Dalam sesebuah organisasi pastinya bukan mudah untuk menjadi seorang majikan atau bos yang disenangi pekerja. Majikan adalah pemimpin yang akan memimpin dan menuntun pekerja-pekerja dibawahnya.
Majikan juga tidak terlepas daripada membuat kesilapan kerana majikan juga hanyalah manusia. Apa yang perlu dilakukan adalah tingkatkan kualiti majikan untuk menjadi pemimpin yang terbaik pada semua pekerja. Antara ciri-ciri seorang majikan yang perlu ada agar disenangi pekerja adalah :
1) Menjadi seorang majikan yang adil dalam institusi pekerjaan. Sudah tentunya dimana-mana sektor kerja pasti akan ada gelaran atau panggilan “Staf Fevret Bos”. Tidak dinafikan. Namun, majikan perlu bersikap adil terhadap semua pekerja.
Kerana mereka yang “Bukan Staf Fevret Bos” juga turut sama menyumbangkan idea dan menjalankan tanggungjawab mereka terhadap organisasi. Tanpa mereka tidaklah syarikat anda semaju dan sehebat sehingga kini.
Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengenai perihal keadilan di dalam surah al-Maidah ayat 8 :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
2) Hapuskan sikap pilih kasih atau pilih bulu yang seharusnya tidak sama sekali diamalkan oleh majikan. Perkara ini akan menyebabkan berlakunya diskriminasi terhadap pekerja yang lemah. Bahkan, mereka juga akan berasa tersisih, tidak dihargai dan lain-lain lagi.
Majikan tidak perlulah memilih-milih pekerja mana yang lebih cekap dan hebat. Sepatutnya majikan hendaklah memberi tunjuk ajar kepada mereka yang masih baharu dan teruskan berkongsi pengetahuan sesama pekerja.
3) Kita berada di zaman yang serba ada dengan kemudahan yang disediakan seperti KWSP, SOCSO dan lain-lain lagi. Seandainya majikan masih lagi tidak menjaga kebajikan pekerja tidak tahulah apa yang hendak dikatakan. Kebajikan untuk pekerja amat penting bagi mengelakkan sesuatu perkara berlaku.
Sediakan payung sebelum hujan. Adapun sikap majikan yang kedekut dalam menyediakan kebajikan pekerja. Biarpun sekecil mana syarikat anda kebajikan pekerja tetap perlu dijaga walaupun mereka bekerja hanya dalam tempoh sementara. Majikan yang mempunyai sifat ihsan pastinya akan memastikan setiap pekerjanya akan dilindungi dan dipelihara.
4) Kepercayaan adalah salah satu kunci utama dalam sesebuah organisasi. Pekerja-pekerja akan diberikan tugasan mengikut keupayaan dan kebolehan mereka.
Namun, ada di antara majikan yang tidak percaya bahawa pekerjanya dapat melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan. Bahkan, ada pula majikan yang mentertawakan, memperlekehkan dan merendah-rendahkan kebolehan dan keupayaan pekerjanya. Misalnya,
“Majikan Z memberi tugasan mingguan inventori kepada Pekerja B yang mana Pekerja B baharu sahaja menyertai syarikat Majikan Z. Setelah pengiraan inventori siap dikira, Pekerja B menunjukkan laporan mingguan inventori kepada Majikan Z. Selepas penilaian dibuat maka, Majikan Z pun menanyakan mengapa item ini kurang, mengapa item ini terlebih.
Pekerja B pun telah mengandaikan kemungkinan item ini terkurang dan terlebih ada penerimaan kemasukan barang dan ada yang sudah digunakan ataupun rosak. Walaubagaimanapun, Majikan Z tetap tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh Pekerja B dan menganggap Pekerja B membuat kiraan yang salah.”
Ringkasan cerita di atas, setiap majikan atau bos tidak perlu berasa takut dan gusar dalam mengajarkan sesuatu perkara dengan pekerja. Tidak perlu berasa kedekut dan lokek dalam menyampaikan ilmu kepada mereka.
Ilmu itu luas dan ilmu itu milik Tuhan. Walau sekecil zarah ilmu yang dikongsikan sebesar zarah Tuhan akan berikan ilham dan idea kepada kita. Apabila penguasaan dalam bidang yang dimahiri oleh pekerja, majikan dapatlah meraih kepercayaan daripada pekerja.
Oleh itu, majikan perlulah tingkatkan ciri-ciri seperti di atas agar dapat mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan ceria ditempat kerja dan dikelilingi pekerja-pekerja yang produktif dan berdedikasi.
– Aspirasi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit