Masalah ‘Lost Connection’

Hai, saya Siti. Lost connection tu bukan merujuk kepada internet. Tapi kepada hubungan.

Saya rasa saya ada masalah sosial. Sebab ada orang-orang terdekat beritahu saya ni kera sumbang.

Tapi sebenarnya saya tak reti nak mulakan hubungan dengan orang. Seingat saya, dari kecik orang lain dulu yang mula dekati saya.

Contoh waktu kecik-kecik dulu, budak-budak yang baik, yang terlebih mesra, yang tarik saya jadi kawan. Saya tak pergi mencari. Saya tak reti. Saya cuma suka tengok orang bersembang.

Tapi masalah saya, kalau saya tak jumpa seseorang tu dalam jangka masa tertentu, saya akan jadi awkward balik.

Ada banyak kali kes saya tak jumpa kawan dalam seminggu, saya dah lupa feeling hubungan kawan tu. Saya dah pandang dia sebagai stranger.

Sama juga dengan ahli keluarga saya. Sama juga dengan adik beradik saya.

Dalam fikiran saya, saya tahu sepatutnya saya kenal seseorang tu, contoh: saya tahu dalam fikiran saya yang dia tu kawan/kakak/sepupu. Saya tahu nama dia. Saya tahu semua pasal dia.

Tapi bila jumpa balik saya dah tak kenal. Dalam hati saya, saya tak kenal. Saya dah tak rasa macam kawan. Saya tak tahu siapa saya sedang bercakap ni.

Macam tu juga masalah dengan ibu bapa saya. Ada ketika saya sekolah berasrama dulu, saya balik hujung minggu saya rasa macam duduk dirumah asing.

Saya rasa pelik bersembang dengan ibu bapa sendiri. Saya tak kenal mak saya. Saya tak tahu nak bercakap pasal apa. Saya rasa macam nak lari.

Nasib baik, sekolah berasrama saya sekejap, sebab saya buat pasal dan dapat bersekolah harian saja. Jadi tiada isu tak kenal ibu bapa saya sepanjang usia remaja.

Kawan/ sepupu/ ahli keluarga yang selalunya reconnect dengan saya balik. Tanya pasal saya. Bersembang seperti biasa.

Bila saya dah rasa selesa, baru saya rasa aman. Saya rasa selamat, sebab dalam hati saya dah tahu dengan siapa saya sedang bersembang ni.

Umur 18, saya mula melanjutkan pembelajaran. Waktu ambil diploma, saya belajar mengenai pengetahuan sosial, saya belajar mengenai apa itu introvert, apa itu extrovert. Saya dapat mengenal diri saya sebagai introvert.

Sebab saya penat dengan orang ramai. Saya tak boleh dikelilingi orang ramai. Saya tak boleh bersembang ramai-ramai dalam masa yang lama. Saya rasa rimas. Rasa bising. Rasa macam nak lari. Saya

Waktu belajar, kami kena duduk dalam bilik berasingan di asrama. Classmates saya sudah ada banyak kumpulan masing-masing. Mereka selalu melepak bersama. Mereka sangat serasi.

Saya nak juga ada perasaan macam tu. Saya nak ada kawan yang sangat rapat. Saya nak ada seseorang yang boleh bersembang tanpa rasa janggal.

Tapi saya tak pernah termasuk dalam kumpulan-kumpulan tu. Saya tak reti. Classmates saya hanya sekadar classmates. Saya kenal, tapi saya tak boleh nak rapat. Setiap kali bersembang, akan ada perasaan janggal.

Macam lost connection.

Classmates saya macam sangat relaks bila sembang dengan kawan-kawan yang lain. Tapi bila dengan saya, rasa macam sangat formal. Macam terlalu sopan.

Saya pun tak reti nak bergurau sangat. Lagi-lagi gurau kasar. Saya tak tahu nak buat apa kalau kawan-kawan mencarut. Saya rasa macam tak sopan.

Saya tak reti nak bergelak besar. Saya tak sentuh bab-bab sensitif bila bersembang, contoh pasal ada perasaan, atau gosip, atau politik.

Bila saya tengok orang disekeliling saya macam bebas mengekspresi diri mereka, saya berasa jealous. Saya tak tahu kenapa saya macam ni. Kenapa saya rigid sangat?

Dan bila habis cuti sem, dan saya berjumpa balik dengan mereka, saya jadi lagi janggal. Saya rasa macam nak lari dari bersua muka dengan kawan-kawan.

Kalau bersembang, saya nak bualan tu cepat habis. Kalau ada aktiviti berkumpulan, kalau boleh saya tak nak perhatian tertumpu pada saya.

Perasaan dikelilingi tu buatkan saya rasa lemas. Sebab saya rasa saya dikelilingi oleh strangers.

Saya jadi awkward dengan mereka. Saya tahu siapa mereka, tapi dalam hati saya, saya jadi tak cam mereka ni.

Muka mereka kadang-kadang jadi sangat asing pada saya. Dan itu menjadi perkara yang menakutkan, sebab saya merasa lost.

Di Facebook saya, ada kawan-kawan yang saya add dari sekolah rendah. Tapi bila saya buka balik senarai nama, saya jadi tak kenal.

Saya kenal nama yang dipapar, tapi saya tak boleh nak ingat muka mereka. Saya tak tahu siapa mereka ni. Saya tak tahu macam mana boleh jadi friends.

Sekarang saya seorang pengajar. Masalah saya sekarang, saya dah mengajar hampir lapan tahun. Saya cuma ingat murid-murid yang saya ajar semasa tahun mengajar sahaja.

Muri-murid tahun sebelumnya sudah hilang dari ingatan saya. Ada murid-murid yang menegur saya di sekolah, saya tak boleh nak ingat mereka ni siapa dan bila saya mengajar mereka.

Saya cuma tahu murid-murid di 4 kelas yang saya mengajar sekarang sahaja. Murid-murid lain disekolah rasa macam strangers. Saya rasa nervous bila ditegur, diberi salam. Rasa sangat awkward.

Saya juga ada anak yang masih kecil. Dulu sebelum lahirnya anak, saya ingat boleh ada pengalaman bonding ibu dan anak.

Tapi kadang-kadang bila saya datang ambil anak, saya jadi tak kenal.

Saya tahu tu anak yang saya ambil, sebab nama dia saya yang letak.

Tapi saya jadi tak kenal muka. Saya hantar ke taska pukul 7 ambil 6 petang. Ada masa sekejap je dapat diluangkan dengan anak setiap hari sebab kadang-kadang sibuk dengan hal disekolah. Waktu pagi hantar kadang-kadang anak tidur lagi.

Bila dah ambil dia, saya tengok dia. Dan dalam hati saya, saya tak tahu ni siapa.

Ada masa saya rasa connection saya dengan anak sangat jauh. Saya tak faham kenapa dia selalu nak melekat. Saya gelisah nak pujuk kalau menangis.

Masa sebelum pkp, bila balik kampung dia akan banyak habiskan masa dengan datuk dan nenek. Bila dah habis cuti, dan saya cuma berdua dengan dia balik, saya tak tahu nak buat macam mana.

Saya takut dengan diri sendiri. Takut bila saya jadi tak cam dengan anak, saya layan dia macam orang asing.

Saya dah letak gambar dia merata. Di background phone, background laptop, DP facebook, di meja guru. Saya takut saya lupakan feeling dia tu anak saya. Saya harap boleh terus layan dia dengan baik.

Saya cuma nak meluahkan masalah saya. Terima kasih membaca.

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *