Mangsa Darah Daging

Hai, aku terpanggil untuk kongsi kisah hitam hidup aku, lepas viral tentang abang B. Aku baca komen rata-rata adalah enabler. Sangat menyedihkan, kalau lah mereka-mereka ini rasa apa yang mangsa-mangsa macam aku ni rasa dan lalui.

Aku pernah baca satu komen netizen, “takkan lah bapa saudara sendiri tergamak nak buat yang bukan-bukan dekat anak saudara sendiri, darah daging sendiri”.

Little did he know, ramai golongan yang ‘makan’ darah daging sendiri.

Kisah ni berlaku di rumah semasa aku berumur 11 tahun, tahun 2009. Aku dah tak ingat hari tu hari apa tapi yang aku pasti hari tu public holiday. Aku sejenis bangun awal masa penghuni rumah lain belum bangun lagi.

Masatu aku ingat lagi, aku bangun, aku sorang je dalam bilik (kebiasaannya aku tidur dengan kakak aku) tapi pagi tu aku bangun, aku sorang. Mungkin kakak aku tidur dengan adik aku atau parents aku di bilik lain.

Aku keluar bilik dan pergi ke ruang tamu, memang takda siapa lagi yang bangun. Aku sorang je.

Aku bukak pintu utama di ruang tamu, tengok suasana pagi melalui pintu grill.. Tenang je, segar udara dan matahari baru nak naik. Aku pusing belakang, sempat aku tengok jam kat dinding, 07.10 am.

Disebabkan ahli keluarga yang lain belum bangun, aku decided untuk masuk bilik semula. Nak guling guling atas katil. Pintu bilik aku biarkan terbuka.

Tengah aku baring, tiba tiba muncul abang aku. Abang aku ni beza umur 4 tahun dengan aku. Dia masuk bilik sambil pegang handphone ayah. Tahun 2009, zaman handphone sony ericsson, handphone sabun etc. Dia duduk sebelah aku, dia suruh aku tengok sesuatu.

Aku ikut je cakap dia. Aku perhati dia tekan tekan handphone tu sampai satu folder. Dia buka video bagi aku tengok. Semua mesti dah boleh agak kan video apa? Ya, itu video p**n.

Umur aku 11 tahun, aku tak tahu apa benda yang aku tengok. Aku cuma tengok saja. Aku tak faham apa apa. Bila aku teringat balik, aku rasa marah sangat dengan diri sendiri sebab tengok. Bodohnya aku.

Selepas tu dia cakap dia nak buat macam tu kat aku. Aku masih ingat ayat dia. Aku terpinga pinga benda apa yang aku tengok? Benda tu berlaku masa ahli keluarga aku yang lain tengah tidur di bilik lain. Dalam bilik tu cuma ada aku dan dia.

Kejadian lepastu aku tak sanggup nak ceritakan. Tak sanggup aku nak luahkan. Tapi sepanjang benda tu berlaku, aku banyak kali cakap aku taknak, aku sakit. Aku rasa bodoh bila fikir balik, kenapa lah aku tak jerit? Kenapa lah aku tak lari? Kenapa lah aku biar? Kenapa?

Nasib aku baik, benda tu berlaku tak lama. Cuma berlaku tanpa pengetahuan sesiapapun. Lepas daripada tu, dia keluar bilik macam takda apa yang jadi.

Aku masuk ke bilik air (dalam bilik aku ada bilik air), aku perasan ada sedikit darah kat paha aku, aku basuh sambil menggigil tahan kesakitan ya amat bagi aku.

Disebabkan aku tak bagitahu siapa siapa tentang kejadian tu, benda tu kerap berlaku lagi tapi dia cuma harrased aku saja. Pantang nampak aku masuk bilik air, mesti dia ikut. Pegang itu pegang ini sampai dia puas.

Aku masih bodoh tak tahu apa nak buat tapi setiap kali berlaku tu aku cakap taknak dan aku akan kerap menjauhkan diri dari dia. Aku taknak langsung bertemu dengan dia, agak payah sebab kami satu rumah. Tapi aku seboleh bolehnya elak.

Aku sejenis yang akan tulis rutin harian aku dalam diary. Dan apa yang berlaku aku akan tulis dalam diary aku. Diary lah tempat aku meluahkan segalanya.

Aku pernah bercerita dengan kawan sekolah tentang hal ini tapi yalah budak 11 tahun, siapa je percaya? Kawan sebaya pulak tu, memang diaorang tak percaya.

Tapi perkara ni akhirnya terbongkar juga bilamana perangai aku berubah completely. Aku jadi pemarah, aku suka mengamuk, aku rebel. Sedangkan aku bukan jenis macamtu.

Berlaku satu kejadian, adik aku kacau aku, biasalah kacau kacau sikit je, tapi aku punya mengamuk dan marah sampai aku rosakkan barang-barang sekolah adik aku. Mak aku masatu memang naik hantu, aku kena marah gila gila, aku dikata budak bermasalah.

Tapi bapak aku, hero aku dalam cerita ni. Bapak perasan perangai aku berubah, bapak panggil aku masuk bilik, duduk sebelah aku atas katil. Bapak tanya aku ada masalah ke yang aku tak ceritakan? Kenapa sampai macamtu sekali perangai?

Pada mulanya, aku tak berani nak cerita. Aku tak tahu nak mula dari mana. Aku teringat aku ada tulis semua dalam diary aku. Aku ambik diary, aku buka page luahan aku tentang yang berlaku kt aku tu. Aku tak berani langsung nak pandang muka bapak.

Aku dengar bapak mengeluh panjang. Lepastu bapak tanya aku, baru aku ada kekuatan nak cerita satu persatu. Aku menangis masatu. Semahu-mahu aku. Aku peluk bapak. Bapak tenangkan aku, sampai aku lega.

Kemudian, bapak panggil abang untuk bincang kat bilik lain. Aku menanti dalam bilik aku.

Tak lama lepastu diaorang berdua masuk dan bapak cakap depan aku, kalau dia buat lagi sekali bagitahu bapak, bapak takkan teragak-agak heret dia ke balai polis walaupun anak sendiri. Ini last warning bapak kata.

Aku angguk faham. Dan selepastu bapak suruh dia delete semua video berkenaan. Rupanya bapak tak tahu menahu tentang video yang ada dalam handphone tu. Sebab bapak cuma guna handphone untuk call dan mesej.

Dan video tu pun tersimpan dalam folder lain kena bukak banyak-banyak folder dulu baru jumpa, video tu bukan dalam folder videos yang mudah access. Maknanya itu kerja dia. Dia yang guna handphone bapak, download benda macamtu dan sorok.

Perkara ni akhirnya bapak yang settlekan, mak aku taknak masuk campur dan taknak dengar luahan aku. Aku kecewa sangat masatu sebab mak menolak untuk dengar suara aku. Menolak untuk dengar cerita aku. Tapi aku tak marah, aku tak pernah simpan dendam dengan mak.

Alhamdulillah selepastu takda lagi perkara tu berlaku sampai lah aku dah dewasa ni. Aku pun dah berkahwin tapi trauma masih ada.Sebelum berkahwin, aku rasa diri aku ni kotor, jijik, takkan ada lelaki nak pandang aku, nak ambik aku jadi isteri.

Tapi Allah sangat baik, Dia kurniakan kepada aku suami yang sangat baik, sangat penyayang, yang bertanggungjawab, yang melayani isteri selayaknya isteri diperlakukan.

Dia juga bersabar tidak bersama selama 1 bulan selepas bernikah kerana trauma aku. Perkahwinan kami dah memasuki tahun ke 5, tapi kadang-kadang kalau suami aku terlebih bergurau, aku akan rasa takut, berdebar-debar, anxiety.

Aku masih teringat-ingat walaupun dah berbelas tahun berlaku. Suami aku tahu cerita ni, aku pernah ceritakan pada dia sebelum kami berkahwin. Dia terima aku seadanya. Dia cakap dia nak jaga aku.

Walaupun cerita ni tidak lah sampai ke mahkamah, tapi bagi aku bapak lahh hero aku. Bapak sosok yang selamatkan aku. Aku tak tahu apa akan jadi kalau bapak tak perasan akan perubahan aku dulu.

Terima kasih bapak sebab tak pernah cakap aku reka cerita, percaya dengan cerita aku walaupun aku tulis dalam diary, walaupun aku cuma budak 11 tahun yang org anggap budak-budak suka reka cerita. Bapak tak tolak aku, bapak selamatkan aku. Terima kasih bapak..

Kesimpulannya kat sini aku nak pesan, jangan ingat dalam keluarga kita tak ada predator. Siapa siapa sahaja boleh jadi predator walaupun darah daging sendiri. Jangan kita jadi enabler, tolong ajarkan anak tentang sentuhan yang boleh dan tidak boleh.

Dulu aku membesar, pendidikan seks sangat taboo dalam masyarakat. Aku tak tahu sentuhan yang boleh dan tak boleh, aku tak tahu nak buat apa bila benda tu berlaku pada aku.

Zaman sekarang lebih menakutkan, terlalu banyak kes yang kita dengar dan baca. Semoga keturunan kita semua dilindungi Allah sentiasa. Aamiin.

– Ucci (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. maknye pun hampeh la nasib ada bapak waras sikit.. Terima kasih atas perkongsian puan semoga jadi pengajaran untuk semua pantau anak2 kita semua didik mereka sebaiknya..

  2. Dalam masyarakat ada je ibu yg ‘suka sgt’ sebelahi anak lelaki. Lebih2kan anak lelaki walau anak tu ‘nakal’, suka buat jahat, pemalas, suka cari pasal dll. Mmg ada. Anak perempuan, bagai dinafikan hak. Dipandang remeh tiap aduan. Dibiarkan tanpa peduli samada anak ppuan tu sedang ada masalah, merasa takut, rasa lapar, rasa penat. Ada mak yg fikir, anak ppuan ‘tahan segala’. Sedangkn anak lelaki, malas kerja, nk beli rokok pun mintak duit kt mak. Mak beri. Anak lelaki suka usik2 adik perempuan atau kakak sampai menangis, buat xkisah je. Anak lelaki kalau susah, sakit, malas semua diambik perhatian. Sedangkan anak lelaki lah patut diajar tgjawab lebih, utk jadi kuat, utk jadi hero (pd adik ppuan & kakak) bukan ‘perosak’. Dan dibela plak prbuatan dia oleh mak. Mmg xbetul cara sayang anak klau mcm tu punya teruk. Buat semua ibu2, jadikanlah anak lelaki anda seorg yg lbh kuat dlm segala hal. Lg2 kuat mnahan nafsu serakah, nafsu amarah & nafsu kuasai org ppuan. Jadikan anak lelaki pelindung bkn penyondong. Sayangi, kasihi & belai anak perempuan terutama hatinya, agar tidak ‘dibawa lari’ jauh dari awak, wahai ibu. Jadinibu kena rasional, ok. Jgn berat sebelah. Nanti jalan jd senget. Bye!.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *