Salam buat pembaca semua. Terima kasih admin kerana sudi siarkan penulisan saya.
Mungkin penulisan ni lain dari yang lain; bukan pasal cinta, lagilah bukan pasal suami isteri.
Kali ni cerita pasal kesihatan. Saya share sebab saya rasa maklumat ni perlu dan penting dalam hidup sehari-sehari kita.
Makin maju dunia kita, makin banyak penyakit yang kita jumpa asbab teknologi dan asbab gaya hidup kita juga.
Kisahlah pasal diri, kalau bukan kita, siapa lagi nak kisah.
Saya rasa medium IIUM Confession ni sangat sesuai untuk saya kongsikan tentang informasi memandangkan jumlah followers dan pembaca sangat ramai dan mudah untuk dicapai. Semoga bermanfaat.
Sebelum saya share, saya mintak maaf penggunaan bahasa mungkin agak formal, tapi saya akan cuba sebaik mungkin untuk sampaikan gunakan bahasa yang sempoi dan mudah difahami.
Setahun dua ini banyak bacaan dari jurnal-jurnal tentang bahaya mikroplastik (MP) dan nanoplastik (NP), dan kaitannya dalam kesihatan.
MP: serpihan atau pecahan plastic bersaiz 5mm – 1um
NP: bawah daripada 1um (micrometer)
MP dan NP ini wujud di sekeliling kita cuma benda ni terlalu kecil untuk kita nampak. Walaupun dia kecil, tak bermakna dia tak berbahaya.
Benda ni berbahaya bila dia dah masuk ke dalam badan kita. MP dan NP ni masuk sikit tetapi kerap ke dalam badan kita melalui gaya pemakanan kita.
Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit-bukit. Sikit-sikit, lama-lama menyempit dalam darah kita.
MP dan NP ni masuk dalam kitaran makanan kita melalui banyak cara.
1. Makanan laut terutama makanan bercengkerang seperti kerang, kepah dan seumpamanya. Makanan yang bercengkerang ni hidupnya static. Jadi sumber makanannya akan tertumpu pada satu tempat sahaja.
Jadi kalau sumber makanannya tercemar dengan plastic, maka banyak la MP NP yang menyerap ke dalamnya. Dan akhirnya, kita pun makan.
2. Plastic makanan dan botol air..
MP NP terbentuk ketika penghasilan makanan dan minuman ini.
3. Pemanasan makanan menggunakan bekas plastic.
4. Makan yang masih terlalu panas dan letakkan ke dalam polystyrene atau plastik.
5. Debu di udara yang tercemar dengan MP NP.
Cara-cara ni lah yang menyebabkan MP NP telah berjaya mencerobohi rantaian makanan kita sehingga badan kita terjejas
Kajian terbaru sekitar tahun 2024 mendapati kehadiran MP dan NP adalah ancaman kesihatan ‘tersembunyi’ yang akan membawa kepada masalah cardiovascular disease (CVD), sejenis penyakit tidak berjangkit berkaitan saluran darah seperti penyakit jantung dan stroke.
Dalam beberapa jurnal (nanti boleh rujuk pada sumber di hujung artikel ni), mereka mendapati peningkatan MP dan NP di dalam badan manusia seperti darah, tisu dan organ mempunyai kaitan tentang penyakit CVD ni.
Bermaksud, semakin tinggi kandungan MP dan NP dalam badan manusia, maka semakin berisiko seseorang untuk mendapat serangan jantung dan stroke.
Bermaksudnya lagi, selain daripada faktor risiko boleh ubah dan tidak boleh ubah yang selalu KKM terangkan, MP dan NP merupakan ancaman yang baru dijumpai.
Nota ringkas: berikut merupakan faktor-faktor yang boleh membawa kepada penyakit / serangan jantung dan stroke.
Faktor tidak boleh ubah,
1. Keturunan / genetic
2. Peningkatan usia
3. Jantina (lelaki lebih berisiko)
4. Bangsa / Etnik
Faktor boleh ubah,
1. Gaya hidup seperti tidak aktif
2. Merokok
3. Kegemukan / obesiti
4. Peminum alcohol
5. Sejarah penyakit sedia ada
6. Masalah psikologi, stresss dan anxiety
Selain faktor yang disebut di atas, MP dan NP merupakan faktor yang kita terlepas pandang.
Dalam kajian lain, sejumlah pesakit yang mempunyai penyakit salur darah jantung (ischaemic heart disease) seperti myocardial infarction (serangan jantung yang disebabkan salur darah jantung tersumbat sepenuhnya) dan unstable angina (sakit jantung tetapi salur darah tidak tersumbat lagi),
Mereka mendapati mereka yang mempunyai myocardial infartion mempunyai kadar MP NP yang lebih tinggi berbanding pesakit unstable angina.
Apabila kajian ni semakin significant, maka banyak kajian-kajian yang lain sedang giat dijalankan bagi mencari punca dan cara untuk pencegahannya pada masa akan datang.
Jadi, daripada kajian-kajian ni, MP NP sangat berbahaya kalau kita tak perhatikan cara pemakanan kita dengan baik.
Sebetulnya, kita tak boleh lah nak elak seratu-peratus pun, sebab plastik ni dah memang ada dalam hidup kita.
Jadi apa yang boleh kita buat adalah kita menghadkan penggunaan plastik dalam hidup kita.
1. Minum dari sumber air bersih, tadahkan air dalam bekas air kaca / besi / aluminum.
2. Kenal pasti makanan yang tercemar dengan MP NP
3. Elakkan memanaskan makanan di dalam bekas plastik. Siapa je yang buat, ada yang buat, jangan kata takde.
4. Pakai pelitup muka di tempat yang udaranya kotor
5. Hadkan plastik dalam aktiviti harian kita.
Sebenarnya banyak lagi kesan lain MP NP dalam hidup kita, tapi saya focus pada nilai Cardiovascular disease dulu.
Susah untuk kita ubah, tapi kita buat apa yang termampu demi masa depan kita bersama.
– Dr NFR (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit