Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih admin sebab siarkan cerita aku.
Biasanya aku pembaca tegar sahaja tapi hari ini tergerak hati untuk berkongsi rasa hati supaya dapat pandangan rakan-rakan atas talian.
Aku Raihanah (bukan nama sebenar). Umurku menghampiri 30 dan sudah berkerja untuk beberapa tahun. Ringkasnya, aku inginkan pendapat rakan-rakan sekalian tentang betulkah tindakan aku pada mama.
Seperti tajuk di atas, aku nak ceritakan tentang mamaku dan duit.
Sejak mula bekerja, aku tak lekang menghulurkan duit untuk mamaku. Berbeza dengan 3 kakak aku yang kebiasaannya bagi one-off dalam jumlah yang banyak setahun sekali.
Tapi aku, cukup RM200 sahaja yang mampu aku hulurkan setiap bulan kerana gaji aku kecil dan tambah dengan segala komitmen pinjaman-pinjaman setiap bulan, aku hidup berbekalkan RM200 sahaja di bandar besar.
Oleh itu, aku kerja part time merata-rata untuk tambah pendapatan. Aku pernah tak makan 12 hari sebab perlu bayar komitmen yang lebih pada bulan itu.
Semua kesusahan aku, kakak2 atau ibu bapa aku tak pernah ambil tahu.
Fast forward, aku telah berkahwin. Segala perbelanjaan, semua atas bahu aku sendiri tanpa satu sen pun mama atau ayah keluarkan duit.
Demand mama begitu tinggi untuk majlis aku tapi aku yang terpaksa keluarkan duit sendiri walaupun aku berkali-kali bagitahu bajet aku tidak begitu besar. Aku terpaksa ambil loan dan masih sengsara membayar hingga ke hari ini.
Kakak2 aku semakin stabil dengan komitmen yang tidak seperti aku kerana gaji aku kecil. Mereka mampu memberikan mama banyak benda dan wang.
Sedangkan aku, masih lagi berusaha setiap bulan untuk berikan mama sedikit wang kerana mama sentiasa update dalam group WhatsApp apa yang dia dapat dari abang dan kakak aku.
Tak pernah pula mama cakap aku berikan dia duit setiap bulan atau sanjung-sanjung aku seperti mana abang dan kakak aku. Terasa hati kecil aku.
Baru-baru ini aku balik ke kampung, rumah mama aku bersama suami. Niat di hati nak bagi mama sejumlah wang yang banyak namun, apa yang berlaku sepanjang di rumah membuatkan aku terkilan dan batalkan niat aku,
Part inilah yang aku perlukan pendapat rakan-rakan semua, samada keputusan aku betul atau salah.
Perkara yang mempengaruhi keputusan aku berdasarkan tindakan-tindakan mama seperti:
1. Mama selidik dengan aku segala perbelanjaan rumah dan jumlah wang yang tinggal setiap bulan.
2. Apabila aku melawat atuk aku (ayah mama) dia bertanyakan aku ada hulurkan duit atau tidak? Aku memang berniat untuk bagi tetapi cutiku masih panjang dan kebiasaannya aku akan bagi sebelum habis cuti kerana aku akan melawat atuk beberapa kali.
3. Mama bawa seluruh keluarga besarku keluar makan dan aku bayarkan untuk semua selepas mama seperti memberi hint untuk aku bayar.
“Sedapkan makanan di sini? Lagi sedap kalau dibelanja.” Sedangkan aku sorang sahaja yang sudah bekerja. Adik-adik aku masih di sekolah rendah.
4. Mama ada menawarkan diri untuk tolong belikan aku barang dan aku bagi duit cukup-cukup untuk barang tersebut. Mama minta padaku upah untuk pertolongannya. Aku bagi sejumlah wang yang sama nilai dengan barang yang bakal dibeli.
5. Mama bertanyakan aku berapa jumlah wang yang aku bagi dekat ibu mertua aku. Tapi aku tak bagitahu.
Sepanjang berada di rumah, mama sering bertanyakan tentang duit, duit dan duit. Sehinggakan aku rasa terkilan.
Di sudut hati aku, mama cuma bercakap tentang duit sahaja.
Jadi, niat aku untuk bagi mama sejumlah wang yang banyak aku batalkan atas sebab aku terasa hati dengan tindakan-tindakan mama.
Namun pada hari sebelum aku pulang ke rumah aku, aku ada juga hulurkan RM200 untuk mama dan sedikit untuk adik-adikku.
Pada pendapat rakan-rakan adakah aku terlalu emosi? Adakah aku salah tafsir mama aku? Adalah salah untuk aku batalkan niat berikan mama sejumlah wang yang banyak?
Aku minta maaf jika ceritaku bercelaru kerana begitulah fikiran aku sekarang, begitu bercelaru.
– Raihanah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit