Salam sejahtera admin. Jika luahan saya ini disiarkan saya mengucapkan ribuan terima kasih.
Seperti sedia maklum, persekolahan akan bermula beberapa hari lagi. Maka sebagai ibu saya seperti yang sepatutnya akan menyediakan persediakan barang keperluan sebelum bermulanya sesi persekolahan pada minggu hadapan. Ini termasuklah barang keperluan dan menyediakan yuran untuk pendaftaran.
Saya kurang pasti sama ada saya sahaja yang mengalami perkara ini, atau banyak lagi ibu bapa di luar sana yang turut merasakan apa yang saya rasa. Beberapa tahun lalu, pihak kerajaan telah mengumumkan Malaysia adalah sebuah negara yang menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Sejak pengumuman itu, saya tidak melihat dan merasakan pendidikan di Malaysia adalah percuma.
Saya seorang ibu. Mempunyai 3 orang anak . Anak pertama saya di sekolah menengah. Anak kedua di sekolah rendah dan anak ketiga belum bersekolah. Saya telah menunggu pendidikan percuma yang dikatakan itu beberapa tahun lepas. Sejak itu juga, bayaran pendaftaran masuk persekolahan masih juga ada walaupun tidak dinyatakan sebagai yuran sekolah. Namun pada tahun ini, saya berpeluang menyuarakan di sini agar dapat membuka mata mana-mana pihak dan berkongsi apa yang keluarga berpendapatan rendah lalui setiap kali buka persekolahan dan setiap kali pihak sekolah meminta sebarang bayaran.
Pertama, perihal barang keperluan persekolah tidaklah saya mengambil kira sangat. Sebab anak-anak saya mengerti jika saya tidak mampu untuk memberikan mereka barang keperluan seperti kanak-kanak lain. Lagipun , jadilah dengan apa yang ada untuk digunakan, asal baju tidak koyak sehingga menampakkan aurat dan alat keperluan persekolahan yang lain. Yang penting mereka mendapat pendidikan yang sepatutnya. Di sebalik pendidikan percuma yang di perkatakan , untuk sesi persekolah tahun depan bayaran persekolahan untuk anak saya yang bersekolah rendah adalah dalam lingkungan RM80.00 dan anak saya yang bersekolah menengah ialah dalam RM190.00. Bayaran ini termasuklah buku tulisan, buku kerja , buku nilam, majlis anugerah , PIBG dan lain-lain lagi. Mungkin bagi keluarga yang berpendapatan tinggi jumlah nya tidak lah besar. Tapi bagi saya ianya agak besar. Kami merancang duit yang ada sebaiknya kerana kos sara hidup yang amat tinggi, makan minum dan lain-lain. Bukan berkira maupun meminta simpati, tapi di manakah pendidikan percuma yang diperkatakan?.
Kedua, tidak cukup dengan bayaran mula persekolahan, pihak sekolah juga akan meminta murid untuk memberi keperluan lain pada setiap minggu mahupun setiap bulan. Contohnya untuk keperluan kerja berkumpulan, guru akan meminta murid membeli kertas warna, gam, kad manila,kapas dan pelbagai lagi keperluan. Saya sedaya upaya menyediakan keperluan tersebut untuk anak-anak kerana tidak mahu anak ketinggalan dalam pelajaran. Kos yang diperlukan kadang-kadang sehingga RM10.00 setiap kali. Bayangkan kalau setiap minggu. Di manakah pendidikan percuma yang diperkatakan?
Ketiga, bantuan persekolahan. Bukan berniat memperkecilkan bantuan yang diberikan. Saya bersyukur kerana kedua-dua anak saya menerima bantuan duit Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) berjumlah RM100.00 setahun. Selain itu anak saya juga menerima bantuan baju sekolah dan kasut sekolah juga. Alhamdulillah setiap tahun mereka dapat. Mungkin ada di kalangan kalian yang pernah menerima atau melihat murid yang menerima bantuan baju sekolah dan kasut sekolah tersebut. Pernahkah anda melihat kualiti bajunya, baju kalis air dan selalunya saiz yang diberikan besar seperti yang diminta. Begitu juga kasut, walaupun saiz muat tetapi seringkali tertanggal dari kaki mereka. Bukan tidak bersyukur, tapi sekuranganya berilah barang yang berkualiti. Ini hanya memberi keuntungan kepada pihak pembekal yang menyediakan bantuan. Di sini saya lihat, pembaziran telah berlaku kerana rata-rata murid yang menerima bantuan baju dan kasut tersebut tidak menggunakannya.
Akhir sekali, diharapakan luahan ini dapat membuka mata kita semua menilai sejauh manakah pendidikan percuma di Malaysia. Diharap juga ada pihak cerdik pandai menilai semula bantuan yang diberikan yang hanya memberi keuntungan kepada pihak pembekal. Dengan kos sara hidup yang tinggi sepatutnya pihak sekolah tidak meminta sebarang bayaran dari murid-murid, kerana bagi keluarga yang berpendapatan rendah walaupun RM1.00 nilainya amat besar untuk keperluan seharian.
– Ina
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit