Manja Mama

Assalamualaikum. Hari ini aku ada sedikit kelapangan untuk berkongsi secebis kisah hidup aku. Terima kasih admin jika ini disiarkan. Jika tidak disiarkan pun tidak mengapa. Aku cuma ingin berkongsi cerita yang aku tidak pernah kongsi dengan sesiapa.

Aku seorang ibu muda yang mempunyai seorang anak perempuan. Aku gelarkan anak aku ini Manja. Memang itu gelaran yang aku berikan padanya. Aku selalu memanggilnya Manja Mama. Benar. Cerita ini berkenaan dengan aku dan anak aku, Manja.

Manja dilahirkan pada tahun 2016. Sekarang umurnya hampir 3 tahun. Dia sihat, normal, tiada masalah. Yang bermasalahnya adalah aku. Pada awal pernikahan, aku telah memberitahu suami untuk merancang kerana aku tidak bersedia untuk mempunyai anak lagi pada masa itu. Tetapi setelah dipujuk suami, katanya tidak elok untuk merancang anak pertama. Itu rezeki. Untuk anak seterusnya baru merancang. Begitulah jugak kata kata orang tua. Aku terpujuk, aku akur. Aku bunting pelamin.

Tidak ada masalah sepanjang kehamilan. Aku teruja, seronok, tak sabar nak tengok baby. Pada awal kehamilan aku sudah teruja memilih nama untuk dia. 9 bulan berlalu, tibalah masa untuk Manja dilahirkan. Kesakitan yang tidak pernah aku bayangkan. Sakit kontraksi dan sakit di’seluk’. Memang doktor itu agak kasar melakukan kerjanya. Aku juga diseluk tanpa menggunakan gel yang sepatutnya digunakan bagi memudahkan proses itu.

Akhirnya aku melahirkan seorang anak perempuan yang comel melalui pembedahan kecemasan akibat komplikasi yang aku alami. Wajahnya persis papanya. Tetapi aku tidak tahu kenapa tidak ada perasaan teruja, terharu apabila kali pertama aku melihat Manja. Selalu aku baca kisah ibu ibu sewaktu kali pertama menjadi ibu.

Kenapa aku tidak begitu? Mungkin aku masih mamai akibat ubat tahan sakit semasa kontraksi atau kesan bius semasa pembedahan atau juga mungkin kerana aku mengalami sedikit pendarahan semasa pembedahan. Aku melalui tempoh berpantang yang sangat baik dan dijaga ibuku. Tetapi masih tiada perasaan cinta kepada anakku. Aku tidak tahu kenapa. Walaupun begitu aku menjaganya selayaknya seorang ibu menjaga anak atas rasa tanggungjawab dan amanah dari Allah. Cuma sayang itu tiada.

Tahun 2016, tahun pertama aku menjadi ibu, perasaan aku masih sama walaupun aku menjaganya sebaik mungkin. Dia sepenuhnya menyusu badan, makanannya boleh dikatakan tidak pernah aku beli yang segera. Aku masak, aku sediakan. Aku tidak bekukan makanannya untuk disimpan. Jadi, setiap kali waktu makan, aku akan sediakan makanan untuknya.

Aku suri rumah. Aku sendiri tidak gemar makanan yang disimpan dalam peti sejuk. Jadi, aku rasa tidak adil untuk aku bekukan stok makanan anak aku. Sebelum ini aku bekerja. Setahun di rumah terkurung bersama bayi buat aku tertekan. Suami sibuk mencari rezeki. Aku tidak salahkannya. Cuma aku tertekan. Tiada tempat untuk berbual, berkongsi cerita, bergelak tawa. Manja semakin membesar.

Tahun 2017. Tahun kedua aku sebagai suri rumah. Umur Manja sudah lebih setahun. Aku mula biasa dan seronok dengan Manja. Aku makin sibuk melayannya, melayan keletahnya. Manja sudah pandai berjalan. Jadi, perlu diberi lebih perhatian dari segi keselamatan di rumah. Semasa umurnya hampir 2 tahun, Manja mula tantrum. Kadang kadang teruji juga kesabaran aku mungkin kerana badan aku sangat penat. Aku memberi cubitan kecil padanya. Bukan niat untuk mendera. Entah…

Beberapa bulan berlalu. Umur Manja 2 tahun. Aku masih begitu. Manja pula seorang anak yang bijak dan manja denganku seperti gelarannya. Memang itu yang aku harapkan, anak yang manja denganku. Tetapi aku mengalami sedikit masalah rumah tangga. Aku dengan suami tidak sefahaman. Aku banyak memendam rasa, makan hati dengan sikap suami yang aku rasakan tidak pernah fikir tentang penat dan emosiku.

Dia suami yang bertanggungjawab, makan pakaiku cukup. Selalunya aku dapat apa yang aku mintak. Tetapi dia seperti kaku, kayu. Aku rasa aku sahaja yang terhegeh mahukan perhatian. Manakan tidak, mahu dipeluk pun aku terpaksa mintak untuk dipeluk. Dia tidak seperti semasa kami bercinta dan semasa awal perkahwinan.

Aku yakin bukan kerana perempuan lain sebab aku tahu kemana setiap sen duitnya mengalir. Kami bukan orang kaya. Hidup kami sederhana. Gajinya memang secukupnya untuk keluarga sahaja. Jadi, akibat dari itu, Manja menjadi mangsa aku. Dia tempat aku melepaskan tekanan. Aku tahu aku salah. Aku mama tak guna. Tetapi dia anak yang bijak mengambil hati. Aku selalu terpujuk dengannya. Sabar aku cuma hilang apabila dia tantrum.

Bila aku menangis, dia akan menangis sekali dan pujuk aku, “Don’t cry, Mama. Don’t cry” sambil cium pipi aku. Aku tidak tahu adakah anak anak 2 tahun lain seperti itu? Bila aku marah kerana kesalahannya, dia bijak mengalihkan perhatian aku supaya aku lupa marah aku. Tetapi aku cubit lengan atau pehanya. Dia menangis, “No Mama! Sakit Mama!” . Begitulah hampir setiap hari.

Titik pusingan kesedaran aku bermula pada suatu hari. Hari itu juga seperti hari hari lain. Tiada beza. Suami bekerja dan aku di rumah bersama Manja. Setelah Manja selesai mandi dan makan, perut aku memulas. Aku beritahu Manja aku perlu ke tandas. Dia faham. Oh ya, sebelum itu aku ada marah dan mencubit dia kerana kesalahan kecil yang dia buat. Dia menangis. Setelah selesai urusan aku, aku terus mengambil wudhu untuk menunaikan solat zohor.

Bila aku buka pintu toilet, aku nampak Manja tertidur di lantai menunggu aku di hadapan toilet. Masih ada saki baki air mata dan esakannya menangis tadi. Aku rasa terpukul, insaf, menyesal. Aku rasa aku mama tak guna. Aku rasa sebodoh bodohnya. Hati aku merintih, “Ya Allah, apa aku dah buat kepada amanah dariMu, kepada anak bijak yang sangat setia padaku? Aku baru sahaja memarahnya dengan teruk tapi sebegini dia setia padaku.”

Aku menangis sambil mengangkat Manja ke katil. Semasa aku berhati hati meletak Manja, dia terjaga. Dia cakap, “Mama go solat. Go solat. Manja sleep.” Dia tahu aku selalu solat selepas keluar toilet. Terhembur tangisan aku. Ya Allah aku menyesal. Maafkan aku Ya Allah… Maafkan aku. Kau hadiahkan aku anugerah terindah tetapi aku tidak hargai. Pada zohor itu, aku solat dalam linangan air mata. Usai solat, aku baring sebelah Manja. Aku menangis lagi sambil memeluknya. Aku bisik di telinganya, “Mama mintak maaf. Mama janji tak cubit, tak marah manja dah. Mama janji. Manja anak mama. Manja anak baik. I love you, sayang.”

Hari itu Allah hadirkan rasa cinta dan sayang yang tak berbelah bagi pada Manja setelah 2 tahun lebih umurnya. Sehingga sekarang, Manja adalah manja mama dan semakin manja denganku. Aku masih ingat janji aku pada Manja. Aku tak mampu nak marah Manja seperti dulu. Jika ada kesalahan yang dia buat, aku bertegas dan cuma mengugut untuk mencubitnya. Aku tidak tinggikan suara padanya seperti dulu. Bila aku menangis, dia yang akan sapu air mata aku, yang akan pujuk aku dengan ciuman dan pelukan. Dia ubat tekanan aku sekarang. Dia ketenangan aku.

Manja, Mama sayang Manja.

– Mama Manja

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *