Mangsa Body Shaming

Hi dan salam sejahtera kepada admin dan pembaca iium confession. Aku tulis confession ni cuma nak luahkan isi hati aku selama aku menjadi mangsa body shaming.

Kesan dia sampai aku tak yakin dengan diri sendiri dan selalu memencilkan diri akibat rasa rendah diri dengan keadaan fizikal aku. Aku harap dapat kata-kata semangat daripada pembaca untuk aku terus hargai diri aku sendiri.

Sejak sekolah aku memang berbadan gempal dan berkulit sawo matang.

Tapi aku tetap ada ramai kawan baik. Seronok dikelilingi kawan baik yang ada susah senang dengan aku. Sikit pun aku tak pernah rasa rendah diri dengan fizikal aku.

Sehinggalah aku sambung belajar di universiti tempatan di ibu kota, hidup aku mula berubah bila aku bertemu dengan orang yang suka mengata tentang fizikal orang lain.

Golongan yang suka mengata belakang ni ialah housemate aku sendiri. Housemate aku seramai 5 orang dan mereka semua berkulit putih dan kurus ramping. Tak macam aku, aku badan gempal dan berkulit agak gelap.

Pada mulanya aku tak perasan akan tindakan housemate aku yang seakan pulaukan aku kerana fizikal aku. Lama-lama baru aku sedar yang mereka malu nak berkawan dengan aku yang gempal ni.

Mereka malu nak berjalan dengan aku rapat-rapat. Ada jugak aku perasan mata mereka tengok aku atas bawah sambil senyum sinis,

Semuanya terbongkar bila suatu hari aku terdengar mereka berkumpul di bilik belakang dan mengumpat aku. Mereka tak perasan kehadiran aku sebab aku baru balik daripada kelas dan terus masuk rumah sebab pintu tak berkunci.

Apa yang aku dengar mereka umpatkan aku ialah badan aku yang gempal dan kulit yang kusam, serta pakaian aku yang old fashion.

Ada jugak perkataan jijik dan geli pada orang gemok yang aku dengarkan. Bohonglah tak sedih. Housemate sendiri yang duduk serumah sanggup kutuk aku kan.

Bila dah jadi macam tu, aku jadi awkward sangat nak bergaul dengan housemate aku sendiri. Yerlah bila dah tahu orang kutuk fizikal kita kan, tak kan nak terhegeh-hegeh lagi nak berkawan dengan orang macam tu.

Dalam rumah sewa tu aku banyak diamkan diri, bila housemate aku tengok aku lagi banyak buat hal sendiri, mereka lagi bertambah pulau aku. Paling teruk, kalau ada barang hilang atau makanan hilang tiba-tiba aku kene tuduh.

Padahal satu rumah dah tahu ada sorang housemate kami ni , mira (bukan nama sebenar) yang suka rembat makanan orang dan guna barang orang tanpa izin. Tapi sebab aku hodoh kan, akulah yang kene tuduh.

Yang cantik2 duduk dalam rumah tu macam tak pernah buat salah. Barang-barang aku pulak orang guna dengan senang hati tanpa minta izin. Sikit pun aku tak berkira. Yes aku kene layan double standard sebab rupa paras aku.

Bila bergambar, tak ada yang nak bergambar berdua dengan aku. Aku Cuma jadi tukang tangkap gambar jek.

Yerlah mereka semua bergaya tak macam aku. Aku cuba jugak nak bermesra dengan housemate aku sebab aku pikir dah duduk serumah kan. Setiap kali birthday mereka,aku akan bagi hadiah.

Tapi bila birthday aku,tak ada siapa pun yang ingat. Sedih kan ?. Bila birthday aku tiada siapa pun peduli dan berlalu macam tu jek.

Paling sedih hadiah birthday aku bagi dekat housemate aku Anis (bukan nama sebenar) dia biarkan hadiah aku tu dalam almari dia yang dah berhabuk.

Senang cakap dalam almari tinggal dia tu ada hadiah yang aku bagi dia jek. Dah berhabuk dan tak terusik langsung.

Aku ada terdengar dia geli nak pakai barang yang aku bagi. Dua minggu lepas tu masa kami salam-salam untuk balik ke kampung sempena cuti semester.

Oh ya kami salam sambil laga-laga pipi dan salah seorang daripada housemate aku terus lap pipi dia dengan tisu lepas salam aku.

Aku macam terkedu, aku tengok muka aku tak ada jerawat pun, bersih jek. Muka aku pun bukan jenis berminyak. Apa yang dia geli sangat dengan aku. Jijik sangat ke orang gemuk ni.

Oh ya masa tu aku dah ada boyfriend (sekarang dah jadi tunang aku). Bila housemate aku tahu yang ada lelaki suka dekat aku. Mereka macam persoalkan betul ke ada lelaki yang suka dekat aku.

Siapa lelaki yang boleh terima aku seadanya. Lepas tu ada pulak housemate aku Sara (bukan nama sebenar) bukak cerita yang ex boyfriend dia dah dapat girlfriend baru tapi gemok.

Sara dan housemate lain kutuk perempuan gemok tu depan muka aku tanpa pikirkan perasaan aku. Seolah-olah orang gemuk ni tak layak nak bercinta.

Mungkin ada yang persoalkan kenapa aku tak pindah rumah sewa lain. Untuk pengetahuan korang rumah sewa di kawasan kampus aku terhad. Kalau ada pun rumah kedai.

Aku tak berani nak sewa dekat rumah kedai sebab banyak sangat kes pecah rumah oleh foreigner. Nak tak nak terpaksa lah kena hadap housemate aku selama 3 tahun.

Lagi satu aku bukan tak nak kurus, aku nak kurus tapi aku tak ada ilmu nak kurus dengan sihat dan selamat.

Aku pergi ambil ubat kurus sampai aku pitam.

Sampailah satu masa aku jumpa program online weight coaching, dalam kelas online tu dia ajar cara kurus dengan sihat melalui eat clean dan senaman.

Aku ambil masa selama 8 bulan untuk kuruskan badan. Total weight lost aku 22 kg dalam masa 8 bulan. Aku makan ikut pemakanan eat clean dan buat senaman tabata dan HIIT.

Korang boleh search senaman tabata dan HIIT ni dekat youtube.

Memang berpeluh dan sihat.

Oh ya sepanjang aku kuruskan badan ni pun housemate aku tak henti2 perli aku macam contoh, “tak payah lah nak diet2 ni, aku makan banyak macam mana pun berat maintain jek“

Dan jugak “aku tak payah susah senam2 macam ko badan aku tetap maintain“.

Aku tak faham kenapa housemate aku sakit hati sangat dengan aku padahal aku banyak buat hal sendiri. Aku cuma pekakkan telinga dan terus kuruskan badan.

Sekarang aku dah habis belajar dan baru dapat kerja yang bertepatan dengan kos aku.

Lepas aku habis belajar, aku ingat lagi, mindset aku masa tu ialah aku kene cantik dan kurus baru senang nak dapat kerja, aku kene cantik dan kurus baru orang nak kawan dengan aku.

Aku kene cantik dan kurus baru orang selesa dan layan aku dengan baik. Walaupun aku dah kurus dan dah dapat berat badan ideal aku tetap ada rasa rendah diri akibat layanan teruk housemate aku.

Paling teruk aku siap downgrade diri aku yang aku fikir aku cuma layak kerja cuci pinggan jek kot walaupun aku ada degree. Aku fikir penampilan aku tak menarik jadi aku tak layak nak mohon kerja dalam bidang professional.

(Ok sorry aku tak bermaksud nak hina orang kerja cuci pinggan cuma sepatutnya aku fikir secara waras lah ada degree pergilah mohon kerja guna degree kan).

Kalau aku jumpa dengan orang baru pun (kawan sekerja) mesti automatic tangan aku menggeletar macam aku jadi takut kalau orang tu judge penampilan aku. Padahal tak ada apa pun.

Ramai jek kawan sekerja aku yang berbadan gempal dan kami masing-masing berkawan dengan baik tanpa prejudis terhadap fizikal dan yang paling penting dapat hasilkan kualiti kerja yang bagus.

Jujur aku cakap tunang aku lah antara yang banyak bagi semangat untuk aku kuruskan badan. Pernah aku cakap dengan tunang aku , aku nak pergi dekat satu tempat ni bila aku dah kurus.

Nak dia jadi photographer aku tangkapkan gambar aku cantik2 sebab view tempat tu lawa sangat.

Even aku tak kurus lagi dan tak dapat berat ideal aku lagi, tunang aku tetap bawak aku dekat tempat tu. Kalau aku stress berat tak turun, tunang aku lah belanja cheat day.

Sebab tu sampai 8 bulan baru dapat berat ideal haha cheat day yang lebih daripada diet.

Aku mula sikit-sikit nak belajar terima diri seadanya. Belajar untuk berkawan dengan orang yang menghargai kita dan juga belajar untuk tak letak high expectation terhadap orang lain.

Terima kasih sudi baca luahan aku. Doakan aku terus positif dalam kehidupan akan datang dan dipermudahkan urusan nak membina masjid tak lama lagi.

– Eudora (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *