Mama, Aku Rindu

Assalammualaikum hai, aku tak tahu sangat nak mulakan macam mana. Tapi pendekkan cerita aku dah berkahwin, anak baru sorang dan masih dalam pantang. Aku ada lima orang adik beradik.

Ramai tak yang excited bila ramadhan dah dekat? Lagi-lagi dah berapa tahun PKP memanjang, tapi tahun ni alhamdulillah takkan ade PKP.

Bila dah nak puasa ni mesti masing-masing plan cuti sebab semua nak puasa pertama dengan family. Yang duduk merantau kalau boleh balik, confirm balik. Ye kannn? Samalah aku pun tergolong dalam golongan tu. Hehehe.

Bila kena OT ke aku sanguplah bergaduh dengan leader asalkan aku tak payah OT dan dapat balik sambut puasa dengan family terutama mama aku.

Tahun 2020 last aku membujang sebelum aku jadi isteri orang, sangup hari-hari ulang alik kampung dengan tempat kerja yang makan masa satu jam setengah. Masa tu masih PKP ketat, roadblock sana sini. Janji dapat puasa dan raya dengan family terutama mama..

Biasa kalau bulan puasa, apa yang paling korang rindu? Kalau aku, jujur dari hati aku rindu makanannya. Hahaha. Tapi makanan dan air paling wajib tiap ramadhan, air cincau ais dengan nasi goreng. Air cincau tu terpaling wajib ada dekat rumah sepanjang ramadhan.

Hari-hari mama mesti suruh buat air cincau walau air lain masih ada. Nasi goreng wajib ada sebab adik bongsu aku paling suka nasi goreng.

Bila mama tanya “nak buka apa adik harini”, jawapan dia mesti nasi goreng. Dan nasi goreng jugak kadang-kadang antara menu bila hujung bulan. Heheh.

Nasi goreng yang mama buat, simple je, dia cincang kacang panjang, letak rencah ayam ke sotong ke udang (ikut keadaan semasa kewangan hehehe), lepastu cili. Nasi goreng mesti kena pedas! Lepastu buka puasa masing-masing berselera.. fuhh

Bila bulan puasa, aku selalu ajak mama pergi bazar sana bazar sini. Dulu kalau aku balik hujung minggu je pun, mesti mama ajak pergi bazar. Mama suka beli ayam golek.. cari kuih, cari makanan pelik-pelik bak kata mama..

Tapi sedih bila teringat masa aku belum kerja dulu, mama teringin apa-apa kadang benda tu mahal dia tak jadi nak beli.

Bila dah kerja, baru dapat gaji, dapatlah belanja mama sikit-sikit.. nanti sambil jalan kitaorang cakap pasal makanan, cakap pasal baju raya, tengah jalan nampak karpet eh tiba cakap pasal karpet pulak, lepastu gelak-gelak…

Dulu masa tengah belajar dan masa duduk rumah sewa, bila ramadhan ni tengah malam nanti mesti ada wasap atau miscall dari mama kejut suruh tahajud, suruh kejar malam lailatulqadar.

Nanti dia pesan suruh doa banyak-banyak.. berkat mama selalu kejutkan, tahun 2019 hampir tiap malam aku bangun solat dan mintak Allah beri petunjuk untuk jodoh aku.

Sekarang, aku tahu Allah dah jawab semuanya.. alhamdulillah dan inshaallah suami aku ni lah jodoh terbaik untuk aku.

Bila sahur dekat rumah, selalu aku buat-buat tidur kejung, tidur mati. Mama ketang kitung sorang dekat dapur. Tahu-tahu nanti mama kejut suruh sahur. Aku pulak jenis malas sahur tapi ada gastrik.

Berkali-kali la mama kejut aku, kejut adik-adik. Kadang mama siap letak nasi, lauk dalam pinggan hantar kat bilik adik yang bongsu tu.

Kadang dia makan dengan mata pejam, mama kata takpe asalkan dia makan.

Bila lagi dua minggu nak raya, biasanya mulalah mama mintak aku buatkan kuih. Mama bukan tak tahu buat kuih, resepi pun resepi dia.

Tapi dia nak aku jugak buat. Tart gulung nenas, biskut kacang, semperit antara kuih wajib mama minta aku buatkan. Tiap tahun aku buatkan, cuma 2020 tak dapat nak buatkan sebab aku penat ulang alik rumah dengan tempat kerja.

Mama pun cakap nanti membazir sebab bukan orang boleh datang raya pun..

Tahun 2021, aku dah jadi isteri orang dan mestilah aku ikut suami. Tahun tu, sekali je dapat berbuka puasa dengan mama, along dan ramai-ramai. Bila raya pulak, raya ke empat macam tu baru dapat pergi rumah mama tu pun aku tipu polis cakap nak pergi klinik.

Masatu mama masakkan nasi beriani walau aku teringin sangat lauk raya mama. Tapi sebab mama dah beria-beria, aku taknak rosakkan mood dia. Lepas makan, aku balik rumah mertua semula.

Sebelum balik, aku salam mama ayah dekat mama, aku mintak ampun dan entah kenapa aku nak sangat cakap mintak halal susu yang mama bagi selamani.

Mama cakap dia halalkan, sambil senyum, mata bergenang, dia cium pipi kiri kanan aku dan dahi. Aku cakap, “jangan sedih ea tahun depan orang raya belah sini tau”.

2022, lebih kurang dua minggu lagi nak puasa.. tapi mama dah takde. Mama tinggalkan aku betul-betul tarikh hari lahir aku. Mama meninggal sebab covid. Aku, betul-betul rindukan dia. Raya tulah sekejap je aku dapat jumpa mama. Tahun ni dia dah takda.

Adik-adik aku dua orang dekat rumah tu nanti entah macam manalah bila puasa dan raya nanti. Sebelum mama ditidurkan, kami video call dengan mama.

Satu je pesanan mama khas untuk aku “tengokkan adik-adik”. Sampai harini aku terbayang muka dia masa dia pesan tu. Dengan tercungap-cungap masa tu.. aku rindu dia, tapi mungkin Allah lebih rindukan dia.

Kadang aku cari kekuatan untuk “tengokkan adik-adik”. Nak jaga dari jauh bukan senang, nak ajak duduk sama ada halangan. Aku nak pindah ke sana, aku sendiri pun dah bersuami.

Hari-hari doa Allah beri aku kekuatan untuk bimbing dan jaga adik-adik aku. Pasal abang, akak aku, aku malas nak sentuh. Bagi aku, mama dah amanahkan dekat aku, kalau aku pun tolak sana tolak sini, adik-adik aku tak jadi apa.

Korang yang masih ada mak ayah, hargailah sebelum Allah ambil.. sebab bila dia takda, rindu tu, Tuhan je tahu..

– Anak mama (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *