Masalah Keluarga vs Masalah Kerja

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pembaca iium confessions. Dua tahun lepas, aku pernah post: ‘Kisah tiga sepupu’ (https://iiumc.com/kisah-3-sepupu/).

Kalau post aku sebelum ni tentang kehilangan kali ini tentang keluarga dan kerja. Maaf confessions ini panjang, penuh dengan masalah dan agak caca marba sama dengan otak aku yang bercelaru.

Awal tahun 2019, hidup aku seperti biasa mempunyai pekerjaan yang agak selesa. Keluarga yang biasa biasa. Menjadikan hidup aku seperti orang lain mempunyai masalah tapi masih boleh dikawal. Oh ye, sebelum aku lupa waktu awal 2019 aku bekerja sebagai tour consultant di sebuah travel agency yang baru nak membangun.

Tetapi permulaannya Feb 2019, ayah aku selalu diserang sakit satu badan dan ketika itu ayah aku sukar untuk bergerak, berjalan dan hanya duduk di atas sofa sahaja. Makan pun kadang kadang mak aku yang suapkan. Keluarga ni taklah besar. Hanya ada ayah, mak, aku dan adik. Menjadi anak sulung dan mempunyai adik yang istimewa (austime tahap berat) menjadikan semua tanggungjawab sebagai anak terletak di bahu aku seorang.

Berbalik kepada cerita di atas, melihat keadaan ayah aku ni yang selalu cuti sakit ketika bekerja membuatkan aku mencadangkan untuk ayah aku berhenti kerja secara tetap dan mungkin boleh bekerja secara sampingan. Mungkin ini salah aku juga.

Kebetulan gaji aku bukanlah besar, hanya RM 1500 gaji kasar aku. Waktu tu aku nekad untuk bekerja part time kalau ayah berhenti kerja kalau ayah aku betul betul berhenti dan ye ayah aku memang nekad berhenti kerja.

Mula mula aku suarakan plan aku pada mak aku untuk kerja part time tapi mak aku tak berapa setuju sebab kerja aku bukannya menentu. Aku selalu tak balik on time disebabkan kerja aku ni ada musim, musim tertentu sangat busy sampai bawa kerja ke rumah ada masanya sangat tak busy. Jadi susah juga untuk aku kerja part time.

Jadi bila musim busy, memang kerja aku jadi melambak dan kebetulan aku antara pekerja yang lama di situ dan mampu membuat kerja dengan baik walaupun busy (ni bukan aku yang sendiri cakap), jadi kebanyakan kerja yang penting tugas aku untuk menyelesaikan dengan masa yang singkat.

Bekerja dengan orang yang berkira kerja dan selalu memberi masalah pada aku dan hanya reti menuding jari bila masalah timbul dari kerja aku membuat aku tertekan dan ingin mencari kerja baru. Ditambah management yang sering membuat perubahan yang aku rasakan akan menjahanamkan imej company dan staff yang menanggung akibatnya membuatkan aku rasa tidak seronok bekerja lagi.

Satu lagi hal, disebabkan ayah aku membuat keputusan ingin berhenti kerja, aku terdesak untuk mencari kerja yang boleh tawarkan aku gaji yang lebih tinggi. Aku ni lepasan Ijazah jadi sudah masanya aku move on dari kerja ni. Hal yang membuat aku rasa terlalu kecewa dengan company yang aku berkhidmat ni, aku pernah bersembang dengan despatch dan kebetulan kitorang terborak pasal gaji, dia bagitahu aku gaji dia RM 1500.

Bayangkan perasaan aku gaji aku sama dengan despatch (waktu ni despatch ni baru kerja sebulan tapi aku dah kerja setahun lebih). Sedangkan aku bersusah payah kerja di office waktu musim busy dan officemate aku ramai yang ke overseas untuk lead group (biasalah kerja di travel agency memang merasa pergi ke overseas) sedangkan dia jika tiada apa apa urusan di luar dia hanya rileks duduk di office.

Aku jadi tertanya tanya aku ni tak ada apa apa nilai ke di company ni? Sedangkan aku susah nak berkira kerja di sini melainkan di luar office hours.

Misi aku mencari kerja baru bermula. Hinggalah aku mendapat jemputan interview di salah sebuah restoran “makanan segera”. Dua hari kemudian aku dapat tahu yang aku diterima kerja sebagai assistant restaurant manager trainee (armt) di restoran tersebut. Kalau aku sebut restoran ni mesti orang tahu punyalah bukan kat malaysia je ada restoran ni kat overseas pun banyak gila.

Jadi aku hantar surat resign sebulan kat tempat kerja aku ni. Hari yang sama, aku dapat tahu dari admin tempat kerja aku, yang aku patut dinaikkan gaji dari awal tahun lagi tapi disebabkan salah orang lain iaitu junior aku, aku dihukum tidak dinaikkan gaji dan lepas junior aku tu resign bos aku terus lupa pasal kenaikan gaji aku. Serius aku tak tahu pasal hal ni. Hari tu lah aku dapat tahu.

Nampak yang aku betul betul tiada nilai. Dan aku perasan bos aku suka cari salah aku even bukan salah aku, even aku ikut arahan dia. Dia tuding jari pada aku.

Jadi ye, keputusan aku tepat. You can love your job but never love the company. Sesuai aku rasa ungkapan tu pada aku. Aku suka kerja aku lebih lebih lagi bila busy (asalkan dapat kerjasama baik dari officemate) tapi company pandang aku macam sampah.

Di tempat kerja baru gaji aku hanya beza RM 100 sahaja. Salah aku kerana tak tanya gaji aku yang sebenar bila waktu interview. Bulan pertama memang banyak guna duit sebab aku kena training di cawangan restoran pavilion dan kadang kadang terpaksa duduk asrama sebab night shift. Susah nak balik rumah parents aku di kota damansara. Struggle is real.

Bidang baru ni membuatkan aku rasa aku tak berguna semasa kerja. Aku slow, aku banyak buat salah. Ishhh… kerja ni terasa janggal bagi aku. Environment kerja di restoran tak sama langsung kerja di office. Di office menggunakan pc dan aku rasa aku buat kerja agak laju. Di sini segala galanya aku tak reti, terasa diri ni bodoh. Bulan pertama bukan terus jadi manager kena training macam staff dulu.

Lepas habis training, aku preposting di restoran cawangan tersebut di One Utama. Dekat sikit dari Pavilion. Bila shift malam balik ayah akan ambil. Dalam aku terkapai kapai kerja di tempat baru dan masih bodoh ni. Ayah aku minta aku untuk bayar keretanya tiap tiap bulan. Kereta tu RM 450 sebulan. Mula mula aku tak boleh terima tapi lama lama aku redha.

Kan aku kata ayah aku akan ambil aku dari tempat kerja balik rumah. Jadi ayah aku akan minta caj dalam RM 10, 3 hari. Memang lah tak banyak tapi membebankan juga. Gaji RM 1600 tolak epf socso RM 200 tolak kereta RM 450 tolak ptptn + internet RM 270.

Waktu tu aku decide untuk bagi pada mak aku RM 250 tanpa pengetahuan ayah aku untuk backup belanja rumah. Belum lagi duit public transport. Dan dah jadi amalan aku untuk kumpul duit belanja untuk raya RM 50 sebulan ye lah nanti time raya nak juga beli kuih raya untuk makan satu family kat rumah dan dah tentu aku akan keluarkan belanja untuk beli lauk raya.

Sebenarnya aku ada impian untuk beli kereta hujung tahun ni, tapi disebabkan komitmen membayar kereta ayah aku tiap tiap bulan aku lenyapkan impian aku. Aku bukan nak beli kereta mahal cukup nak beli kereta second hand.

Ayah aku tak suka sangat aku gunakan keretanya. Lagi pun awal tahun ni aku ada jahanamkan kereta dia ye lah aku terlanggar kereta orang. Aku pun bukannya pandai sangat parking. Tapi kalau drive kat kawasan kota damansara terutama jalan lengang aku boleh lagi drive. Tapi ayah aku tak suka aku guna kereta dia. Jadi aku ni taklah pandai sangat drive. Sekarang ni dah sebulan aku tak drive.

Aku bersyukur kerja di tempat sendiri. Ye, tempat posting aku berada dekat rumah aku. Balik malam jalan kaki, pergi kerja jalan kaki. Hati senang. Memang banyak juga masalah sepanjang aku bekerja tapi hati aku reda sebab tempat kerja sangat dekat.

Kan aku kata impian aku ye lah nak beli kereta. Jadi tak dapat beli kereta, aku beli basikal dengan harapan aku boleh tunggang ke tempat kerja. Dengan hati yang membara, aku membeli basikal tanpa fikir banyak kali. Bila dah beli basikal, baru aku menyesal. Rupanya aku dah tak reti tunggang basikal. Memang b0doh!

Disebabkan hal ni, ayah aku punya alasan untuk meminta lagi aku untuk memberi duit untuk sara hidup keluarga sebanyak RM 400 sebulan untuk mengelakkan aku membeli barang tak sepatutnya. Sekarang komitmen aku bertambah RM 450 + RM 400 = RM 850. Separuh dari gaji aku ayah aku minta. Senang cerita akulah yang menanggung family aku. Mesti korang tertanya kenapa ini jadi masalah.

Ok, selepas ayah aku berhenti kerja ayah aku banyak menghabiskan masanya tengok tv ataupun duduk dalam bilik dan menyanyi kuat2 dalam apps smule. Tak cari inisiatif untuk kerja part time mahupun untuk menolong makku membuat kerja rumah. Dia sama seperti dulu makan terhidang, air pun nak orang ambilkan malah dia berkira bila kami minta tolong.

Aku ingat lagi waktu bulan puasa. Waktu tu aku masih kerja di travel agency. Aku balik memang aku pengsan dulu. Mak aku minta ayah aku untuk tolong letak cornflakes dalam cawan kertas. Ye la buat cornflakes madu kan. Tapi ayah aku kata ni kerja aku sepatutnya bukan kerja dia.

Ayah aku memang sakit tapi sakit dia on off, kejap ok kejap tak. Dalam seminggu lebih kurang 4 hari dia ok. Dia ada pergi buat rawatan kat klinik kesihatan. Tapi klinik kesihatan slow appointment sebulan sekali membuatkan kami tak tahu apa penyakit ayahku dan susah nak minta bantuan.

Mak aku pernah mengesyorkan ayah aku untuk minta bantuan dengan socso tapi ayah aku berkeras tak nak. Ayah aku ni sekarang rajin ugut aku dan mak aku untuk jual rumah yang kami duduk sekarang. Tu lah sebabnya aku tak boleh kata tidak bila dia minta aku bayar keretanya dan bagi duit untuk tanggung family sebab dia akan jual rumah ni untuk dapatkan duit dan aku pula nanti terpaksa menyewa rumah sedangkan keluarga aku yang lain akan berpindah ke kampung.

Aku dan mak aku ada sebab sendiri kenapa kami tak nak rumah ni terjual. Sebabkan inilah aku nak kerja di tempat yang aku senang ulang alik ke rumah parents. Sebab kalau aku duduk jauh ayah aku akan jual rumah ni serta merta.

Memang salah aku cadangkan dia berhenti kerja tapi apa salahnya kalau dia cari kerja part time dan buat kerja tu waktu dia sihat. Bukan untuk sara hidup keluarga tapi untuk lepas dirinya je. Macam belanja untuk maintenance kereta ke. Yang untuk sara hidup keluarga aku tu tak apa lah kalau dah itu bahagian aku.

Sekarang, ada lagi satu masalah melanda. Aku ditukarkan ke cawangan restoran lain. Kiranya night shift ayah aku akan ambil aku dan again aku kena keluarkan duit belanja untuk transport dan aku kena bayar duit minyak untuk ayah aku. Semalam aku bagitahu ayah aku, yang aku nak naik bas bila balik malam dengan foreigner. Ayah aku mengamuk. Macam macam dia maki aku. Aku dah tak mampu untuk bagi dia duit minyak. Sekali lagi dia ugut jual rumah.

Harini aku mc sebab darah tinggi aku naik. Ayah aku tanya lagi memang betul ke nak naik bas malam malam. Tak tahu kenapa aku jawab ya. Makin dia mengamuk. Dan dia kata kalau aku buat macam apa aku kata, dia akan halau aku dari rumah dan akan jual rumah ni. Aku tak tahu react macam mana.

Sekarang aku rasa hidup aku tak bermakna. Pagi tadi sebelum pergi klinik aku singgah kejap di cawangan restoran yang aku kerja sebelum ni sebab ada hal. Aku rasa sayu sebab aku dah tak kerja situ. Aku nak nangis. Suasana di cawangan yang aku ditukarkan pun rasa tak seronok. Lain sangat dengan cawangan yang aku posting sebelum ni.

Yang apa aku tahu, aku nak cari kerja baru. Kerja office. Aku rindu nak kerja di office semula. Sebab aku rasa aku lebih serasi kerja di office. Kerja office memang jarang balik malam. Jadi kalau jauh sikit asalkan dekat dengan public transport aku ok. Aku luahkan ni sebab aku dah tak tahan dah. Kalaulah bunuh diri tu bukan dosa, mungkin aku nak bunuh diri sekarang juga.

Aku tak minta banyak dari korang. Kalau lah ada yang baca post ni dan kebetulan korang ada jawatan kosong kat office korang yang dekat dengan kota damansara tolong komen. Aku ni lepasan Ijazah Sarjana Muda International Business dari UiTM. Dan aku ada pengalaman kerja kat travel agency setahun 6 bulan dan kerja sebagai armt di restoran fast food 5 bulan.

Sekali lagi, aku minta maaf kat korang kalau post ni ayat berterabur atau jalan cerita tak tentu arah. Fikiran aku memang berserabut. Sekian, terima kasih.

– Ikin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *