Assalamualaikum. Terima kasih banyak pada admin sekiranya sudi menyiarkan luahan aku ini.
Aku betul-betul tak tahu harus ceritakan pada siapa supaya identiti kami sekeluarga kekal rahsia. Jadinya aku luahkan disini dengan harapan aku dapat solusi terbaik dari pembaca sekalian.
Aku Maya, berusia 30an. Waktu ini aku pulang ke kampung kerana cuti sekolah dan aku bawa anak-anak aku bersama menjenguk opah dan atok mereka.
Dalam setahun, hanya 4 kali kami pulang ke kampung kerana perlu melalui khidmat penerbangan yang boleh tahan mahalnya.
Di kampungku, tinggal emak, ayah, dan nenek aku. Nenek aku sudah kematian suaminya lebih 20 tahun lalu.
Nenek aku masih kuat walau usianya menjengah 80 tahun tahun ini. Nenek boleh berjalan mandi makan pakai semua sendiri. Anak nenek, iaitu emak aku sendiri berusia linkungan 60an, ayah aku pun sama.
Apa yang ingin aku ceritakan, nenek aku bergilir-gilir dijaga oleh anak-anaknya. Masa aku balik kampung baru-baru ni, nenek dijaga oleh emak aku, jadi aku agak nampak macam mana nenek diperlakukan.
Emak aku emak yang baik buat kami adik beradik, tapi aku tak tau dimana silapnya kerana emak sangat dingin dengan nenek, walau nenek itu emak kandungnya.
Emak selalu dengar kuliah agama pagi petang, kadang-kadang malam pun ada kuliah agama secara langsung atau online.
Tapi setiap kali dengar kuliah, apa yang ustaz tegur, mak aku akan bidas nenek.
Ustaz suruh begitu dan begini, tapi emak tak anggap teguran yang diberikan ustaz adalah untuk perbaiki diri sendiri tapi menyalahkan nenek. Apa saja, ya apa saja.. semua salah nenek.
Aku sedih perkara macam ni berlaku. Aku tegur baik-baik tapi aku sekali sekala balik kampung, takut mengguris hati emak. Apa sahaja yang ustaz tegur, emak akan perli nenek dengan nada sinis.
“Tak zikir, emak tak baca Quran sebab tu mak jadi macam ni…” Kata emak kepada nenek.
Nenek aku pelupa sebab penyakit alzheimer yang dihidapinya kebelakangan ini. Nenek tak ingat bacaan solat, nenek juga tak ingat rakaat dalam solat. Nenek tak ingat.
Tapi emak tak boleh terima keadaan nenek begini sebab ahli keluarga lain sebelum ini tak pernah ada penyakit alzheimer seperti nenek sekarang.
Jadinya nenek dipersalahkan kerana tak zikir, tak solat, tak baca quran jadi kerana itu nenek tidak tenang.
Ayah aku pula hanya banyak diam dan kadang kala terkilan dengan sikap emak aku terhadap nenek. Bila ditegur, akan dibalas. Emak aku selalu kata dia dianak tirikan masa kecil dulu kerana nenek tak menjaganya.
Nenek ada masalah kewangan masa emak aku kecil dahulu, jadi tanggungjawab menjaga emak diserahkan kepada moyangku. Jadi mak sangat tidak serasi dengan nenek walau nenek itu emak kandungnya.
Aku ada bagitau emak supaya dapatkan rawatan pada nenek, sebab nenek perlukan rawatan untuk sakit alzimier nya. Tapi tiada tindakan yang diambil.
Nenek tidak tenang dalam rumah, asyik mundar mandir. Fikiran nenek bercelaru. Sedangkan suaminya meninggal 20 tahun lepas pun nenek lupa, aku sendiri kadangkala tak faham apa yang nenek bualkan.
Cuma apa yang aku boleh buat, angguk-angguk dan ya kan sahaja.
Bila nenek bercerita yang bukan-bukan, dan emak dengar, emak aku akan bertengkar dengan nenek.
Nenek akan terus berbalah dengan apa yang dia ingat walaupun info tu tak betul, dan emak aku akan terus bergaduh mulut dengan nenek. Macam nak perang.
Bagi aku, tak perlu emak berbalah dengan nenek sebab tak ada gunanya pun. Sebab situasi ini akan berulang. Nenek akan terus dengan pendiriannya dan nenek dengan pendiriannya.
Aku yang sesekali balik rumah sangat tak seronok dengan situasi tegang ini. Aku balik sesekali saja, nak tegur mak aku, aku balik yang akan kena. Aku tak suka.
Paling aku tak suka, bila nenek bergurau dengan anak-anakku, pun mak tak suka. Ada sahaja yang tak kena perilaku nenek dimata mak. Aku buntu.
Kalau ada cara macam mana nak atasi masalah ini atau ada cara terbaik untuk aku selesaikan masalah ini, aku dengan sangat mohon bantuan semua. Sebab aku buntu.
Ada lagi hanya 2 minggu aku di kampung. Sekurang kurangnya aku dapat bantu selagi aku disini.
Wallahualam..
– Maya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit