Makhluk Ketiga

Assalamualaikum. Hai semua. Kali pertama mengarang confession untuk bacaan semua, walau aku bukan sejenis suka menulis luahan isi hati segala bagai diari jauh lah lagi. Jadi maafkan aku kalau ayat ku berterabur.

Nama samaran aku Puteri. Berusia di penghujung 20an. Sudah mendirikan rumah tangga genap 5 tahun.

Alhamdulillah dikurniakan pasangan hidup yang baik dan seorang cahaya mata anak lelaki yang soleh.

Hidup kami sempurna walau biasa biasa saja. Tidak kaya dan tidak pulak tak berharta. Cukup cukup makan seadanya. Boleh dikatakan orang luar yang melihat kami sebuah keluarga yang cukup bahagia.

Hidup di kota bandar dengan rumah sendiri, tidak punya masalah mahupun komitment yang besar.

Banyak masa terluang kami sekeluarga pergi bercuti, jalan jalan sana sini. Itulah cara kami.

Andai orang tahu hakikat rumah tangga kami dengan gangguan makhluk ketiga, pasti mereka kecewa tambah lagi keluarga.

Ya. Hubungan kami suami isteri dihantui dengan gangguan oleh makhluk ketiga. Susah untuk aku ceritakan mungkin orang tak akan faham.

Hanya yang melalui nya sahaja akan rasa terseksa. Aku menulis nie pun dah rasa menggigil, berdebar segala macam rasa. Siapa dia?

Gangguan bagaimana? Kenapa terseksa? Kata bahagia?

Senang cerita, makhluk ketiga suka mengacau hubungan kami untuk bersama. Hubungan kelamin kami selalu sahaja dikacau sehingga kan aku hilang rasa keinginan untuk bersama.

Walaupun ‘dia’ tak pernah menjelma tapi kami dapat rasai kehadirannya.

Bila suami aku ingin menyentuh di bahagian private ku, aku akan mula rasa benci dan tak selesa. Kadang kadang buat sampai aku rasa jadi geli dengan sentuhan suami ku sendiri.

Sehinggakan tahap tubuh aku dikunci, tak mampu bergerak walau seinci. Aku sedar tapi tak mampu nak kawal.

Mulut aku turut tertutup rapat tak mampu untuk bercakap. Tubuh aku membatu keras jadi bisu. Seolah olah diri dikawal oleh sesuatu makhluk ketiga.

Dan suami aku terpaksa mengangkat badan ku untuk memulihkan keadaan ku kembali.

Bila suami aku mulakan penetration masa bersama, dengan tidak semena mena aku menangis semahu mahunya. Nampak kan macam mana permainan ‘dia’.

Seboleh boleh nya ‘dia’ akan halang kami untuk bersama. Sejujurnya kami dah lalui masalah ini sudah lama. Dari awal awal perkahwinan lagi.

Bila diingat kembali, malam pertama kami, aku jadi sakit bila suami cuba penetration. Tapi itu biasalah orang kata masih anak dara. Mungkin ambik masa untuk pecahkan selaput dara.

Tapi sampai berhari hari jugak lah sakit tu aku rasa. Huhu. Lepas tu dalam tempoh kami berdua masih mencuba, banyak ketika aku pulang dari kerja tersangat lah mengantuk gila gila.

Sampai kan lepas isyak je aku terus tidur tinggalkan suami aku yang terkontang kanting sorang diri.

Kesian kan. Dah lah masa tu seingat aku dalam tempoh sebulan dua lagi baru berkahwin. Orang kata mesti lah pantang nk bersama je kan.

Tapi aku boleh pulak hampir setiap malam tidur awal. Tak tahu lah kenapa mengantuk tu lain macam. Dah orang baru kahwin tak kan nak duk diam.

Suami aku siap kejutkan aku bangun sebab nak bersama. Haha. Sungguh kesian kan. Aku dengan mamai pun layan je lah sebab rasa kesian.

Haa Itu cerita zaman kami belum ada anak. Zaman ada anak lain pula teknik ujian nya. Alhamdulillah Allah rezeki kan kami dapat anak dalam tempoh yang singkat.

Bila title aku bertukar jadi ibu, perangai aku makin berubah. Biasa lah bila jadi ibu tambah wanita ciptaan indah tuhan nie dia punya emosi pun dah lain macam. Haha.

Kalau benda kecik pn boleh dibesar besarkan. Salah sikit dibebel nya sampai berbakul bakul, dan mangsa nya tak lain tak bukan suami lah kan.

Aku jadi cepat sangat emosi. Bila penat uruskan rumah dan anak, plus kerja lagi aku akan mudah nak jadi baran. Mudah nak marah marah walau hal kecil sekalipun.

Bila dah marah bercampur emosi, apa lagi berubah jadi syaitan lah diri nie. Aku akan marah semarahnya sampai hilang kawalan diri.

Aku jadi ‘lost’, tak sedar diri sampai aku pukul pukul suami. Mulut nie tak usah cakap lah benda jahat apa yang tak disebut. Semua kata kata jahat maki.

Sedihnya bila dingat kembali. Sungguh aku rasa berdosa sangat diri ini. Banyak kali ketika aku tak sedar diri dengan rasa amarah tu, aku mintak suami ceraikan aku nie. Sebab aku benci pada suami.

Hakikatnya bila aku sedar kembali, aku sayang sangat suami aku dan tak berniat pun nak hidup berpisah antara kami. Malah rasa bersyukur dikurniakan suami yang sangat baik hati.

Sungguh aku buntu dengan diri aku sendiri. Batin aku rasa terseksa menagih kasih dan cinta, tapi hati aku selalu diganggu dengan bisikan untuk membenci suami, tambah tambah bila suami nak bersama.

Aku sangat benci dengan perasaan ini. Aku rasa sakit walau tiada luka yang terzahir. Aku mohon pada Allah agar ditunjukkan jalan.

Pada awalnya (ketika itu tahun kedua perkahwinan) aku berfikir sebab aku berubah hormon dari anak dara sudah jadi mak dara, dan mungkin aku tertekan dengan perubahan hidupku yang penat menguruskan keluarga dan emosi diri sendiri.

Akhirnya kami suami isteri berpakat untuk cuba berikhtiar dapatkan rawatan perubatan Islam, cuba untuk memulihkan keadaan diriku ini, pulihkan semangat aku.

Rupa rupanya ustaz yang mengubati aku pun akui bahawa ada sesuatu makhluk dalam diriku tapi tak dapat kenal pasti apakah ia. Yang pasti bukan sihir mahupun santau.

Tambahan pula tak ada apa apa simptom atau petanda yang boleh mengatakan aku terkena sihir atau santau.

Cuma yang aku pasti, aku kerap kali dihantui dengan mimpi mimpi buruk, menakutkan dan mengarut hampir setiap malam (mimpi dalam air, mimpi naik tempat tinggi, mimpi tempat kotor).

Dan yang paling menghairankan aku, kadang kadang aku bermimpi didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali atau menyerupai suami aku untuk menyetubuhi diri aku sampai aku rasa terangsang.

Dan mimpi itu seolah olah real. Cuma mimpi terangsang itu tidak lah sekerap mana. Dalam sebulan ada lah sekali, atau dua bulan sekali.

Mimpi mimpi ini semua sudah biasa sejak aku dari zaman anak dara iaitu dalam usia belasan lagi. Jadi aku menganggap ia hanya permainan tidur mungkin.

Tapi kenapa ia selalu menggangu fikiran aku ye. Adakah mimpi aku rasa terangsang itu betul betul didatangi oleh makhluk ketiga atau hanya mimpi mainan tidur saja? Entah lah bingung sungguh aku memikirkannya.

Keadaan aku semakin lama semakin memburuk, dari sejak anak aku kecil sehingga lah dia besar panjang sehingga kini.

Dan aku sudah banyak kali berusaha untuk berubat cuba pulihkan diriku. Sudah banyak ustaz dan tempat aku pergi berubat. Tapi masih belum ada jalan kesembuhan.

Sampai kan ada ustaz yang terus surrender utk mengubati diriku ini. Katanya ‘makhluk’ ini sungguh degil dan kuat, sangat sukar untuk ‘dia’ lepaskan aku. Berkemungkinan besar makhluk yang menggangu aku ini ialah Jin Asyik.

Setiap kali berubat, diri aku melawan sehabis habisan sampaikan tubuh badan aku sakit, luka cedera. Ya jin itu lah yang mengawal diri aku, yang membuat aku meronta mengamuk dan sebagainya.

‘Makhluk’ yang sangat menyanyangi diri aku, ingin mendampingi aku, yang tak akan biarkan sesiapa dapat memiliki aku hatta suami aku sendiri.

Ya suami aku sendiri terpaksa berlawan dengan makhluk itu untuk memiliki jiwa aku. Jiwa aku pulak terus dibelenggu dengan rasa dalam dua.

Kadang kadang benci pada suami, pada masa yang sama rasa bersalah teramat menyayangi suami.

Kata ustaz, aku kena kuatkan diri dengan ayat ayat pendinding diri, dengan zikir zikir untuk menguatkan jiwa hati. Hanya aku sendiri yang boleh melawan untuk sembuhkan diri, dengan keizinan Illahi.

Alhamdulillah nampak sedikit perubahan bila aku mengamalkan bismillah lima, memperbanyakkan istighfar dan selawat, serta zikir zikir yang lain dan juga memperbanyakkan solat sunat, bacaan Al Quran. Jiwa aku jadi lebih baik dan tenang.

Tapi itulah diri harus kuat untuk lawan, sebab nak amalkan semua tu banyak cubaan. Akan ada rasa malas, berat tambahan ketika solat. Sungguh rasa malas yang teramat.

Gangguan untuk berbuat kebaikan apatah lagi ibadah memang sungguh berat. Rasa macam ada bebanan besar di badan sampai rasa nak rebah pengsan.

Tapi alhamdulillah Allah masih izinkan aku mampu menjaga solat 5 waktu walaupun dalam keadaan malas dan berat.

Dan sebolehnya aku cuba untuk lawan perasaan gangguan yang membelenggu diri aku ini.

Aku selalu sibukkan diri dengan kerja ku yang hakiki, pada masa yang sama cuba menjaga emosi dengan tidak terlalu memenatkan diri. Cuba untuk tidak terlalu memikirkan keadaan aku ini.

Aku anggap ia hanya sekadar mainan perasaan aku sahaja atau pun benda biasa biasa saja, tiada gangguan pun sebenarnya mungkin syaitan biasa yang kerja nya memang untuk menghasut manusia.

Alhamdulillah it’s work! Aku jadi lebih baik. Lebih ceria dan bahagia. Hubungan aku dan suami juga jadi lebih baik.

Cuma kadang kadang ada lah juga bergaduh bermasam muka, tapi suami aku tak akan lepas mesti pujuk diri aku semula. Dengan kata kata yang manja dan jenaka. Bagi dia aku lah isteri yang terpaling sempurna. Aku cantik di matanya.

Walaupun bagi diri aku nie biasa biasa saja, malah semakin buruk bila dah nak berusia. Haha. Zaman anak dara aku boleh dikata jd buruan beberapa lelaki lah juga. Kata kawan, wajah ku jelita ayu. Entah celah mana ayu pun aku tak tahu. Huhu.

Suami aku macam mana? Alhamdulillah siapa sangka ujian yang Allah berikan kepada kami ini lah sebenarnya rahmat dalam rumah tangga kami.

Suami aku menjadi lebih dekat dengan agama. Kalau dulu di awal perkawinan tak pernah baca Quran, sekarang dah mula baca setiap malam.

Lama lama dari Quran biasa dah berganjak ke tafsir dan terjemahan. Aku sedikit sebanyak pun ikut bersama. Banyak mendengar ceramah ustaz di youtube.

Tapi itulah kami manusia biasa ada juga kadang kadang tersasar. Lalai leka dengan permianan dunia. Allah nak mengajar kami untuk lebih dekat pada Dia.

Aku jadikan ujian hidup kami ini nikmat dariNya, cuba untuk berdamai dengan takdir ketentuanNya.

Walaupun pada awal nya aku tertekan, sedih tak dapat terima. Selalu menyalahkan takdir kenapa diuji sebegini rupa. Sehinggakan aku merasa aku lah isteri yang derhaka. Neraka lah tempat balasannya.

Banyak kali menyakiti suami dengan kata kata. Sungguh aku rasa berdosa. Setiap kali aku terlanjur mengikut hati memarahi, menengking, dan memukul suami pastilah membukit dosa aku ini.

Sungguh aku sedih rasa nak berputus asa. Tapi setiap kali itulah suami aku akan berkata bahawa dia redha dengan isterinya.

Ya, sungguh dia suami kiriman Tuhan paling mulia, untuk diriku yang hina. Walaupun ada ketika juga dia hilang sabar dengan diriku, banyak kali juga dia tanpa sengaja melukakan hati aku (ketika aku marah marah hilang kawalan lost dalam gangguan).

Tapi bila kembali sedar, cepat cepat dia memohon maaf dari aku, memujuk diri aku dan berusaha untuk menjadi lebih baik. Dia banyak sabar dengan aku. Dari mula hidup bersama sampai kini dia tetap bersabar.

Nafkah zahir dan batin setiap bulan tak pernah dia ketepikan. Aku rasa mana lah ada suami yang bernafsu di muka bumi ini yang hanya mampu sekadar melihat isteri nya begitu sahaja.

Sedangkan kucing pun akan terkam bila melihat ikan di depan, apatah lagi ini kan manusia yang punyai nafsu syahwat.

Aku pula bagaimana? Seorang isteri yang tetap punya nafsu terhadap suami. Tapi bila suami aku dekat datang menghampiri aku jadi benci.

Jadi meluat rasa serba tak kena. Tapi bila dia jauh aku mula lah rindu rasa nak bersama. Rasa bersalah nak peluk dia sekuatnya. Rasa sayang sampai syurga. Kononnya! Tapi masih lagi duk ulang benda sama.

Pernah dalam setahun kami tak pernah buat hubungan bersama (selepas aku melahirkan anak sebab rasa trauma sakit bersalin, aku jadi makin takut untuk bersama).

Bayangkan betapa sabar nya suami aku ini. Sungguh berat rasanya ujian ini. Banyak kali kami rebah, kami bangkit, rebah lagi bangkit lagi, bergaduh lagi dan berbaik lagi.

Sampai satu masa aku rasa nak fed up, rasa nak give up. Rasa ada baiknya kita buat hal sendiri bawa haluan sendiri tak usah hidup bersama lagi. Tak usah lah nak lawan dengan makhluk ketiga tu.

Tapi bagi suami aku, ini lah erti hidup. Tidak semuanya manis yang kita rasa, pahit harus ditelan untuk kita jadikan pedoman.

Yang keruh kita jernihkan. yang salah kita usaha betulkan. Dia tetap menyanyangi diriku dengan seadanya aku. Tak rasa menyesal pun dia memiliki aku. Malah katanya beruntung punyai isteri seperti aku.

Bagi dia, aku wanita yang bijak mengurus rumah tangga, menjaga pakai minum anak dan suami dengan baik, mengurus kewangan dengan baik dan tidak berkira (duit gaji aku banyak dibelanjakan untuk kehidupan kami bagi menampung mana yang lompong.

Dia sangat menyangi dan menyanjungi aku. Dan aku juga menyayangi dia. Cuma cinta kami dicemburui oleh ‘makhluk ketiga’. Allah sedihnya rasa. Ujian yang tak nampak rasa berat untuk kami harungi bersama.

Semoga cinta kami berdua sebagai suami isteri tetap utuh dilindungi Tuhan Yang Maha Esa.

Semoga hubungan kami kuat bertahan sampai ke akhir hayat dan dengan izinNya sampai ke syurga. Dijauhkan dari kejahatan jin syaitan dan manusia.

Doakan kami semoga suatu hari nanti aku bebas dari belenggu ‘makhkuk ketiga’ ini.

Yang mengharapkan sihat bahagia,

– Puteri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *