Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca page IIUM Confession. Moga kita sentiasa dalam redha Allah dan dirahmati sentiasa.
Secara ringkas, saya merupakan isteri perkahwinan kali kedua suami. berumur hampir memasuki angka 30an. Tahun ini tahun ketiga bersama suami, dan kami belum dikurniakan anak.
Sebelum ini, anak-anak tinggal bersama mak mereka. Selepas mak mereka bernikah, anak-anak bersama kami. Anak tiri saya ada tiga orang, yang pertama along; lelaki, tahun lepas SPM, tak sambung mana-mana, duduk rumah. Yang kedua; angah, seorang perempuan, tingkatan satu dan yang ketiga; usu, sekarang ni tadika.
Suami saya seorang pegawai perubatan, sudah semestinya hidupnya sentiasa sibuk dengan kerja. Saya pula merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa.
Saya ingin kongsikan beberapa situasi yang perlu saya lalui sebagai mak tiri, dan bukan niat untuk memburukkan sesiapa, cuma berharap anda, dan juga yang mungkin melalui situasi seperti saya, sama-sama mengambil iktibar dan harap akan sama-sama berubah untuk menjaga hubungan. Usah disebabkan sikap kita yang suka memandang dari sudut negatif tanpa ada usaha untuk memperbaikinya merosakkan hubungan sesama kita, apatah lagi kita ni sebagai orang Islam.
Seperti yang saya sedia maklum awal tadi, anak-anak tiri saya sudah di tahap yang sepatutnya tahu erti tanggungjawab, terutama sebagai anak kecuali yang bongsu. Saya, sebagai suri rumah tangga sepenuh masa sudah tentu banyak menghabiskan masa di rumah, berkemas dan sebagainya.
Alhamdulillah, dengan izin Allah dapatlah kami sekeluarga duduk menetap di rumah banglo. Dan bayangkan, rumah sebesar itu, tanpa ada maid, saya yang akan bersihkan. Bukan suami tak pernah offer untuk upah maid, tapi saya tolak sebab kurang percaya pada maid zaman sekarang, dan saya juga terlalu risau maruah maid tersebut tidak akan terjaga. Hanya disebabkan kepentingan saya, risau ada gadis atau wanita yang akan tercalar maruahnya. (Harap dapat faham sendiri)
Walaupun dulu ayah saya menyediakn maid untuk kami sekeluarga, tetapi mak seorang yang sangat tegas dan pastikan anak-anak pandai buat kerja.
Pada mulanya saya tak kisah, saya buat kerja seperti biasa, membersih dan mengemas rumah, membasuh tandas, bersihkan halaman rumah.
Tetapi sejak anak-anak tinggal bersama kami hampir 5bulan, saya jadi manusia yang mudah naik marah, mudah mengamuk dan juga pernah dikatakan kurang betul a.k.a meroyan. Dan tahu sebab apa?
Sebab anak-anak tiri yang pemalas. Bukan pemalas tahap biasa, tetapi tahap luar biasa.
Ketika itu, saya bersihkan rumah di tingkat bawah, meja di ruang tamu perlu dialihkan supaya dapat dibersihkan di bahagian bawah. Hanya saya seorang saja yang alihkan sofa, alihkan meja walaupun ketika itu along dan angah ada sekali kat ruang tamu. Tahu ketika itu mereka buat apa? Goyang kaki sambil tengok tv. Dari awal pagi saya dah mula aktiviti kemaskan rumah, mereka bangun ketika matahari dah naik, lepas makan pinggan letak kat sinki tak basuh, lepas tu duduk depan tv.
Ketika itu, saya tahan kemarahan saya. Malam itu juga saya dimasukkan ke hospital sebab darah tinggi. Stress dan letih.
Pagi esok, saya minta izin untuk balik dan rehat kat rumah. Tengah hari angah ketuk bilik tahu untuk apa? Suruh masak dan kemas rumah. Walhal sampai rumah, sebelum naik bilik nak rehat, saya dah masak nasi siap-siap, dengan harapan mereka akan goreng telur atau sosej atau nuget sendiri. Sebab masa tu hanya itu je lauk yang ada. Takkan dah tua bangka seperti itu, tak reti goreng telur juga?
Bukan itu sahaja. Pernah satu masa, migrain saya datang. Sebelum makan ubat, saya masak nasi siap-siap. Lepas makan ubat, dari tengah hari sampai ke petang saya tertidur. Sebaik saja terjaga, saya turun ke bawah tengok pinggan mangkuk gelas dah berlonggok. Dengan keadaan yang kurang sihat, hati saya mendidih. Tengok rumah dah sunyi. Rupanya dah lari dulu ke rumah jiran. Disebabkan saya dah terlalu stress saya ambil pinggan kotor saya lemparkan ke dinding. Bukan sekali saya pesan, siap tulis nota lagi lekat kat tingkap sinki tu. Bila angah balik dan ternampak pinggan pecah bersepah, dia mengadu kat along. Along apa lagi, nak tunjuk hero, datang ke bilik (masa tu saya dah naik kat bilik) sepak pintu bilik, dan cakap saya ni tak guna.
Dia cakap saya ni tak guna, menyusahkan. Saya terima saya dikatakan gila, tapi pernah tak fikir tentang punca saya naik gila?
Yang Angah, saya kurang sikit stress tentang dia. Kadang-kadang saya terlepas juga kemarahan, sebab sikap yang suka bersenang-lenang dan pemalas. Nak kena suruh baru nak gerak. Mak dia pun pernah cakap kat saya tentang sikap angah tu.
Yang si usu pula, yang ni saya bajet tegas je. Lagi pun dia kecil lagi, selalu buat teman bermain dan menjadi pemujuk jiwa saya. Dialah yang rajin tolong. Cuma kadang, bila terlalu bagi muka dia naik lemak, jadi kena tegas dan pada masa yang sama kena tunjuk kasih sayang juga.
Saya banyak tertekan dengan yang sulung, si along. Yang along ni sangat bijak bercakap, sehingga boleh buat kita percaya. Tapi bila dah tahu sikap sebenar, dari 10 yang dia bagitahu, tiada satu pun yang boleh percaya. Pandai komplen itu ini, terutama bab masakan. Tapi hampeh, tak pernah pula nampak dia masak. Tahap pemalasnya ya Rabbi, terlalu pemalas. Kadang je dia rajin, tu pun dia rajin bercakap je. Tindakan hampeh.
Along ni jenis merokok. Saya tak halang asalkan dia jangan merokok depan saya sebab saya ada lelah. Dan yang buat saya naik angin ialah, puntung rokok buang kat dalam mangkuk tandas. Lepas tu bila dia flush puntung tu tak nak tenggelam, boleh pula dia biarkan macam tu je. Saya lah yang terpaksa korbankan tangan saya masukkan dalam mangkuk tandas tu dan kutip satu persatu puntung rokok tu. Dah lah tandas tu tandas untuk tetamu. Bukan itu saja, abu rokok pun dibuang merata. Bayangkan, bila saya nak menyapu atau vacum rumah, jumpa lah abu rokok kat celah-celah tu. Bab kasut sendiri tak letak elok-elok biarpun kasut yang lain saya dah susun kemas, lepas tu barang letak merata. Bila ditegur, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tak sempat nak lekat kat otak. Kadang pandai pula menjawab, “tak payahlah ulang-ulang lagi”. Saya pun sebenarnya tak teringin nak ulang berkali-kali kalau dia pun jenis faham dan tak ulang berkali-kali perbuatan yang dah ditegur tu.
Yang ini berkenaan sampah di rumah pula. Bila minta tolong dengan along, tunggu lah sejam ke dua jam ataupun takkan tolong dibuangnya langsung. Dah nampak saya angkut plastik sampah, dia masih akan tetap baring kat sofa sambil tengok tv. takde rasa serba salah langsung.
Kadang bila dia masuk ke dapur dan nampak tong sampah dah penuh, dia boleh pula letak sampah dia atas tong sampah tu, (tong sampah di dapur jenis yang tertutup). Lepas tu pandai pula komplen rumah busuk sebab sampah tak buang. Aduhai…
Belum masuk bab bilik bersepah dan bau rokok serta hapak. Disebabkan saya seminggu sekali akan bersihkan bilik tetamu yang kosong, kadang saya akan tolong bersihkan sebab rasa kasihan pula memikirkan dia tidur dalam bilik yang tunggang langgang. Ingat bila dah tolong kemas, siap sediakan hanger supaya dia tak payah nak lipat baju bagai, tapi seminggu kemudian, bersepah kembali.
Beberapa bulan yang lepas, saya perlu ke luar negeri selama beberapa hari sebab perlu menghadiri kursus. Sebelum bertolak, selama beberapa hari saya akan tidur lambat dan bangun awal untuk membuat persiapan dan memastikan saya tinggalkan suami dalam keadaan keperluannga dipenuhi. Disebabkan itu, semasa kursus berlangsung saya jatuh sakit, dan doktor kata saya terlalu letih. Oleh itu, saya berharap sebaik sahaja selesai kursus, saya nak berehat sebaik saja sampai ke rumah. Sehari cukuplah. Tetapi tuan-tuan dan puan-puan tahu, sampai sahaja ke rumah, tengok kat sinki berlonggok mangkuk bekas maggi, cawan, pinggan kotor. Masa tu saya terfikir, selama lima hari, takkan along langsung tak nak tolong basuh meskipun itu bekas pinggan yang dia gunakan? Nak harapkan siapa untuk basuh? Dia bukannya bekerja, dan ayahnya pula jenis sibuk. Sedangkan hanya mereka berdua saja di rumah tu memandangkan sepanjang saya kursus, Angah dan usu dihantar ke rumah mak kandung mereka.
Saya memang naik hantu. Mulut tak habis-habis membebel. Dalam penat-penat pun saya tiada pilihan selain untuk tetap basuh.
Bayangkan, jika saya pun dah boleh rasa sebegitu, bagaimana pula dengan mak kandung mereka? Dah lah mak mereka tu sakiy lutut, ada lelah pula tu. Takkan mereka langsung tak rasa simpati. Buat mak kandung macam maid. Sebab itu, buat masa sekarang saya cuba untuk bertahan dan biar mereka tinggal bersama kami sebab kasihankan mak kandung mereka. Dan mohon doakan saya untuk terus kuat.
Perihal suami, saya sebolehnya nak apabila dia balik ke rumah, dia duduk dan rehat saja. Bekerja berhadapan dengan ragam pelbagai orang ramai ini sangat memenatkan mental dan fizikal. Sedangkan mental saya pun tewas berhadapan dengan seorang saja, apatah lagi dia.
Tujuan saya menghantar Confession ni bukan saja-saja. Tetapi saya tergerak hati selepas membaca confession adik Mariumm.
Pesan akak yang juga merupakan seorang mak tiri, bukan hanya untuk adik Mariumm, tapi untuk semua yang bergelar anak, jangan terlalu mudah memberi penilaian terhadap mak tiri adik. Sebab dari penulisan adik, akak dapat agak yang adik jarang duduk rumah sebab masih belajar. Jadi adik tak tahu apa yang mak tiri adik lalui. Apa salahnya, adik cuba duduk berbual dan cuba bertanya sebab apa mak tiri adik bersikap demikian. Cuba untuk berbincang dari hati ke hati. Jika segan, apa kata bila adik duduk rumah, ringankan tulang untuk membantu mak tiri adik.
Akak harap, sikap adik tidak seperti along, yang hanya suka memerhati dan menilai, tetapi berat punggung untuk membantu membuat kerja rumah. Tak payah mak tiri nak bagitahu semua, faham-fahamlah tanggungjawab sebagai anak. Hormati dia meskipun bukan mak kandung. Percayalah, jika adik rajin membantu, mana tahu akhirnya jadi kamceng pergi travel sama-sama. Sama-sama bertolak ansur.
Dan ingat, bukan hanya mak tiri, tapi jangan sesekali buat mak kandung macam maid. Rajin-rajinkanlah membantu mereka.
Jujur, saya tak bencikan anak-anak tiri saya, cuma kecewa dengan sikap mereka. Mereka sebenarnya baik, mungkin cuma agak lalai tentang tanggungjawab mereka. insyaAllah doa saya moga mereka akan berubah satu hari nanti.
Sama-sama memperbaiki diri. Usah disebabkan keegoan dan mementingkan diri, kita nak biarkan hubungan kita putus macam itu sahaja.
Buat komentar, ‘jahat’ atau ‘baik’ bukan terletak pada pangkat mak tiri atau sebaliknya, tetapi terletak pada attitude kita sendiri.
Mohon maaf jika terkasar bahasa. Maafkan juga jika tulisan agak tunggang langgang.
Moga kita sentiasa jadi hamba yang Allah redha.
Wassalam.
– Mak Tiri yang Jahat
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit