Sejak hela nafas pertamaku, aku punya seorang mak yang istimewa… istimewa kerana jiwa dan fikirannya tidak seperti insan lain. Aku tidak pernah tahu bagaimana rasanya membesar dengan seorang mak yang “normal”.
Aku belum menemukan jawapan tentang di mana titik permulaan yang sebenar mak jadi begitu. Kata orang, dulu mak seorang gadis pendiam yang cemerlang di sekolah. Solat tak pernah tinggal, puasa sunat selalu dijaga, tekun mengaji dan lembut tutur katanya.
Mak pernah melibatkan diri dalam persatuan agama yang tersohor pada zamannya. Atuk sering bersuara melihat mak terlalu sibuk dengan persatuan.
Selepas pulang dari satu kursus persatuan di luar negeri selama seminggu, hidup mak perlahan-lahan berubah. Mak kerap termenung. Tidak lama kemudian, keluarga abah datang meminang. Beberapa bulan selepas berkahwin, takdir seakan menarik mak masuk ke lorong hidup yang asing dan kelam.
Entah beban apa yang menjerut. Mak kehilangan waras yang pernah menjadi miliknya, terperangkap di antara realiti dan bayangan. Mak mula marah-marah, ketawa dan bercakap sendiri, merosakkan barang, membuang segala dokumen… malah pernah mengangkat tangan kepada abah.
Abah tetap bertahan meniti hidup bersama mak… sampai mak melahirkan empat cahaya mata… dua lelaki, dua perempuan. Abah bukan sekadar pencari rezeki, malah berusaha mengurus keperluan harian keluarga… memasak, membasuh dan segala urusan… mengikut kesempatannya.
Di lipatan kewarasan yang kabur itu, ada kasih yang muncul seperti angin lalu. Sesekali mak akan memasak dengan cara yang pelik dan aneh. Nasi manis bergula dihidang di depan mata. Namun bagiku, itulah hidangan paling lazat kerana dimasak oleh tangannya.
Disulami pula dengan air rebusan rumput jarum mas, aromanya harum seperti sajian teh herba. Ikan goreng dengan kicap terasa seperti jamuan mewah. Ada juga hari di mana perutku berkeroncong kerana tiada hidangan, lalu aku mengunyah ikan bilis mentah.
Begitulah air tangan mak, ada kurang ada lebihnya. Kadang tak termampu ku telan, namun di setiap suapan terselit resepi kasih yang sukar dirungkai. Sehinggalah kakak mula pandai memasak, membawa harapan dan aroma yang membangkitkan selera secukup rasa.
Aku, tidak pula mengambil alih tugas itu… bimbang andai ahli keluarga berpindah terus ke alam di sebalik mata. Hanya menjadi pembantu setia di celah dapur.
Mak gemar membina “projek Megah Holding” versinya sendiri dengan imaginasi yang tidak terbatas. Mak membocorkan saluran paip luar rumah untuk membina kolam. Mungkin mak menyukai suasana gemericik air dan keindahan alam.
Abang-abang mencari ikan-ikan kecil hidup, lalu dilepaskan ke dalam kolam buatan mak. Kami adik-beradik riang bermain, memelihara ikan-ikan itu bersama. Halaman rumah mak sentiasa subur. Ubi, keledek, betik, serai, pandan… semuanya tumbuh segar di bawah sentuhan tangannya.
Ada juga fantasi kraftangan kreatif mak… menganyam bakul dan topi daripada daun kelapa dan rumput yang direndam berbulan-bulan, hingga mengeluarkan bau menusuk hidung.
Anyamannya tidak terlalu sempurna, namun terserlah keindahan seni di bawah khayalan mak. Rumah bersepah seperti kapal karam. Penuh dengan bahan-bahan projek. Penat itu ada…penat yang tak terungkap.
Mak pernah menjadi “pegawai bank”. Melukis duit kertas lengkap dengan wajah Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia. Walau lukisan senyuman itu senget dan tengkolok sedikit condong, ia tetap bermakna buat mak. Satu rumah berselerak dengan helaian-helaian “wang” ciptaannya.
Kemudian datang pula idea fantasi mak, projek membina rumah katanya. Habis surat khabar dan buku-buku direndam berhari-hari untuk dijadikan sebagai simen.
Di ambang kewarasan, mak leka menukang membuat rumah burung merpati. Kuat kudrat mak menyiapkannya. Mungkin mak berfantasi ingin bebas terbang seperti burung.
Ada hari, mak gunakan kain langsir, dijahitkan jadi sepasang baju. Jahitan mak kemas dan halus. Pelbagai lagi projek mak yang tak dapat digambarkan oleh akal fikiran yang waras. Ada masanya aku rasa kelakar, ada masanya rasa lelah dengan imaginasi mak yang tidak berkesudahan.
Tetamu jarang datang. Bila jiwa mak kacau, pelbagai cara dihalakan buat menjauhkan mereka… hanger, kayu, malah paling seram acah-acukan dengan pisau.
Ada juga kenalan yang tidak tahu keadaan mak, mahu bertandang beraya atau sekadar berkunjung. Aku hanya terdiam… mencari alasan yang tak sampai hati untuk dilafazkan. Ada yang perlahan-lahan menjauh, ada yang mengata, dan ada juga yang tetap setia.
Fikiran mak berombak… pasang dan surutnya sukar dijangka. Pernah suatu masa, mak mengambil pasu bunga jiran, lalu disusunnya di halaman rumah. Ada juga ketika, entah kerana apa hatinya terusik, mak melempar sesuatu hingga pecah tingkap jiran.
Ada pula satu peristiwa, ketika aku masih di tadika… mak muncul tiba-tiba di sekolah abang dan kakak, lagaknya seperti seorang guru. Warga sekolah terpinga-pinga. Biru muka abang dan kakak menahan malu.
Ada kala, mak akan hilang dari rumah tanpa pesan. Kami akan mencarinya… di rumah jiran, di lorong sunyi atau di tempat yang tidak terjangka. Biasanya akan ada orang datang ke rumah memberi salam, memberitahu lokasi mak berada.
Jantung selalu berdegup kencang mendengar salam itu, sudah tahu maksudnya. Apabila mak pulang, abah akan tegur dan menasihati…tapi entahlah mana mungkin mak akan mengerti. Kejadian ini seolah sudah menjadi kebiasaan. Lelah terpendam dalam sudut hati paling dalam.
Abah membesarkan kami dengan sabar yang jarang dimiliki manusia biasa. Namun di sebalik sabar itu, ada jiwa-jiwa kecil yang sepi dengan kasih sayang seorang ibu. Berkecamuk seperti halilintar di dalam dada.
Sejak kecil, aku terbiasa melihat mak hidup di dunia yang berbeza. Sesungguhnya jiwa aku tersentuh mendengar cerita kawan-kawan tentang ibu mereka, terharu melihat keakraban yang terjalin antara ibu dan anak.
Tetapi ada juga saat mak kembali tenang. Duduk di beranda, memandang langit biru, lalu memanggil aku ke sisinya. Jarang, boleh di kira dengan jari… tetapi aku simpan detik itu dalam hati seperti pelangi selepas hujan… indah, namun cepat menghilang.
Orang sekeliling ada yang memandang sinis, ada yang bersimpati. Ada suara nakal, menggelarkan aku anak orang gila. Ada juga yang persoalkan kenapa tak hantar mak ke hospital sakit jiwa? Aku tiada jawapan.
Abah tidak pernah membawa mak ke hospital, hanya berubat dengan ustaz dan bomoh. Ada yang berpendapat, tidak perlu hantar hospital, rawat saja secara tradisional. Tetapi mak tetap begitu.
Aku membesar dengan hati yang belajar untuk menerima…bahawa inilah mak yang aku ada. Mak yang tidak sama seperti mak orang lain. Waktu pantas berlalu. Mak masih dalam dunianya sehingga Abah pergi menghadap Ilahi.
Ketika itu usiaku menginjak dewasa. Abang-abang dan kakak sudah berumah tangga. Kakak ipar tidak sanggup menghadap perangai mak. Memang benar, tidak semua orang mampu. Kata orang, melayan insan yang jiwanya hilang bagaikan jiwa sendiri turut pergi.
Akhirnya, kami nekad membawa mak ke hospital, walau prosesnya agak sukar kerana emosi dan akal fikiran mak yang tidak stabil.
Doktor hanya menggeleng perlahan, “Dah terlalu lama…susah nak pulih.” Matanya menatap aku penuh tanda tanya, “Kenapa tak dari dulu? Kenapa baru hari ini bawa mak jumpa doktor? Apa yang istimewanya hari ini? Kenapa bukan semalam, tak pun esok?”
Suara itu menusuk sanubari, menyoal tanpa henti, mencari makna yang aku sendiri belum mengerti. Aku terdiam. Hati kosong, sepi menyelinap masuk tanpa suara, tanpa mampu aku menjawab segala persoalan itu. Hanya relung hati aku yang menjerit. Ya, kenapa?!
Jika tidak hari ini, mungkin minggu depan… Jika tidak minggu ini, mungkin bulan depan… jika tidak bulan ini, mungkin tahun depan… segala harapan kan datang… yang kita impikan… betul, itu lirik lagu.
Mak ditahan di wad psikiatri. Ketika itu, abang menerima mesej daripada nombor yang tidak dikenali, “Dasar anak Tanggang. Biarkan mak sendiri di hospital.” Kami tidak tahu siapa pengirimnya. Yang kami tahu, hati kami sudah lama berat menanggung semuanya.
Tidak mengapalah, biarlah mak diserahkan sejenak kepada mereka yang pakar, walaupun ada yang ragu pada rawatan sains. Bukankah ilmu perubatan itu luas… segala ilmu dan ilham adalah anugerah Allah. Pengubat jiwa dan penawar resah yang lama terpendam.
Kini, mak tinggal bersamaku di samping suami dan anak-anakku. Ada masa, adik-beradik akan menjenguk mak. Setiap bulan, mak perlu ke hospital untuk rawatan susulan dan mengambil ubat penenang. Keadaan mak tampak diam dan sunyi.
Ada juga aku ajak berbual dengan mak… tapi perbualannya, separuh hanyut ke dimensi lain… mak kata mahu bekerja di Holland. Jauh citarasa mak sampai ke luar negara. Antara mahu ketawa atau sayu mendengarnya dan aku menatapnya lama-lama, mencari wajah mak yang sebenar.
Mungkin siapakah mak jika takdirnya tidak begini? Tapi aku tidak dapat menolak takdir yang Allah tetapkan. Betapa panjang dan berliku perjalanan hidup seorang wanita sepertinya.
Mungkin banyak yang sudah mak lupakan, tetapi bagiku… mak tetap wanita yang melahirkan aku. Tetap wanita yang pernah memeluk aku. walau pelukan itu tidak selalu hadir.
Kadang lama aku merenung wajah mak ketika lena… wajahnya berkedut, rambutnya memutih, nafasnya perlahan… dan aku tertanya-tanya, adakah dalam mimpinya mak kembali menjadi gadis yang cemerlang di sekolah, rajin beribadah, yang lembut tutur katanya?
Meski mak tidak pernah pulang seperti yang dulu… aku tetap di sini, menunggu disisinya… dengan kasih yang tak pernah berpaling.
– Waris Bongsu Mak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit