Assalamualaikum semua pembaca IIUM confession. Semoga confession aku pada kali ini dapat memberikan pengajaran dan iktibar kepada kita semua. Kisah ini sekadar renungan bersama dan ianya adalah realiti yang berlaku pada masa kini dan pada aku, ianya patut dielakkan dan kita semua (wanita khususnya) mampu untuk melakukan perkara yang lebih baik dan manfaat dari ini.
Aku mempunyai kenalan yang aku namakan Ali (lelaki) dan Mira (perempuan). Ali ialah seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan 50-an, duda anak satu dan Mira ialah seorang gadis yang masih berumur 20-an. Mereka bertemu dan berkenalan di tempat kerja dan dari situ hubungan mereka bertambah rapat dan mesra, apa yang aku dapat lihat ianya adalah lebih dari seorang rakan sekerja.
Bermula dari kenalan biasa dan akhirnya sudah menjadi pasangan kekasih. Bagi aku yang mempunyai pemikiran normal (baca; kuno), aku terfikir “peliknya macam mana gadis semuda Mira sanggup bercinta dengan lelaki tua”, lantas aku husnuzon “oh mungkin jodoh dan siapa aku hendak menidakkan jika itu yang Allah takdirkan”.
Setelah beberapa bulan Mira berhenti kerja dan dia melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di utara semenanjung Malaysia dan si Ali masih bekerja di KL, ianya tidak menjejaskan hubungan mereka yang masih akrab dan bermulalah kisah atau insiden yang pada aku, sungguh sukar untuk aku percaya dan amat menyedihkan. Walaupun dengan jarak umur yang bagi aku, memang jauh, tetapi mereka seperti pasangan kekasih biasa (dating, menelefon dan sbg).
Bila Mira mula melanjutkan pelajaran, si Ali mula memewahkan Mira dengan barangan yang tidak patut. Contohnya, iphone terbaru, laptop terkini, wang saku yang jumlahnya terlalu besar untuk gadis seusia Mira (puluhan ribu), membantu keluarga Mira dari segi kewangan dan yang terkini membelikan Mira sebuah kereta Axia. Aku tidak pasti siapa yang memulakan “trend” beri memberi ini, mungkin juga Ali yang mulakan ataupun Mira yang meminta.
Setelah Mira dimanjakan dengan kemewahan dari segi ini, aku dapat lihat Mira tidak lagi segan silu untuk meminta lebih dari apa yang dia dapat. Bukan sahaja untuknnya, malah untuk keluarganya. Lahir dari keluarga yang kurang berkemampuan, menjadikan Mira lebih “aggressive” untuk meminta. Seusianya yang masih muda, aku terkilan kerana melihat Mira yang menjadi tidak keruan dan sikapnya yang rasa tidak pernah cukup dan juga tidak malu untuk meneruskan mengikis harta Ali.
Rakan sekerja Ali sudah serik menasihatinya agar berpada-padalah jika hendak membantu pun, kerana bagi mereka Ali dah obses dan menjadi tidak keruan dibuat Mira. Apa yang paling menyedihkan adalah, Ali yang pada mulanya ingin menghabiskan usia lanjutnya dengan perkara bermanfaat seperti menunaikan fardhu haji, membahagiakan/ menjaga kedua ibu bapanya yang sudah uzur, memberikan perhatian dan keperluan yang lebih kepada anaknya dan beberapa impian serta cita-cita Ali sebelum ini, punah begitu sahaja disebabkan seorang gadis bernama Mira.
Sikap Ali yang berubah secara drastik dapat dihidu oleh rakan sekerjanya dan yang paling menyedihkan, reputasi kerja Ali juga sudah mula menurun. Setiap kali “off-day”, Ali pasti akan mengambil flight ke Penang dan melawat Mira disamping memberikan segala keperluan Mira yang tidak cukup. Walhal ibu bapa Ali yang tinggal bersamanya juga dia mulai abaikan. Kalau sebelum-sebelum ini “off-day” Ali pasti dihabiskan sepenuhnya bersama ibu bapanya serta keluarganya, tetapi tidak lagi sekarang.
Wang simpanan ASB nya habis digunakan untuk Mira, semuanyalah untuk Mira. Sampaikan baru-baru ini, Ali membayar duit kelas tambahan (tuition) Mira. Senang cerita, kewangan Ali mula bermasalah dan sampaikan dia sudah mula untuk meminjam wang dari rakan sekerjanya malah turut membuat “loan” dari bank. Sungguh, Ali yang sebelum ini amat bijak menguruskan kewangannya telah tewas dengan Mira. Apa yang menjadi tanda tanya kami, tak sangka Mira yang sangat muda itu mampu untuk “control” Ali dan menundukkan lelaki yang sebelum ini tidak pernah culas solat dan beribadah.
Sampai harini ini aku tidak pasti jika Mira ada menggunakan ubat “guna-guna” untuk mendapatkan Ali atau tidak. Tetapi apa yang aku nak tegaskan disini adalah, tidak kiralah jika mereka berdua benar-benar “in love” atau Ali yang bertepuk sebelah tangan atau Mira yang memang niatnya dari awal ingin mengambil kesempatan keatas kebaikan Ali atau sebagainya, akan tetapi mereka berdua tetap salah bagi aku.
Mungkin mudah untuk kita “judge” tetapi ingin aku tegaskan, sebagai perempuan/gadis/wanita, janganlah kita ada niat sebegini. Aku benar benar malu bila teringatkan sikap sebegini yang memang wujud, sebab selalunya, aku dapat lihat dari drama melayu sahaja. Mira ni pun bukan sahaja cantik malah bijak orangnya Cuma yelah, keluarganya tidak begitu berkemampuan. Alangkah elok jika Mira menggunakan kebijaksanaanya untuk masa depannya, menjaga maruahnya dan keluarga dan belajar untuk hidup bersyukur dengan apa yang ada. Senang cerita, dah mempunyai pakej yang lengkap, kenapa tidak memanfaatkan secukupnya?
Belajar, cari kerja dan bantu keluarganya dan mungkin itu lebih berkat. Pada masa yang sama, aku juga terkilan dengan perangai Ali yang tak padan dengan umurnya, masih gatal, masih suka menghabiskan sisa sisa hidupnya dengan perkara yang tidak berfaedah sebegini dan apa yang aku paling sedih bila mengenangkan adalah, anak si Ali yang berumur linkungan Mira. Ya Allah, alangkah indahnya jika Ali dapat memberikan fokus kepada anak lelakinya yang sebelum ini dijaga oleh bekas isterinya.
Jujur aku sedih melihat bagaimana masyarakat sekarang tidak kurang juga lelaki atau perempuan, tua, muda dan sebagainya, masih menghabiskan masa-masa emas sebegini dengan perkara yang tak sepatutnya. Kita juga jauh dari menjadi manusia yang sempurna, tetapi aku inginkan yang terbaik untuk diri aku dan juga semua pembaca. Kadang-kadang aku terfikir, Ya Allah, semoga kau berikan hidayah kepada Ali.
Aku taknak melihat dia menghabiskan sisa usianya yang sepatutnya pada masa kini dihabiskan dengan ibadah dan perkara yang memberikan manfaaat kepadanya. Dan juga Mira yang sering aku terfikir, diusianya yang masih muda, mengapa dia mengadaikan masanya dan maruahnya dengan perkara sebegini dah semoga Allah turut memberikannya hidayah.
Secara rumusnya, aku mohon maaf jika confession ini ada cacat dan celanya kerana aku dah ringkaskan seringkas-ringkasnya. Kalau tak diringkaskan, memang terlalu panjang untuk dihuraikan secara “detail”. Aku mohon kita semua para-para wanita, berfikirlah secara rasional, perbanyakkan dengar ceramah-ceramah agama untuk pulihkan hati dan minda kita, berkawan dengan kawan-kawan yang baik dan belajar dan usaha sendiri untuk apa yang kita inginkan. Janganlah sesekali menggadaikan maruah kita dan keluarga.
Mungkin harini hari kita, esok lusa kita tak mahu kifarah dan benda tak baik tu terjadi dekat anak dan keluarga kita sendiri. Dengan rasa rendah hati, aku mohon para pembaca memberikan pandangan bagaimana aku dan kita dapat membantu jika terlihat situasi begini? Aku tak mampu untuk membiarkan ianya diteruskan begitu sahaja kerana aku percaya sedikit sebanyak, kehidupan ini lagi manis jika kita sama-sama “hidup untuk ummah atau hidup untuk antara satu sama lain”. InsyaAllah semoga ianya menjadi iktibar buat kita semua dan semoga Allah sentiasa memelihara hati-hati kita.
Yang benar…
– Hawa
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit