Mangsa Buli

Assalamualaikum semua. Terima kasih kepada admin kerana menyiarkan luahan hati aku. Ya, aku mangsa buli. Tapi sudah 10 tahun berlalu. Namun benarlah, parut luka di hati itu kekal sampai bila bila.

Semasa di sekolah menengah, aku pernah dipulau oleh ‘kawan kawan baik’ aku sendiri kerana salah faham. Aku sering dipersalahkan hanya kerana aku tidak pandai membela diri. Pernah sehingga aku terfikir untuk membunuh diri. Aku terfikir untuk jatuhkan diri aku dari tangga, tapi aku takut.

Alhamdulillah Allah sedarkan aku. Aku cuba nak luahkan masalah aku pada kaunselor sekolah namun kaunselor di sekolah aku suka menceritakan kembali kepada guru guru yang lain. Aku jadi tidak yakin dan hanya pendam sendiri. Selepas banyak kejadian berlaku, aku nekad untuk pindah sekolah.

Masuk sekolah baru, aku dapat kawan kawan baru. Aku namakan mereka D, M dan Y. Mereka sangat baik. Aku rasa gembira nak mulakan hidup di sekolah baru.

Namun sayang, kegembiraan aku hanya sementara. Aku terpaksa turun kelas kerana keputusan peperiksaan akhir tahun aku yang kurang memuaskan. Aku keseorangan. Episod buli kembali lagi.

Pernah suatu hari aku lewat masuk ke kelas, aku tengok kelas dah bersih. Aku tahu aku bertugas untuk menyapu pada hari tersebut, sampai sahaja di meja, alangkah sedihnya aku melihat sampah dan habuk penuh di bawah meja aku.

Orang tersebut kumpulkan semua sampah dan habuk di meja aku sebagai amaran jangan lupa untuk bertugas. Aku diam, ambil penyapu dan sapu.

Aku merupakan bendahari kelas. Namun kutipan duit kelas hanya beberapa orang sahaja yang bayar. Aku mengadu pada guru kelas aku namun aku pula yang dipersalahkan.

Guru aku cakap, aku yang tak pandai nak minta, minta perlu dengan cara elok. Dan guru aku cakap perangai aku yang buatkan orang tak suka pada aku. Masatu aku kecewa, kenapa seorang cikgu boleh cakap macamtu pada aku. Dan aku taktahu apa yang rakan sekelas aku ceritakan pada guru kelas aku.

Untuk pengetahuan semua, guru kelas aku rapat dengan rakan sekelas yang lain kerana mereka sudah bersama dari tingkatan sebelumnya. Aku kan kena turun kelas.

Pernah sekali aku hendak masuk ke bilik study, gambar aku ditampal di depan pintu. Aku sedih kerana gambar itu dengan sengaja dikoyakkan dan pada bahagian mata aku dicucuk. Aku tak dapat tahan marah, aku terus melulu masuk ke dalam bilik study namun tiada siapa yang mengaku malah mereka menghiraukan aku.

Untuk pengetahuan semua, setiap kali program, gambar gambar di sekitar program akan diambil oleh ahli kelab fotografi dan sebab itu orang itu ada gambar aku. Aku stress. Tapi aku masih pendam. Aku taktahu nak luahkan pada siapa.

Ada banyak lagi yang berlaku tapi cerita di atas adalah antara perkara yang paling sukar untuk aku lupakan. Aku masih ingat rasa sakit dia macam mana. Tujuan aku ceritakan luahan ini hanya untuk berkongsi dengan semua pembaca.

Alhamdulillah sekarang aku merupakan seorang guru. Aku nekad untuk tidak menjadi seperti guru guru aku yang dahulu. Aku tahu masih ramai guru guru yang baik di luar sana.

Aku menyeru kepada pembaca semua agar peka dengan isu buli ini. Aku tahu isu buli bukanlah isu yang baru namun ianya masih ada. Sentiasa alert dengan perkembangan anak anak. Mungkin ada dari mereka yang sama seperti aku. Memilih untuk memendam.

Okay cukup setakat itu, terima kasih kerana sudi membaca cerita aku.

– Izumi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *