Malam Yang Tiada Serinya Lagi

Assalamualaikum. Salam kemaafan andai setiap baris ayat yang ditulis punya salah serta mengguris hati yang membacanya. Andai setiap kata kata ini disiarkan moga ada yang memahami serta rasa bahawa anda tidak keseorangan. Menjadi pilihan yang terakhir untuk diluahkan.

Aku tak memiliki ramai kawan rapat. Atau jika ada sudah menjadi perwatakan aku untuk menyimpan semua luka dan air mata di hati. Jika datang ke tempat kerja aku mampu ketawa, menjadi penghibur malah juga seorang yang periang.

Tapi saat aku di rumah malam malam yang mendatang ditemani air mata yang membasahkan bantal. Membengkak kan mata serta memberi sakit di seluruh sendi sendi. Esoknya alasan aku “sorylah malam tadi tidor lambat tengok korea” ye setiap malam aku aku menangis, meratap tersedu sedu.

Untuk pengetahuan semua dalam lingkungan 5 ke 6 tahun yang lepas aku merupakan seorang pesakit tekanan perasaan, dipresi. Tapi yer lah dengan sesi terapi yang aku ikut lama kelamaan aku rasakan ia sudah hilang. Tapi aku tahu jauh di dalam raga aku ia tak pernah meninggalkan tubuh badan ini. Hanya aku yang lari dari mengikuti rawatan.

Menjadi anak bongsu merupakan permata di dalam keluarga. Namun panas tak selamanya sehingga ke petang. Rupanya ribut membadai di tengah hari. Orang yang paling aku sayang “mak” pergi dijemput Sang pencipta. Tapi mujur aku masih kuat melawan hitam yang bersembunyi di sudut sudut paling dalam di tubuhku.

Hilang punca dan arah tuju. Namun ku gagahkan juga merentas liku liku dunia. Dan akhirnya satu satunya yng tinggal di sisi aku, pergi juga dijemput Maha memiliki segala galanya. Hilang sudah kasih sayang. Bapak aku yang dipinjamkan sementara pergi setelah bertarung sakit yang melumpuhkan urat urat serta pergerakannya. Adakah hatiku berderai.

Yaaaa… seperti kaca kaca halus yang tak terlihat lagi oleh mata. Pesihnya seperti menggenggam bilah bilah pisau yang menghiris daging. Dan sejak itu kawalan mindaku hilang. Malam malam ku kelam. Sakitnya seperti menelan jadam.

Benar orang kata. Saat perginya ibu dan bapa ada saudara mara sedarah sedaging hilang meninggalkan kita. Seperti sebatang kara akhirnya. Mengikut haluan masing masing. Harta sudah dibahagikan maka yang tinggal nombor talifon yang dah tak akan dihubungi lagi.

Kampung sudah kosong. Seperti tanah perkuburan ditinggalkan. Dan aku seperti layang layang putus talinya. Pergilah tinggalkan apa yang dah tersisa. Iaitu kenangan semata mata.

Tiap solatku berendam air mata yang tak berhenti mengalir. Seperti unggas yang bising ditengah malam. Esak tangisanku tak akan berhenti jika tidak menjengah sepertiga malam. Aku bukan orang yang suka menjaja cerita pada kawan kawan. Tak ku tahu juga bagaimana untuk diluahkan.

Ku tulis di sini kerana aku tahu tak ada yang mengenali aku. Atau melihat wajahku. Sekadar seperti aku meluahkan pada diri aku sendiri. Sudah lama tak berjumpa bayang bayang diri yang bersama sama aku dahulu.

Dan sejak beberapa hari yang lalu akhirnya yang telah lama bersembunyi. Yang hanya berbisik bisik di telingaku akhirnya sudah mengetuk pintu rumahku. Menjadi teman aku menangis. Menjadi tempat aku bercerita. Moga datangnya dia kali ini hanya bercerita tetapi tidak menguasai diri aku yang punya tubuh serta jasad yang bernyawa.

– Hati yang patah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit