Kutulis dengan kalbu, kuhias dengan taqwa, kuhela dengan penyesalan dan kutadah dengan harapan serta keampunan..
Assalamualaikum. Nama aku N dan berumur awal 30an. Sebelum ni aku terbaca confession seseorang sebagai anak tidak sah taraf. Aku baca komen-komen banyak yang bagi kata-kata dorongan. Malangnya dunia aku tidak begitu.
Aku mangsa pedofilia jiran dan rumahtangga yang agak porak peranda. Ya, klise. Diringkaskan cerita aku ni jenis kuat memberontak. Memang klise. Aku tinggalkan rumah dan berhijrah jauh daripada keluarga. Daripada kecik tak rasa rapat dengan mak atau ayah.
Lebih banyak pendam rahsia berbanding dengan adik beradik lain. Seingat aku banyak tanda yang menunjukkan aku sedang bergelut dengan ketagihan tapi mak banyak abaikan. Aku tak salahkan dia. Mak tak berpelajaran tinggi dan kurang kesedaran tentang ini.
Bayangkan umur enam tahun aku dah tengok lelaki ‘hor**’. Sudah kenal bau air ma** lelaki.
Mak aku pergi serang lelaki syaitan tu tapi aku tak tahu sampailah aku dah berkahwin. Kami lebih terbuka untuk bercerita. Ini antara hikmah ujian besar ini. Sekarang aku lebih rapat dengan mak berbanding masa aku kecil atau remaja.
Sebenarnya aku membesar dengan perasaan dendam pada mak yang pada aku tak ada usaha melindungi aku. Ayah memang tak ambik tahu tapi aku mintak pembaca jangan kecam ayah aku.
Anggap saja ayah aku tak ada ilmu dan ada khilafnya. Kekosongan ini akhirnya diisi seorang lelaki iaitu suami aku sekarang.
Cerita dosa ni tak ada bezanya. Lagipun itu bukan tujuan aku di sini. Aku dah taubat nasuha. Bukan setakat nak balik ke jalan lama nak ingat pun aku tak sanggup. Bila ingat balik kisah-kisah silam rasa nak hempas kepala sendiri kat batu. Biar pecah berderai.
Sesekali terpaksa lalu di tempat-tempat hitam dulu hanya Allah yang tahu perasaan aku. Rasa nak gila. Jika boleh nak duduk dalam dashboard. Tambah lagi bila ada anak-anak sekali. Tengok muka anak hasil dari itu.
Kalaulah kau tahu anak, inilah tempat ibumu dan ayahmu hanyut dulu.. Allah..tak ada kata-kata dapat ibu gambarkan sesal ini. Andai masa lalu itu boleh dipulangkan dengan darah atau nyawa aku rela leher aku disembelih sebagai galang ganti. Inilah ratib aku sebelum ni.
Sekarang aku lebih kepada berdamai dengan takdir. Tidak bermaksud redha dengan dosa tersebut cuma aku tak mahu dihantui dan ingin berasa berhak untuk hidup tenang.
Sukar untuk aku jelaskan tapi mungkin ada kaitan dengan psikology. Tidak dapat melepaskan sesuatu juga adalah sejenis penyakit yang memberi kesan buruk. Hanya yang mengalami tahu.
Kami bernikah ala kadar ketika usia kandungan lima bulan. Mungkin ada sedikit penyesalan masa tu tapi tak banyak. Lebih banyak menuduh orang sekeliling sebagai punca.
Paling teruk aku menyalahkan Allah yang meletakkan aku dalam keluarga ini. Astagfirullahalaziem. Banyak benda berlaku. Antaranya aku dibuang keluarga. Inilah fasa paling hina bagi aku sebenarnya.
Dua tahun juga aku hidup dengan menafikan fitrah beragama. Aku hilang iman. Masa ni aku rasa aku tak ada tempat dah kat dunia atau masyarakat apatah lagi kasih sayang Allah.
Dalam kepala aku fikir aku ni anak derhaka sebab mak aku pernah cakap dia tak halal susu yang aku minum kalau aku buat perkara terkutuk tu.
Masyarakat jangan cakaplah. Hidup aku jadi susah. Suami yang tak membantu. Adik beradik yang mendoakan aku dan anak aku mati pun ada.
Tekanan datang dari segenap arah. Aku dah tolak hidup bertuhan. Ni bukan kes iman kurang ini kes iman hilang. Aku putus asa dengan rahmat Allah.
Kemudian aku mengandung kali kedua yang juga anak lelaki. Tak tahulah apa yang kami fikir masa tu. Hidup macam sampah dan ajar anak hidup macam sampah jugak. Macam mana aku boleh senang hati tambah anak, makan, minum, tidur waima bernafas.
Hinggalah satu kejadian berlaku dan mengubah hidup aku 360 darjah. Pada hari tersebut aku tengah masak, kemudian teringat nak buka TV cari kartun untuk anak sulung aku. Hari Jumaat. Capai remote sambil berdiri tu aku alih punya alih siaran tv terbukalah satu rancangan agama.
Masa tu aku tak kenal lagi Ustazah Laila Aniza yang sedang berceramah. Tajuk pun tak tahu apa.
“Tanya pada diri sendiri, man ana? Man ana?” soal beliau lembut tapi bersungguh. Seolah-olah ditujukan pada aku.
“Ana penzi**!” Terpacul dari mulut aku tak semena-mena.
Masa tu aku terus terduduk. Meraung semahu-mahunya. Pekup muka dengan tangan, tak cukup itu aku pekup muka ke lantai. Malu dan sedih. Rasa malu yang teramat. Allahu Rabbi. Malu apa yang semacam ini? Tak ada orang melainkan aku dan anak-anak saja di rumah. Aku malu pada siapa ini?
Badan dan kaki aku jadi sejuk-sejuk sampai mengigil. Berselibung aku dalam selimut di tengah hari buta. Sepanjang hari tu sambil basuh pinggan, dodoi anak, suap anak nasi pun air mata masih tak kering. Detik yang aku takkan lupa sampai bila-bila.
Tak tahu nak zahirkan macam mana. Telinga aku berdengung dan rasa macam tergamam bila dengar perkataan tu dengan suara aku sendiri. Lain sangat bunyinya.
Apa lagi aku tak pernah terfikir nak panggil diri aku dengan gelaran itu. Lidah itu, suara itu dan telinga itu bahkan milik Dia siapa aku untuk sombong?
Betapa Allah sayang aku. Padahal aku dah buang Dia. Nasib baik aku tak mati dalam keadaan iman yang begitu. Nauzubillah. Lepas peristiwa tu, aku betul-betul sensitif dengan perkataan tu. Automatik rasa malu dan air mata akan jatuh.
Ni bukan cerita dari Mekah ya. Lazimnya aku akan mengelak bertembung dengan apa-apa yang berkaitan dengannya kecuali ceramah agama. Bajet baik.. haha..
Korang tidak di tempat aku.. sebolehnya aku mahu dengar yang baik-baik dan menambah iman aku sahaja. Bukan yang menjatuhkan. Rasa dipujuk dan disayangi. Salah ke?
Sudah hampir lapan tahun berlalu. Aku bersyukur masih lagi istiqomah. Masih banyak yang perlu dibaiki. Setiap hari berfikir apa yang aku perlu buat untuk padamkan dosa ni. Aku sambung ikatan dengan keluarga. Usaha senangkan hati mak dan ayah juga mertua.
Mereka tak sempurna begitu juga aku. Alhamdulillah. Cuba buat baik dengan semua orang. Aku harap orang tak ingat lagi dengan dosa aku. Setidaknya setelah aku mati tiada yang mengungkit keburukan aku semasa hidup.
Hidup tidak melupakan Allah dan Al Quran ni jauh bahagianya daripada memiliki harta yang banyak. Wallahi. Nampak adik beradik pakai kereta besar atau rantai emas besar sebesar zarah aku takda iri hati.
Tapi bila tengok ibu-ibu yang ada anak berakhlak indah dan penghafal Al Quran aku cemburu sangat.
Dari itu aku makin semangat baiki diri. Belajar tajwid dan hafal surah lazim untuk dibaca dengan anak-anak.
Malahan aku hafal surah-surah penting yang panjang untuk amalan seharian. Aku boleh habiskan Yassin atau Al Mulk sementara mengemas rumah. Tidakkah itu bahagia juga walau bukan bernilai RM?
Ingin aku kongsikan juga di sini. Solat tasbih adalah solat yang banyak membantu aku istiqomah. Seminggu sekali pun dah cukup.
Antara alasan aku memilih solat sunat ini kerana sangat efektif untuk orang yang panas baran macam aku. Terus jadi malas nak marah sebab takut ibadah yang susah itu jadi sia-sia.
Solat sunat ni ibarat benteng bagi aku. Selalu buat akan jadi senang lama-kelamaan. Rasa nak membaran je terus top-up.
Anak-anak aku jauh lebih baik daripada aku masa kecil dulu. Walhal aku adalah anak dengan ikatan halal. Kenapa pula? Sebab ada yang kata anak haram mesti jahat dan degil.
Aku dengar dari mulut seorang ustaz yang mendakwa telah melawat ke rumah perlindungan dan ternyata anak-anak di sana nakal.
Sinis benar bunyinya. Sedih hatiku. Tak apalah agaknya lidahnya terpeleset. Banyak lagi agamawan yang menyenangkan di luar sana. Terlalu awal untuk menilai. Ya, aku tahu sebab itu aku berdoa setiap waktu. Aku dah berikan hampir semuanya.
Yang lain aku serahkan pada Allah Taala. Andai kata anak-anak membenci aku suatu hari nanti, aku dah tak begitu terkilan lagi. Aku adalah ujian bagi ibu dan ayahku manakala anak-anakku pula ujian bagi aku. Harap-harap aku mampu melaluinya.
Kepada kamu yang bergelar anak luar nikah…
Anakku sayang… Ibu dan ayah tak sempurna. Kami pernah gagal suatu masa dulu. Kamu bukan petaka yang merunsingkan kami. Hakikatnya dosa kami yang menggelapkan hati kami.
Kamu si anak luar nikah.. hadirmu ibarat penyelamat untuk ibu dan ayah kala nafsu yang menjadi sembahan. Kamu kain putih yang suci. Kamu tiada bezanya di hadapan Allah. Ingat itu. Nama itu ujian untuk kamu di pentas fana ini.
Allah dah janjikan pahala yang besar untuk mereka yang sabar. Percayalah kami jauh lebih ingin menghadiahimu nama yang indah dan menyenangkan hatimu melebihi apa pun di dunia ini. Apakan daya nasi telah menjadi bubur. Jangan ulang silap kami.
Buat kau dan aku…. kau tahu kau siapa..
Kita seorang ibu. Kita berhutang hidup dan nama yang baik dengan anak kita. Mustahil dapat kita langsaikan hutang itu. Jadi lunaskanlah hak-hak mereka selebihnya dengan sebaik mungkin. Berikan kasih sayang dan didikan agar mereka tidak mengulangi dosa-dosa kita dulu.
Bekalkan mereka dengan ilmu agama dan akhlak yang baik. Allah akan pelihara mereka. Insya Allah. Pandang dalam-dalam wajah mereka. Doakan mereka sungguh-sungguh. Allah jualah yang memegang hati manusia.
Kita pernah gagal dulu. Jangan gagal lagi. Berhenti bermimpi dan bersuka ria pada perkara lagha.
Aku selalu pujuk diri supaya jangan sedih dengan pandangan masyarakat. Sandarkan semuanya pada Allah. Anggap saja aku dah tak mungkin meraih pandangan manusia lagi tapi aku boleh meraih rahmat dan redha Allah. Bila-bila masa selagi kematian belum sampai.
Memang aku ibarat pasu tembikar pecah yang dicantum kekal takkan sama dengan yang asal. Namun sehebat atau semulia mana pun itu tetap kata-kata makhluk. Berpeganglah pada janji Allah yang tak pandang siapa hambaNya dulu melainkan hambaNya yang dah kembali pada fitrah.
Manusia tetap akan ungkit kesalahan kita lambat laun. Berhenti berharap pada yang bersifat sementara. Doakan aku husnul khotimah dan bersama para pendosa yang bertaubat ya kawan-kawan..
– N (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit