Assalamualaikum semua. Sedikit pengenalan diri. Aku Maklang berusia 39 tahun. Berkahwin dan beranak 3.
Mak dan abah aku keduanya telah kembali ke negeri abadi. Sesungguhnya kehilangan mereka memberikan sebuah tamparan yang sangat hebat buatku.
Abah meninggalkan kami pada tahun 2009. Sewaktu itu aku berusia 28 tahun. Pemergian yang sangat mengejut.
Abah adalah seorang pesakit CKD (Chronic Kidney Disease). Abah menjalani heamodialysis setiap selasa, khamis & sabtu. Tetapi doktor kata jantung abah tidak cukup kuat untuk meneruskan proses dialysis.
Terpaksa ditukarkan kepada proses peritoneal dialysis (dialisis melalui tukaran air dalam ruang antara perut yang mengandungi banyak bahan kumuhan). Tapi proses tersebut banyak risiko. Terutama jangkitan kuman.
Pada petang rabu, sewaktu aku singgah kerumah mak (rumah kami cuma jarak 5-10 minit jika memandu), mak beritahu abah dah beberapa hari tak lalu makan. Bila ditanya abah kata dia kurang berselera.
Hari khamis aku terjumpa orang menjual putu mayam, makanan kegemaran abah. Aku belikan dan bawa pulang untuk abah. Kusuapkan kemulutnya.
Dia sangat teruja kerana sudah lama tidak menjamah makanan tersebut. Tapi sayangnya, abah tidak mampu menelan makanan tersebut. Kami cuba 2,3 kali. Masih tidak berjaya.
Abah kata bagai ade sesuatu yang menyekat salut pemakanannya. Hatiku terus berdetik. Entah kenapa naluri kuat mengatakan hayat abah tidak lama.
Ku hubungi adik beradik yang tinggal berjauhan. Minta mereka segera pulang. Pagi sabtu, mak hubungi aku untuk segera datang kerumahnya kerana abah sesak nafas.
Pagi itu juga abah dibawa ambulans ke hospital. Keadaan abah kritikal. Adik beradik sudah kuberitahu. Pakcik makcik juga. Ramai yang melawat abah. Tapi keadaan abah sudah benar-benar tidak berdaya.
Tepat jam 11 malam, abah menghembuskan nafas terakhir dihadapan anak2 dan isteri tercinta. Kami redha. Terlalu mudah pemergian abah. Semenjak itu kami cuma ada mak sebagai syurga kami.
11 tahun peristiwa sedih itu telah berlalu. Tahun ini kami diuji lagi. Mak mula sakit perut pada pagi sabtu. Ku bawa mak ke klinik.
Doktor diklinik tersebut minta ku bawa mak ke hospital kerana dia merasakan sesuatu yang tidak okey pada perut mak. Tapi dia kekurangan alatan untuk memeriksa lanjut.
Setelah mendapat surat rujukan, ku bawa mak ke hospital. Setelah menjalani beberapa proses ujian, dari hari sabtu, sehingga ke hari ahad, barulah doktor mengesahkan appendiks didalam perut mak telah pecah.
Mak perlu dibedah segera. Tepat jam 9 malam ahad, mak dibawa kedewan bedah. Doktor telah menerangkan beberapa risiko pembedahan mak kepada kami sebagai waris. Kami faham dan terpaksa setuju kerana hanya itulah sahaja cara untuk menyelamatkan mak.
Pembedahan mak berjalan lebih 4 jam. Dan seperti jangkaan doktor, mak mengalami komplikasi pembedahan yang agak kritikal dan terpaksa dimasukkan ke icu.
Bermulalah sesi berulang alik hospital untuk menjaga dan melawat mak. Hari-hari yang dilalui terlalu sukar. Kami pernah kehilangan, dan kami tahu kehilangan lagi pasti akan berlaku juga.
Tapi kami tidak menjangka secepat ini kerana mak masih sihat sebelum kejadian. Setelah hampir 10 hari didalam icu, perkembangan mak sangat positif. Mak di pindahkan ke wad biasa. Alhamdulillah.
Mak sudah boleh bercakap dan berbual dengan kami. Syukur ya Allah. Tetapi rupanya mak tidak mahu meninggalkan kami dengan rase terkilan. Mak ingin kami merindui hilai tawa dan gurau senda kami petang terakhir itu. Mak ingin kami menguruskan berak kencing mak sendiri.
Sebab didalam icu, kami tidak dibenarkan untuk menguruskan mak. Dan itulah bakti terakhir kami buat mak. Mak pergi dalam keadaan dia telah sedar sepenuhnya.
Mak pergi sewaktu kami bergembira kerana mak telah dipindahkan ke wad biasa. Mak meninggalkan kami sewaktu cukup anak-anak mak berhimpun bersama.
Mak sangat tenang. Wajah mak tersenyum. Mungkin mak tidak sabar untuk bertemu abah. Berehatlah mak dan abah. Semoga kalian telah bertemu dan berhimpun para syuhada.
Kehilangan kali kedua benar-benar menyakitkan. Setelah 3 bulan berlalu, aku masih belum mampu pulih semangat. Setiap hari aku masih menangis. Bukan meratap. Cuma aku masih belum mampu mengawal emosi.
Aku tahu mereka berdua sudah berada ditempat terbaik. Tetapi aku masih belum mampu keluar dari kepompong kesedihan ini. Doakan aku.
Buat semua yang masih punya ibu atau ayah atau keduanya, hargai mereka. Musim pkp ini ramai yang terpisah dengan ibu ayah. Itupun sudah terlalu pedih dan perit untuk kalian, kan?
Ketahuilah sekiranya perpisahan itu untuk selamanya akan lagi pedih dan menyiksa rasanya. Pulanglah melawat mereka. Memang kita sangat takot dan bimbang sekiranya kita membawa virus kepada mereka.
Tetapi ketahuilah, umur kita sangat ‘fragile’. Kalau bukan mereka, mungkin kita. Selagi ada peluang, ziarahilah mereka.
Usaplah tangan kedut mereka yang bersusah payah membesarkan kita. Ciumlah pipi mereka. Peluklah mereka agar mereka sentiasa rasa dikasihi sebagaimana mereka lakukan kepada kita dahulu dan membuat kita rasa terpelihara sebaiknya.
Serius, kalian akan sangat2 merindui saat-saat ini apabila kalian tidak lagi mampu untuk melakukannya lagi. Sampaikan salam peluk cium buat ibu ayah kalian dari aku, Maklang…
Yang masih bersedih,
– Maklang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit