Malam Jumaat Dia Datang…

Assalamualaikum dan salam sejahtera… Terima kasih admin jika kisah saya terpilih lagi untuk disiarkan.

Kepada yang mengenali saya (adik) sudah pasti mereka tahu kisah apa yang selalu saya kongsikan dan kepada yang baru baca penulisan saya, salam perkenalan saya ucapkan…

Kebetulan malam ini malam Jumaat, saya ada satu kisah nak kongsi bersama pembaca semua.

Kisah ini berlaku semasa saya bercuti di rumah arwah ibu saudara saya yang terletak di Felda Padang Piol. Seingat saya ketika itu usia saya dalam lingkungan 9 ke 10 tahun, begitulah.

Saya dan beberapa orang sepupu agak nakal masa tu. Masing-masing hati memang kering gila kecuali saya.

Hijab saya yang mudah terbuka ni membuatkan saya menjadi seorang yang sangat penakut kerana saya mampu melihat apa yang mereka (sepupu) tidak boleh nampak.

“Dik, malam ni malam Jumaat!! Biasanya benda tu datang malam Jumaat. Nak tengok tak?” Sepupu lelaki yang sebaya dengan saya membuka cerita.

“Ah tak nak aku…!” Jawab saya bersahaja.

“Penakut!! Kau kan tak percaya, mai lah aku tunjuk” Pancing sepupu lelaki saya lagi.

“Eh mana ada… Aku tak takut lah cuma aku malas!” Saya cuba mengelak.

“Jom lah dik.” Pujuk dia lagi.

“Yelah kami pun nak tahu rupa benda tu macam mana.” Pujuk kakak sepupu saya pula yang tua setahun daripada saya.

“Yeeeelaaaah. Tapi janji jangan lari tinggal aku macam dulu-dulu.” Akhirnya saya mengalah.

Serik rasanya kerana sentiasa di tinggalkan jika berlakunya sesuatu perkara yang agak menyeramkan walaupun bunyi itu datangnya daripada seekor kucing yang selongkar tong sampah mencari makan.

Tepat jam 12 malam, seperti yang di janjikan pada siang hari, masing-masing bersengkang mata. Sanggup pura-pura tidur supaya akal kami tidak dibaca oleh arwah ibu dan bapa saudara saya.

Apabila sudah yakin kedua arwah bapa dan ibu saudara saya telah nyenyak tidur, kami berempat dengan perlahan membuka pintu dapur. Tumpuan kami kepada buaian tali bertapakkan papan yang tergantung di bawah rumah.

Menurut mereka, setiap malam Jumaat buaian tersebut akan berayun sendiri walaupun tiada angin yang bertiup. Menyesal saya menidakkan cerita mereka kerana itulah mereka mencabar saya untuk melihat sendiri buaian itu berayun.

Hampir 30 minit kami duduk di muka pintu dapur. Buaian itu terus terdiam sepi, bunyi cengkerik dan ‘riang-riang’ silih berganti membuatkan suasana malam itu tidak lah begitu sunyi. Bau masam kelapa sawit yang ditiup angin mula menusuk hidung.

Tiba-tiba, pokok koko yang berada tidak jauh daripada pintu pagar bergoncang seperti ada sesuatu yang gerakkan nya.

Saya berundur beberapa langkah kerana makhluk itu sudah mula menunjukkan diri. Merangkak (serupa kera) turun daripada pokok koko menuju ke arah buaian.

Jarak pintu dapur dengan buaian tersebut yang tidak sampai beberapa meter itu maka dapatlah saya melihat dengan jelas lagi rupa bentuk makhluk tersebut.

Ngeeekkkk…. Ngeeekkkk…. Ngeeekkkk…. Buaian itu bergerak dengan sendiri!!

“Dik tuuuu!!” Sepupu lelaki saya mencuit bahu saya sambil berbisik.

Jelas di mata saya rupanya yang kehitaman, berupa seorang budak tanpa seurat benang hanya ditutupi dengan rambut yang panjang mengurai sehingga ke tanah. Tangannya memiliki jari dan kuku yang panjang jelas kelihatan disaat dia memegang tali buaian untuk berbuai.

“Dah jom-jom masuk, tutup pintu..” Arah saya sambil menarik tangan mereka bertiga.

Mereka akur… Semasa kakak sepupu saya ingin menutup pintu dapur tiba-tiba makhluk itu memandangkan tepat kearah saya. Mungkin dia menyedari saya mampu melihat dia.

“Buat apa kat situuuuu… Marilah main bersaaammmaaa..” Makhluk itu mengajak saya bermain dengannya sambil ketawa dengan riang.

Pintu ditutup. Saya fikir hanya sampai setakat itu sahaja, rupanya tidak. Makhluk itu mengetuk papan lantai betul-betul di bilik kami tidur berkali-kali sambil mengajak kami bermain bersama.

Tok… Tok… Tok… Tok… Tok…

“Marilah bermain… Marilah kita main… Mari laaaaaahhhh.” Pintanya berkali-kali merayu.

Memanglah mereka boleh tidur lena sebab mereka tidak mendengarnya. Saya? Allahuakbar hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.

“Tidur laaaa, jangan main lagi… Tidur sekarang!!”

Kedengaran suara arwah makcik menjerit di dalam biliknya. Saya hairan kenapa arwah makcik marah sedangkan ke tiga-tiga anaknya sudah lena hanya saya yang tidak dapat melelapkan kerana di ganggu makhluk tersebut.

Hilang sudah bunyi ketukan dan suara itu, mungkin ‘dia’ sambung main buaian pula kerana jelas kedengaran bunyi….

Ngeekkk ngeeekkkk ngeekkk…. Bunyi geseran tali pada kayu beluti lantai.

“Dah pergi balik… Diorang dah tidurrr….” Sambung arwah makcik lagi agak keras.

Suasana kembali sunyi. Rupanya bukan saya sahaja yang terbiasa dengan deria ke 6. Arwah makcik pun ada deria tersebut. Alhamdulillah selepas itu saya lena sampai ke pagi.

“Dulu, sebelum mereka (peneroka) teroka felda ni, sini hutan belukar. Tak hairan lah jika makhluk macam malam tadi tu ada. Dia pun makhluk Allah juga seperti kita. Engkau dik jangan nak memandai-mandai buka pintu malam-malam hari lagi.

Mereka (sepupu) tak nampak, kamu tu lain… Bahaya, di bawanya engkau lari ke tengah ladang tu nanti, mana nak cari?” Bebel arwah makcik sambil membancuh teh susu di dalam teko besi.

Saya mengangguk perlahan sambil menikmati nasi goreng ‘bodo’ arwah makcik sementara menunggu giliran untuk mandi di telaga.

“Korang nak tahu tak rupa benda tu macamana?” Soal saya kepada mereka bertiga apabila kami berkumpul sesudah sarapan.

“Tak nak kaaaamiiii…”

Jawab mereka serentak. HUH!! Sia-sia saja menurut kata mereka malam tadi. Kalau saya tahu, lebih baik saya layan tidur sambil mendengar lagu di ‘walkman’.

Sekian cerita malam jumaat saya buat bacaan para pembaca…

*Saya update sedikit sebab malam tadi agak seram untuk menulis keseluruhan cerita, almaklumlah saya ni kan penakut yang amat.

Mesti ada pembaca yang tertanya-tanya. Eh dia bertutur dalam bahasa Melayu ke? Jangan hairan yer. Sebenarnya dia tidak bercakap pun, seperti yang saya cerita dalam artikel sebelum ini,mereka (jin) akan merupa, menjelmakan diri atau bercakap melalui apa yang kita fikirkan.

Jika saya berfikir renungan makhluk itu ajak saya bermain, maka itulah yang akan saya dengar. Cuma pada malam itu saya tak sempat untuk membayangkan ‘dia’ itu cantik maka ‘dia’ menjelma dalam rupanya sendiri. Wallahualam.

Sebab itu lah jika ada diantara pembaca memiliki deria ke 6, sangat penting menjaga pemikiran supaya dapat ‘control’ deria tersebut jangan sampai ‘deria’ tersebut yang ‘control’ kita.

Oleh sebab itu jugalah ramai yang terjerumus ke arah akidah yang salah sekaligus mendorong kita menjadi seorang yang syirik dan khurafat.

Contohnya seperti semalam, saya hampir gagal untuk menjaga adab sehingga mengarang pantun seperti menyeru jin. Sedangkan niat saya hanya untuk berpuisi.

Tetapi apabila saya baca komen ramai yang terbuai rasa. Dapat saya rasakan seperti ada yang tidak kena dengan pantun tersebut.

Alhamdulillah selepas ditegur dan saya rasa teguran pembaca itu benar maka saya delete pantun tersebut. Maaf diatas keterlanjuran saya yer…

Jika ada yang tak kena dalam posting saya, harap pembaca jangan segan silu untuk menegur sesungguhnya saya juga manusia lemah yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan…

Salam sayang..

– Adik (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *