Untuk part I, (https://iiumc.com/mak-tiri-baru-nak-up/).
Firstly, terima kasih kerana menyiarkan luahan hati aku berkenaan mak tiri aku tu. Ni sambungan kepada cerita aku tu.
Aku ada baca komen-komen pembaca untuk menghantar abah aku untuk berubat. Berkemungkinan disihir, atau dikenakan dengan ilmu penunduk.
Jadi cerita aku kali ini adalah berkaitan dengan usaha-usaha yang kami cuba buat setelah tak tahan lagi melihat tingkah laku mak tiri kami tu.
Aku rasa perlu untuk aku terangkan sikap dan perangai abah aku terlebih dahulu. Abah aku ni memang dikenali orang sebagai seorang yang tegas, pemarah, dan pembersih. Dia pantang tengok rumah bersepah. Pasti dia akan bising menyuruh kami cepat-cepat kemas rumah.
Malah kalau lantai berpasir sedikit pun, dia akan mencapai sendiri penyapu untuk menyapu ruangan itu. Pendek kata, abahku seorang yang mementingkan kebersihan dan sangat kemas orangnya.
Pada awal perkahwinan abahku dengan mak tiri kami tu, aku ada melihat dan mendengar abahku menegur mak tiriku. Mak tiriku walau dalam keadaan tak suka, waktu itu terpaksa menurut apa yang abahku suruh. Tapi lama-kelamaan, dia dilihat kembali memberontak.
Kadang dijelingnya atau dijegilnya abahku, atau dia akan buat-buat tak dengar sahaja bila abahku menyuruhnya melakukan sesuatu. Aku cuma perasan perubahan abahku menjadi semakin penurut selepas mak tiriku kerap balik ke kampungnya.
Oh ya, mak tiriku akan balik ke kampungnya seorang diri tanpa ditemani abahku. Banyak kali juga aku bertanya kenapa begitu tetapi abahku cuma menjawab dia malas nak berlama-lama di kampung mak tiriku.
Abahku merasakan bagai tetamu tak diundang dan segala-galanya hanya abahku sahaja yang mengeluarkan duit. Oleh itu, mak tiriku bebas apabila dia pulang ke kampungnya dan sengaja dia berlama-lama extend masa duduk di kampung dengan pelbagai alasan.
Alasan yang kerap diberikan adalah ahli keluarganya sakit, tapi gambar-gambar yang diupload adalah gambar dia pergi berhuha dengan kawan-kawan, try makanan hipster atau makan di restoran-restoran mahal.
Jadi memang sakit hati apabila melihat dia berjoli sakan, tapi meninggalkan abahku di rumah sedangkan abahku sememangnya memerlukan orang di sisi kerana tidak dapat berjalan dan melihat dengan jelas!
Abahku pada awalnya sihat sahaja, kalau dilihat pada perawakan dan tubuh badan, tampak lebih muda daripada usia sebenar.
Tetapi tak lama selepas itu, mata abahku tidak lagi boleh melihat dengan jelas, kakinya tak boleh berjalan tanpa bantuan tongkat dan semakin lama semakin uzur keadaan abah kami.
Mak tiri kami pada awalnya ada juga memasak tetapi dek kerana masakannya tidak kena di lidah abahku, abahku memilih untuk makan di luar sahaja. Agak pelik kerana pada mulanya abahku sendiri pernah merasa masakannya dan memuji.
Tetapi mak tiriku seolah-olah sengaja masak tak sedap supaya abahku tidak lagi menyuruhnya memasak. Aku sendiri pernah bercakap dengan abahku agar mak tiriku belajar memasak masakan kegemarannya denganku tetapi mak tiriku sendiri tidak menunjukkan effort nak belajar.
Lagilah dia senang hati tak perlu memasak langsung! Jadi bermulalah episod abahku hanya makan makanan di luar dan acapkali jugak aku melihat abahku makan makanan yang manis, berkolestrol tinggi, pedas sedangkan dia ada penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung.
Mak tiriku tidak menegah malah akan kerap membelikan makanan tersebut atas alasan abahku suka memakannya. Kami pula tidak selalu pulang ke kampung, jadi amatlah sukar untuk kami memantau keadaan abah kami.
Selepas itu, kami mula mendapati rumah kami di kampung sangat kotor sepertimana yang aku ceritakan pada permulaan cerita Mak Tiriku Baru Nak Up!
Kami sememangnya rasa sangat-sangat pelik dan takleh nak brain macam mana abahku tahan duduk dalam keadaan rumah berdebu, lantai melekit, penuh bersawang labah-labah, busuk kerana sampah dikumpul dan tidak dibuang!
Sekiranya kami tak balik selama 3 bulan, 3 bulan itulah rumah dalam keadaan busuk, berdebu, kotor dan penuh sampah! Tentang kucing-kucing tu, kami sekeluarga sememangnya sukakan kucing.
Tapi sejak mak tiriku wujud dalam hidup kami, kami jadi benci dengan kucing. Kenapa?
Sebab pagi-pagi instead of memasak hidangan untuk sarapan/membeli sarapan untuk abah aku, dia akan sengaja memilih masa itu untuk memandikan kucing, memberi makan kucing, bermain-main dengan kucing!
Pernah abahku mengajakku dan mak tiriku ke pasar untuk membeli bahan basah, tetapi dia hanya mengendahkan abahku dan memilih untuk memandikan kucing-kucing!
Masalahnya, mengikut pemerhatianku dia bukanlah pencinta kucing pun. Orang yang sukakan kucing tak memilih nak kucing yang cantik sahaja.
Mak tiriku hanya nak bela kucing yang cantik-cantik. Jika ada kucing yang sakit, dibiarkannya sahaja sehingga mati! Alasan kucing itulah yang sengaja dibuat-buat untuk mengelak daripada memasak atau melakukan kerja-kerja rumah..
Alasan yang sama juga akan digunakan setiapkali ada tetamu datang bertandang, semasa raya atau ketika adik-beradikku pulang ke kampung.
Kami masih bersabar, kerana kami boleh membeli dan memasak sendiri makanan untuk sarapan, lunch dan dinner kami.
Setiapkali kami balik, kamilah yang akan membersihkan rumah. Elok-elok kami membersihkan rumah, dengan sengaja dia akan melepaskan kucing-kucing dan membiarkan sahaja jika kucing-kucing tu berak kencing merata-rata.
Apabila aku menegur perbuatannya melepaskan kucing, mak tiriku akan merajuk dan mengadu kepada abahku. Abahku akan mempertahankan mak tiri kami tu dan disebabkan itulah adik-beradikku merasa sudah malas mahu mengambil tahu dan balik kampung.
Sekembalinya kami ke rumah masing-masing, rumah di kampung akan terbiar kotor seumpama rumah hantu!
Dek kerana perangai abah kami yang kelihatan semakin “bodoh” dan penurut, kami cuba untuk mengajaknya membuat rawatan alternatif.
Namun begitu, setiapkali mak tiri kami akan menggagalkan rancangan kami. Abah pula terlalu percayakan mak tiri kami. Mak tiri kami memberitahu yang kononnya abahku disihir oleh orang yang dengki dan día juga turut sama terkena tempiasnya.
Dek kerana disihir, día tak dapat mengangkat tangannya untuk membuat pekerjaan yang berat-berat. Aduh, alasan disihir pula menjadi alasan untuk tidak berbuat apa-apa! Masalahnya bila día nak shopping, berjalan ke sana-sini, berjoli sihat-walafiat je!
Kuat pulak tangannya mengangkat barang-barang yang dibeli. Tak penat pulak keluar seharian untuk shopping!
Apabila kami memberitahu abah supaya mendapatkan rawatan dengan ustaz sekian-sekian, mak tiriku akan masuk campur dan memberitahu bahawa día ada kawan/ustazah yang boleh mengubati abah.
Di luar pengetahuan kami, rupanya mak tiri kami telah meminta abahku membayar RM1500 sebagai duit pengeras dan kononnya ustazah tersebut sudah biasa melakukan kerja-kerja mengubati orang yang terkena sihir.
Ustazah tersebut dengan sekumpulan anak muridnya pergi bertapa di Gunung Jerai dan bekerja secara sekumpulan. Bukan itu sahaja, kononnya ustazah tersebut meminta beberapa barang untuk memagar rumah kami seperti pasir pantai, garam kasar, lada hitam.
Tapi pelik sangat caranya, antaranya memagar rumah dengan pasir pantai dan melempar pasir ke atap rumah (sekiranya ada pembaca yang tahu pasal perubatan islam cara ni, sila komen ye).
Rawatan ustazah tersebut perlu dibuat beberapa kali kerana kononnya orang yang menyihir abahku akan menghantar santau angin lagi dan lagi! Rasanya abahku dah membayar beberapa kali dan akhirnya abahku tidak mahu lagi meneruskan rawatan dengan ustazah tersebut.
Rumah kami yang dahulunya aman, kini dikatakan ada hantu raya, jin-jin yang menghuni. Rumah terasa berbahang panasnya, even kucing kami pun takut nak duduk sendirian di dapur atau di ruang tamu.
Memang sangat-sangat pelik kerana dari zaman arwah mak kami lagi, takde pulak gangguan seperti yang dialami sekarang.
Bukan kami tak usaha dengan membaca yassin, sembahyang hajat dan sebagainya, tapi disebabkan faktor kami tinggal jauh dan sudah mempunyai komitmen keluarga yang lain…
agak sukar untuk melakukannya secara berterusan. Ustaz yang dipanggil untuk menengokkan keadaan rumah kami semuanya atas recommendation mak tiri yang kemudiannya kami dapati adalah scammers.
Apabila ada di kalangan adik-beradikku secara terangan memberitahu abah tentang kekhuatiran kami yang abah telah dikenakan sihir oleh mak tiri kami, abah memberitahu mahu pergi berubat.
Tetapi seperti biasa, mak tiri kami seolah-olah tahu rancangan kami dan mula bermain drama air mata. Mak tiri kami mengatakan dirinya difitnah, dan menghasut abah mengatakan anak-anak tak suka padanya.
Akhirnya abah mengalah dan disebabkan itu, hubungan abah dengan adik-beradikku semakin renggang. Aku percaya bahawa mak tiriku sememangnya mahukan abah renggang dengan anak-anak supaya día boleh control abah.
Sekiranya ada di kalangan pembaca mempunyai sebarang recommendation untuk mengubati abah, kami harap dapat ditulis di bahagian komen.
Agak sukar untuk kami masuk campur apabila abah sendiri sudah bertindak mengunci, menukar pintu rumah dan tidak membalas panggilan kami.
Kami juga tidak tahu yang mana satu ustaz yang betul-betul dapat scan dan memberitahu sama ada benar atau tidak abah kami disihir.
Kami juga tidak mahu secara melulu menuduh mak tiri walaupun keadaan di sekeliling seakan mengiakan – rumah dibiarkan kotor, mak tiri tak suka sekiranya rumah dibersihkan, menghalang usaha kami untuk membawa abah pergi ke Darul Syifa’.
Kami benar-benar berharap agar hubungan kami anak-beranak boleh kembali erat seperti dahulu dan abah dapat menikmati hari-hari tuanya dengan aman bahagia. Harap ada di kalangan pembaca yang dapat membantu, terima kasih.
– Pemendam Rasa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit