Majikan Taska

Sekitar April 2018 yang lalu, aku telah bekerja di sebuah taska di bandar X.

Pengalaman bekerja di taska tidak lah seindah yang disangka. Malah hampir hari ini aku tidak boleh lupa peristiwa yang melibatkan majikan aku iaitu pemilik taska sendiri. 

Rumah kedua untuk kanak-kanak yang sepatutnya menjadi tempat yang indah selepas ditinggalkan oleh ibu bapa untuk bekerja bertukar menjadi mimpi ngeri untuk budak-budak.

Aku masih ingat ketika hari pertama aku menjejakkan kaki ke taska tersebut. Kelihatan hanya seorang cikgu yang sedang sibuk menguruskan kanak-kanak.

Cikgu yang lebih suka dikenali sebagai Cikgu A itu hanya tersenyum sinis memandang ke arah aku. 

Aku kehairanan melihat betapa kelam kabutnya cikgu tersebut berlari ke hulur hilir menyiapkan budak-budak.

Aku diberitahu jumlah semua budak lebih kurang 35 orang termasuk transit, toddler dan 4 orang bayi. Majikan aku akan datang setiap hari di taska untuk ‘menolong’. 

Aku dimaklumkan juga oleh majikan bahawa dia tidak akan mengambil lebih dari dua orang staf. 

Hari berlalu, aku ditugaskan menjaga bahagian baby. Bayi ada dalam 4 orang. Semuanya berumur lingkungkan 3 bulan-5 bulan. Sangat comel semuanya.

Memandangkan aku tiada pengalaman menjaga bayi sangat kekok untuk aku menguruskan bayi tersebut. 

Jadual makan di taska tersebut agak pelik. Pukul 9.30 pagi makan kemudian pukul 12 tengahari susu, petang kemudian baru makan lagi. Makan makanan yang dimasak pada pagi.

Menu yang terpapar di dinding juga hanya sekadar hiasan. Buktinya, dua minggu bekerja aku hanya nampak Cikgu A memasak sup setiap hari. Hanya sup telur dan ayam menjadi santapan kanak-kanak setiap hari di taska tersebut.

Bila ditanya budak-budak hanya makan sup sahaja, aku diherdik majikan aku. Katanya, barang dapur mahal itu je yang boleh beli.

Bagi aku sangatlah tidak adil untuk budak-budak makan makanan itu sahaja sedangkan mereka juga membayar yuran setiap bulan. 

Rupanya bukan makanan sahaja menjadi isu. Perkataan bodoh juga sudah sinonim dari mulut majikan aku, pemilik taska tersebut.

Budak yang tidak disukai akan dipanggil bodoh depan budak-budak lain. Bodoh, bodoh, bodoh itu sahaja yang diulang dari mulutnya.

Sangkaan aku tidak meleset, majikan aku sangat bermasalah. Setiap hari ada saja benda yang tidak kena di matanya.

Bila aku bersuara pasal susu yang hanya dibenarkan sekali sahaja, majikan menganggap aku kurang ajar dan tidak boleh menerima arahan. 

Wajarkah susu hanya sekali sahaja? Aku juga diajar untuk menipu dengan ibubapa. Jika ditanya berapa kali budak-budak menyusu cakap sahaja tiga kali sehari.

Aku tidak faham bagaimana orang seperti majikan aku bersikap demikian.

Pernah terjadi ada seorang budak lelaki berumur setahun lebih ditampar teruk oleh majikan aku kerana budak tersebut mengigit cucunya.

Bila waktu pulang dia terus meluru ke ibubapa budak itu. Katanya anak pasangan tersebut jatuh tersembam dekat lantai walhal dia yang memukul mulut budak itu sampai berdarah. Baginya untuk memberi pengajaran. 

Majikan aku sangat bermulut manis di hadapan ibubapa. Mungkin itulah yang membuat ibubapa meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada majikan aku.

Majikan aku sangat marah apabila cikgunya menelefon ibu bapa untuk memberitahu anak diorang yang tidak sihat atau demam.

Baginya tindakan begitu akan mengganggu ibu bapa untuk bekerja tanpa memikirkan keadaan budak tersebut. 

Hari berlalu, hampir 3 bulan juga aku bekerja dalam suasana majikan yang sangat toksik. Hanya menurut bodoh sahaja arahannya memikirkan waktu itu aku memerlukan kewangan.

Gaji yang dibayar RM1000 masa itu sudah cukup besar bagi aku. Terdetik dihati aku untuk bertanyakan tentang lesen taska kepada majikan aku.

Jawapannya aku terima. Dia mengaku taska itu tiada lesen tapi dia mengatakan dia tidak kisah langsung tentang lesen. Baginya ada cctv sudah cukup memadai.

Hari berganti hari, semakin bertambah pulak budak-budak yang masuk taska itu. Bayi juga semakin bertambah. Bila disuruh tambah pekerja hanya jawapan yang sama. 

“Saya tidak akan tambah pekerja, cukup dua orang sahaja”, ujarnya dengan angkuh. 

Sudah kurasa itulah jawapan darinya. Hari yang semakin sukar untuk aku harungi. Kelam kabut dengan budak yang ramai. Tidak terjaga rasanya masa itu. Sangat penat ke hulu ke hilir.

Memang lumrah kerja taska waktu rehat hanya bila budak-budak tidur sahaja itupun hanya sekadar rehat. Penat tapi kerja juga harus disiapkan.

Majikan aku amat kejam tidak fikir keselamatan budak dan kudrat dua orang cikgu dipetaruhkan. 

Dipendekkan cerita, ada seorang budak jatuh tersungkur depan tangga, kepalanya penuh darah dan luka besar. Darahnya tak berhenti mengalir.

Pada waktu itu aku sedang sibuk menyiapkan bayi manakala cikgu A sedang berkemas di dapur. Terkejut dan sangat panik aku menjerit tatkala melihat budak itu jatuh tersungkur di tangga.

Dalam keaadaan yang dangat cemas Cikgu A menelefon majikanku. Majikanku segera datang tapi hanya pandangan kosong tanpa tiada sebarang tindakan.

Aku yang sangat panik menyuruh Cikgu A menelefon ibu bapa budak tersebut. Ibunya memberitahu tidak boleh datang secepat mungkin. Aku merasa lagi cemas. Sementara majikan aku hanya pergi tanpa sebarang tindakan.

Budak yang penuh darah ku pangku dengan rasa bersalah. Satu jam lebih kemudian baru ibunya tiba untuk mengambil budak tersebut untuk pergi ke klinik.

Pandangan budak itu sayu. Aku sedih mengenang peristiwa yang hampir meragut nyawa budak itu. 

Setelah kejadian itu, majikan aku tidak habis menyalahkan aku dan Cikgu A yang cuai dan tidak menjaga budak. Aku berasa sangat kesal dan bersalah kepada ibubapa budak itu.

Permintaan untuk tambah pekerja tidak dilayan oleh majikan aku hingga menyebabkan budak tadi tidak dipantau dan jatuh.

Aku sudah tidak tahan bekerja di situ, cukup 3 bulan aku telah menyerahkan notis berhenti kerja. Cukuplah aku berkhidmat untuk majikan aku yang sangat toksik. 

Tidak habis disitu, aku telah difitnah mendera budak sehingga diberhentikan kerja. Aku mengetahui apabila ada ibu bapa yang menelifon aku untuk bertanya hal sebenar. Aku amat terkejut.

Aku berharap aku tidak akan berjumpa lagi dengan majikan seperti itu. Majikan dari neraka. 

– Deana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *