Maksu dan Trauma Lama

Hai semua, aku ambil masa yang lama nak tulis cerita maksu aku ni sebab bila aku tulis terlalu detail cerita nya jadi panjang berjela. Aku cuba pendekkan dan habiskan dalam satu confession sahaja.

Bulan januari lepas masa kenduri kahwin sepupu aku, aku terdengar perbualan ibu dan maksu di dapur.

Ibu cakap dengan maksu “Angah setuju je kalau ila nak kahwin dengan dia. Dah jodoh ila, lagipun ayah pun dah tak ada.”

Aku tak jadi datang dekat sebab rasa macam perbualan tu serius sangat. Maksu hanya gelengkan kepala dengan senyuman pahit. “Dah terlambat kak. Lagipun ila masih trauma dengan apa yang arwah ayah buat.”

Maksu lap air mata. ” ila dah lama redha kak. Bukan jodoh ila.” Perbualan tu terhenti di situ bila paklong yang entah dari mana tiba-tiba ajak mereka bergambar.

Untuk pengetahuan semua, maksu adik bongsu sebelah ibu aku. Ibu ada 5 orang adik beradik. Paklong, ibu (mak ngah), pak lang, makcik (no. 4) dan maksu yang last. Maksu berusia 42 tahun pada tahun ini.

Balik daripada kenduri, masa ayah tengah drive dan semua adik beradik aku tengah lena tidur aku tanya pada ibu perihal maksu yang tidak pernah mendirikan rumah tangga.

Seingat aku, sepupu aku pernah cerita maksu pernah nak kahwin tapi tak jadi. Maksu aku bukan nya tak lawa. Walaupun usia dah 42 tahun, maksu masih nampak macam awal 30 an. Cantik meletup kalah anak buah dia yang remaja belia ni.

Maksu jenis jaga penampilan dan jaga badan. Kalau kami teman dia keluar shopping mesti maksu belikan compact powder ke blouse yang cantik cantik supaya kitaorang boleh melawa juga.

Badan maksu kurus, pinggang ramping. Kulit putih licin memang maksu cantik sangat. Ibu kata ramai je orang nak pinang maksu tapi maksu tolak. Akhirnya ibu buka cerita kenapa maksu tak kahwin lagi sehingga sekarang.

Maksu anak kebanggaan atuk dan nenek sebab maksu berjaya bergelar doktor di antara ramai budak kampung yang lain zaman tu. Malah orang kampung pun turut meraikan kejayaan maksu dengan melantik atuk sebagai ketua kampung.

Mana-mana atuk pergi orang akan tanya khabar maksu pada atuk. Ibu kata maksu memang anak kesayangan atuk tapi sejak maksu bergelar doktor anak lain terus tak dipandang lagi. Anak lain bekerja biasa-biasa.

Setiap kali maksu balik kampung atuk mesti minta nenek masak pelbagai jenis lauk yang sedap-sedap.

Kalau bersembang dengan anak lain pun atuk kerap kali banding kan mereka dengan maksu tapi adik lain tak berdendam pun. Mereka dah lali dan maksu memang anak yang baik dan tak buat masalah.

Satu hari atuk dan nenek terima pinangan daripada anak orang kampung situ juga. Duda anak dua yang telah bercerai dengan isteri pertama.

Anak lelaki nya pensyarah. Pakai kereta besar dan ada rumah besar di bandar. Ibu kata atuk mula gelap mata bila dengar pasal kekayaan lelaki tu.

Atuk terus terima pinangan mereka tanpa berbincang dengan maksu.

Bila maksu balik kampung atuk pujuk maksu untuk berkahwin dengan lelaki tadi tapi paklong bantah sebab paklong kata lelaki itu bukan lelaki baik. Paklong kenal lelaki tu dan paklong minta atuk tolak semula pinangan tersebut.

Atuk marah paklong minta jangan masuk campur. Atuk hina paklong, atuk kata paklong kerja biasa je paklong bukan tahu apa apa pun.

Adik beradik lain tak berani nak bersuara sebab atuk dah berkeras nak maksu kahwin dengan lelaki tu tapi maksu tolak. Maksu kata dia dah ada calon.

Maksu minta izin untuk kenal kan pada keluarga. Semua rasa lega bila atuk setuju untuk berjumpa dengan calon maksu. Ibu kata semua orang excited sambut kehadiran bakal suami maksu tetapi lain yang diharap kan lain pula yang jadi.

Calon maksu datang sendirian dengan motor kapcai buruk. Orang nya kacak tapi pakaian nya biasa saja tak nampak macam orang bandar.

Ahli keluarga lain menerima kehadiran lelaki tersebut dengan gembira tetapi atuk lebih banyak diam dan hanya bercakap bila perlu.

Lelaki itu (aku gelar kan uncle su) bekerja sebagai pomen di sebuah bengkel di bandar. Ibu kata orang nya sopan satun, cakap pun merendah diri.

Semua orang jadi terbuka hati untuk terima Uncle su sebagai bakal suami maksu tapi tidak pada atuk.

Sebelum uncle su balik atuk berterus terang di hadapan semua orang yang atuk tidak akan terima dia sebagai suami maksu. Atuk kata maksu kerja sebagai doktor dan maksu lebih layak dengan lelaki yang kerja setaraf.

Semua yang ada dekat situ terkedu dengan kata-kata atuk. Muka uncle su terus berubah. Uncle su minta maaf dan minta izin untuk pulang tanpa sempat menjamah makan tengahari yang nenek masak. Lepas je uncle su pulang maksu terus meraung dekat ruang tamu.

Maksu tanya kenapa atuk hina uncle su, apa dosa uncle su dilayan macam tu. Nenek cuba tenangkan maksu. Ibu dan makcik ikut menangis tengok keadaan maksu. Paklong bertikam lidah dengan atuk minta atuk istighfar.

Paklong kata apa hak atuk untuk hina orang macam tu sedangkan keluarga mereka pun bukan orang senang. Atuk berkeras cakap anak aku doktor kau tu kerja biasa je apa kau tahu. Paklang pulak mencelah minta atuk mengucap ingat tuhan.

Suasana jadi huru hara. Tangisan dan jeritan dalam rumah tu tak ada siapa yang dapat reda kan.

Akhirnya maksu kesat air mata dan capai kunci kereta. Maksu minta izin untuk balik ke bandar. Atuk halang maksu. Atuk kata maksu kena jumpa pensyarah tu dulu kena berkenalan dahulu.

Maksu berkeras cakap depan muka atuk yang maksu lebih rela tak kahwin sampai mati daripada kena kahwin dengan orang lain. Pang! Satu penampar hinggap dekat muka maksu.

Atuk lempang maksu sampai maksu jatuh tersungkur. Paklong dan paklang cepat-cepat pegang atuk dan nenek minta maksu cepat-cepat start kereta balik ke bandar.

Maksu pulang ke bandar dan tak pulang lagi ke kampung. Ibu kata maksu merajuk, telefon pun bercakap dengan nenek je.

Atuk masih berkeras hati. Atuk kata maksu anak dasar tak tahu diuntung. Nak dia hidup senang tapi di lawan orang tua. Bertahun maksu tak pulang ke kampung sampai jadi buah mulut orang.

Paklong dan ibu kahwin pun maksu tak pulang. Maksu cuma sesekali pulang melawat adik beradik di rumah masing-masing. Orang kampung pula bawa mulut cakap maksu dah kahwin lari. Tidak lama lepas tu atuk mula jatuh sakit dan terpaksa dibawa ke hospital.

Masa tu baru maksu pulang melawat atuk selepas beberapa tahun. Atuk cium dahi maksu dan minta maaf pada maksu dan anak-anak lain sebelum atuk akhirnya menghembus kan nafas terakhir.

Ibu kata mereka tak juga salah kan atuk kerana mereka tahu betapa susah nya hidup atuk. Atuk cuma nak tengok anak-anak nya hidup senang terutama maksu anak kesayangan atuk.

Maksu pilih hidup membujang dan menolak semua pinangan. Maksu sambung belajar di luar negara untuk jadi doktor pakar. Takdir tuhan itu tak siapa boleh jangka. Tahun lepas Allah temukan maksu dan uncle su dalam sebuah majlis kenalan rapat mereka.

Uncle su pun masih bujang. Uncle su dah ada bisnes automobil sendiri. Selepas pertemuan tak dirancang tersebut uncle su ingin meminang maksu untuk kali kedua tetapi maksu tolak. Alasan nya adalah macam apa yang aku dengar dekat dapur tadi.

Ibu kata uncle su ada hubungi paklong. Paklong dan semua adik beradik terima uncle su dengan hati terbuka tetapi Allah masih belum buka pintu hati maksu. Trauma maksu tu bukan main-main rupanya. Bertahun dah berlalu pun masih belum sembuh.

Baru-baru ini aku tanya pada ibu perkembangan maksu, ibu kata maksu cuba berkenalan semula dengan uncle su tetapi tak pasti apa kesudahan nya.

Bila aku renung balik kisah maksu ni banyak pengajaran yang boleh diambil. Aku cuma minta kalian doakan yang terbaik untuk maksu.

Maksu kesayangan aku dan sepupu-sepupu. Aku nak pengakhiran yang baik untuk maksu.

– Nuha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *