Mangsa Poligami: Dari Sudut Anak Isteri Kedua

Assalamualaikum wbt. Luahan hati aku ni dari sambungan confession “hai mak tiri” (https://iiumc.com/hai-mak-tiri/).

Aku jugak salah seorang mangsa poligami, tapi lagi hina kerana anak isteri kedua ataupun “ba** sondol” panggilan orang melayu.

Selalunya orang hanya mengetahui corehan rasa isteri pertama dan anak2. Aku dan adik2 jugak adalah mangsa keadaan kerana “dosa” ibu kami.

Ayah aku seorang kontraktor kelas A, berkahwin dengan isteri pertama 10 tahun sebelum bertemu dengan ibu aku. Isteri pertama, kupanggil mak tua, seorang ustazah sekolah agama dan seorang yang baik budi bahasa. Mempunyai 4 orang cahaya mata hasil kongsi hidup dengan ayah aku.

Selepas Mak Tua melahirkan anak keempat, Mak Tua mengalami sakit misteri sehingga tidak mampu untuk melayan nafkah batin ayah.

Jenuh mereka pergi berubat sampai ke borneo tetapi penyakit mak tua tidak juga sembuh. Mak tua seperti hilang nafsu dan tidak berupaya lagi “bersama” dengan ayah.

Atas kerana tanggungjawab, mak tua menyarankan ayah berkahwin dengan ibuku, seorang guru tadika dan mereka memang rapat seperti kakak dan adik. Ibu seorang anak yatim piatu dan atas dasar keakraban mereka, ayah bersetuju.

Mak tua menceritakan kepadaku, saat ayah diijab kabulkan, mak tua hampir pengsan kerana rasa sedih. Tetapi dikuatkan hati kerana dia amat menyayangi ayah. Hasil perkongsian hidup bersama ibu, mereka dikurniakan 3 orang anak. Dan aku anak sulung ibuku.

Ini adalah kisah aku bagaimana kami menghadapi pandangan masyarakat dari aku kecil sehinggalah dewasa. Ayah cukup baik, amat baik.

Aku juga memiliki saudara sebapa yang juga baik dan akrab

Kami sekeluarga tiada masalah. Tapi yang menjadi masalah adalah masyarakat dan keluarga ayah. Sejak berkahwin ibu tidak pernah dijemput sebagai hak isteri kerumah keluarga ayah. Jika ibu pergi, ibu dilayan seperti orang luar atau dicela sebagai perampas.

Nenek cukup sayangkan mak tua. Bagi nenek, walaupun apa pun alasan, ayah sepatutnya tidak perlu berkahwin lagi. Ayah boleh “berpuasa” jika mak tua tidak mampu untuk melayan ayah.

Ayah dikatakan gatal, ibu dicela sebagai perampas, dan anak2 ibu dilabelkan sebagai anak perampas. Kami dilayan berbeza dari sepupu2 yang lain hanya kerana kami anak isteri kedua ayah.

Nenek sampai keakhir hayat tidak pernah memandang wajahku. Nama aku pun dia tidak tahu. Jika raya, nenek selalu belikan hadiah untuk cucu2nya yang lain, tapi anak razak (bapaku) hanya diiktiraf legally 4 orang sahaja.

Mak tua seringkali membela aku sekiranya aku dan adik2 diperli masyarakat. Tapi masyarakat tetap memandang hina kepada kami dengan beralasan, ibu patut fikir sebelum kahwin dengan suami orang.

Sejak ayah berkahwin dengan ibu, ibu banyak beralah.

Walaupun hukum mengatakan hak sama rata terhadap isteri2, tetapi kerana mentaliti masyarakat melayu mengatakan isteri kedua tidak boleh ada hak seperti isteri pertama, ibu terpaksa memikirkan maruah ayah. Ayah hanya balik 2 hari seminggu.

Alasan ibu, mak tua sakit. Kami 3 beradik memang jarang jumpa ayah tapi mak tua sentiasa menelefon ibu dan memohon maaf jika ada rasa terkilan didalam keluarga kami.

Bila ayah bawa kami sekeluarga keluar berjalan, ibu akan dicela sebagai penyebuk, suka berkepit dengan suami. Seolah2 ayah berhak bawa mak tua sahaja kepada umum, bukannya ibu.

Ibu berhenti kerja kerana tidak tahan diperli di tadika. Ibu luangkan masa menjaga mak tua dan membawanya berubat merata tempat.

Ibu memasak dan menghantar makanan ke rumah mak tua. Bila adik ayah ada dirumah mereka, adik ayah (pakcikku) membuang makanan yang ibu masak ke tong sampah dengan alasan takut makanan itu disihir.

Begitu dasyat sekali ibu dan kami adik beradik dihina dan difitnah hampir setiap hari.

Berkat kesabaran mak tua, Allah anugerahkan kesembuhan kepadanya. Akhirnya mak tua boleh meneruskan kehidupannya seperti biasa dan masih dianggap sri kandi kepada masyarakat kerana berkorban memberikan ayah keizinan untuk berkahwin lagi.

Ada yang menyuruh ayah menceraikan ibu kerana mak tua sudah kembali pulih seperti sedia kala.

Waktu itu aku berumur 18thn, aku duduk dengan ibu dan menyarankan ibu supaya berpisah dengan ayah. Bukan kami tidak sayangkan ayah, tapi kami tidak mampu lagi menahan diri dari dihina dan maruah ayah jugak saban hari diejek sebagai gila seks.

Aku usulkan kepada ibu disaat aku diterima masuk matrikulasi perubatan di pulau pinang. Petang itu, ayah menghantar aku ke kolej dan menasihatkan aku supaya teruskan bersabar.

Tidak sesekali ayah akan menceraikan ibu kerana baginya ibu adalah permata didalam keluarga kami. Ayah tidak kisah dihina dan diejek, kerana ayah tahu aku dan adik2 amat menyayangi ayah, ibu dan mak tua.

Kini, ayah sudah tiada lagi. Kami adik beradik semua sudah berjaya didalam kareer masing2. Aku menjadi seorang doktor, adikku seorang pegawai tentera dan si bongsu masih belajar di kolej kejururawatan dan dia menggalas tanggungjawab menjaga ibu dan mak tua.

Kami sekarang tinggal bersama dan berhijrah jauh dari kampung supaya tiada lagi kata nista yang menghantui hidup kami sekeluarga.

Sahabat2 ku sekalian.. trauma menjadi mangsa poligami ini cukup menyakitkan dan sehingga hari ini aku masih didalam rawatan depresi kerana kisah silamku. Aku bernasib baik kerana kami dianugerahkan mak tua yang cukup mulia.

Kami hanya diduga oleh masyarakat yang negatif. Aku amat memahami keadaan anak2 mangsa poligami yang lain tetapi sebagai anak isteri kedua, sekiranya ibuku seorang yang kejam kerana merampas ayah, tetapi apakah salah aku dan adik2?

Kami tidak minta untuk dilahirkan sebagai anak isteri kedua. Mengapa kami dilayan seperti sampah masyarakat? Anak2 isteri pertama walaupun apapun berlaku, mereka tetap dianggap wira dimata masyarakat kerana kuat menghadapi kehidupan disaat si ayah berkahwin lain.

Oleh itu, aku ingin menasihatkan kepada mereka yang ingin berpoligami, fikirlah keadaan dan penerimaan anak2 yang sedang membesar. Fikirkan jugak masa depan bakal2 anakmu bersama isteri kedua ketiga dan keempat.

Mampukah kamu membela maruah isteri disaat masyarakat menghinanya? Ataupun kamu hanya berdiam dan duduk didalam rumah dan tidak peduli perasaan isteri2mu?

Buat gadis2 diluar sana, fikirlah masa hadapan dan jgn fikir keseronokkan sekarang kerana menjadi isteri kedua.

Bagaimana kamu dapat berhadapan dengan semua orang termasuk dengan keluarga mertua sekiranya mereka tidak dapat menerima kamu dan membeza bezakan layan mereka terhadap anak2mu?

Mungkin kamu boleh bertahan, tetapi bagaimana perasaan anak2 kecil kamu seperti keadaan aku yang dulu?

Sejujurnya.. sekiranya aku diberi pilihan, aku tidak mahu dilahirkan sebagai anak isteri kedua…

Sekian..

Wassalam.

– Gia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *