Assalamualaikum semua. Terima kasih saya ucapkan kepada team IIUM Confession jika perkongsian ini disiarkan.
Tiada confession, cuma ingin membuat perkongsian dari ceramah yang saya dengar yang bertajuk “Manisnya Ujian”. Ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Wadi Anuar tentang ujian.
Saya berasa selesa untuk berkongsi di sini memandangkan saya tak ada blog nak tulis panjang2.
Melihat kepada banyak confession di IIUM Confession tentang masalah kehidupan juga merupakan salah satu sebab saya ingin selitkan perkongsian tentang ujian di sini.
Disclaimer:
Apa yang saya akan kongsi adalah olahan dari ceramah, bukan berdasarkan pengalaman atau kepakaran saya.
Dan jika masalah kehidupan yang anda hadapi lebih bersifat teknikal, maka selesaikan masalah tersebut dengan cara yang betul. Contohnya, rawat masalah kemurungan dengan berjumpa pakar, di samping mengamalkan amalan2 di bawah sebagai ‘supplement’.
————–
Dalam dunia ni, manusia paling kuat diuji adalah para anbiya. Percaya atau tidak, sedikit cerita yang kita dengar dari sirah2 (contohnya, Nabi Yunus ditelan ikan, Nabi Zakaria tidak mendapat anak selama bertahun2),
Pada hakikatnya ujian yang mereka hadapi jauh lebih berat. Kerana itulah mereka dipilih oleh Allah menjadi Rasul.
Dan antara yang terkuat dan terhebat ujiannya adalah pemimpin teragung kita, iaitu Rasulullah SAW. Baginda menjadi yatim piatu sejak kecil, namun tetap bersabar dengan ketiadaan orang tuanya.
Setelah menjadi Rasul, tidak ada satu hari dalam hidup baginda di mana baginda tidak dicaci maki atau dihina.
Malah, sudah beberapa kali baginda berhadapan dengan ugutan bunuh dan juga situasi di mana baginda hampir2 dibunuh.
Baginda telah dijanjikan syurga, malah telah termaktub juga bahawa baginda itu kekasih Allah. Namun, ibadah tidak pernah berkurang sehingga bengkak kaki baginda kerana banyaknya solat.
Baginda adalah perdana menteri, ahli masyarakat dan ketua keluarga. Semua tanggungjawab tetap dilaksanakan dengan sempurna. Bayangkan, penat atau tidak jika kita sendiri melalui tugasan2 yang baginda pikul.
Selain daripada kisah Rasulullah SAW, kita boleh belajar daripada beberapa kisah teladan.
Bayangkan betapa beratnya ujian Asiah mempersuamikan Firaun yang murtad malah sesat, manusia terkejam di dunia. Namun beliau masih tetap dengan aqidah dan tidak tergugat dengan persekitarannya.
Bayangkan pula keadaan Nabi Ayyub yang diuji dengan kemiskinan setelah merasa nikmat kekayaan, diuji dengan kematian anak2nya, isteri2nya (kecuali seorang sahaja yang setia) pula lari setelah baginda jatuh sakit, dan baginda mengalami penyakit yang membuatkan baginda terlantar.
Pada satu hari, si isteri yang setia bertanya (mungkin setelah lama memendam persoalan),
“Wahai Ayyub, sekiranya engkau berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan kelapangan bagimu.”
Nabi Ayyub AS menjawab: “Aku telah menjalani hidup dengan sihat selama tujuh puluh tahun. Sangat sedikit sekali bagi Allah bila aku bersabar untuk menghadapi ujian ini selama tujuh puluh tahun.”
Dan banyak lagi kisah yang kita boleh pelajari. Sebenarnya, ujian yang Allah turunkan ke dalam hidup kita hamba2Nya, sedikit atau banyak, adalah untuk menaikkan darjat kita.
Even though kita sekadar tersepak bucu katil, itu juga dikira ujian dan akan menaikkan darjat kita jika kita bersabar. Inikan pula jika kita diuji dengan sesuatu yang berat.
Selalunya, apabila kita diuji secara berterusan, seperti ujian kemiskinan, kelemahan, kesakitan dan lain2, kita seolah2 merasakan tempoh yang dilalui amat panjang. Seolah2 tiada jalan keluar.
Maka, Ustaz Wadi menyarankan 8 amalan untuk dilakukan, boleh pilih salah satu atau nak lakukan beberapa pun boleh.
Dengan izin Allah, kita akan dapat keluar dari kesusahan.
Sama juga sekiranya kita ingin ubah diri menjadi lebih baik, ingin meninggalkan maksiat namun terasa sukar, dan macam2 lagi ujian yang terasa memberati bahu, maka kita boleh cuba tips2 yang dikongsi oleh Ustaz Wadi dalam ceramahnya.
1. Lengkapkan bacaan Surah Al-Baqarah selama 3 hari berturut2. Amalan menghabiskan bacaan surah Al-Baqarah juga bagus jika kita baru sahaja pindah ke tempat baru.
“Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. [Riwayat Muslim (780)]
2. Solat Fardhu.
Bagi lelaki – solat jemaah selama 40 hari. Kalau tidak boleh ke masjid kerana Covid, boleh lakukan di rumah. Niatkan dengan niat yang betul dan baik.
Bagi perempuan – solat awal waktu selama 40 hari.
3. Baca surah Yasin, pagi dan petang, selama 40 hari
4. Selawat sebanyak 1000x, selama 40 hari. Selawat tidak perlu panjang2, sekadar “Allahumma salli ala Muhammad”. Menurut Ustaz Wadi, amalan istighfar adalah yang kedua terbaik selepas selawat, dan amalan selawat ini diibaratkan sebagai nuklear power.
5. Sedekah kepada mak ayah (pastikan terlaksana dahulu nafkah2 yang utama jika anda seorang suami).
6. Istighfar sebanyak 1000x, selama 40 hari. Mudah sahaja, sekadar baca “Astaghfirullah astaghfirullah” sebanyak 1000x. Istighfar ini sebenarnya satu amalan yang sangat bagus diamalkan pada setiap masa.
7. Taubat. Taubat perlu dilakukan kerana kita seorang pendosa. Terutama bagi yang ingin berubah menjadi lebih baik dan mahu meninggalkan maksiat2 yang pernah dilakukan.
Boleh refer kepada kaedah melakukan taubat nasuha, pastikan dapat dari sumber yang sahih.
8. Solat 2 rakaat. Simple sahaja tapi pastikan untuk lakukan pada waktu2 yang tidak dilarang melakukan solat sunat. Boleh rujuk sumber yang sahih.
Lakukan salah satu, atau beberapa tips yang anda mahu, atau nak buat semua pun boleh (jika mampu). Dengan izin Allah, akan berlaku perubahan yang positif dalam hidup anda.
Tapi dengan syarat, laksanakan hak2 Allah terlebih dahulu seperti tidak tinggal amalan wajib (solat fardhu, puasa Ramadan, zakat), jaga hubungan dengan ibu bapa, saudara-mara, jiran, rakan2, dan lain2.
Kata ustaz, ada yang datang kepadanya mengadu tidak berlaku apa2 perubahan setelah mengamalkan al-Baqarah. Rupanya dia tidak solat subuh.
Ada juga yang mengadu masalah yang dihadapi masih tidak berkurang, maka selepas disiasat, rupanya si fulan masih tidak berdamai dengan saudaranya.
Maka, dalam keadaan kita berikhtiar untuk keluar daripada masalah, perlu untuk kita muhasabah dan perbaiki hak2 Allah dan hak2 sesama manusia. Bukan hendak saya katakan yang Allah tidak akan bagi apa yang kita minta jika kita tidak buat A, B atau C.
Secara hakikat, Allah itu Maha Pemurah, Dia ada kuasa untuk beri dan tidak beri kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Contohnya, ada ketika kita berdoa untuk dapatkan sesuatu tapi tidak dapat, sebaliknya sesuatu yang kita tidak pernah minta kita dapat.
Tetapi, ada suatu ketika di mana dosa kita menjadi asbab doa kita terhalang. Maka, cara yang terbaik adalah dengan meminta pengampunan Allah.
Sedikit pendapat saya (ini bukan daripada ceramah ustaz). Allah akan mengangkat ujian kita dalam beberapa bentuk. Ada yang diangkat ujiannya directly (contohnya, ujian sakit maka Allah hilangkan kesakitan).
Ada yang Allah gantikan dengan nikmat yang lebih baik (contohnya, tidak dapat pekerjaan A, tetapi berjaya dalam bisnes sendiri).
Ada yang Allah kekalkan dalam keadaan diuji, tetapi Allah kurniakan kekuatan spiritual sehingga ujian yang dilalui tidak lagi dikeluhi dan kehidupan tetap dijalankan dengan sabar dan tenang.
Apa jua bentuk ujian, jika kita menerima dengan sabar dan tetap dengan tawakal kepada Allah, tidak ada yang lebih baik melainkan ganjaran syurga di akhirat kelak.
“Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata):
“Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (Ar-Ra’d: 22-23)
Akhir sekali, mohon maaf jika rumusan dan perkongsian yang saya lakukan ini tidak lengkap atau sedikit berlainan daripada content asal.
Saya sangat teruja untuk berkongsi kerana saya juga sedang berusaha untuk mengamalkan salah satu daripada amalan yang disarankan.
Selain daripada mengharapkan agar keluar daripada ujian hidup yang sedang lalui, saya amat berharap semoga amalan ini dapat menjadi penghubung yang kuat antara diri kita dengan Allah. Semoga bermanfaat dan selamat beramal! ^_^
– Solehah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit