Mangsa Cinta Suami Orang II

Untuk part I, (https://iiumc.com/mangsa-cinta-suami-orang/).

Hai, assalamualaikum. Aku sebenarnya tak ada plan nak buat susulan confession tapi aku rasa perlu untuk aku jelaskan beberapa perkara.

Kerana sebahagian daripada kalian tidak mendapat mesej utama yang aku sampaikan. Kalian hanya fokus tentang kesan doa aku pada anak N.

Pertama sekali, mungkin kalian boleh baca semula apa yang aku kongsi, “sumpah aku akan terhapus jika N berubah tidak lagi menyakiti perempuan”.

Siapa perempuan yang aku maksudkan?

Mereka ini adalah perempuan-perempuan diluar sana yang mungkin juga terdiri daripada anak-anak kalian, adik atau kakak mahupun kawan-kawan kalian. Atau mungkin juga perempuan itu adalah anda sendiri? Nauzubillah…

Mungkin mereka ini perempuan yang bakal jadi mangsa N seterusnya. Mungkin juga lelaki yang Lily temui adalah lelaki yang sama iaitu N. Kalau kalian rela jadi mangsa cinta suami orang, boleh skip baca sampai sini saja.

Ayat (sumpah/doa) ini aku kata pada N untuk peringatan dia. Kalau aku memang maksudkan dengan penuh dendam kesumat, untuk apa aku nak dia tahu? Lebih baik aku doa senyap-senyap.

Bukan ke Allah janji doa orang teraniaya itu akan makbul? Tapi aku nak N tahu apa akan berlaku jika dia tak berubah.

N sangat rapat dengan anak-anaknya. Jika dia benar-benar sayang dan terkesan dengan apa aku kata, dia akan berubah dan taubat. Kalian juga tidak tahu, aku senyap-senyap sentiasa doakan kesejahteraan anak-anak N, termasuk N. Hati aku tak adalah sentiasa keras.

Masa lembut dan tenang aku doa baik2. Tapi jika dia masih tak berubah, dia berhak dapat balasan atas perbuatan dia. Nasib anak akan terkesan kerana perbuatan dia sendiri. Aku bukan Tuhan untuk tentukan bentuk kesan. Serah sahaja pada Allah untuk bagi pengajaran.

Jangan kalian risau bimbangkan anak – anak N, bimbangkan anak-anak kita yang dirumah dahulu. Jangan sebab aniaya kita buat pada orang, keluarga kita dapat tempias musibah. Ini mesej aku.

Aku tertarik dengan komen seorang pembaca, “Ready to disagree…..” Benar apa dia kata, “Dan paling teruk bagi seorang bapa adalah melihat musibah pada anak sendiri “.

Terima kasih kerana faham apa yang aku cuba sampaikan. Terima kasih juga untuk nasihat. Aku nak N rasa “teruk”, jika dia masih tak berubah.

Ayat “jika masih tak berubah” kena ulang, kalau tak ulang ada yang masih tak faham. Dan kalau masih ada yang nak defend N juga, aku tak tahulah. Mungkin kalian termasuk dalam spesies N *angkat bahu*

Kalau ada manusia seperti N disekeliling kalian, berpesan-pesanlah, setiap perbuatan jahat dan aniaya yang kita buat akan bagi kesan pada anak dan keluarga kita. Jangan pandang diri kita, seronok dunia kita semata, tapi pandanglah anak kita.

Apa yang berlaku pada aku mungkin satu hukuman atau mungkin juga satu ujian. Wallahualam.. Mana-mana sekalipun bagi aku ia adalah satu pengajaran.

Wahai kakak-kakak, abang-abang, dan adik-adik yang dikasihi sekalian,

Aku tak kenal kalian. Tapi sebagai tanda kasih aku kongsi kisah ini. Tujuan aku berkongsi kisah sebagai mangsa cinta suami orang adalah untuk pedoman dan iktibar bersama. Kalian ingat mudah kah aku nak kongsi semua ini? Aku paksa diri kawal emosi sepanjang penulisan.

Aku stop sekejap bila tangan aku menggigil menahan perasaan sedih, bila air mata aku da mula mencurah. Tidak rugi jika aku tak kongsi. 4 tahun dah berlalu. Sepatutnya biar aku simpan kemas untuk pengajaran diri aku sahaja. Tapi aku teruskan juga.

Sebab aku tak nak ramai wanita luar sana jadi mangsa cinta suami orang. Apatah lagi lelaki jahat seperti N. Ini mesej utama yang aku nak sampaikan.

Ini kisah aku, cebisan pengalaman hidup aku, kesilapan yang berlaku dalam hidup, terjebak dalam cinta suami orang. Untuk iktibar supaya kesilapan dan pengalaman aku tidak berulang pada kalian.

Mungkin jika kisah yang sama berlaku pada kalian, tindakan lebih bijak kalian akan buat. Tapi kisah kita tak sama. Permulaan hidup kita juga tak sama.

Aku ada trauma. Trauma yang libatkan zaman kanak-kanak. Kelemahan aku adalah kanak-kanak. Aku tak minta kalian lalui trauma yang aku rasa baru dapat memahami.

Kalau ada empati tak sukar untuk faham. Empati saja sudah cukup. Tapi aku faham, bukan semua orang ada empati dalam diri dia.

Aku tak nak kanak-kanak diluar sana ada memori hitam yang akan bagi kesan pada emosi mereka sehingga dewasa. Seperti apa yang berlaku pada aku dan N.

Aku percaya mungkin ada antara kalian pernah lalui kisah tragis zaman kanak-kanak dapat faham apa yang aku cuba sampaikan. Aku tak boleh nak kawal emosi seluruh kanak-kanak.

Apa yang aku cuba kawal cuma kanak-kanak yang wujud disekeliling aku. Aku beranggapan sekiranya aku teruskan police report, aku akan jadi punca kerosakan emosi anak-anak N.

N akan ditangkap. Anak-anak akan lihat semua itu. Akan timbul persoalan tanda tanya dalam jiwa mereka. Persoalan yang tak dapat dijawab oleh mak mereka atau keluarga. Lebih teruk kalau mereka dihina oleh kawan2. Emosi kanak-kanak kita kena jaga.

Rosak emosi dia sekarang, hancurlah jiwa dia masa depan. Ini yang orang dewasa selalu ambil mudah. Kalau aku tak peduli perasaan anak-anak N, aku hamburkan segala keburukan bapak mereka dihadapan mereka.

Untuk apa aku kisah apa yang mereka faham dan rasa. Lebih baik mereka tahu macam mana perangai jahat si bapak.

Tapi jiwa aku lemah bila berdepan dengan budak. Dan ini kelemahan aku. Kelemahan aku mungkin adalah kekuatan bagi kalian. Jadi pilihan keputusan kita mungkin berbeza.

Kerana itu dipenghujung cerita aku pesan jangan ulangi kesilapan aku. Terpulang pada kalian nak menilai mana kesilapan dan mana keputusan.

Aku tak terkesan dengan kecaman kalian. Itu pendapat peribadi kalian berdasarkan kisah 0.1% yang aku kongsi.

Kalau aku kongsi 100% sekalipun belum tentu semua fokus dengan mesej. Baca sekerat terus komen. Dan aku terkilan bila kalian tidak dapat mesej yang aku sampaikan. Ini benda serius.

Kalau lelaki tak psiko tak susah nak elak. Tapi N spesies psiko. Meh aku tambah lagi 0.005% bagi yang beranggapan aku dah tahu N suami orang kenapa aku masih setia tunggu.

Baca semula sebelum menghukum. Penat aku tulis panjang lebar tapi masih tak jelas. Mungkin penulisan aku teruk sehingga susah nak buat pembaca faham. Ini tambahan 0.005% ye.

1. Aku dah jauhkan diri dari N. Aku dah block dia. Aku dah tukar nombor telefon. Bukan satu bukan dua. Aku sendiri sampai tak ingat berapa nombor aku dah tukar. Tapi semua nombor yang aku tukar dia tahu.

Faham tak dia tahu? Jangan tanya aku logiknya kat mana. Tanya hacker atau telco sendiri. Atau mungkin ada pembaca kerja telco boleh jelaskan part ini.

2. N cari aku merata tempat. Kalau aku cakap merata, sememangnya merata. Ofis, rumah, laundry, shopping mall. Memang setiap tempat aku pergi, dia akan muncul tiba-tiba.

(Benda ni juga buat aku trauma sampai sekarang. Aku akan menggigil ketakutan bila tiba-tiba orang muncul belakang aku) Dia tetap juga kejar aku.

Dia ekori setiap pergerakan aku. Aku outstation sampai Jakarta pun tiba-tiba dia muncul depan hotel. Kalau overseas pun dia boleh jejak aku, setakat malaysia tak kan dia tak boleh cari?

Aku keluar shopping juga dia ekori. Macam mana aku tahu dia ekori? Dia whatssap gambar aku tengah shopping.

Shopping mall yang aku tak pernah pergi dengan dia tapi dia tahu aku ada disitu. Mana dia tahu? Alasan dia kebetulan.

Bohong. Tak kan mungkin setiap tempat adalah kebetulan. Kalaupun kebetulan kenapa ambil gambar curi2. Bayangkanlah setiap tempat yang aku pergi, aku kena pandang ronda sekeliling dulu.

Kena check dulu bimbang N muncul. Bila aku rasa N tak ada baru aku berani keluar. Tapi silap, tup tup N muncul. N muncul! Faham tak dia muncul. Aku stress gila! Pastu nak kena buat drama kejar mengejar di public sampai jadi viral ke?

Kadang aku rasa mungkin N ada ilmu halimunan. Entahlah. Atau mungkin aku yang gila. N sebenarnya tak wujud. Aku berhalusinasi dengan semua ini. Eh melalut.

Ya, aku pernah terfikir sampai macam ini. Separuh nak gila mencari jawapan mana dia tahu semua pergerakan aku.

3. N orang berduit. Kalian rasa kalau dia tahu aku buat police report, aku tak dikenakan dia melalui cara lain? N licik. Sangat licik. Kalian fikir dia tak boleh upah orang untuk buat sesuatu pada aku?

Dan jangan fikir aku hadap duit dia. Kalau aku hadap, dari awal lagi aku tak perlu bazir air mata dan berusaha jauhkan diri dari dia.

Lebih baik aku hidup goyang kaki kikis duit dia. Ingat nangis jadi pelarian tak penat ke. Lelaki berduit obses dengan kita, sepatutnya lebih menyeronokkan. Tak gitu?

Aku ada kerjaya dan duit sendiri. Kalian fikir aku tak buat police report sebab dah menyerah diri pada N? Baca semula dari confession 1 aku. Baca dan hadam dari awal.

4. N bukan saja tahu setiap gerak geri perbuatan aku, tapi dia juga tahu apa aku buat, siapa aku call, apa yang aku text orang (kawan, family, officemate). Semua ini dia tahu walaupun aku dah banyak kali tukar nombor telefon.

Kalau semua ini dia tahu, kalian rasa setakat nak cederakan atau apa-apakan aku itu sukarkah bagi dia? (See, aku terulang point 3.) Kena tekankan semula. Ini bukan rekaan. Lelaki psiko seperti N memang wujud. Psiko dan obses.

Aku pernah berdepan lelaki yang obses sebelum N. 5 tahun juga. Tapi aku berjaya tepis sebab dia tak ekstrem dan psiko. Cuma obses mahukan perhatian aku.

Jangan tanya kenapa nasib aku asyik diekori lelaki. Aku sendiri muak. Aku benci hidup disukai lelaki. Kalau korang faham trauma yang aku lalui, korang akan faham makna kebencian semua ini. Aku pernah dir*g*l masa kecik.

Bukan mudah aku nak telan trauma. Jadi jangan mudah nak pukul rata perempuan yang bercinta dengan suami orang semua menyerah diri melayan nafsu binatang lelaki.

Lelaki yang bernafsu syaiton tetapi perempuan juga disalahkan. Semua orang ada latar cerita berbeza. Maaf, emo.

Sambung pasal N…

5. Aku cuba kawal keadaan supaya baran dia tak tercabar. Aku sangka aku boleh elak dia buat benda yang aku sangat takut.

Tapi akhirnya tragedi berlaku juga di tangan N. Dia trigger trauma yang tersimpan dari kecik. Disini klimaks tindakan aku seterusnya. Tak perlu aku ulang.

Manusia seperti N bukan hanya seorang wujud di luar. Mungkin juga ada O P Q R S T U dan sebagainya bersepah cuba menipu wanita-wanita dan anak-anak dara kita guna cara sama.

Dia akan berusaha yakinkan kita dengan cara santai dan natural. Supaya tak nampak dia cuba cover penipuan.

N pernah secara tiba-tiba kata dia belum update status diri untuk pengistikharan harta. Aku tanya update untuk apa. Dia kata dia kan dah duda sekarang.

Sepatut kena update status dalam sistem kerajaan. Aku tak pernah tanya pasal tu. Tapi dia sendiri yang cerita. Mungkin modal tambahan untuk yakinkan aku.

Bawa aku jumpa kawan juga pernah. Terpost gambar kami dalam group juga pernah. Bawa aku makan di kawasan rumah juga pernah.

Banyak lagi taktik yang dia guna untuk yakinkan aku secara halus. Mungkin kalian kata, dah tahu itu semua taktik kenapa masih nak percaya? Masa itu memanglah aku percaya.

Logiknya, orang menipu tak akan kenalkan kita pada kawan, bawa ke tempat2 harian dia. Malah siap bagitau lagi selalu cerita pasal aku pada mak dia (lepas bercerai).

Mak dia selalu bertanyakan khabar aku. Mak dia minta maaf banyak kali sebab tak dapat masuk minta aku dengan segera.

Wow. Kalau dah cara itu meyakinkan siapa tak percaya. Sedangkan macau scam pun ramai tertipu hanya melalui panggilan telefon lagikan kalau orang itu yakinkan kita melalui perbuatan lisan. Siap guna nama mak pula tu.

Dahlah. Penat aku taip panjang lebar. Mungkin ada yang bosan. Tapi bagi aku, perkongsian ini penting supaya kita dapat banteras penipuan cinta suami orang yang menganiaya perempuan diluar sana. Dalam masa yang sama mereka juga menganiaya isteri dan anak-anak.

Mungkin ada yang membaca ini berdepan dengan MO laki durjana seperti N. Ambil point ini dan hadam.

Pasal police report, jangan sangka tarik report maka rekod terpadam. Rekod ada dalam data simpanan polis. Aku juga masih simpan salinan report. Sekiranya N masih ganggu, aku tahu apa aku nak buat seterusnya. Tapi 4 tahun ini memang bayang dia dah tak wujud depan aku.

Kalian bimbang N akan cari mangsa seterusnya? Kan aku dah share disini. Sebahagian MO N. Sekarang peranan kalian pula sampaikan pesan peringatan ini pada sekeliling anda.

Masalah ini tanggungjawab bersama. Bukan tahu kemudian buat tak peduli. Kalau N dah berubah, mungkin ada lelaki lain seperti N guna MO sama.

Tentang perbuatan N semasa site visit. Aku rasa penceritaan jelas bagitahu aku kerja dengan N. Dah tentu2 N jadi majikan aku. Aku cerita jelas datang untuk kerja.

Dan aku sendiri fikir N tak akan berani buat yang bukan2 sebab aku kerja dengan dia. Datang atas urusan kerja. Dia tahu apa akibat kalau dia buat juga. Tak ada dalam bahasa aku kata datang untuk dating atau berasmara.

Kalau bos bawa kalian turun site visit adakah dia berhak untuk buat gangguan pada kalian? Kalau berlaku gangguan seksual maka majikan terlepas? Sedap berlemak la jadi bos macam tu.

Undang-undang negara mana yang praktis begitu? Kalau tak yakin, aku tak jumpa lawyer untuk minta pandangan dia dalam kes ini.

Sekiranya ujian sama berlaku pada kalian, aku harap kalian dapat bertindak seperti apa yang dikomen. Aku tak doa. Jangan salah anggap. Nanti kata aku doa yang bukan-bukan.

Ujian kita tak tahu apa akan jadi. Aku sendiri tak sangka aku berdepan ujian ini pada usia 30. So dah boleh congakla berapa umur aku sekarang.

Ini cuma peringatan iktibar. Kadang-kadang, kita cuma mampu berkata. Tapi bila kita diuji, belum tentu kita dapat bertindak serasional fikiran kita sekarang.

Satu lagi, jangan berfikiran buruk pada isteri N. Apa yang dia lalui kita tak tahu. Walaupun aku sedikit kecewa sebab dia tahu perbuatan skandal si suami, tapi aku bukan siapa-siapa untuk hukum dia. Kita doakan urusan dia dipermudahkan bersama.

Doakan juga aku boleh tangani trauma ini. Terima kasih kepada yang banyak memberi nasihat, semangat dan memahami situasi aku. Aku akan cuba kuat. 4 tahun merantau banyak mengajar aku untuk kuat.

Kisah aku dah berlalu. 4 tahun dah pun. Peringatan ini bagi mereka yang belum terjebak atau tengah terjebak. Aku kongsi bukan untuk diri aku. Bukan cari simpati. Tapi untuk kalian.

Kisah bahagian aku dah habis. Tinggal kalian saja yang ada anak-anak, suami. Aish, cuba fahamkan. Tengok sekeliling. Kot Lily itu sebenarnya anak atau adik kakak kalian. Ambil tahu. Bukan menghukum.

Buat para isteri, jika kalian di tempat isteri N apa kalian akan buat? Tepuk dada tanya iman. Jawab pada diri sendiri.

Mungkin tak boleh disamakan tindakan. Sebab kalian dan isteri N ada situasi sekeliling yang berbeza. Atau mungkin kalian kebal masih boleh gelak ketawa seperti hari ini.

Jangan pula curiga suami tak tentu pasal. Hmm.. pandai2lah kome.

Yang tengah bercinta dengan suami orang, mungkin masih tak sedar dengan penipuan si lelaki. Habis baca ini mesti mengadu apa yang kau baca pada dia kan. Si lelaki akan kata “dah dah jangan baca yang bukan-bukan..”

Jenggggg

P/s : Ada suami orang yang tersentap ke tuuuuu. Ingat anak bro. Ingat Allah.

*Maaf kalau banyak pengulangan. Aku tak pandai susun ayat. Jangan risau. Aku tak membebel panjang buat susulan confession lagi. Aku dah kongsi tinggal kalian nak ambil yang positif atau ambil yang negatif. Tak faham? Sila ulang baca semula dari confession 1. Hadam *

Akhir kata,

Jika tiada empati, mana mungkin akan memahami.

Assalamualaikum.

Sekian,

– Nik Faezah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *