Assalamualaikum, hai. Haritu terbaca cerita yang bertajuk “Mak Yang Mental” (https://iiumc.com/mak-yang-mental/).
Aku nak cerita mengenai mak aku, tapi tak se-hardcore mak yang dalam cerita “Mak Yang Mental” tu lah. Tapi kalau apa yang aku hadap ni pun dah rasa sakit, rimas, apatah lagi dia yang hadap mak yang mental tu.
Aku just throwback balik kehidupan aku sewaktu aku kecil. Aku anak nombor dua. Korang yang anak nombor dua mesti faham apa yang aku rasa. Dari kecil aku akan pakai bekas kakak aku. Dari beg sekolah, baju sekolah yang masih elok, baju jalan kakak yang masih elok, aku jarang dapat benda yang baru.
Tu bab baju. Kalau bab masa sekolah aku nak keluar dengan kawan-kawan aku, aku selalu tumpang orang atau aku jalan kaki sendiri. Atas ihsan mak kawan-kawan aku, diaorang ambil aku dekat rumah. Terima kasih makcik pakcik, semoga sihat selalu. Jasamu akan aku kenang.
Sekarang bab sakit. Kalau aku demam, jarang mak aku ambil tahu pasal aku. Selalunya nenek yang sibuk ambilkan daun tu untuk rendam dan basahkan badan aku dengan air daun tu. Sebenarnya aku dari kecil memang sendiri. Buat apa-apa semua sendiri. Jarang melibatkan mak aku.
Aku pernah ingat dulu, abah ajak kami sekeluarga ke mall, jadi aku sebagai budak baru 10 tahun tu, nak lah cuba pakai cantik-cantik. Aku pakai lah shawl. Tiba-tiba mak aku dari belakang, “Kau ingat cantik sangatlah tu pakai shawl?” Aku diamkan je. Aku tahu dia tak suka aku ikut diaorang ke mall. Dia cuma nak kakak dan adik aku sahaja yang ikut.
Okay, ni sedikit sebanyak kisah aku sewaktu kecil.
Selepas aku habis SPM, aku melanjutkan pelajaran di Selangor bawah MARA. Di situ aku lega sebab berjauhan dengan mak aku. Aku jarang call dia. Aku cuma selalu call kakak dan abah aku. Selepas aku menamatkan diploma, aku bekerja di sebuah kedai serbaneka.
Bermulalah kerimasan aku terhadap perangai mak selepas abah aku meninggal dunia di tempat kerja. Jadi, akulah tulang belakang keluarga. Kakak aku bekerja, tapi jauh dari daerah aku duduk. Aku hanya bekerja sementara sebab aku ingin melanjutkan pelajaran ke sarjana muda. Tapi aku lenyapkan angan tersebut sebab abah aku meninggal dunia.
Sejujurnya, selepas abah pergi, perbelanjaan rumah dari A to Z aku yang tanggung. Cuma aku bersyukur, masa abah meninggal, kereta dan rumah dah habis bayar. Aku cuma tinggal bayar komitmen bulanan, bil api & air, barang dapur rumah dan lain-lain. Aku dengan mak memang tak ngam. Apa yang aku buat selalu tak kena dekat mata dia. Kami selalu bergaduh.
Pernah sekali tu, aku baru lepas gaji. Pada masa tu gaji aku hanyalah RM1,500.00, tolak KWSP tinggal lah RM1,300.00. Mak minta duit nak sedekahkan atas nama arwah abah. Aku faham niat mak baik, tapi aku perlu selesaikan komitmen aku dulu — bil api dan air, bil wifi, dan beli barangan dapur. Kalau ada baki, baru aku bagi untuk dia sedekah.
Tapi dia perli aku, “Orang lain pun ada hutang juga, tapi takde lah macam kau ni.” Aku malas nak bergaduh, aku terus keluar. Makin dilayan orang tua ni, makin bodoh aku nanti. Semakin hari hidup aku semakin serabut dengan mak yang selalu mencari salah aku. Itu tak kena, ini tak kena. Aku stres gila.
Setelah setahun abah meninggal dunia, aku mendapat kerja yang lebih baik berlandaskan apa yang aku belajar semasa diploma dulu. Aku bersyukur. Dari gaji aku RM1,500.00 naik ke RM1,700.00, naik lagi hingga ke RM2,000.00.
Ini basic sahaja, tak termasuk OT, elaun dan 1 peratus dari claim bulanan yang kerja aku buat. Aku bersyukur boss nampak prestasi aku semakin menaik. Disebabkan itulah boss bagi aku 1% dari claim bulanan yang kami buat. Alhamdulillah, syukur.
Semenjak dari itu, mak semakin melekat dengan aku walaupun kadang-kadang ada jugalah yang aku gaduhkan dengan dia. Aku masih stres sebab aku bujang dan tinggal bersama dia. Boleh kata setiap minggu ada sahaja benda yang dia nak gaduhkan. Ada pernah sekali tu, arwah abah aku pakai kereta jenama H, jadi insurans dan road tax agak mahal mungkin disebabkan kereta tersebut bersisi 2.0.
Jadi aku membuat tabungan sendiri. Setiap bulan aku akan simpan RM200.00 untuk road tax dan insurans tersebut. Kiranya cukup 12 bulan aku ada RM2,400.00 lah, so bolehlah servis atau standby untuk barang-barang yang kena tukar macam tayar ke. Kiranya maintenance kereta tu 100% aku yang bayar.
Sekali tu, aku dijemput untuk ke majlis perkahwinan kawan aku dekat daerah lain. Sama negeri tapi daerah lain. Lebih kurang 2 jam jugalah kalau nak ke sana. Jadi, masa ni aku tak ada kenderaan sendiri, begitu juga kawan-kawan aku. Jadi aku volunteer untuk ajak kawan aku 2 orang untuk pergi naik kereta arwah abah tu.
Yelah, aku berfikir, bukan selalu aku bawa kawan-kawan memandangkan masa tu aku sorang je yang ada lesen. Aku pun cakap lah dengan mak aku, “Mak, minggu ni saya nak guna kereta nak pergi majlis kahwin Meera dekat Bizmilla, dengan Aina and Hanis.”
Terus mak jawab, “Aku nak pergi pantai hujung minggu ni dengan Mak Uda dan Mak Teh kau.” Aku bengang lah. Sebelum ni tak pernah langsung dia bawa kereta tu sebab kereta tu besar dan dia takkan drive. Selalunya kawan-kawan atau ibu saudara aku yang ambil dekat rumah. Aku pun decide dengan kawan-kawan untuk sewa kereta weh untuk pergi majlis Meera tu.
Lepas tu, hujung minggu tu, elok kereta arwah abah tu tak bergerak dan tak pergi pun pantai seperti yang dia cakapkan haritu tu. Kau tahu tak betapa sakitnya hati aku? Aku tanya dia, “Kata nak guna kereta pergi pantai semalam?” “Aku tak pergi pun, malas.”
Aku bidas dia, “Lepas ni maintenance kereta tu bayar sendiri. Susah-susah aku bayar semua, time aku nak pakai kedekut. Kalau aku beli kereta sendiri, jangan naik kereta aku.” Mak hanya diam. Punya lah aku sakit hati sampai aku call Husna dan Aina menangis sebab aku kecewa. Mak aku punya lah dengki sebab nak bawa Aina dan Husna, sampai begitu sekali dia reka cerita.
Kalau dalam cerita “Mak Yang Mental” dia tak bagi berkawan dengan kawan-kawan dia, aku faham perasaan tu sebab mak aku ni dia sangat jealous kalau aku keluar dengan kawan-kawan aku. Bila balik rumah mula lah aku ni diperli, “Kau kalau dengan kawan-kawan laju, dengan mak sendiri berkira.” Padahal setiap kali aku nak keluar, dia mesti akan kacau mood aku.
Kalau dia nampak aku bersiap-siap nak keluar dengan kawan, ada je benda dia suruh aku belikan. “Tolong belikan mak nasi goreng.” “Tolong belikan mak pisang dekat bandar sana tu. Nak yang lembik dan panas.” Kalau sejuk tak nak makan.
Kawan-kawan aku sampai faham. Setiap kali nak keluar, mesti aku akan siap sejam awal sebab aku kena turut apa yang mak nak. Kalau dia tengok aku post gambar makanan dekat mana-mana sosial media, siap lah balik tu, “Makan sedap-sedap, aku ni makan nasi dengan ubi kayu je.” Padahal sebelum tu aku dah belikan Marrybrown ke, KFC ke, macam apa yang dia minta.
Aku kadang stres tau. Kadang bila aku keluar dengan kawan aku, mak akan text kakak aku, “Budak tu takde, keluar dengan kawan.” Kakak aku akan forward dekat aku. Kakak tak layan sebab dah kenal sangat perangai dia. Dia macam takde apa yang perlu dibualkan tapi saja cari topik. Mujur kakak tak layan.
Jujur aku cakap, aku memang always bersama kawan-kawan sebab diaorang je faham isi hati aku. Kawan-kawan sampai faham perangai mak aku. Kesian diaorang, kadang saja je tegur bila berjumpa dekat bandar tapi dijawab macam tak ikhlas.
Pernah sekali tu majlis merisik dan bertunang aku, aku tak jemput ramai, hanya 15 orang sahaja termasuk 2 orang kawan aku. Husna saja mulakan perbualan, “Makcik sorang je ke dekat rumah ni?” Mak aku jawab, “Yela sorang je, nampak orang lain ke?” Kawan aku terus terdiam.
Kejadian lain, aku sangat happy kawan aku Aina dapat beli kereta. Keretanya dia beli jauh dari tempat dia duduk. Jadi aku pun join lah Aina untuk pickup kereta baru dia. Perjalanan lebih kurang sejam setengah. Aku ambil cuti AL sebab nak teman dia ke sana.
Kakak aku forward text dari mak aku, “Sanggup eak ke sana semata-mata nak ambik kereta kawan.” Aku buat bodoh je sebab Aina kawan baik aku sejak darjah 5 sampai lah sekarang umur aku dah 27 tahun.
Lagi satu mak ada satu perangai yang aku paling tak suka. Kalau dia text kita pukul 01:00, dia nak aku reply pukul 01:01. Sedangkan aku kerja sekarang busy. Kalau tak reply on time dia akan badmood. Balik rumah, siap lah aku ni macam tunggul kayu je bila tanya.
Ye, kerja aku busy gila. Kerja aku memang boleh keluar anytime kalau perlu, tapi mak aku ni boleh tiba-tiba text aku, “Bawak mak pergi pasaraya kejap, nak beli beras.” Yang mana rumah mak aku dengan pasaraya tu tak sampai 10 minit. 5 minit pun tak sampai. Berbanding aku ni dekat tempat kerja 15 minit nak sampai ke rumah mak.
Sebab tu masa aku nak guna kereta, dia cakap nak keluar dengan ibu saudara aku yang aku ceritakan dekat atas tu. Aku macam pelik, cause I know, she never drive for herself, even beli makanan untuk diri dia sendiri. Aku pun tak faham lah kadang-kadang. Dengan tiba-tiba suka merajuk bila orang tak balas text dia.
Lepas tu, kalau tak ikut kemahuan dia, tiba-tiba nak merajuk tak tentu pasal. Hari-hari tak nak masak. Hari-hari suruh aku beli makanan dekat luar. Can you imagine eak? Dari rumah ke tempat kerja aku ambil masa 20 minit, jauh. Mak aku ni bila aku dah sampai office, baru nak text aku cakap, “Tolong belikan mak sarapan pagi.”
Then aku kena patah balik rumah dia untuk belikan makanan. Fuhhh. Aku ni elok-elok tak ada anxiety, terus ada, layankan perangai dia. Yelah, nak melawan tak boleh sebab tak nak jadi anak derhaka. Tapi jiwa aku meronta-ronta.
Sekarang adik aku dah habis belajar. Sementara grad dia duduk dekat rumah dan kerja part time. Adik aku lelaki. Aku sangat rapat dengan adik aku dan kakak aku. Diaorang tahu how struggle I am bayar itu ini untuk our family dan diaorang sangat mudahkan aku. Tak pernah susahkan aku kecuali hal-hal yang diaorang tak tahu atau drive jauh. Memang akulah.
But I’m okay untuk benda tu sebab lepas abah aku meninggal dunia, memang akulah yang ke sana ke sini bawak family aku incase ada hal di luar daerah.
Okay sambung pasal adik aku kerja part time. Aku masuk kerja 08:00 pagi. Adik aku masuk kerja 11:00 pagi. Mak aku ni, dia memang sayang sangat dekat adik aku memandangkan adik aku sorang je lelaki. Bayangkan mak aku suruh aku belikan sarapan untuk dia dan adik aku sebab adik aku nak masuk kerja pukul 11:00 pagi, for everyday.
Ok lupa nak cakap, yang aku dah berkahwin dan duduk sendiri. Dan punca aku kahwin adalah sebab nak larikan diri dan nak hidup aman. Aku berkahwin dengan kawan aku sendiri. Kami kenal di tempat kerja. Nanti aku cerita bab kahwin aku pula.
Ok sambung pasal sarapan untuk adik aku. Kau bayangkan lah eak aku ni dari rumah, singgah beli sarapan, hantar pula dekat rumah dia, then aku patah balik pergi office. Stress-nya. Aku ni kalau nampak text notifications dari mak pagi-pagi, aku dah stress. Jantung dah berdebar. Then dalam hati, “Apa pula kali ni.”
Adik aku pernah text aku, “Ngah, lepas ni tak payah belikan aku sarapan. Aku nak makan aku pandai beli sendiri. Dekat tempat kerja aku ni banyak kedai sarapan tepi jalan ni.” Bersyukur adik aku sangat memahami. Tapi mak aku sebaliknya. Mak aku memang suka susahkan.
Aku pernah baca dekat laman muka buku, dia cakap, “Kalau kita anak yang always parents cari bila ada apa-apa pertolongan, maksudnya kita anak yang boleh diharap.” Tapi aku penat.
Jujur aku cakap, kerja aku sangat stress dan penat. Kadang masuk 08:00 pagi balik 08:00 malam. Kadang 09:00 malam. Kalau kena pergi site lagi aku penat. Dehydrated gila.
Kadang aku dekat site, mak text aku, “Balik kerja bawak mak makan bakso.” Boleh tak text aku tu elok-elok, “Ngah, hari ni kerja dekat mana? Office je ke? Ke kena masuk site? Kalau duduk office je hari ni, boleh tak bawak mak makan bakso? Dah lama tak makan.” Sedap juga aku baca text macam tu. Ini tidak. Hm. Dia cuma bagi aku arahan yang tanpa kisah pun kelelahan aku.
Bila taip panjang-panjang ni, aku teringat masa kecil aku. Pernah sekali tu, mak dan kakak dia nak pergi ke bandar. Aku nak ikut. Dia tak bagi. Aku menangis-nangis nak ikut. Jadi ibu saudara aku bagi ikut. Suruh aku masuk ke dalam kereta. Masuk je aku dalam kereta, mak aku cubit aku sekuat hati. Aku nampak muka puas masa dia cubit aku.
Masa mandi, aku nampak biru pekat dekat bahagian aku kena cubit tu. Start dari situ aku tidak lagi pernah ikut dia ke mana-mana. Even masa dia ke luar daerah pun aku tak ikut. Hanya kakak, adik, abah dan mak sahaja yang pergi. Puas abah pujuk aku untuk ikut kalau-kalau diaorang berjalan ke mall. Tapi aku tak nak.
Kejadian tu bagi impak besar dalam hidup aku bila mana aku dah besar. Bila aku dah besar ni aku suka ke sana ke sini. Bercuti sana dan bercuti sini. Dan aku tak bawa dia. Habis lah dia canang cerita cakap aku tak pelawa dia pun kalau pergi mana-mana.
Kalau aku pergi dengan kawan-kawan aku, memang dia jealous. Habis lah dia text kakak aku cakap itu ini. Macam biasa lah, kakak akan forward text tu dekat aku. Aku abaikan je sebab dia kena rasa apa yang aku rasa masa aku kecil.
Ingat tak dekat atas aku cerita masa aku sakit dia abaikan aku? Sekarang kalau dia sakit, aku tak pernah ambil tahu. Aku biarkan dia macam mana dia biarkan aku sewaktu kecil. Jahat ke aku? Tapi aku pernah dibelai sewaktu aku sakit? Aku tak pernah dibawa ke klinik kalau aku sakit oleh mak. Nenek yang buat semua untuk aku.
Kalau orang tanya kenapa aku sekeras ini dengan mak, sebab aku tak pernah dilayan baik-baik sewaktu kecil. Aku tak pernah dipeluk oleh dia. Setiap hinaan dia, “Bodoh,” “Babi,” “Anak tak guna,” “Lembab,” terpahat dekat otak aku, hati aku.
Kalau dia betul-betul tak larat, aku akan bawa dia ke klinik, tapi aku tunggu dalam kereta. Dia je masuk ke klinik. Aku bagi dia duit, tapi aku tak teman dia. Aku tak tahu luka apa yang aku rasakan sampai sikit belas kasihan dekat dia pun aku tak ada. Panjang sangat eak aku dah cerita. Aku nak sambung sewaktu alam perkahwinan aku, tapi aku stop dulu lah. Lain hari aku cerita lagi.
Maaf kalau ibu-ibu sedunia marah akan luahan aku ini. Ini hanyalah luahan hati aku yang luka sejak aku kecil. Aku tahu tidak layaknya aku sebagai anak untuk mempertikaikan benda-benda ni semua, dek kerana jasanya tak terbalas. Tapi inilah kehidupan aku sewaktu aku kecil.
Minta maaf jika ada yang tidak senang akan cerita aku. Semoga satu hari, kalau Allah SWT bagi aku kesempatan menjadi seorang ibu, akan aku jaga amanah itu sebaiknya. Semoga tak pernah aku bagi trauma untuknya.
Sekian…
– Orkid (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit