Mak, Bersyukurlah!

Salam dan hai semuanya. Perkongsian saya ini sebenarnya agak cliche. Perihal mak saya yang tak berhenti-henti suruh saya tukar kerja dan kahwin cepat-cepat.

Buat pengetahuan semua, saya wanita berumur 28 tahun. Alhamdulillah, saya masih lagi mempunyai pekerjaan dalam situasi Covid-19 yang mengharukan ini.

Saya tak faham mengapa mak saya sering suruh saya bertukar kerja. Pekerjaan saya sekarang ni pun bukannya tak elok. Saya berkerja di ibu negara, di salah sebuah firma perakaunan yang besar.

Kalau saya namakan firma ini, jarang ada orang yang tidak tahu tentangnya. Tapi, sudah beberapa kali mak suruh saya berhenti kerja dan cari kerja di tempat lain.

Mungkin sebab saya tak kerja kerajaan, adakah pekerjaan yang saya ada sekarang tidak elok?

Dalam situasi Covid-19 sekarang ni pun, mak masih lagi menyuruh saya berhenti kerja. Sudah saya jelaskan pada mak, sepatutnya kita bersyukur masih punya pekerjaan.

Dan dalam situasi sekarang, bukan mudah untuk mencari pekerjaan lain. Walaupun saya sudah mempunyai pengalaman bekerja, tak bermaksud saya boleh mendapatkan pekerjaan lain yang lebih baik daripada apa yang saya ada sekarang dengan mudah.

Tapi mak marah saya kembali, mak kata mentang-mentang saya sudah ada duit sendiri, saya berani melawan cakapnya.

Tak dijelaskan langsung kenapa mak nak saya cari kerja lain. Tak ada kaitan langsung apa yang saya terangkan pada mak dengan apa yang mak saya cakap pasal saya ada duit sendiri.

Saya malas nak bergaduh panjang dengan mak, jadi saya pun diam sahaja. Saya tak tinggal sebumbung bersama mak.

Saya yakin kalau hari-hari saya kena marah begitu, tak mustahil satu hari nanti saya akan meletus dan menengking mak sampai jadi anak derhaka pula. Hubungan kami macam pepatah, jauh bau bunga, dekat bau tahi.

Saya suka dengan pekerjaan saya. Dan dalam situasi begini, syarikat saya masih lagi memberikan bonus saguhati untuk pencapaian tahun 2020.

Walaupun syarikat tempat saya bekerja tu taklah untung banyak, mereka masih menghargai para pekerja.

Menunjukkan syarikat ini adalah syarikat yang bagus. Jadi, lagilah saya tak mahu berhenti kerja sebegitu sahaja tanpa alasan yang munasabah. Duit bonus tu saya transfer separuh masuk akaun mak.

Satu lagi, mak tak berhenti-henti cakap pasal kahwin. Dicanang satu kampung dengan pak cik mak cik dan saudara yang saya tak kenal pun, yang saya ni memilih sangat, jadi bilalah akan berkahwin.

Sebenarnya saya tak faham apa yang mak kalut sangat kalau saya tak kahwin. Katanya, hatinya susah kalau saya tak kahwin.

Saya rasa hidup tenang je tak kahwin. Senang untuk uruskan hidup sendiri, nak makan apa-apa pun tinggal order, nak pergi mana-mana tinggal beli tiket (tapi sebab Covid ni duduk rumah sajalah).

Cuma kalau sakit demam tu rasa sendu sikit kena drive pergi klinik sendiri.

Bagi saya, umur 28 tahun memanglah elok kalau berkahwin, cuma masih belum sampai lagi jodoh saya. Semua orang ada rezeki masing-masing. Semua dah ditentukan.

Tak ada jaminan yang kalau saya kahwin awal 20-an, akan bahagia, Kalau kahwin lewat, nanti sengsara.

Ada kawan saya yang berkahwin ketika berumur 22, tapi bercerai tahun lepas. Ada juga yang lain dah beranak dua-tiga orang, tapi dimadukan.

Dan dengan apa yang dah jadi di persekitaran saya, tentulah saya ambil iktibar dan berhati-hati ketika memilih pasangan.

Tak salah kalau saya memilih hendak berkahwin dengan orang yang setaraf dari segi kewangan, penampilan, pendidikan dan yang paling penting sekali pemikiran.

Mak kata saya masih tak sedar diri dan konon masih muda, nanti esok dah 35 tahun barulah menyesal, waktu itu tiang lampu pun saya akan terima.

Kadang-kadang rasa sedih bila mak sendiri keluarkan perkataan-perkataan begini. Di tempat kerja saya, mak cik-mak cik yang sebaya mak saya selalu puji dan harap anak mereka ni macam saya.

Rupa saya tak adalah terpaling cantik, tapi masih elok ditengok. Attitude saya pun bukanlah terpaling baik, tapi rata-rata semua senang dengan saya.

Dari segi pendidikan, saya mempunyai masters, dan dari segi aset, saya ada rumah dan kereta sendiri. Kalau hujung minggu, saya cuma duduk di rumah dan tengok cerita di Netflix. Saya bukan jenis suka merayau tanpa tujuan.

Kawan-kawan saya hampir semuanya perempuan, kawan lelaki cuma 2-3 orang dan kalau berjumpa pasti akan berjumpa berkumpulan; itupun jarang-jarang.

Apa yang ada pada diri saya ni adalah hasil didikan mak saya, tapi mak saya tak nampak apa yang dah berjaya dicapai. Yang tak ada itulah yang dikalutkan.

Saya harap kalau ada mak-mak yang terbaca perkongsian ini, bersyukurlah dengan apa yang anak-anak anda dah kecapi. Ini semua adalah kejayaan anda juga.

Dan percayalah, tak ada anak yang nak kecewakan mak sendiri. Kalau ingin nasihat, nasihatlah baik-baik, janganlah marah-marah dan perli-perli. Kenapa kena sakitkan hati anak sendiri, kalau tujuannya ingin menasihati.

Saya harap, apabila saya dah berkahwin dan mempunyai anak nanti, saya akan berhati-hati dengan kata-kata saya.

Saya tak nak anak saya terasa hati dengan maknya sendiri. Sebab saya sendiri telah merasakan betapa sedihnya hati saya dengan perkataan-perkataan mak saya.

Saya sayang mak saya. Tapi itulah, kena jauh-jauh, tak boleh dekat-dekat sangat. Terima kasih sudi baca perkongsian saya.

– Hannah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *