Malang dan Penat

Aku April, usia awal 30an, berkahwin pada usia awal 20an, mempunyai dua orang anak, dan mempunyai pekerjaan yang baik dan inshaAllah terjamin.

Sejak tiga tahun kebelakangan ni, aku selalu berasa malang, penat, dan tidak bersemangat. Aku kuat sebab anak-anak. Mereka adalah semangat aku. Aku tidak boleh jauh dari mereka dan sememangnya tidak pernah berjauhan dari mereka.

Pulang dari pejabat dan berjumpa dengan anak-anak dari pengasuh adalah waktu yang paling aku nantikan setiap hari.

Berkenaan perkahwinan aku, aku perasan yang aku sedang manjalani hubungan yang toksik. Mungkin orang luar nampak kami bahagia, tapi mental dan emosi aku didera. Suami aku tiada masalah dari segi kewangan, nafkah cukup, keperluan semua dipenuhi.

Tapi, dia seorang yang suka memaki sesuka hati dan cepat marah walaupun perkara yang kecil. Mungkin pada aku kecil tapi tidak pada dia.

Aku bersyukur aku dan dia hanya berjumpa dua minggu sekali sahaja kerana kami bekerja di negeri berlainan.

Aku tidak biasa berdepan dengan makian. Berbeza dengan suami, dia memang dibesarkan dalam persekitaran yang begitu. Dari ayahnya, ibunya malah adik beradiknya juga. Caci maki adalah terlalu biasa dan sudah menjadi seperti amalan.

Aku agak janggal bila berdepan dengan keluarga suami pada awal perkahwinan. Sebab aku tidak dibesarkan dalam suasana begitu.

Perkataan b***h, c****a, c***i, s**l, b***t, p****t sudah menjadi rutin dalam percakapan / perbualan mereka.

Setiap kali suami memaki aku, aku hanya mampu berdiam dan menangis. Aku tak tahu kenapa aku tak mampu untuk memaki semula. Dia akan meminta maaf bila dia sudah puas memaki dan aku akan berdiam seperti tiada apa-apa yang terjadi.

Aku pernah tegur perangai dia, tapi dia kata aku lah punca dia jadi begitu. Aku pernah juga meminta untuk dilepaskan agar dia boleh cari perempuan yang lebih baik tapi dia menolak dan berjanji untuk berubah.

Tapi itulah, perubahan dia hanya sebulan dua sahaja kemudian dia akan ulang semula. Aku rasa aku menjadi seperti orang bodoh bila dia di rumah kerana aku sentiasa berjaga-jaga agar tidak mencetuskan kemarahan dia. Tapi hanya sia-sia, ada sahaj yang tidak kena pada mata dia.

Banyak kali aku terfikir untuk berpisah dengan suami, tapi tiada kekuatan untuk meminta cerai secara serius. Aku pun tidak pasti mengapa dan pelik dengan diri aku sendiri. Malah aku lebih sanggup berdoa agar menjadi janda kematian suami.

Walau aku tahu adalah tidak elok untuk kita berdoa perkara-perkara yang tidak baik ke atas orang lain, tapi aku rasa memang itulah yang aku inginkn buat masa ini.

Dan hampir setiap masa aku selalu membayangkan dia meninggal disebabkan kemalangan di tempat kerja atau di jalan raya atau penyakit jantung.

Aku tidak kisah kalau dia tidak pulang ke rumah kami seperti yang sepatutnya. Malah aku lebih tenang dan bahagia tanpa dia. Aku suka sekiranya dia sampai lewat ke rumah dan amat gembira jika dia ingin pulang awal ke rumah sewanya.

Bulan lepas sepupu ku kematian suaminya kerana kemalangan jalan raya. Terdetik dalam hatiku, mengapa bukan suamiku. Pernah juga aku membayangkan suamiku ditangkap khalwat, maka aku boleh meminta cerai dengan alasan itu.

Tapi itulah, semua yang aku bayangkan masih belum menjadi kenyataan. Aku juga tidak kisah sekiranya dia ada perempuan lain dan ingin menceraikan aku. Aku memang betul-betul tidak kisah.

Aku pun keliru kenapa aku masih tiada kekuatan untuk membuka mulut untuk meminta cerai darinya sedangkan dalam hati aku selalu inginkn penceraian. Aku sendiri tak pasti mengapa aku takut meminta cerai atau fasakh.

Hingga satu tahap terdetik dalam hati adakah aku sudah dibodoh-bodohkan (sihir) oleh suami.

Aku menjadi bukan diri aku bila berhadapan dengan dia, mulut aku terkunci bila ingin melawan kata-katanya dan betul-betul tidak mampu untuk melawan. Aku hanya mampu melawan di dalam hati dan menangis.

Aku tidak banyak bercerita bila bersama dia. Aku lebih suka bercerita dengan anak-anak, kawan-kawan dan ahli keluarga. Mungkin aku bimbang jika tersalah cerita aku akan medapat makian dari dia. Masalah aku memang tiada siapa yang tahu.

Aku tidak mahu bercerita kepada sesiapa, mungkin kerana aku malu atau entahlah. Malah ibu bapa dan adik beradik aku aku juga tidak pernah tahu sikap suami. Dia di hadapan orang lain nampak sempurna, sopan, dan berkhemah.

Tapi hanya aku yang tahu perangai sebenarnya. Aku tidak mahu anak-anak terbiasa dengan caci maki, sebab itulah aku tidak kisah kalau dia tidak pulang ke rumah kami.

Aku kesian anak-anak aku apabila mereka hanya mampu berdiri kaku apabila dimaki oleh suami aku.

Aku tiada masalah untuk hidup dengan anak-anak, gaji aku lebih dari cukup untuk membayar segalanya.

Doaku hanya satu dan tiada lain iaitu agar aku dikeluarkan dari hubungan tosik ini dan dijauhkan dari orang yang selalu menyakiti hati dan perasaan aku.

Tapi itulah, nampaknya doa aku masih belum termakbul. Mungkin dosaku banyak dan sebab itulah doaku masih belum dimakbulkan. Aku terlalu penat untuk tanggung beban ini.

Ketika aku menulis ini pun, aku baru sahaja dimaki oleh suami pada malam tadi. Apabila dia pulang ke rumah sewanya, aku segera menulis di sini kerana aku betul-betul memerlukan bantuan doa dari orang lain.

Aku mohon sesiapa yang membaca luahan aku ini, titipkan lah doa untuk aku agar aku diberikan jalan keluar. Semakin lama hidup dengan suami aku berasa semakin tertekan dan aku betul-betul ingin hidup tanpanya.

Aku ingin jadi diri aku yang dulu. Biarlah aku hidup bahagia dengan anak-anak tanpa suami.

Doakan aku.

– April (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *