perkahwinan meskipun pernah hampir-hampir bertunang dan berkahwin.

Dari sudut agama, saya bukanlah seorang lelaki yang saya nilai diri sendiri sebagai masih lagi tidak layak untuk jadi ketua keluarga. Solat wajib pun ponteng (kewajipan yang lain buat).

Hanya gigih jaga solat semula ketika hendak berkenalan dengan pasangan sebelum ini tapi lama-lama kelaut juga yang kemudiannya tamat hubungan terakhir saya.

Baru-baru ini ketika mesyuarat syarikat, tidak pasti kenapa saya seperti meminati seseorang ini.

Kami bekerja untuk syarikat yang sama tapi berbeza cawangan dengan jarak fizikal kira-kira dalam 1 jam perjalanan tapi jarang sekali berhubung melainkan urusan kerja.

Ketika saya mempunyai orang lain, dia juga ada cuma baru-baru ini saya diusik oleh rakan kerja perempuan untuk ‘try’ dia sebab dia pun juga mencari orang lain.

Orangnya akan memasuki umur 30 tahun dan masih lagi tidak berkahwin.

Saya pelik, yang mana saya tidak pernah terfikir untuk suka dia boleh tiba-tiba terfikir tentang dia selalu.

Mungkin sebab saya bujang dan ingin mencari pasangan ataupun jentikan-Nya untuk saya kembali kepadanya

Cuma yang membuatkan saya takut untuk berkenalan dengan dia adalah saya risau yang ini hanyalah ujian daripada-Nya lagi.

Seperti sebelum ini, saya mula kembali banyak menjaga solat saya sebab perempuan tersebut.

Saya memohon akan hati dia melalui doa-doa kepada-Nya.

Jadi saya sangat keliru bahawa semua ni hanya mainan hati ataupun ujian keatas hamba ini untuk kembali kepada-Nya.

Saya memang selalu berharap agar diberi petunjuk untuk kembali kepada-Nya. Agar menjaga solat. Lagi-lagi tahun depan saya berancang untuk menunaikan umrah bersama keluarga.

Tapi saya harap bukan begini caranya kerana sebelum ini saya juga pernah gagal ujian-Nya.

Tetapi sebagai lelaki yang masih bujang, saya juga ingin mendirikan keluarga.

Adik saya sudah kahwin tetapi diri saya masih terumbang ambing. Bagi saya, saya tiada masalah duit ke, pekerjaan ke atau rupa. Cuma satu sahaja iaitu agama.

Kawan saya pernah bagi tahu jangan nak tunggu sempurna kerana kesempurnaan tu juga sebagai sebahagian dari laluan kehidupan ini.

Mana tau si dia jadi pemangkin atau asbab untuk saya kembali kepada-Nya.

Tetapi itu lah, saya masih takut akan ujian-Nya apatahl agi nak nak berkenalan dengan orang baru. Takut akan disakiti dan menyakiti orang yang kita sayang.

Doakan saya agar diberikan kekuatan untuk lalui ujian ini. Saya masih cuba bertahan dengan mengangap semua ini hanyalah ujian dan kawal diri daripada menaruh harapan.

Bergantung kepada komen, saya mungkin akan kembali memberi maklum balas atau luahan baru.

Sekian, terima kasih.

– Epsilon (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *