Mangsa Kepada Golongan Lawan Fitrah

Assalamualaikum. Maaf kalau ayat saya agak berterabur. Sejak kebelakangan ini ramai berkongsi berkenaan golongan lawan fitrah ini. Terbaru confession yang saya baca daripada saudara Rizal, (https://iiumc.com/lawan-fitrah/).

Ya, saya juga menghadapi masalah dan ujian yang sama. Yang berbeza, saya adalah seorang isteri. Usia perkahwinan saya masih baru, tak sampai 3 tahun pun lagi. Saya berjumpa jodoh dengan suami selepas diperkenalkan dengan kawan ahli keluarga.

Saya dan keluarga dah selidik, alhamdulillah latar belakang keluarga yang sangat baik dan alim. Suami saya pon semua orang puji sebagai seorang yang baik, beragama, rajin membantu, hormat orang tua dan sebagainya.

Daripada awal perkahwinan sehingga sekarang, ayat orang sekeliling terhadap saya, “Untung R dapat suami macam P”. Tak pernah ada orang akan cakap, “untung P dapat R.” Ya, di mata semua orang, saya yang untung dapat dia sebagai suami, tapi hakikatnya….

Awal perkahwinan saya bahagia. Tapi kami terpaksa PJJ atas beberapa faktor yang tak dapat dielakkan. Tapi jarak kami tak terlalu jauh, cuma makan masa beberapa jam sahaja. Setiap minggu suami akan pulang ke rumah.

Rezeki Allah, 2 bulan selepas berkahwin, saya mengandung dan alhamdulillah selamat bersalin. Namun, sepanjang saya mengandung sehinggalah sekarang, suami tak pernah tunaikan nafkah batinnya terhadap saya. Saya pernah bertanyakan hal ini, alasan letih berulang alik setiap minggu (disebabkan kami pjj).

Lepas habis pantang, alasannya dia ingat saya masih lagi nak jaga pantang sampai 100 hari sedangkan dah lebih 100 hari. Alasan lain dia malu dan segan (yelah kami pon kategori bercinta selepas berkahwin). Tapi saya masih bersabar.

Dari segi keperluan zahir dan tanggungjawab lain terhadap anak isteri, suami saya sangat bagus. Dia memang seorang anak, abang dan menantu yang baik. Tapi banyak juga perbuatan dia yang buat saya makan hati. Kalau nak ceritakan secara terperinci, panjang. Tapi benda-benda tu masih boleh saya sabar dan pejam mata.

Suami saya ni, saya sebagai isteri tak dibenarkan untuk tengok handphonenya. Alasan suami, itu adalah privacy. Saya sebagai isteri kena percaya pada dia. Kami selalu bergaduh bab ini. Saya pelik kenapa perlu berahsia. Tapi ayat saya pada suami satu je, “ok saya sebagai seorang isteri saya percaya kat abang, tapi kalau betul abang ada sorok atau tipu belakang saya, Allah akan tunjuk”.

Allah makbulkan doa dan kata-kata saya. Satu malam semuanya terbongkar. Saya jumpa video kelakuan sumbang suami dengan pasangannya dan paling saya rasa sakit, pasangannya juga saya kenal, saya panggil F.

Sebelum berkahwin suami kenalkan saya dengan F sebagai teman rapat. Suami dan F depan saya sangat baik. Sampaikan semua ahli keluarga kenal. F juga pernah datang ke majlis kesyukuran kami dengan keluarganya. Allah, sedih dan kecewanya saya. Sanggup dorang tipu saya macam ni. Berhadapan dengan saya tanpa rasa bersalah.

Tapi dalam masa yang sama saya bersyukur, sebab sepanjang berkahwin, bila suami saya layan saya teruk dan bergaduh dengan saya, saya selalu rasa saya sebagai isteri yang teruk tak hormat suami. Saya menyalahkan diri sendiri. Tapi rupanya, inilah punca semua layanan teruk suami pada saya.

Suami mohon maaf kat saya bila semua terbongkar. Patutlah beriya tak kasi saya tengok phone dia, rupanya ada rahsia besar. Tergamak F dan suami buat benda terkutuk masa saya dalam pantang. Saya sempat baca perbualan F dan suami. Memang macam orang bercinta.

Semua ayat-ayat manis suami pada F, tak pernah saya sebagai isteri dapat. Darjat saya sebagai isteri lagi rendah dari F. Allah, sedih tak terkata. Tapi saya berdoa kat Allah, kuatkan hati saya. Saya bagi peluang suami saya untuk berubah. Saya husnuzon yang mungkin Allah pertemukan jodoh suami dengan saya untuk suami saya berubah.

Perkara ni dah beberapa bulan berlalu. Suami saya nampak berubah. Tapi akhir-akhir ni kami bergaduh balik. F rupanya senyap-senyap masih lagi berhubung dengan suami saya walaupun jarang dengan alasan mintak tolong. Suami? Ya, dia tolong, alasan dia hanya tolong.

Allah, saya dah puas cakap jangan sesekali berhubung. Dah macam-macam cara saya buat tapi gagal, suami pon merasakan apa dia buat tak salah. Dia siap salahkan saya yang masih tak percaya pada dia.

Saya terfikir, jalan terakhir saya adalah dengan melibatkan orang tua kami dan jumpa sendiri dengan keluarga F. Tapi sebab saya fikirkan aib suami, saya bersabar dan berusaha dulu untuk ubah dia. Saya sayang suami, saya sayang perkahwinan ini. Tapi kadang-kadang susahnya sebab saya rasa effort tu saya seorang sahaja. Suami 50%.

Awal-awal dulu saya pernah cakap pada suami, kenapa heret saya dalam masalah ini. Jangan berkahwin dari awal sepatutnya. Sampai mati sepatutnya jangan kahwin. Sekarang ini saya yang jadi mangsa dan dah ada anak, anak pon terheret sekali jadi mangsa. Sedih tu tak dapat nak ucap. Kadang-kadang saya kuat, kadang-kadang tak.

Sekarang ini saya doa banyak-banyak pada Allah untuk lembutkan hati suami, campakkan rasa dalam hati dia untuk berubah,taubat nasuha, buang perasaan songsang itu semua, layan baik saya sebagai isteri dan sayang saya dan anak sepenuhnya. Saya juga doa Allah kuatkan hati saya dalam menghadapi ujian ini.

Saya minta semua pembaca, doakan juga untuk suami saya berubah, dan rumahtangga saya dapat diselamatkan. Saya nak bahagia. Saya sayangkan suami, saya sayangkan anak. Doakan saya kuat dan sabar. Saya mohon supaya suami berubah dan saya juga akan berusaha berubah ke arah lebih baik.

Doa je senjata yang saya ada, macam-macam mana pun, hati manusia ini Allah yang pegang, dengan doa dan izin dari Allah, Allah je dapat ubahkan hati seseorang itu untuk berubah. Moga juga keputusan saya adalah terbaik untuk saya.

– Mrs. R (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *