Mama, Raya Mu Bagaimana?

Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu. Sempena hari ibu ini, saya terpanggil untuk berkongsi kisah tentang ibu mertuaku. Ibu mertuaku seorang yang lembut dan sentiasa senyum mengiyakan apa sahaja.

Jika ada yang tak kena dengan pendapatnya dan seleranya, diam-diam saja dia memberitahu. Supaya tak mengecilkan hati sesiapa. Tapi, dalam kedut senyumannya itu, jauh di sudut matanya itu, ada satu renungan yang sangat dalam.

Dengan usia perkahwinan baru menginjak 5 tahun, saya tidak berani untuk menyelongkar kisah yang tidak pernah suami ceritakan. Ianya bukan satu kisah yang seronok untuk diceritakan di meja makan atau santai di ruang tamu.

Namun, sejak PKP diumumkan oleh Perdana Menteri kita, sedikit demi sedikit hal itu terbongkar. Awal cuti sekolah, giliran suami balik ke sini dengan saya.

Untuk makluman, suami dan saya PJJ atas urusan kerja. Dan kebetulan, tahun ini, projek kerja suami satu daerah dengan tempat tinggal mertua. Kebetulan juga, seorang ipar saya, tinggal bersebelahan mukim dengan ibu mertua.

Jadinya, sepanjang kerja, saya dan suami PJJ dan suami di sana menjaga ibu mertua. Sebelum kahwin juga, suami menjaga ibu mertua sejak dari zaman belajar. Suami ulang alik balik kampus – kampung setiap minggu.

Suami anak bongsu, jadinya, adik beradik lain sudah memulakan rumahtangga, ada tanggungjawab sendiri dan mula keluar dari kampung.

Sepanjang suami di sini bersama saya, dia kelihatan sugul dan banyak diam. Saya buka mulut dan bertanya.

Akhirnya, suami memberitahu, ibu mertua tidak ada yang menjaga jika sepanjang PKP ni suami di sini. Saya bungkam dan pelik. Mustahil, sedangkan ada anak ibu mertua yang tinggal berdekatan.

Saya selidik dan bertanya lagi. Dan dari sini juga, barulah saya tahu, kenapa suami asyik singkat di sini bersama saya.

Awal-awal perkahwinan, waktu tak faham, selalu merajuk dengan suami. Dulu alasan yang selalu diberikan adalah, kerja. Tapi, rupanya, bimbang keselamatan dan makan minum ibu mertua.

Allahuakbar. Suami sudah beberapa kali memberikan telefon bimbit, tak berhasil kerana ianya ‘renyah’ bagi sesetengah orang tua. Suami hanya berharap pada jiran untuk memberitahu apa-apa jika ada ribut atau hal penting berlaku di rumah.

Bagaimana pula dengan si anak yang lain? Suami tunduk dan berikan jaluran mesej-mesej untuk saya baca.

Ternyata, alasan-alasan yang diberi sejak dulu sampai la sekarang, alasan sama. – Sibuk – Tak sempat – Keluar ikut pasangan outstation – Balik rumah anak menantu – Tak apa mama ada apa-apa nanti, (jiran) bagitahu la, (jiran) ada nombor kan.

Alasan paling terbaru adalah, “Musim Covid ni, tak boleh kerap sangat keluar, kena duduk rumah”.

Nampak macam nonsense. Tapi ini hakikat. Bukan kena tindakan pun kalau-kalau ke sebelah jenguk ibu sendiri. Bukan sejauh 20 km pun. Dan langsung tak ada sekatan jalan raya.

Ya Allah, terus teringat ibu bapa sendiri yang mana, hati ini tersayat-sayat nak balik jenguk mereka.

Saya beri cadangan, jika suami nak balik sana, tak apa, pergilah, at least saya boleh jaga diri. Suami diam lagi. Akhirnya, saya ajak suami balik sebelum PKP start, balik ambil ibu mertua dan duduk di sini.

Disitulah segalanya terbongkar. Adik beradik suami jarang balik kampung untuk jenguk ibu mertua. Ada kematian saudara mara pun tak balik. Raya – boleh bilang dengan jari.

Pernah satu tahun raya tu, sebelum kahwin dengan saya, ibu mertua excited untuk masak rendang dan melemang. Suami belikan berkilo daging dan batang buluh untuk dibuat lemang. Punyalah teruja, nak masak secara tradisi untuk anak cucu.

Tapi, tiba-tiba mereka tukar plan dan tak jadi balik. Tak balik bukan sebab emergency ya. Disebabkan ada plan lain. Sampai ke hari raya ke 4, suami dan ibu mertua habiskan lemang dan rendang yang dimasak tu, setelah dah dibahagikan pada jiran dan saudara mara.

Kini, kami di sini, terperangkap tak boleh balik raya. Tapi saya bersyukur, saya tidak keseorangan. Kalau nak balik kampung ibu mertua kena merentas dua negeri. Nak balik kampung mak abah saya pun kena merentas negeri.

Aduhai, rindu pada ibu bapa tu sangat membuak-buak. Setiap kali terpandang susuk tubuh ibu mertua dalam rumah ni, teringat sangat-sangat apa yang anak-anak dia cakap.

Sepanjang PKP ibu mertua di sini, tak pernah ada satu panggilan telefon atau mesej bertanyakan dia.

“Mama, rayamu bagaimana?”

“Mama, baju raya mu ada dibawa sekali?”

“Mama, maaf tak dapat balik raya”

“Mama, sihat kah mama di sana?”

Ibu ni, dia tak cakap dia rindu anak. Tapi, bila selalu cerita pasal anak-anak dia, sambil dia tersenyum, ada kerinduan dalam hati dia tu.

Saya selalu ingat pesan ayah. Bila dah kahwin, keluarga suami keluarga kita juga. Pahala berbakti pada ibu bapa sendiri, sama juga jika kita bersikap ihsan pada ibu bapa mertua.

Ya Allah, semoga dengan ihsan ku ini, kau hadiahkan la kepada ibu bapaku rahmah-Mu Ya Allah.

Selamat hari ibu.

– Anak Berduka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *