Mangsa Yang Terluka

Assalamualaikum semua. Aku terpanggil untuk menulis selepas menonton video pengakuan adik Aqish. Ya, aku juga mangsa s3xual assaults. Maaf bahasa melayu aku yang caca-marba.

Aku dilahirkan dalam keluarga besar. Keluarga aku tinggal berdekatan dengan rumah atuk. Ingatan aku pada kisah silam aku sebenarnya samar-samar.

Aku percaya keadaan ini kerana minda separa sedar aku menolak untuk mengingati detik hitam itu. Aku hampir lupa zaman kanak-kanak aku kecuali perkara gembira sahaja.

Luaran, aku wanita yang berjaya. Masih belum berkahwin, diusia petengahan 30-an aku ada segalanya. Pendidikan yang baik sehingga peringkat universiti.

Aku kini professional dengan gaji yang agak tinggi. Tiada siapa tahu aku sebenarnya masih dibelenggu kisah silam yang tidak mungkin padam dari ingatan separa sedar aku.

Seingat ingatan separa sedar aku, kejadian itu ketika aku berumur 10 tahun. Mungkin sebenarnya lebih awal, aku tak pasti.

Abang kandung aku sendiri yang lebih 3 tahun tua dari aku melakukan perkara terkutuk itu. Yang aku pasti, dia melakukan perkara terkutuk itu setiap kali ada peluang.

Aku diajak ke bilik di rumah atuk. Aku tak sanggup untuk cerita secara terperinci perbuatannya. Cukuplah pembaca semua tahu aku dicabul.

Waktu itu, aku binggung dan tak tahu perbuatan itu adalah s3xual assaults. Anak kampung macam aku, apalah yang aku tahu.

Aku hanya menurut. Aku tidak selesa. Namun aku tak mampu menolak. Tiada siapa tahu apa yang kami buat dalam bilik dirumah atuk.

Perkara itu berlarutan beberapa lama sehingga kemuncak aku sudah tidak tahan kerana aku rasa perkara itu tidak betul. Walaupun aku sebenarnya bingung dan tak pasti, aku mula menolak untuk ikut ke bilik atuk.

Kali terakhir semasa semua keluarga aku ke negeri lain untuk menghadiri majlis perkahwinan bapa saudaraku. Ketika itu aku memberontak dan marah-marah.

Sejak itu aku mula defensive dengan abang aku. Hubungan kami buruk dan aku selalu bergaduh untuk elak dari berada ditempat yang sama dengan dia.

Aku masih ingat, aku pernah angkat pisau untuk tikam dia. Semua perkara itu aku lakukan dalam keadaan separa sedar. Aku mula jadi agresif dan pemarah.

Pertolongan Allah datang ketika aku masuk sekolah menengah. Aku diterima masuk ke asrama. Sejak itu aku sedaya upaya tinggal jauh dari keluarga. Masuk asrama, belajar dinegeri untuk mengelak bertemu abang aku.

Sekarang, walaupun di pertengahan umur 30-an, aku masih berdendam dengannya. Dia? Aku sendiri tak pasti kalau dia masih ingat perbuatannya pada aku.

Tapi aku sendiri masih dalam belenggu trauma sendirian. Aku bahagia, tapi tidak sepenuhnya. Masih ada ruang kosong dihati aku.

Aku defensive dengan siapa saja. Aku agak pemarah dan keras. Aku ada trust issue dengan lelaki terutamanya.

Kalaulah benar cerita Aqish, aku faham kenapa dia diam dulu. Mungkin seperti aku, takut dengan abang aku dan penerimaan keluarga. Aku sendiri. Tiada siapa yang aku percaya untuk jadi pelindung.

Hingga kini aku masih lagi memendam. Aku belajar undang-undang dan mungkin akan jadi seorang peguam di masa depan. Tapi, aku sendiri tak pasti jika aku mampu untuk bawa abang aku kemuka pengadilan.

Aku agak kecewa bila rakyat Malaysia mengecam Aqish. Mangsa sexual assaults sangat fragile dan vulnerable mentally and physically.

Walaupun kita tak pasti perkara itu benar atau tidak, kata-kata kesat mungkin menambah luka. Apa yang aku boleh katakan, tiada siapa dapat rasa kesakitan dan penyiksaan yang kami mangsa rasa.

Akhir kata, kalau tiada yang baik dapat dikatakan, adalah lebih baik diam sahaja. Semoga urusan Aqish dipermudahkan dan mendapat pembelaan selayaknya.

– Mawar Terluka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *