Mana Abang?

Mana Abang??

Terima kasih admin, sebab sudi siarkan penulisan aku ni. Kalau tak disiarkan pun, terima kasih juga, mungkin ada hikmahnya.

Sekadar pengenalan,aku seorang budak perempuan yang ada abang, 2 kakak dan adik seorang. Abang dan kakak-kakak aku dah kahwin. Mereka dah ada kehidupan sendiri bersama keluarga. Dah ada teman kongsi suka dan duka. Dah ada tempat untuk memberi dan meminta perhatian dan kasih sayang. Kiranya, masih tinggal aku dan adik aku yang mereput kira bintang. Kah!

Dalam kalangan kami lima beradik, hanya ada seorang saja yang lelaki, iaitu abang aku. Atas aku tiga tahun. Aku sangat rapat dengan abang aku. Dari kecik bergaduh, main, makan, belajar semua sama-sama. Waktu abang aku masuk asrama masa sekolah menengah dulu, aku yang akan tidur di katil dia. Sebab rindu.

Abang aku bertemu jodoh awal. Umur 23 tahun kahwin. Umur 24 dapat anak. (kalau aku tak silap. sebab aku ni lemah sikit bab-bab nak ingat nombor ni hehe). Kiranya, abang aku kahwin masa tengah belajar di alam kampus. Aku ingat lagi, sewaktu dia cakap nak kahwin, ibu aku menentang. Ibu aku kata, “Ibu hantar ke sana untuk belajar. Bukan untuk kahwin”. Ayah aku lebih bertenang masa tu. Usai solat maghrib berjemaah, ayah aku pesan kepada abang, “Ayah izinkan kamu kahwin. Tapi ingat, kamu masih ada dua orang adik perempuan yang kamu kena jaga. Kalau ayah dah tiada satu hari nanti, kamu bertanggungjawab jaga mereka”. Masa ni, suasana syahdu sangat. Ibu aku dah meleleh-leleh sebab abang aku nak kahwin juga. Aku dan adik masa tu hanya mampu diam. Seolah penyerahan tanggungjawab yang sangat besar masa tu.

Sehari sebelum abang aku kahwin, aku bertanya lagi. Untuk kepastian. “Bang, betul ke kau nak kahwin? Kau yakin ke dengan keputusan ni? Masih ada masa kalau nak berhenti”. Aku tak pasti kenapa aku cakap macam tu. Yang aku tahu, aku tak nak kehilangan abang. Sebab aku perasan, semenjak dia dah ada calon isteri, hubungan kami makin hambar. Makin jauh dan menyepi. Adik aku turut merasainya. Sepanjang aku di universiti, hanya 3 kali dia telefon. BerwhatsApp jauh sekali melainkan dalam group keluarga.

Masa terus berlalu menginjak usia. Hubungan kami masih hambar. Pernah aku dan adik bersembang. Tiba-tiba adik aku buat luahan perasaan rindu pada abang. Masa tu juga kami menangis. Segala perasaan diluahkan. Depan orang lain kami nampak kuat dan bahagia, belakang orang, kami bersendu sama-sama. Kadang, melihat kawan-kawan lain yang punya abang yang bertanggungjawab dan prihatin, aku jadi cemburu. Tayar pancit, telefon abang. Duit habis, minta kata abang. Hujung minggu keluar dengan abang. Aku hanya mampu tersenyum dengan mata berair.

Lama-kelamaan, aku dah terbiasa hidup tanpa abang. Tanpa kasih sayang dan perhatian daripada abang. Aku jadi kuat dan acah-acah lelaki sado. Semua perkara aku selesaikan sendiri. Untung aku masih punya kakak dan abang ipar. Mereka yang banyak bantu aku uruskan kereta. Abang ipar ajar aku pasal minyak hitam. Bearing kereta rosak macam mana. Tolong aku belikan laptop. Mereka sanggup datang ke asrama aku waktu malam kalau aku minta tolong. Kereta rosak kat hospital, mereka yang datang tukarkan bateri. Hari-hari aku sebut “Abang Lang, tolong itu”. “Abang Lang tolong ini..” “Abang lang macam mana ni..” Hingga kawan aku pernah kata, “Weh, kau ada abangkan? Kenapa aku asyik dengar kau sebut nama abang lang je?” Jujur, aku jadi terkedu masa ni. Abang? Mana abang aku ya? Aku hanya senyum depan kawan aku. Naik bilik aku menangis.

Hakikatnya, punya abang kandung dan abang ipar adalah dua perkara yang tidak sama. Abang ipar hanya mampu membantu apa yang termampu dan tetap ada batas-batas yang perlu dijaga. Sedang abang kandung, adalah wali. Yang perlu bertanggungjawab terhadap kami hingga di Mahsyar nanti.

Semenjak dari itu, apabila adik aku dah masuk universiti, aku tak nak dia rasa apa yang aku rasa. Sedih tiada abang yang ambik berat. Jadi, akulah kakak. Akulah abang untuk adik aku. Apabila dia nak masuk universiti, aku yang bimbing dia, berkenaan apa yang boleh dan apa yang tak boleh. Apabila dia nak balik ke kampus, aku hantarkan. Sebab aku fikirkan soal keselamatan dia. Zaman sekarang, pembunuh dan perogol tu melata hidupnya. Aku peruntukan masa untuk dengar cerita dia. Tangis dan tawa dia.

Hingga aku katakan kepada adik aku, “Jangan risau soal akak. In shaa Allah akak boleh survive walau seorang diri. Yang akak risau adalah kau. Akak doakan agar kau kahwin dulu dari akak. Bawa calon kau jumpa akak dulu. Supaya, akak yakin dan tenang ada orang yang boleh jaga kau dengan baik dan selamat. Kita sekarang hanya berdua. Ibu ayah pun semakin tua. Kalau bukan akak yang jaga dan fikirkan pasal kau, siapa lagi?”. Adik aku terdiam lama. Tak jadi dia nak membahan aku pasal kahwin-kahwin hahaha..

Baru-baru ni, aku teringat kat abang. Rindu sangat. Sangat-sangat. Sampai aku menangis minta Allah kembalikan semula abang kami yang dulu. Yang bertanggungjawab. Beragama. Prihatin. Segala rasa aku luahkan kepada Allah. Betapa aku sangat rindu untuk gelak dan bergossip dengan abang. Gelak tak ingat dunia. Kadang abang ada mesej. Tapi entah kenapa aku sendiri tak rasa teruja nak membalasnya. Mungkin saja kerna sudah kekok dengan abang sendiri.

Aku tahu, adik aku pun rindu sangat kepada abang. Sebab dia tukar DP WhatssApp dia gambar abang. Adik aku takkan cakap. Tapi kalau dia depan mata aku, sekali aku renung je, mesti menangis beria. Hahaha.. Sebab dengan aku saja dia akan kongsi segala cerita. Hanya kami geng jomblo happy. Heh..

Aku bercerita tanpa sebarang niat. Melainkan agar, lelaki-lelaki di luar sana, jaga dan prihatinlah kepada adik perempuan mahupun kakak perempuan kalian. Fitrah seorang perempuan adalah inginkan perhatian dari lelaki. Ingin dilindungi oleh lelaki. Ingin dikasihi oleh lelaki. Bagaimana jadinya jika kalian mengabaikan adik mahupun kakak perempuan kalian? Pada lelaki mana mereka akan minta perhatian dan kasih sayang?

Prihatinlah kepada adik beradik perempuan kalian. Mungkin saja mereka membosankan. Serabut. Kepoh. Rimas. Tapi, jika kalian membiarkan mereka tanpa agama dan bimbingan, maka bersiap sedialah untuk diheret sama ke neraka kelak. Bertanyalah soal ibadah mereka. Kehidupan mereka. Aurat mereka. Ikhtilat mereka. Berfungsilah sebagai wali yang benar-benar menjaga dan melindungi. Bukan hanya berakad ketika bernikah, kemudian berlalu pergi.

Sekalipun kalian dah bina keluarga sendiri, usahlah kalian lupakan adik beradik. Jika mereka dah berkahwin, teruslah jaga sillaturrahim. Kerna air dicincang tidak akan putus. Jika mereka belum berkahwin, ambik beratlah soal kehidupannya.

Ada orang kata kepada aku, “kalau rasa nak perhatian, kasih sayang, kahwinlah. Kan senang.” Huh! Mudah pada bicara saja. Bukan pada tindaknya. Saat ini, kahwin bukanlah solusi terbaik. Perkahwinan adalah ibadah. Jika niat kahwin hanya nak perhatian, ikut-ikut kawan, takut terzina, maka ia belum menjadi ibadah. Nafsu itu perlu ditundukan dengan bermujahadah. Bukan bernikah. Pasangan hidup boleh datang dan pergi. Jika ada akad, maka bersatu. Jika terlepas talak, maka membawa diri. Tetapi, adik beradik lain, baik buruk tetap adik beradik. Pergi seluruh pelusuk dunia pun, takkan sama orang lain dengan adik beradik sendiri.

Buat abang, aku doakan kebaikan yang berpanjangan untuk kau. Dipermudahkan segala kesulitan hidup kau. Aku tak perlukan orang lain untuk mengisi kekosongan perasaan ini. Yang aku mahukan adalah abang aku yang dahulu. Sejauh manapun kau pergi bang, ingatlah janji kau kepada ayah yang bersaksikan ibu, aku dan adik. Bahawa kau akan jaga kami dengan baik. Buktikan bang.

Maaf salah dan silap.

-Adingmu-

– Adingmu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit