Mak Mentua Memandai-mandai Lagi

Untuk part I, (https://iiumc.com/mak-mentua-suka-memandai-mandai/).

Salam semua dan terima kasih jika luahan ini disiarkan. Sekali lagi aku buat luahan di sini atas sebab stress yang melampau dan minggu ni kerap salah faham dengan suami gara-gara isu dengan mak mertua aku lagi.

Sebelum ni, aku dah luahkan tentang kasut Jimmy Choo yang terpenyek, sofa yang sekarang ni dah berkulat dan berbau reput, dan table runner. Kali ni mak mertua aku datang lagi dengan agenda terbaru.

Aku faham ramai yang sarankan aku tukar kunci rumah lepas kes yang dulu tu kan. Tapi masalahnya aku tak sampai hati.

Mak mertua aku ni baik orangnya, dan benda-benda yang dia buat ni walaupun menyakitkan hati aku, hanyalah berniat baik sebab pada dia betul la apa yang dia buat tu.

Semangat tolong-menolong tu adalah personaliti dia yang takkan berubah, dah macam sebati dengan dia. Jadi sepatutnya aku bersyukur dan hanya mampu meroyan di sini.

Dua minggu lepas dia datang sini untuk tolong cat pintu rumah. Ok, sebelum aku cerita panjang, aku ni pelukis. Jadi memang bilik stor aku ni penuh dengan benda-benda yang nampak macam sampah pada mata orang lain,

Contohnya botol plastik, balang kaca kosong, cardboard kotor dan kadang-kadang plastic cover untuk elakkan cat dari meresap ke lantai.

Walaupun aku dah susun elok dalam almari dan tak bersepah, tapi cardboard saiz besar ni contohnya, kena letak luar almari sebab tak muat.

Disebabkan aku banyak kerja hari tu, aku izinkan mak mertua aku ni pakai je la berus dan balang kaca tu untuk cat pintu rumah aku tu sebab dia tengah bosan sangat dua tiga hari tu, memang sepanjang tu la dia ada kat rumah aku.

Dia kalau bosan memang dia akan cari projek untuk isi kebosanan tu walaupun benda tu makan masa. Yang penting dia puas hati. Pintu tu sebenarnya tak perlu dicat pun.

Tapi saja je la aku bagi je la sebab mulut dia dah banyak bebel pasal pintu ni sampai suami aku pun takde cara lain untuk bagi mak dia diam kejap melainkan bagi je la dia nak buat apa pun.

Masalahnya lepas dia selesai mengecat tu, dia pergi buang segala balang kaca, berus-berus aku, termasuk la baki cat yang dia pakai tu. Semua masuk tong sampah.

Lama juga aku perasan apasal almari aku ni macam tak berseri je, cuma tak terfikir langsung. Sampai la hari yang aku nak pakai berus tu aku pegi cari dan tengok dah takde langsung dalam simpanan aku.

Aku cuba ingat balik, mak mertua aku orang terakhir yang masuk bilik stor tu. Bilik ni khas untuk bahan-bahan melukis je, anak-anak aku pun tak masuk dalam tu. 

Aku pun pergi tanya mak mertua aku, mana la tahu mungkin dia salah letak ke. Dengan selamba je dia jawab dia dah tolong buangkan. Sebab berus tu kotor dan balang kaca tu buruk, dan dia tambah, “tapi takpe, boleh beli yang baru.”

Masalahnya aku nak pakai sekarang ni, mana ada masa nak pergi kedai cari balik benda-benda ni. Lagipun balang kaca ni jenis besar yang asalnya dari jem kalau tak silap aku. Takkan nak suruh aku perabis jem semata-mata untuk dapatkan balik balang kaca untuk melukis. 

Yang berus ni paling ralat aku rasa salah aku sendiri sebab aku percaya yang mak mertua aku ni akan pergi rendamkan dulu dan tunggu sampai aku balik untuk bersihkan. Mungkin dia tak tahu yang berus Winsor & Newton ni bukan jenis pakai buang. Mungkinlah.

Aku cuba bersangka baik. Namun stress aku berlarutan sampai ke malam hinggakan aku makan sebiji kek tak kongsi dengan sesiapa pun. Sambil makan tu, aku proses kejadian tadi. Besok tu teruskan kehidupan seperti biasa.

Tak lama lepas tu, mak mertua aku datang lagi. Dia cakap saja la nak tengok cucu-cucu dia ni, aku cakap takpe la asalkan jangan usik barang-barang bebudak tu.

Anak aku yang paling kecik ni jenis suka mengemas, jadi dia selalu susun mainan dia setempat dan pastikan tutup rapi dengan beg plastik supaya tak jadi berhabuk. Bila dia nak main, dia akan keluarkan dari plastik tu. Lepas habis main, dia akan tutup balik dengan plastik tu.

Mak mertua aku memang tak usik barang-barang bebudak ni, tapi tangan dia gatal sungguh tengok beg plastik berbungkus ni. Ingat tak dulu yang dia pergi unbox kotak table runner aku? Haa lebih kurang macam ni jugak la kejadian kali ni.

Mata dia tak boleh tengok benda yang bertutup rapi ni, dia nak bukak dan hias balik. Dia tak sedar yang budak kecik tu nanti yang nak kena bersihkan habuk. 

Pada aku la, biar la budak tu uruskan barang-barang dia, dah itu cara dia. Tapi mak mertua aku tak senang duduk.

Dia nampak Barbie dollhouse yang anak aku tutupkan dengan beg plastik ni, dan sepantas kilat dia tanggalkan je plastik dari situ dan baling ke tepi sebagai sampah.

Kebetulan aku lalu situ dan ternampak beg plastik ni, aku pun pergi cari anak aku dan tanya, “bukan ke ni cover untuk dollhouse, kenapa buang?” 

Anak aku takut nak jawab sebab taknak dilabel biadab, aku jenguk dalam dan nampak mak mertua aku sedang berpuas hati. Aku bawak beg plastik tu ke dia dan aku cakap, “dia taknak mainan dia berhabuk, sebab tu dia tutup dollhouse tu dengan beg plastik.”

Mak mertua aku pun jawab balik, “ooo aku ingatkan lagi senang nak main nanti kalau tak berplastik.” Murni kan jiwa mak mertua aku? Dia memang berniat baik.

Namun lepas mak mertua aku balik ke rumah dia, suami aku pulak tetiba berubah perangai. Rajin mengemas pulak sampaikan paksa aku mengemas kat tempat-tempat yang tak perlu pun sebab aku banyak kerja lain yang lebih penting.

Selama ni dia biarkan je menggunung segala barang-barang tak berusik lepas tu marah pulak bila aku cuba untuk mengemas, nanti susah nak cari, katanya. 

Dekat tiga hari juga dia panik mengemas macam ni, sampai aku naik rimas dan tanya dia, ada menteri nak datang ke yang sampai tak menang tangan mengemas ni.

Rupanya Sabtu tu satu family dia nak datang sini. Sebelah petang, sebab belah pagi tu kedai perabot datang untuk pasangkan almari dalam bilik bebudak.

Apa tujuan dia jemput family dia pada hari yang sama kitorang sibuk hal almari ni? Hanya dia yang tahu. Aku tak tanya panjang sebab dah jenuh berperang tiga hari ni dengan dia bab mengemas.

Dan aku rasa aku memang akan sibuk sepanjang Sabtu dengan anak-anak aku dan almari baru ni sebab nak susun balik segala barang-barang dari perabot lama ke perabot baru.

Memang tak mampu aku nak layan satu family mertua pada masa yang sama. Tapi aku diam je. Yang datang ni pun dengan alasan nak menolong mana-mana yang perlu. Tapi takde la menolong sangat pun. Bila mak mertua aku masuk campur jadilah serabut kepala aku.

Sepanjang masa ni migraine tak berhenti dan rosak mood aku. Aku duduk tepi jer tengok mak mertua aku tengah bagi nasihat ke anak-anak aku tentang cara terbaik untuk susun barang dalam almari baru tu.

Tiba-tiba suami aku tegur aku yang tengah melopong jer dari tadi. Dia cakap pegi la uruskan sebelum mak dia buat. Aku pun jawab balik, “nak uruskan macam mana. Dari awal pendapat dia sorang jer yang boleh pakai.”

Aku tak sempat nak buat apa pun, mak mertua aku dah serbu dulu. Entah apa dia yang dia kalutkan sampai berkotak-kotak sampah katanya.

Yang anak-anak aku ni menurut je sebab tak mau jadi kurang ajar. Yang suami aku plak harapkan aku pergi sound mak dia. Aku dah la tengah migraine kronik masa tu, rasa nak pergi baring je. 

Bapak mertua dan adik-adik ipar aku ada situ, jadi aku pun secara automatik tak mau jadi penyebab family ni bergaduh semata-mata punca aku sound mak diorang ni kan.

Lepas mak mertua aku puas hati dengan cara susunan dia, dan lepas satu family ni balik ke rumah, baru la aku susun balik semua benda ni ikut kemahuan aku dan anak-anak aku.

Tapi masa ni takde siapa pun pergi belek kotak-kotak yang dikatakan sampah tu sebab sampai ke malam buta susun barang. Masing-masing penat. Terus tidur je.

Besok tu dah malam sikit, anak sulung aku nak siapkan lukisan untuk homework Isnin. Benda boleh tangguh kenapa nak siapkan awal.

Jadi tunggu last minute baru la dia cari balik barang-barang untuk melukis tu. Masa ni dia tak jumpa cardboard yang aku pinjamkan untuk dia dulu. Dia pun tanya kot la aku dah ambil balik sebab dah takde dalam bilik dia.

Aku cakap biar betul. Bukan senang aku cari cardboard jenis besar dan tahan lasak macam tu. Mana aku nak cari malam-malam buta ni.

Memang aku suruh dia lukis je la atas lantai tu, tapi sesiapa yang suka melukis akan faham susahnya nak melukis elok kalau tak beralas dengan cardboard.

Aku suruh dia ingat balik kali terakhir dia pakai benda tu. Dia cakap dia letakkan menegak di celah meja dan almari. Dia letak situ supaya kucing tak duduk situ. Dan masa ni aku teringat yang semalam mak mertua aku dah projekkan bilik ni.

Aku pun secara panik pergi bukak kotak-kotak yang mak mertua aku kata sampah tu. Dalam tu penuh dengan benda-benda yang dah terlipat, terkoyak sama ada disengajakan atau tak, dan salah satu yang berlipat tu adalah cardboard anak aku. 

Yang aku pelik tu, banyak betul tenaga mak mertua aku ni penyekkan cardboard tebal ni. Aku pun pergi bising ke anak aku ni, aku tanya kenapa tak halang nenek tu dari membuang sesuka hati.

Anak aku jawab yang dia tak tengok masa tu, dia tengah susun benda lain. Dia tak tau pulak nenek dia kacau kawasan yang takde kaitan dengan almari baru tu.

Jadi sekarang ni macam mana? Merata aku cari dalam bilik stor aku tu supaya anak aku ni siapkan lukisan dia.

Suami aku terdengar bising-bising ni, aku pun ceritakan la apa yang mak dia dah buat. Korang nak tau tak suami aku jawab apa? Dia gelak jer, “benda boleh beli baru, apa nak kecoh?”

Aku rasa nak lempang jugak tapi aku jawab balik, “abis tu Jimmy Choo aku yang terpenyek tu bila kau nak beli baru?” Terus dia melenting. Aku biarkan je. Penyudahnya anak aku siapkan lukisan atas lantai je.

Lepas suami aku selesai melenting secara solo tu, tiba-tiba dia cakap yang dia tak suka la cara aku selalu salahkan mak dia, macam apa pun yang mak dia buat semua tak kena. Habis tu aku nak salahkan siapa? 

Dan aku cakap balik kat suami aku yang dia ni tak faham sebab utama aku bising tadi,

“yang penting tanya dulu sebelum buang, bukan main buang je. Tanya dulu. Kita ni masih tuan rumah. Mana boleh pergi rumah orang lain dan susun sana sini ikut kehendak kita, bukan kita yang duduk situ.”

Dan bukan tanggungjawab aku untuk sound mak dia sebab dia yang nak sangat bagi kunci ke mak dia tu supaya senang untuk mak dia tengok-tengokkan rumah.

Jangan la muhibah sangat sampai aku nak pergi jamban pun risau kot tiba-tiba ada tetamu. Sampaikan aku takde privasi dan kebebasan untuk letak barang-barang dalam rumah ni ikut cara aku. Takkan kita nak bergaduh setiap hari pasal ni.

Aku memang faham mak mertua aku ni berniat baik, tapi salah tetap salah. Takkan aku nak salahkan kucing pulak. Kucing tak pandai mengemas dan bukak tong sampah untuk buang apa pun. Kucing hanya pandai membuang.

Namun aku rasa isu ni takkan selesai. Walaupun aku tahu benda ni akan berlanjutan, aku cukup lega dapat luahkan di sini. Ringan sikit beban dalam hati ni.

– Menantu Kepenatan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

5 Comments

  1. awal-awal tu memang silap betul suaminye bagi kunci spare kat family walaupun family sendiri. Takde privacy la anak bini. Terkejut beruk nanti tengok-tengok ada orang dalam rumah waktu berkemban ke ape ke? walaupun family sendiri ke atau mertua atau adik beradik sekali pun bila kite dah kahwin ni biarlah ada gap sikit.. banyak mende nak dijaga, aurat lagi dan lain-lain laaaa.

  2. kdg2 nila punca keretakan rmhtangga..klaw dh komunikasi dgn suami jd petengkaran..apetah lg komunikasi dgn mak metua sndr

    byg ank sulung dn ank kecik, bmakna tt mungkin ada ank 2 atau lebih. bmakna dah betahun2 lalui mslh ni, msti dh byk cara tt utk selesaikn kini hnye mampu meluah. sy hrp smoga trus tabah….

  3. Assalammualaikum. Apabila awak sudah stress memanjang seperti ini tapi tiada penyelesaian, awak perlu terus terang kepada suami awak bahawa ambil balik kunci pendua drpd ibu mertua awak. Walaupun dia berniat baik , tapi hak awak sebagai isteri dan tuan rumah perlu dihormati. Sepatutnya suami awak tu yang perlu sedar diri bahawa awak sendiri sudah stress dengan sikap ibunya. Dia yang perlu menjaga kehormatan serta aurat Isteri dan anak perempuannya , itu tanggungjawabnya. Hal ini jika berlanjutan, mungkin boleh membawa kemurungan kepada diri awak sendiri.
    Ibu mertua awak pula sudah melanggar batasan privasi anak menantunya. Dalam Islam sendiri ada batasan aurat sesama keluarga. Suami dan mak mertua awak perlu belajar cara menghormati hak isteri,Semoga dapat selesaikan masalah ini dengan baik.

  4. Assalammualaikum. Apabila awak sudah stress memanjang seperti ini tapi tiada penyelesaian, awak perlu terus terang kepada suami awak bahawa ambil balik kunci pendua drpd ibu mertua awak. Terangkan kepada suami bahawa awak sudah stress dengan sikap ibu mertua awak. Kalau berlanjutan hal ini akan memakan diri awak kerana tiada ketenangan dalam rumah sendiri.Walaupun dia berniat baik , tapi hak awak sebagai isteri dan tuan rumah perlu dihormati. Sepatutnya suami awak tu yang perlu sedar diri bahawa awak sendiri sudah stress dengan sikap ibunya. Dia yang perlu menjaga kehormatan serta aurat Isteri dan anak perempuannya , itu tanggungjawabnya. Hal ini jika berlanjutan, mungkin boleh membawa kemurungan kepada diri awak sendiri.
    Ibu mertua awak pula sudah melanggar batasan privasi anak menantunya. Dalam Islam sendiri ada batasan aurat sesama keluarga. Suami dan mak mertua awak perlu belajar cara menghormati hak isteri / menantu. Semoga awak dapat selesaikan masalah ini dengan baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *