Makan Hati Berulam Jantung

Dulu aku hidup bahagia, gembira dengan suami dan anak, walaupun mertua (ibu mertua) tak berapa suka dekat aku, aku tetap layan dia baik. Sebab suami aku selalu pesan, besar pahala jaga orang tua ni.

Jadi aku anggap ni semua ujian aku. Sebab kami yang menjaga dan tinggal dengan mertua. Tapi apa yang orang lain nampak, aku ni menantu pemalas, degil dan tak hormat orang.

Dalam pada kegembiraan aku satu keluarga tu, tiba-tiba suami terlibat dalam kemalangan jalan raya dan merubah hidup aku dan anak2.

Selama dia di ICU dan wad harian, aku tak pernah tinggalkan dia. Anak2 minta tolong mak jaga dirumah. Suami aku mengalami severe head injury erti kata lain pendarahan dikepala dan dia dalam keadaan koma.

Waktu tu aku cuti lama untuk menjaga suami dirumah, alhamdulillah aku dapat boss yang sangat memahami keadaan aku. Aku bersyukur dikelilingi keluarga , kawan kawan dan kenalan yang baik-baik.

Selepas beberapa bulan di rumah, suami aku menghadapi beberapa komplikasi yang memerlukan dia untuk duduk dihospital. Seminggu sekali sahaja boleh datang melawat, dan setiap kali tu lah aku ambil cuti dan bawa anak2 aku dan keluarga untuk melawat suami.

Keluarga sebelah suami memang jarang sekali datang termasuk ibu dia. Seolah olah mereka dah serah bulat-bulat tanggungjawab tu dibahu aku.

Tidak dinafikan ada seorang dua abang dia yang menghulur duit untuk anak-anak aku, dan ada yang langsung tak hulur duit. Bagi aku tidak mengapa sebab aku masih boleh bekerja dan mampu untuk menyara anak-anak .

Waktu tu gaji suami pun alhamdulillah, masih berjalan dan cukup untuk kami anak beranak. Paling aku tak jangka, mertua aku, ya memang luarannya dia nampak baik, alim, rajin solat, mengaji dan selalu mengikuti kelas-kelas agama. Tapi yang selalu dia tanya adalah duit.

Memang aku terkejut yelah, anak dia tengah terlantar sakit, tapi duit yang dia persoalkan. Bukan sekali dua, tapi banyak kali dan setiap kali aku pulang ke rumah mertua, dia akan selalu persoalkan pakaian aku, barang kemas aku.

Dia tak tanya khabar anak-anak aku yang dia selalu tanya, Baju baru ke? Seluar baru ke? Tudung baru ke? Gelang baru ke? Cincin baru ke? dan macam-macam lagi.

Ikutkan hati, aku memang nak marah, tapi aku masih boleh bersabar lagi sebab aku selalu ingat pesan suami aku. Adakalanya aku memang makan hati dengan sikap mertua aku.

Mungkin dia takut duit anak lelaki dia habis dekat aku dan anak-anak. Setiap apa yang aku beli, aku tak usik gaji suami sebab gaji dia aku belikan keperluan dia dihospital.

Setiap pembayaran bil hospital dan lain-lain memang aku pakai duit suami sebab dia pernah beritahu kalau apa-apa terjadi pakai je duit dia.

Waktu ni memang aku terasa kehilangan, patah sebelah sayap yang selama ni tolong aku buat semua benda. Aku redha dengan apa yang jadi pada suami aku.

Tapi tu lah, dalam aku sibuk kan diri bekerja dan melawat suami seminggu sekali. Aku dengar cerita yang tak best pasal diri aku.

Orang sampaikan dekat aku, yang dia dengar aku selalu tak pulang rumah mertua. Kalau ikutkan, setiap minggu aku balik sana bawa anak-anak aku sekali.

Tapi makin lama, makin dengar cerita yang aku pun taknak dengar. Lama aku bertahan. Aku kuat demi suami dan anak-anak.

Setiap kali balik, tanya pasal duit. Itu jelah yang ditanya..khabar anak yang sakit dan cucu-cucu langsung tak ditanya.

Aku terkilan sangat sebab dulu waktu suami aku sihat dia jaga ibu nya bagai menatang minyak yang penuh. Batuk sikit pun dihantar ke klinik atau dibelikan ubat.

Kitorang nak pergi bercuti memang susah lah, sebab dia berat hati nak tinggalkan ibunya dan mertua pon taknak ikut. So memang tersepitlah kitorang nak pergi bercuti.

Dulu waktu aku mengandung anak pertama, mertua saja melagakan aku dan suami. Dia pernah bagitahu aku, yang suami aku cakap aku masak tak sedap. Aku terkejut, sebab aku selalu pesan dekat suami kalau ada ape ape yang kurang bagitahu je.

Aku dan suami tak pernah selindung apa apa hal. Bila aku dengar, memang aku makan hati tapi bial duduk berdua. Aku tanya suami aku, betul ke aku masak tak sedap?

Suami jawab, “ok je semua, kalau ade kurang, saya bagitahu macam sebelum ni” dan aku pun bagitahu dia yang mak dia bagitahu aku yang dia cakap begini2. Dia cakap “eh takdela, sayang tak pernah cakap camtu, takpe sabar lah ye.

Dari awal aku berkahwin, aku selalu minta mertua ajar aku resepi memasak cara dia, tapi apa yang dia cakap hanya lah “ibu tak tahu lah ajar2 orang ni” ok lah, habis dekat sini.

Selang beberapa minggu, biras aku balik tanya pasal resepi dan cara memasak. Dari a-z mertua ajar.

Yes, memang aku kerja biasa-biasa, gaji tak tinggi, setiap bulan tak bagi duit belanja berkepok-kepok dekat dia, tak macam menantu lain yang bagi banyak2. Aku cuma banyak kan berdoa supaya mertua aku ni dilembutkan hati nya untuk terima aku dan anak2.

Rupanya memang dah tertulis ujian aku begini. Mertua aku mula minta motor suami aku atas alasan dia mimpi motor anak dia, dia rindu dekat motor tu. Dengan tanpa banyak soalan, aku pulang balik motor tu dekat mertua.

Selang beberapa bulan, kereta pulak yang ditanya dengan alasan yang sama, rindu nak naik. Bukan aku tak bagi naik, tapi tiap kali aku ajak, dia yang tak nak.

Walaupun suami aku belum meninggal tapi terasa macam dia dah takde sebab segala barang yang aku beli untuk suami, dan suami beli untuk dia dah dipakai orang lain.

Tak mengapa, aku anggap tu semua amal jariah..

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun aku masih menunggu suami aku untuk sedar kembali sebab dia lah antara salah seorang sumber kekuatan aku. Walau masih dihospital, aku tetap sentiasa datang melawat pada waktu nya.

Keluarga dia? Malas lah aku nak cerita panjang-panjang yang penting, dalam setahun tu adalah 2, 3 kali melawat senang kata tak lebih 5kali lah. Sedih tak agak2 bila korang jadi suami aku? Hari berganti hari, keadaan suami aku semakin merosot.

Berapa kali dah dia menghadapi waktu kritikal. Aku berdoa , bertawakal dan redha untuk segala apa kemungkinan. Aku harap suami aku tahu yang aku sentiasa ada dengan dia.

Setiap kali melawat, aku tak pernah lupa untuk bagi sokongan dan kata-kata semangat untuk dia. Anak2 aku selalu menyanyi dan menghiburkan ayahnya walau pun tiada respon. Kami bahagia cara kami.

Beberapa bulan lepas tu, doktor call beritahu keadaan suami aku semakin tenat, tunggu masa je untuk pergi tinggalkan aku dan anak-anak.

Waktu ni aku sedih, tapi aku redha melepaskannya. Aku pun tak sanggup tengok dia terseksa terlantar bertahun-tahun macam tu. Semoga Allah ambil segala penyakitnya dan diampunkan segala dosa-dosanya.

Empat hari berperang dengan perasaan sendiri, ulang alik hospital dengan keadaan suami nazak akhirnya suamiku tersayang menghadap Ilahi. Berehatlah dengan tenang suamiku.

Macam biasa, segala urusan aku lah yang uruskan. Jenazah dibawa pulang ke kampung dia.

Segala kos pembayaran, memang aku lah yang tanggung sebab sehari dua lepas jenazah suami selamat dikebumikan, mertua hantar resit jumlah yang perlu dibayar. Tanpa banyak bunyi, aku bayar jelah.

Segala duit-duit sumbangan orang bagi semasa arwah meninggal memang 1 sen pun aku tak dapat. Aku tak tau lah duit tu digunakan untuk apa dan aku pun tak dapat apa-apa info pasal duit tu.

Takpelah, aku malas nak panjangkan isu sebab keluarga dia pun bukan sembarangan orang, masing2 pun bijak pandai tentang hukum hakam.

Kalau aku bagitahu, risau pulak tak terima sebab aku ni bukan siapa-siapa. Aku hanya lah isteri yang sentiasa ada diwaktu susah senang suami dan ibu kepada anak2 aku yang comel-comel.

Dua minggu aku kehilangan arwah suami, aku menguruskan wang kwsp, socso dan zakat. Sebab ramai bagitahu aku untuk uruskan perkara diatas untuk memudahkan pembahagian faraid dan untuk anak2 aku mendapat hak mereka.

Rupanya arwah dah siap-siap bahagikan bahagian setiap seorang. Alhamdulillah tak rumit dan tak perlu difaraidkan lagi.

Mertua aku macam biasa lah, pasal duit memang dia laju tanya walhal dia ni lebih daripada mampu tapi tak tahu lah tamak2 nak pergi mana. Nak dibawa masuk kubur agaknya. Tentu lah dia tanya bahagian aku dapat berapa dan anak2 aku dapat berapa.

Dia pun tak berpuas hati sebab aku dapat 50% bahagian aku, terus mencebik tarik muka.

Waktu ni aku dah tak kisah, biar lah dia nak cakap ape sekali pun, hak aku dan anak-anak akan aku pertahankan. Sebab selama arwah terlantar, dia tak pernah pun bagi aku duit untuk menyara cucu-cucu dia.

Kalau ikutkan, dari awal aku hadap, aku hampir putus asa dan hampir nak bunuh diri dengan tekanan yang aku hadap, tapi alhamdulillah Allah masih kuatkan aku dan panjangkan usia aku untuk menjaga anak2 aku yang comel tu.

Aku bersyukur dikelilingi insan2 yang sangat baik dan faham aku. Terima kasih, tanpa korang siapa lah aku. Kalau ikutkan, banyak lagi aku nak cerita tapi cukup lah sekadar ini sahaja coretan aku.

Semoga lepas ni aku berjumpa lagi dengan insan2 yang baik. Terima kasih buat arwah suamiku yang terima baik buruk diriku dan sentiasa ada disaat aku memerlukan. Semoga diampunkan segala dosa2 nya dan ditempatkan dikalangan orang beriman.. Al fatihah..

– Sayang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *