Assalamualaikum wbt admin dan pembaca sekalian. Hangat pula tajuk mengenai cikgu kebelakangan ini kan. Lama dahulu aku pernah berkongsi pengalaman pahit aku dengan so-called cikgu sekolah2 lamaku.
Masa tu kebanyakan reaksi yang aku dapat ialah aku seorang yang pendendam, hati keras lagi hitam dosa berguni dan banyak lagilah.
Sekali apabila muncul confession2 yang lebih kurang sama, ramai pula yang berkongsi kisah masing2 di ruangan komen. Pelik jugak haha..
Sebab dah ramai yang berkongsi kisah2 buruk mereka bersama bekas guru masing2, biarlah aku menukilkan kisah guru2 aku yang murni hatinya, yang disayangi semua murid mereka.
Nukilan ini hanyalah sekadar perkongsian daripadaku untuk melepas rindu terhadap alam persekolahan.
Ustazah Zawiah, guru J-QAF aku ketika di darjah 6. Namun sejak di darjah 5 pun layanan beliau kepadaku seperti sudah lama mengenaliku. Senyuman tidak pernah lekang daripada wajahnya. Beliau juga suka menegurku.
Sewaktu belajar dengan beliau, beliau seorang yang sangat penyayang, mengajar dengan penuh bersemangat.
Aku tiada masalah dengan teori cuma kemahiran khat aku sedikit kurang. Namun beliau sangat sabar mengajar aku dan tidak marah walau sekalipun.
Aku ingat hanya sekali sahaja beliau pernah marah itupun kerana kawan2ku terlalu bising.
Yang lucunya, sempat aku menunjukkan kad laporan prestasi aku kepadanya sebelum beliau memarahi satu kelas. Bukan apa sebab aku rapat sangat dengan beliau mungkin jadi apa2 sahaja pasal aku beliau ambil tahu.
Meninggalkan alam sekolah rendah bukan halangan untukku berhubung dengan beliau. Setiap kali hari guru aku akan menghubunginya dan bertanya khabar.
Kali terakhir aku berhubung dengan beliau adalah pada tahun 2016 dimana aku berkongsi dengan beliau keputusan PT3 aku.
Namun aku telah kehilangan contact beliau malah beliau juga telah berpindah ke sekolah yang baharu. Walaupun aku tahu dimana, aku segan untuk ke sekolah yang asing bagiku. Facebook lama aku juga sudah tidak aktif.
Jujur aku rindu pada beliau. Tapi entah kenapa aku rasa kalau beliau nampak aku pada hari ini mungkin beliau kecewa dengan perubahan aku?
Sebab sewaktu rapat dengan beliau aku boleh dikatakan sedikit baik dan alim la (bukan berlagak ya haha).
Tapi bila dah ke alam universiti ni memang aku agak berubah. Antara sebabnya aku ‘rebel’ pada masa silamku di sekolah menengah (smka so banyak la sembang lebat bab dakwah bagai).
Aku rasa nak lupakan bab2 alim ni dan jadi biasa je tak hipokrit mcm kebanyakan member lama aku huhu.
Maaf lari tajuk sikit. Cikgu kedua yang aku rindu ialah Cikgu Norsyuhada. Beliau mengajarku sejarah sewaktu di form 1.
Tapi sehingga tahun lepas semasa aku melawat beliau, beliau masih lagi melayan aku sama seperti beliau mengajar aku di form 1.
Malah sebelumnya setiap tahun aku tak lupa daripada memberi hadiah kepada beliau. Bukan apa, sebab selain pelajar yang melupakan gurunya, ada juga segelintir kecil guru yang lupa muridnya tidak mesra seperti sewaktu mengajar.
Untuk murid sepertiku, memang agak terkesan la. Nak tegur dulu takut nampak beria sangat pula huhu.
Walaupun beliau mengajar bersahaja dan tidak garang tetapi pelajar2nya tetap sahaja cemerlang. Ada sahaja masa beliau membebel sedikit tetapi tidaklah selalu. Yang pasti beliau tidak dilupakan oleh pelajar2nya.
Guru yang ketiga, Ustazah Nurrayha. Beliau mengajarku Bahasa Arab di form 4.
Seperti Ustazah Zawiah di sekolah rendah, Ustazah Nurrayha sangat suka menegurku dan mesra denganku sejak aku di form 1 lagi. Maklumla ketua kelas sering berkunjung ke bilik guru.
Beliau sangat tekun mengajar dan selalu menyuruh pelajar yang bermasalah untuk berjumpa dengannya di bilik guru.
Tidak sesekali diherdik atau dihina pelajar2 yang mendapat markah rendah atau gagal sekalipun. Beliau juga pernah membelanja sarapan pagi aku seikhlas hati.
Ya nampak kecil tapi untuk murid sepertiku aku sangat hargai. Beliau juga suka mendengar luahan aku mengenai masalah berkawan, belajar dan sebagainya. Alhamdulillah aku masih berhubung dengan beliau walaupun jarang2.
Ramai lagi cikgu lain yang baik2. Termasuklah yang tidak mengajar aku tetapi melayan aku seperti pelajar mereka sendiri. Sangat penyayang dan murah dengan senyuman sampaikan aku turut memberi hadiah hari guru kepada mereka walaupun tak mengajar.
Aku amat merindui zaman persekolahan dan sekolahku. Namun terdapat peristiwa2 hitam yang aku sukar untuk padamkan dari ingatan yang kesannya buat aku berat hati untuk melawat sekolah.
Seperti aku nyatakan tadi aku pernah berkongsi pengalaman buruk dengan guru2 lain di sekolah yang sama. Jadinya walaupun terdapat guru2 yang aku rindu, terdapat segelintir yang bagiku tiada keperluan untuk bersua muka lagi.
Maafkan aku andai bahasa bertukar2 sekejap puitis sekejap pasar, mahupun atas isi penceritaan yang sedikit melencong kadang2.
Tapi satu mesej yang ingin aku tekankan ialah, tak bermakna seseorang itu memukul rata semua guru kala dia menceritakan pengalaman buruknya dengan sesetengah guru itu.
Sepertimana aku pernah berkongsi pengalaman buruk dengan bekas guruku tak bermakna aku membenci semua guru dan tiada kenangan manis langsung.
Buat para guru, buang yang keruh ambil yang jernih. Apabila kalian membaca luahan yang tidak enak mengenai guru2, tanamlah dalam hati agar kalian menjadi guru yang disayangi anak2 murid.
Guru yang mesra lemah lembut tetapi sangat tegas apabila perlu. Guru yang penyayang dan prihatin. Guru yang tidak cepat menghukum dan sangat adil sama rata andai menghukum malah hukumannya untuk mendidik dan bukan sekadar melepaskan emosi.
Guru yang baik tutur katanya tidak menghina menyindir menyakiti anak2 murid tanpa alasan. Guru yang tidak ego dan di dalam minda hatinya tidak terpahat “guru sentiasa betul dan maksum”.
Walaupun sebahagian besar netizen menormalisasikan,
“walaupun cikgu X patahkan tangan aku tapi harini aku penulis berjaya @ walaupun cikgu Y pijak muka aku tapi harini aku model berjaya” , kalian tak tahu andai ada pelajar yang berdendam dan simpan dalam hati mereka sampai bila2.
Akhir kata,
Guru yang baik itu ada.
Guru yang baik itu ada.
Guru yang baik itu ada.
Terima kasih cikgu. Saya sayang cikgu.
– Bekas Pelajar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit