Masih Adakah Sinar?

Nama aku Alisha (bukan nama sebenar). Aku berusia pertengahan 20-an. Kini aku sedang berkawan dengan seorang lelaki yang muda daripada aku.

Pada orang mungkin tidak mengapa jika perempuan lebih berusia asalkan lelaki itu matang, namun temanku ini bukan sahaja tidak matang malah langsung tidak matang.

Pernah awal perkenalan aku katakan aku tidak boleh menerima lelaki yang lebih muda dan menolak mentah-mentah.

Namun dia mengatakan usia bukan penghalang untuk bersama. Dia tunjukkan yang dia betul-betul serius dengan aku dan sentiasa mahu aku berjumpa keluarganya jika itu boleh menyakinkan aku.

Tidak mudah untuk dia mendekati aku. Aku seperti jinak-jinak merpati. Aku boleh berbual mesra,bergurau tetapi bila ditanya bab perasaan aku terus tukar tajuk perbualan.

Hampir 6 bulan untuk aku serius dengan dia. Dan selepas 6 bulan itulah aku dipaksa berjumpa dengan kedua ibu bapanya. Aku masih ingat pada malam itu dia menelefon selama lebih 5 jam untuk mendapatkan persetujuan aku.

Pada zahirnya atau pandangan mata kasar, dia seorang lelaki baik, penyayang, sentiasa mengambil berat dan tidak memandang perempuan. Itu pandangan pertama dan pandangan orang yang tidak rapat dengannya. Mengenali dia, pada zahirnya aku tahu dia menghisap rokok.

Dia pernah beritahuku dulu dia menghisap ganja selama 2 tahun semasa belajar tetapi telah berhenti. Dan, aku percaya. Dan semakin rapat dengannya dia sentiasa bertanya padaku apa perbuatan paling jahat aku pernah lakukan.

Aku cuma katakan dulu selalu ponteng kelas, tak dengar kata mak ayah dan yang cliche. Dia kata, kejahatan dia yang tak boleh aku jangka.

Aku bertanya kenapa? Pernah rosakkan anak dara orang ke? Pada mulanya dia menafikan. Lama kelamaan dia rasa bersalah dan menyatakan pernah terlanjur dengan bekas dia. Bukan sekali.

Pada mula aku mengetahui, terus aku tinggalkan dia. Untuk pengetahuan semua, aku berkenalan dengan dia di tempat kerja. Dan kakakku bekerja di tempat yang sama. Kakakku seorang yang sangat matang. Dan mengetahui segala perhubunganku.

Selepas aku tahu mengenai perbuatan terlanjurnya yang bukan sekali, aku langsung tidak boleh terima. Sekali aku tidak boleh terima, apatah lagi berkali-kali. Terus aku pulang ke rumah dan memberitahu kakakku bahawa aku dan dia telah berakhir.

Kakakku bertanya kenapa. Aku jawab ringkas. Terlanjur. Terus dia menasihati aku bahawa itu kisah silam dia. Berikan dia peluang untuk berubah. Silap aku kerana tidak memberitahu bukan sekali dia terlanjur. Entah aku amat jijik berbual mengenai hal itu.

Dan aku yang terpujuk, terus bertanya kepada dia. Ada rasa nak berubah tak? Untuk masa depan?

Aku katakan masa silam kita tak boleh ubah. Tapi kita boleh ubah sekarang dan masa depan. Seburuk mana pun orang, jika dia bertaubat dia mungkin lagi mulia dari kita yang hari-hari solat dan rasa baik.

Aku lupa mengatakan dia tertarik kepadaku kerana agama selain wajah. Tempat kerja ku tidak menyediakan ruang solat apatah lagi masa untuk solat.

Dan aku merupakan wanita pertama pada masa itu yang mencuri-curi masa untuk solat beralaskan kotak. Dan dia telah lama meninggalkan solat sejak remaja. Semakin rapat, semakin berjaya aku menyuruh dia bersolat.

Dia ada bertanya, “Allah pandang ke aku lagi? Semua aku buat.”

Aku mengatakan, “Allah tidak memandang dosa, Allah memandang niat. Jangan ingat kau yang berdosa lagi buruk dari orang yang sentiasa solat.”

Dan ini salah satu sebab aku katakan dalam diri aku harus membimbing dia. Takkan pada masa dia telah mula solat aku tinggalkan hanya kerana dosa silam dia?

Pada suatu masa, dia telah berhenti kerja dan tinggal di kampung. Aku yang berasa kasihan selalu memberikannya wang untuk dia bekerja semula.

Pada mulanya aku tenang sahaja, tetapi setelah hampir 3 bulan tidak bekerja dan dia masih mengharapkan aku walaupun untuk sebatang rokok aku mula menasihatinya.

Dan tiba-tiba pkp datang dan termasuk pkp, dia telah 6 bulan lebih menganggur. Motor yang harus dibayar memeningkannya.

Aku yang terlalu kasihan memberikannya wang walaupun ketika pkp aku tidak bekerja dan tidak mempunyai simpanan. Cukup aku katakan aku telah melabur lebih 4 ribu untuk dia.

Dan kini perhubungan aku dan dia telah jauh. Ibu bapa kami masing-masing telah mengetahui dan berjumpa. Boleh dikatakan tinggal masa untuk mengikat.

Aku boleh katakan lancar, sebelum aku mengetahui bahawa dia masih lagi dengan dadah (ganja) sehingga ke hari ini. Dan aku menyesal membawa dia berjumpa ibu bapa ku. Dan baru-baru ini, dia telah curang denganku. Bukan seorang tetapi 3 orang.

Walaupun tidak sampai tahap serius, hanya berbalas ws dan berjumpa sekali untuk yang seorang. Dua orang lagi hanya berbalas ws.

Allah saja tahu hatiku. Betapa aku telah berikan semua; duit, kepercayaan dan hati tapi dibalas begitu. Dan dia berhubungan agak lama sejak pkp sehingga baru-baru ini.

Syukur Allah sentiasa menerbitkan perasaan was-was dalam hatiku terhadapnya. Dia katakan telah berhenti ganja tetapi tidak.

Dia yang pada zahirnya tidak memandang perempuan, tetapi mencari perempuan di alam maya. Apabila ditanya kenapa, dia mengatakan bosan dengan perangaiku yang selalu memarahinya. Ya aku tahu.

Tetapi seperti aku katakan, dia langsung tidak matang. Berfikiran seperti baru mengenal dunia. Aku yang banyak menasihati dan membimbing dia dalam membuat keputusan.

Aku faham lelaki tidak suka perempuan yang asyik marah, yang mahu jadi mengongkong (queen control) tetapi melihatkan perangai dia tidak matang, aku jadi tidak sabar.

Kami selalu bergaduh disebabkan hal ini. Dan disebabkan curang, aku nyatakan aku penat. Cukup. Dan dia masih dengan ganja. Aku penat. Sangat. Dalam memberikan peluang yang entah keberapa kali. Aku mahu putus.

Tetapi dia nyatakan berikan dia peluang. Aku yang masih sayang, kembali terpujuk. Aku tahu punca utama dia curang adalah kerana bosan dengan sikapku.

Aku tahu dia boleh untuk tidak memandang perempuan lain (setia), tetapi aku tahu dia amat sukar meninggalkan ganja dan segala benda yang mengkhayalkan.

Dia pernah nyatakan padaku, saat kami diijab kabulkan nanti, dia sudah bersih daripada segala rokok, ganja, ketum dan lain-lain. Namun sehingga ke hari ini, bila ditanya dia mengatakan kami belum ada ikatan yang sah.

Aku tahu, tetapi aku langsung tidak nampak usaha dia untuk berubah. Dia ada membeli vape dan menyatakan untuk perlahan-lahan membuang rokok, tetapi aku lihat dia lebih giat menghisap vape selepas itu rokok.

Tidak nampak apa usaha yang dikatakan ya. Dia tidak ketagihan, namun dia amat mudah dipengaruh. Tambahan dia amat mudah memperolehi ganja dan ketum.

Di kampung semua kawan-kawannya menghisap ganja. Dan di sini, kawannya ada yang dengan mudah memperolehi air ketum. Aku semakin tidak faham.

Hati memang sudah tiada rasa. Semua mengetahui jika seseorang meminum ketum contohnya dalam kuantiti yang banyak dia akan berada dalam dunia dia. Tenang, khayal.

Aku pernah menghantarnya ws dan telefon pada waktu pagi namun langsung tidak dibalas sehingga ke malam. Terlalu indah dalam dunia dia.

Maaf coretan yang amat panjang. Di sini, hanya ingin meminta pendapat bolehkah orang yang sudah menghisap ganja pada waktu yang lama diberikan peluang untuk berubah? Adakah cara untuk seseorang itu berubah dan keluar dari dadah.

Aku selalu dimarahi bila aku nyatakan aku tidak suka dia berkawan dengan kawan-kawannya. Adakah aku terlalu mengongkong?

Kerana punca utama dia terlibat adalah kawan. Yang paling menjadi masalah, kawan-kawan kampung sejak kecil semuanya menghisap dadah. Mereka bukan baru setahun dua berkawan. Lelaki biasalah. Ikatan terlalu kuat.

Bila ditanya pilih aku atau dadah, pilih aku. Siap bersumpah. Namun tidak sampai seminggu bersumpah, ketum pula diminum. Aku seakan memegang tali yang amat rapuh.

Aku cuma ingin tahu adakah cara untuk dia berubah? Atau adakah pergi lebih baik? Adakah ada sinar?

– Alisha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *