Manisnya Iman

Assalam sahabat seperjuangan, aku nak cerita tentang manisnya iman. Allah hantar hidayah pada aku melalui sebuah perkahwinan. Toyyyibbbb, sang kancil datang beramai ramai mengadap sultan firaunnnn.

Aku ni dilahirkan dari sebuah keluarga sederhana, harta tak ada tapi Allah jaga dari kecil hingga besar. Tak pernah lagi tak cukup makan, cukup dapat pendidikan sekular dan pendidikan agama di sekolah dan rumah. Graduan diploma dengan satu sijil beserta transkrip degree palsu. Tak pernah guna untuk kepentingan diri sendiri lagi walau ada niat. End up, aku bekerja dengan sebuah kilang je di kawasan luar bandar. Gaji sedang sedang elok cukup cukup makan. Semuanya cukup cukup Allah beri pada aku, tapi tak pernah aku bersyukur sentiasa mengeluh pada diri sendiri. Dari segi kepercayaan, aku Mukmin Muslim Islam dan Melayu sejak lahir. Pengetahuan agama ada tapi tak reti nak jadi seorang yang tinggi imannya. Solat pun aku tak jaga sangat, asal susah sikit baru sibuk bentang sejadah. Begitu lah keadaan aku untuk beberapa tahun selepas tamat pengajian.

Satu hari tiba tiba terdetik hati ni nak berhijrah nak keluar dari segala macam kebiasaan dan keselesaan yang ada ni. Normal hidup aku ni lama lama rasanya macam membunuh jiwa aku perlahan lahan. Jadi aku putuskan untuk keluar dari perkampungan aku ni dan nak cari jatidiri yang dah lama sendu ibarat berudu di parit yang penuh dengan haruan. Berminggu minggu buat perancangan, antara negeri negeri pilihan adalah Perak, Terengganu dan Penang. Akhirnya selepas beberapa faktor pengaruh media sosial, rakan, ekonomi, dan ilmu.. aku pilih untuk berhijrah ke Australia. Ya, sebagai pemetik buah. Tak berbelah bahagi dah waktu tu bila aku buat keputusan, lansung terus hajat aku ni kepada mak ayah keluarga dan rakan rakan baik. Semua setuju dan ikutkan aja kehendak aku asalkan aku pasti dan yakin dengan kemahuan aku tu.

Kini aku dah berada di Australia, macam macam jenis kerja dah buat, macam macam dosa kecil aku dah buat, dan macam macam susah musibah dah aku tempuh seorang diri. Makin susah makin yakin aku. Aku pun tak pasti kenapa kali ni jiwa aku betul betul besar nak terus mendayung perahu kecil di laut keduniaan ni. Tak sama rasanya dengan beberapa tahun lepas yang suram di tempat asal aku. Benda pertama yang aku sedar, Allah baik sangat.. aku dapat rasa yang segala macam kesusahan yang aku tempuh di Australia ni seolah olah sedang memandu aku ke satu destinasi yang aku tak pasti apa bagaimana dimana siapa dan kenapa. Tapi aku dapat rasa yang destinasi yang aku tuju ni bukan satu perkara yang buruk. Jiwa aku tenang je redah seorang diri.

Selepas beberapa tahun di Australia, sampai dan tiba lah aku di satu lokasi di kawasan perkampungan di atas gunung. Dua tahun juga aku menetap di ceruk pendalaman ni. Ada beberapa rakan Malaysia yang aku jumpa dan kenal, kami ikhtiar hidup bersama untuk teruskan hidup demi masa depan yang aku sendiri pun tak pasti macam mana. Ada banyak kawan kawan dari negara lain juga, Korea Japan, dari Eropah pun banyak, kami semua kerja la sebagai pemetik buah. Rasa bangga betul bila bekerja dengan kawan kawan dari segenap pelusuk dunia. Rata ratanya pengembara dunia yang jadikan pekan ni destinasi untuk mencari dana untuk sambung perjalanan ke destinasi seterusnya. Hingga lah satu hari aku diperkenalkan dengan seorang gadis yang wajahnya persis gadis dari negara Amerika latin. Rupanya dia adalah kacukan dari dua negara, menjadi model di negara asalnya, cantiknya ciptaan Allah ni sampai termenung kejap tengok kecantikan yang luar dari paras kebiasaannya.

Kami kawan biasa biasa je, kadang kadang aku ajar dia cara untuk buat duit lebih banyak dan ajar dia segala macam trick untuk dapatkan wang lebih. Destinasi seterusnya dia nak ke India untuk dapatkan kursus Yogi instruktor Yoga dan lansung ke South America. Aku ni dorang sebut nama nama negara lain aku tahu lah tapi aku tak tahu pun di mana lokasinya. Lama lama kami jd rapat selepas beberapa bulan berkawan, dari bulan bawa ke tahun. Genap setahun kami berkawan, akhirnya dia batalkan hasrat dia untuk sambung perjalanan dia. Sebab utamanya adalah, dia nak belajar tentang agama Islam. Ya, dia nak belajar tentang agama Islam dari aku yang tak praktis agama sedangkan nama aku akhlak aku dan sikap aku mewakili semua orang Islam di dunia ni.

Sedikit latar belakang gadis kacuk mat salleh dan asia ni. Dia baru je tamat pengajian Anthropology di Jepun dan England. Umur dia kurang 3 tahun dari aku. Dia ni cukup pakej sebagai seorang manusia dan seorang gadis, cantik, bijak, berdikari, ada prinsip, neutral, dan dia ni tak ada apa apa pilihan agama sebab bagi dia semua agama ajar kebaikkan, cukup bagi dia buat kebaikkan untuk diterima masuk syurga jika syurga itu benar benar wujud bagi dia. Kalau tak wujud pun dia tak kisah. Tapi dia ni memang baik, mungkin atas faktor didikan dari rumah dan pendidikan yang dia peroleh sejak kecil.

Selepas beberapa siri kelas agama basic yang aku buat untuk dia, dia bersedia untuk ke tahap seterusnya..dah boleh baca quran walau tak lancar, dah mula bercakap arab dengan aku walau aku tak tahu apa apa. Banyak dia belajar sendiri sebenarnya, jenis suka belajar. Dia fasih 4 bahasa dan sedang belajar 3 lagi bahasa termasuk Melayu dan Arab. Lama kelamaan dia boleh dikatakan ada pengetahuan agama selaras dengan budak sekolah agama darjah khas. Satu hari dia balik negara asal dia untuk bermeditasi dan ambil ruang untuk berfikir dan buat keputusan. Aku tak tanya banyak pun, sebab aku kawan je. Tiba tiba dapat call, dia kata dia nak masuk Islam. Aku pun cakap lah pergi cari masjid di kawasan sekitar bandar tempat dia tinggal tu. Dia kata dia dah pergi dan dah dapatkan tarikh temujanji dengan pihak Masjid. Semua dia dah rancang, dia cuma nak tanya aku satu soalan je, adakah aku sudi berkahwin dengan dia bila mana dia bersedia untuk berkahwin.

Dia kata dia nak masuk syurga sama sama, terkedu kejap aku.. sebenarnya aku menangis. Menangis sebab aku rasa itu lah saat Allah ketuk pintu hati aku dan beri hidayah serta segarkan semula iman aku melalui seorang gadis yang satu ketika dulu tak percaya konsep agama dan tuhan. Waktu tu aku diam panjang sebab sedih gembira, rasa macam aku yang baru peluk islam. Terasa lain sangat selepas dia tanya soalan tu. Berbalik pada soalan tu, aku jawab dengan satu ayat je ‘thanks’! Aku letak telefon dan aku solat sampai basah tshirt berjam jam duduk bangun sujud atas sejadah tu. Seingat aku lepas habis waktu Isyak hari yang sama, gadis kacuk tu hantar mesej bergambar quran yang dia peroleh dari masjid selepas dia ishtihar secara rasmi dengan negara dia yang dia beragama Islam. Aku reply Alhamdulillah, dia reply dia nak balik Australia dalam masa terdekat.

Selang sebulan, dia pun tiba di Australia. Kami berjumpa selalu selepas tu. Satu hari aku buka mulut yang aku masih belum jawab soalan dia. Dia dah tersipu malu dengan tudung senget senget yang dia belajar lilit lilit cucuk dari You Tube. So bermula lah episod baru, kecelaruan keluarga dia di kedua dua belah negara selepas mendapat tahu yang anak cucu dia ni nak berkahwin dengan seorang Melayu yang dikatakan dari dunia kelas ketiga dan juga seorang Muslim. Keluarga dari Eropah menentang keputusan kami untuk berkahwin sekeras kerasnya. Begitu juga keluarga di negara matahari terbit.

Mereka sebenarnya bukan benci dengan Islam tapi mereka tak faham konsep agama Islam. Aku tak salahkan pun mereka membenci aku. Alhamdulillah keluarga aku di Malaysia terima dan restu perkahwinan kami. Seronok bapak aku bermenantukan minah salleh. Tiap bulan bakal isteri aku dengan keluarga aku bertukar tukar surat dan hadiah tanpa sebarang sebab dan keraian. Alhamdulillah kami berkahwin juga walau mendapat tentangan kedua dua keluarga besar isteri aku ni.

Konflik ni masih berterusan sehingga hari ini. Aku menulis ni sebab aku baru dapat mesej bertanya khabar dari salah seorang ahli keluarga isteri aku di Eropah. Aku nak minta jasa baik pembaca untuk doakan kebahagiaan kemudahan untuk kami berdua dan sekeluarga khususnya.

Yakin yang Allah tu ada, Dia tahu segalanya. Usah risau jika panas mentari terik, kerana senja pasti tiba berbisik.

– Zuruto

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *