Mandrem

assalamualaikum.

Tahu apa itu mandrem? Lebih kurang maksud dengan buatan orang. Aku percaya semua pernah dengar perkataan mandrem yang dibawa sekali dengan unsur2 jampi dan sihir menyihir. Kisah ni terjadi pada keluarga aku dan mangsanya ialah ayah aku.

Dulu keluarga aku bahagia, tapi semuanya berubah bila ayah kenal seorang perempuan bernama A pada tahun lepas. A adalah tukang urut di kampung aku. Dia selalu datang rumah nenek aku untuk mengurut. Setiap kali selesai mengurut, ayah akan bagi upah berupa duit kat A.

Masa berlalu, semakin lama A semakin kerap datang ke rumah nenek. Bukan sahaja untuk mengurut, bahkan hanya sekadar suka2 kerana bosan dirumah. Semakin hari, A berani membawa masakannya ke rumah nenek untuk dijamu kepada nenek dan ayah, sekiranya ayah kebetulan disitu. Dan dirumah, masakan ibu tak diusik langsung oleh ayah.

Ayah semakin menjauh, jarang pulang ke rumah. Sehingga awal Ramadhan yang lalu, ayah tekad keluar dari rumah dan sehingga kini tak pernah jejak kan kaki pulang ke rumah. Ibu seakan akan boneka yang terbiar dirumah. Nafkah tak ditunaikan sebagai seorang suami dan juga ayah. Pelbagai usaha dah dibuat. Tapi buntu.

Sehingga pada suatu hari, jiran (seorang pengamal perubatan) mengatakan ayah terkena mandrem yang dihantar A melalui nasi yang A selalu bawa. A adalah syaitan yang bertopengkan manusia. Bermulut manis, berperwatakan baik, lemah lembut; tapi di belakang, Allah sahaja yang tahu.

A pernah menipu berpuluh puluh orang kerana DUIT. Dia tidak mempedulikan maruahnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada 7 anak dengan mengajak mana2 lelaki keluar dengannya hanya kerana DUIT. Dan kini mangsanya ialah ayah aku.

Beribu ribu duit simpanan ayah habis kerana A. Dan harta terakhir yang ayah ada adalah sebidang tanah, yang kini sedang dibangunkan sebuah rumah. Untuk siapa? Kalau bukan untuk A.

Malah ayah dan A sering keluar menjamu selera di kedai makan sekitar kampung. Pelbagai reaksi dan pandangan orang kampung terhadap mereka. Ayah seakan-akan tidak mengendahkan situasi tersebut.

Ayah yang dulu rajin ke surau, membantu ketika ada majlis kenduri kahwin, memberi apa sahaja bantuan ketika berlakunya kemalangan di sekitar kampung, kini hidup, masa dan ruangnya hanya dengan A.

Ketika kami sekeluarga membelanjakan apa sahaja wang yang kami ada untuk persiapan hari raya, ayah dengan senangnya mengeluarkan duit untuk persiapan raya A dan 7 anaknya. Sedangkan ayah dulunya seorang yang tak suka menunggu, tak suka kesesakan lalu lintas, sampai kami dulunya terpaksa naik bas ke pekan untuk membeli apa2 keperluan, tapi ayah dengan senangnya menghantar mereka.

Jangan ditanya dimana suami A. Kerana suaminya langsung tidak mengendahkan dia dan anak-anaknya. Sebab tu dia sanggup gadaikan maruahnya kepada lelaki lain kerana kesempitan hidup dan DUIT.

Pelbagai nasihat dah diberi kepada ayah. Baik dari kami adik beradik malah dari kawan baiknya sendiri yang pernah menjadi mangsa A. Tapi hampa. Ayah tetap menangkan A. Dengan alasan A seorang yang baik. Sehingga hubungan ayah dan kawan baiknya renggang.

Doakan kami sekeluarga semoga terus kuat. Doakan ayah aku semoga cepat pulih. Mungkin korang pun ada pengalaman macam aku, bagi aku cadangan dan nasihat macam mana nak hadapi benda ni. Terima kasih. Assalamualaikum.

– Mia

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit