Makkah, Syurgaku Di Dunia

Assalamualaikum semua. Dikala Covid-19 melanda negara, semua pergerakan terbatas dan perancangan tergendala.

Rata-rata meluahkan rasa di IIUM Confession, mungkin untuk mengambil nasihat dan panduan daripada komen-komen netizen atau sekadar medium untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati masing-masing.

Aku, seorang lelaki, 30an yang telah berkahwin dan memiliki sepasang cahaya mata yang comel-comel, sihat dan keletahnya menghiburkan. Memiliki seorang isteri yang cantik, rajin dan menyenangkan hati.

Usia perkahwinan kami telah mejangkau 5 tahun dan di usia inilah statistik di Malaysia menunjukkan penceraian itu sering terjadi.

Oleh itu, aku mohon semua pembaca untuk doakan semoga ikatan perkahwinan kami ini kekal sehingga ke syurga. InshaAllah.

Semua yang berkahwin pasti diuji, begitu juga kami. Bezanya kami diuji ketika sedang menunaikan umrah di Baitullah. Dua tahun usia perkahwinan kami ketika itu.

Kebanyakan tetamu Allah mampu mengungkapkan ujian yang mereka terima di Tanah suci, namun tidak bagi kami.

Tidak tahu daripada mana silapnya, namun aku letakkan kesilapan itu pada diriku. Kerana aku adalah ketua keluarga yang gagal memahami isteriku ketika itu.

Persiapan untuk ke Tanah Suci tergesa-gesa kerana turut dibebani tuntutan kerja menyebabkan aku gagal memahami persiapan emosi seorang isteri yang bakal berpisah sementara dengan anak yang masih menyusu badan.

Kesannya, rumah tangga kami hampir-hampir runtuh di Tanah Suci!

Kami menunaikan umrah bersama ahli keluarga yang lain. Boleh dikatakan 1/3 daripada keseluruhan rombongan adalah daripada keluarga kami.

Namun, antara ujian yang aku hadapi adalah aku sunyi dalam ramai, mungkin inilah perjalanan rohani yang perlu aku lalui semasa di sana. Satu-satu ujian aku hadapi dengan redha.

Ketika kemuncak ujian yang aku hadapi di sana, aku memilih untuk melakukan saei seorang diri terasing daripada jemaah umrah daripada Asia Tenggara.

Aku mahu sendiri, namun di dalam hati aku berdoa agar Allah hantarkan aku seorang individu, ustaz atau penceramah yang aku kenal untuk memujuk dan menasihati aku ketika itu.

Aku ingin meluahkan semua yang terbuku , semua , tanpa tertinggal satu pun. Dan mungkin meminta nasihat serta jalan penyelesaian akan masalah yang aku hadapi.

Alhamdulillah, Doa aku dimakbulkan. Usai bertahalul dan melengkapkan umrah, aku mengambil keputusan untuk tidak terus kembali ke hotel.

Tetapi aku meluangkan masaku termenung di laluan saei seorang dari sambil memikirkan masalah-masalah yang aku hadapi.

Tiba-tiba, entah dari mana, datang seorang Pak Arab berusia sekitar 60an duduk disebelahku.

Sebenarnya dari jauh lagi aku perasan dia telah memerhatikan ku ketika itu. Beliau berjubah dan bertongkat datang memberi salam dan mengusap-mengusap belakangku.

Serentak daripada itu, automatik air mataku terus mengalir deras-sederasnya, belum pernah lagi aku menangis seteruk itu di seumur hidup ku. Lalu beliau terus memeluk ku untuk memujuk.

Aku meluahkan semua masalah yang aku hadapi kepada beliau. (jangan tanya aku guna bahasa ya. Time emosi gitu memang fully bahasa ibunda lah kan )

Beliau hanya diam. Setelah emosiku stabil. Beliau padang aku dengan pandangan yang cukup redup. Lalu beliau mengucapkan,

“Ahad!”

“Ahad!”

“Ahad!”

Sambil jari telunjuknya diarahkannya ke atas.

“Allahu Akbar!”

Aku seolah-olah terpukul waktu itu. Ketika menghadapi ujian, aku meminta kepada Allah untuk dihantarkan seseorang yang juga hambaNya untuk menasihatkan ku.

Namun aku lupa, Allah lah pemilik segala hati ini. Dan sesungguhnya Dia berkuasa untuk membolak-balikkan hati hambaNya.

Malu sungguh aku ketika itu. Astaghfirullahalazim.

Oleh yang demikian, para confessor di IIUMC, terutama yang turut menghadapi masalah di alam rumah tangga. Marilah kita mengadu sebanyak-banyak kepada pencipta berbanding manusia.

Meluahkan kepada manusia mungkin sahaja boleh membina dan menyelesaikan kekusutan kita.

Tapi ada juga yang mampu menjatuhkan kita, kerana realitinya mereka tidak berada di dalam kasut kita.

Buat netizen yang akan telah dan bakal meninggalkan komen. Berhati-hatilah dalam memberi saranan. Fikir matang-matang dahulu sebelum meninggalkan sebarang komen.

Media sosial bukanlah pentas perdebatan yang menentukan siapa betul dan siapa yang salah. Dalam Islam, kita tiada Karma. Tetapi kita ada kafarrah.

Bercerita tentang ujian dan dugaan, tidak lupa juga akan kemanisan yang aku rasa sepanjang memgerjakan umrah.

Di Madinah, aku diberi peluang untuk mengusung jenazah dari Masjid Nabawi hinggalah ke liang lahad di perkuburan Baqi’ lalu melihat sendiri urusan pengebumian sehingga ke akhirnya,

Melakukan solat sunat di Raudhah dan menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W. serta memperbetulkan surah al-fatihah bersama-sama Sheikh-sheikh yang berada di Masjid Nabawi usai solat subuh.

Manakala di Makkah, aku diberi peluang, ruang dan kesihatan yang baik untuk menunaikan umrah sebanyak 5 kali seperti yang ditawarkan oleh pihak agensi,

Serta berkesempatan untuk mengucup Hajarul Aswad yang menjadi antara impian tetamu Allah yang lain.

Alhamdulillah,

Alhamdulillah,

Alhamdulillah,

Maka, nikmat Tuhan mana yang mahu kamu dustakan?

Makkah, syurga ku di dunia.

Namun dugaan dan ujiannya tidak kurang hebatnya.

– Fahim.Ta (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *