Masalah Dan Kehidupan

Bismillahirrahmaanirrahiim (Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).

Situasi yang akan aku tulis kat bawah ni bukanlah satu kempen agar korang pergi cari video berkenaan dan tengok sama. Aku hanya nak perincikan nilai yang aku rasa sangatlah cantik yang berselirat dibelakangnya sahaja dan bukan nilai fizikal video berkenaan.

Aku namakan figura berkenaan sebagai X. X ni adalah seorang penghibur belum Muslim. Daripada gaya persembahan dia, aku dapat rasakan persembahan dia tu sesuatu yang kita boleh kategorikan sebagai wow. Tu je yang aku boleh nampak kat video tu.

Waktu tu, X ni macam tak bersedia untuk buat persembahan. Atas sebab apa tu, pastilah bukan aku dan korang yang tahu melainkan kita diberitahu orang-orang berkenaan. Kalau nak buat andaian sah-sahlah banyak andaiannya, mungkin daripada X sendiri, ataupun direktor-direktor program berkenaan ataupun apa-apalah yang kita sebagai orang biasa tak mampu nak rungkai.

Bila kita tak bersedia, pilihan seseorang yang rasional dan matang ada hanyalah guna apa yang dia ada waktu berkenaan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Aku tak suka nak guna istilah profesional kat sini sebab aku nak tekankan nilai manusiawi dalam keadaan ni. Berbalik kepada X tadi, dalam dia cuba nak cari fokus untuk memberikan persembahan terbaik tu, X cuba nak selesaikan masalah dia.

Aku tak tahulah penting tahap mana alatan seseorang macam dia perlukan bagi memberikan persembahan terbaik, tapi daripada pengamatan aku dia perlukan ‘earpiece’ kat telinga dia untuk memantau persembahan dia.

Benda alah tu ada waktu tu, tapi tak boleh digunakan sebab tak berada kat tempat yang sepatutnya. Ianya satu masalahlah ketika itu bagi X ni, bukan aku ataupun korang sebab kita out of range ye dalam cerita ni kekeke.

Masa dia masih dalam persembahan tu, dia tak berkesempatanlah nak letak benda alah tu masuk telinga. Jadi apa dia buat, buat je macam tak ada apa-apa masalah berlaku. Sampai satu masa tu dia boleh letak ‘earpiece’ tu balik masuk telinga dan sambil tu senyum kat penonton.

Akhirnya, dia berjayalah letak benda alah tu masuk kat telinga walaupun mungkin dalam hati dia bergelodak nak marah orang lain. Ha, tepukkk.

Tamatlah kisah X. Korang mesti rasa ‘tu je ke ceritanya?’ Ya, tu je pun.

Macam aku cakap kat atas tadi, nilai yang dia tunjukkan secara tak langsung tu sangattt cantik. Apa yang aku dan kau boleh belajar daripada X ni adalah macam mana dia nak selesaikan masalah dia waktu itu. Benda pertama adalah

(1) X ni bukan rancang dari awal pun dia nak tunjukkan PANDAINYA dia kawal dan selesaikan masalah tu. Boleh je aku rasa kalau dia nak

(2) EMOSI tak tentu hala. Kritik dan marah masa tu juga, sehinggakan dia tak sempat nak buat persediaan, terhadap mana-mana individu. Namun, dia tak buat macam tu, dan masuk point ke

(3) dia masih memiliki jiwanya, yakni MENGAWALNYA ketika dia dalam emosi yang nak hempuk henyuk orang sekeliling.

Disebabkan tiga benda ni nampak mudah nak buat, tapi tak adalah mudah mana bila keadaan tu mai, ianya menampakkan cantiknya

(4) NILAI seorang makhluk bernama manusia. Betul, aku tak tahu situasi sebenar sebelum dan selepas video tu. Mungkin ada antara kita akan rasa “dia buat macam tu nak jaga reputasi dialah”, takpun “dia nak jaga periuk nasi dia je wey, apa ke innocent sangat kau ni” ataupun “entah-entah tu memang salah dia dari awal, kau kan cakap tak tahu tadi”, “market kena jaga bhai” dan sebagainya.

Makanya, atas sebab itulah aku hanya ulas apa yang mata aku diberikan untuk tengok. Aku hanya cuba keluarkan nilai-nilai positif tu untuk kita sama-sama fikir dan ukur kat diri kita.

Berbalik kepada kisah X ni tadi. Aku sejenis yang berbunga hati ni bila nilai-nilai murni ni mekar kat perangai manusia. Lagi-lagi kalau aku dapat baca benda tu jadi tanpa diduga dan dijangka. Aku rasa korang pun serupalakan, siapa je tak suka tengok benda-benda baik ni.

Jadi, struggle yang X ni tunjuk untuk atasi masalah dia tu sangat cantik. Keadaan ni bukan hanya untuk X je sorang tetapi setiap daripada kita. Cuma bezanya X ni figura awam jadi tontonan umum la tingkah laku dia. Tiap daripada kita ada masalah masing-masing, terucap atau tak terucap je kan.

Contohlahkan, sekarang ni aku perhati ramai je orang muda-muda Malaysia yang membantu orang sini dan sana kerana mereka memang suka membantu. Bukan untuk dapat nama, pujian atau pengiktirafan.

Aku percaya korang pun boleh sebut satu-satu siapa dorang-dorang ni semua dan semestinyalah aku bangga sebagai seorang Malaysia yang tinggal satu negara dengan dorang-dorang ni semua. Semestinyalah kena semat kat hati ni supaya aku dan korang cuba untuk contohi dan amalkan semuanya.

Kalau korang perhatikan dorang-dorang ni semua, pattern orang yang mereka tolong itu sama je. Maksudnya orang yang macam mana mereka-mereka ni hulur bantuan.

Jawapan dia orang yang tak pengecut dengan masalah yang dia hadapi. Orang yang susah tu, tak canang kat mana-mana pun dia susah. Orang yang susah tu, tak meraung-raung pun kat orang ramai dia ni hidup serabai. Orang yang susah tu, tak gunakan pun orang sekeliling dia dan minta simpati. Tapi macam mana orang yang nak menolong ni boleh nampak?

Sebab orang-orang macam ni tak henti-henti berikhtiar dan berusaha untuk memperbaiki hidup dia dan itulah NILAInya yang aku cakap kat atas tadi. Nilai ni sangat cantik sampai orang yang tengok malu dengan Tuhan kalau tak tolong orang-orang yang dalam kesusahan ni. Ataupun mungkin tak berupaya lagi nak menolong, timbul insaf dalam diri.

Cantikkan Tuhan dah buat? Cuma atas kita nak tengok semata-mata tengok atau nak tengok dan bandingkan dengan diri kita sendiri. Tak perlu pun nak tunding jari ye, cukup sampai ke hati sendiri dan mula berubah.

Bila cakap pasal masalah dalam kehidupan, aku rasa kita semua boleh bayangkan satu-satu apa jadi kat hidup masing-masing. Mungkin masa korang baca tulisan ni, mai dah slide show power point tu berketul-ketul mengenai hidup masing-masing.

Masalah tu sebenarnya pemberat kehidupan, supaya bila satu masa nanti kita mungkin berada pada posisi yang lebih atas atau lebih selesa dan baik, kita ada pemberat kat bawah agar tak lupa diri.

Masalah ni juga macam kayu ukur untuk membentuk diri tentang bagaimana melayani orang sekeliling sama ada masa sekarang dan akan datang.

Masalahlah juga buat kita sedar kita ni adalah satu makhluk yang lemah dan memerlukan makhluk-makhluk Tuhan yang lain untuk hidup, kalau tak dah lama innalillah. Nak makan pun kena cari haiwan tak pun tumbuhan, mati pun tak mampu nak uruskan diri sendiri.

Masalah juga buat kita lebih berhati-hati untuk bercakap atau keluarkan kenyataan sebab kita mungkin pernah menghadapi keadaan yang sama satu ketika dulu. Masalah ni buat kau tunduk malu kat Tuhan kau, sebab sebelum datang masalah yang kau hadapi sekarang, kau bukan diri kau yang lebih baik sekarang.

Aku percaya setiap dari kita dah buatpun benda yang panjang-panjang aku tulis kat atas ni ha. Teruslah terbang andai boleh, kalau tiada upaya cukuplah kau berlari, kalau tak ada daya lagi berlari anak sudah memadai. Namun, jika berlari kau tahu kau tak akan pernah mampu, berjalanlah dengan cepat, andai tak dapat cukuplah berjalan dengan kadar yang kau mampu.

Katakanlah, kau dah berhabis tenaga untuk berjalan, merangkak mengensot tak akan menjadikan kau papa. Cuma satu, jangan berhenti carilah cebis-cebis debu semangat yang bersisa dan adulah semua, sepenuh dan sesungguhnya pada Tuhan-mu kerana tak akan ada seorang manusiapun kat muka bumi ni berupaya mendengar segala-galanya seperti Dia.

“The world is full of nice people. If you can’t find one, be one.”

Terima kasih tuan tanah, bentangkan tapak.

Terima kasih pembaca sarjana, datang melihat.

– _cokmAr (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *