Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku akan memulakan kisah ini. Aku seorang perempuan yang ingin memasuki usia 30-an dan hingga saat ini aku masih single. Apa yang aku nak ceritakn di sini adalah single itu kadangkala bukan pilihan kita. Tapi, pilihan tuhan. Ianya takdir yang kau tak akan tahu hikmah di sebalik semua ini.
Ketika kecil aku sering mengalami gangguan mistik namun aku tidak pernah menganggap perkara itu serious hinggalah ketika aku di akhir tahun di universiti aku membuat keputusan untuk berubat kerana bagi aku tidak mungkin itu gangguan biasa kerana gangguan itu sudah menghantuiku sejak dari kecil. Setelah menemui ustaz barulah aku tahu mengapa gangguan itu sudah ada sejak aku kecil. Aku tidak mahu menceritakan apa sebenarnya yang berlaku kerana banyak hati yang perlu dijaga dan aku tidak mahu membuka aib orang yang sudah tiada. Apa yang aku mahu katakan di sini setiap kali aku berubat, pasti ustaz akan katakan padaku kalau aku terus begini tidak akan ada lelaki yang berani mendekati aku. Ketika itu aku berumur awal 20-an dan aku tidak berputus asa dan teruskan berubat.
Aku berubat dengan ramai ustaz. Bertahun-tahun aku berubat. Ustaz juga buntu mengapa aku masih belum sembuh meskipun sudah melakukan pelbagai cara. Gangguan aku kini sedikit berkurangan meskipun kadang kala rasa itu akn datang menghantui aku. Aku sekarang sudah lama tidak berubat. Aku hanya mengamalkan ayat-ayat pendinding yang diajarkan ustaz dan sentiasa mnjaga ibadat aku kerana untuk sembuh, rohani diri sendiri yang kena kuat kerana kesembuhan itu milik Allah.
Namun saat ini, masih belum ada lagi mana-mana lelaki yang berani mendekatiku. Sebelum semua ini terjadi aku tidak pernah terfikir ke arah gangguan itu kerana mmng btas pergaulan aku dan lelaki mmng terjaga sejk dri kecil. Mungkin itu juga salah satu sebabnya mengapa aku tidak pernah ada teman lelaki. Bukan aku sahaja malah adik-adik perempuan aku juga sangat dijaga batas pergaulan dengan lelaki bahkan kawan-kawan lelaki sekelas dtang beraya ke rumah kami juga tidak pernah. Kami semua tidak pernah membantah atau memberontak kerana sudah terbiasa dengan didikan ibu bapa yang seperti itu.
Sekiranya ada orang lelaki seperti kawan-kawan abang aku ataupun kawan-kawan ayah aku datang ke rumah, kami dilarang menunjukkan muka, membuat bising, malah tv juga perlu dimatikan. Jadi, orang lelaki tidak akan tahu akan kewujudan anak gadis di rumah itu kerana belum waktunya. Waktu kami masih kecil kami mmng dididik seperti itu. Tapi, di saat umur sudah meningkat dewasa masing-masing sudah tahu menjaga ikhtilat sendiri. Kerana itu menjadi single bukanlah masalah untuk kami. Cuma apabila aku disahkan ustaz belum bertemu jodoh kerana ada gangguan dari makhluk halus membuatkan aku berfikir jauh. Aku mula mengimbau kembali kisah-kisah bagaimana aku pernah diberi harapan sepi.
Aku tidak tahu apa istimewanya aku, namun setiap wanita ada aura yang boleh membuatkan lelaki jatuh hati. Ada yang meluahkan suka pada aku tapi mereka cakap takut untuk mendekati aku. Bila aku tanya kenapa, mereka pun tidak tahu sebabnya cuma perasaan takut dan berdebar-debar itu datang setiap kali bertentang mata. Ada yang ingin serious berkawan dgnku tapi senyap selepas aku mula menaruh harapan. Ada yang merisik aku melalui ayahku, namun hilang tanpa khabar berita selepas beberapa kali berbalas whatsapp.
Yang paling susah untuk aku fahami ada yang sudh datang bertemu mak ayah aku dan kami sudah melakukan sesi taaruf, selepas itu dia juga senyap tanpa khabar berita. Langsung tidak memberitahu jawapan ingin teruskan atau tidak sama seperti lagu tergantung sepi. Aku digantung tak bertali dan didiamkan sepi selepas aku berharap. Kecewa? Bohong kalau aku cakap tidak. Sedih? Siapa yang tidak rasa sedih diri dilayan ibarat reject item. Namun, aku tidak menyalahkan takdir. Aku anggap ini sebagai ujian. Aku harap aku boleh terus bersabar. Sampai saat ini pun, masih lagi ada yang menaruh hati padaku tapi belum ada yang menjadi. Aku ttap positif dengan Allah. Tidak mungkin Allah akan membiarkan aku tergantung sepi hingga ke tua. Mungkin belum masanya aku mendirikan rumah tangga.
Jadi, tujuan aku meluahkan di sini adalah aku ingin semua yang masih single seperti aku jangan berputus asa. Teruskan usaha. Perbaiki diri. Kita bukan tak laku. Cuma belum ada orang yang mampu untuk memiliki kita. Semua orang ada kisah sendiri. Ada cerita di balik cerita yang kita tak akan mengerti. Sebab itu, soal jodoh bagi aku sangat sensitif untuk dipersoalkan. Hanya Allah yang ada jawapan dibalik kisah yang dia hamparkan untuk kita. Teruskan bersabar dan teruslah mencintai Allah. Pada yang pernah mengalami kisah seperti aku mungkin boleh berkongsi rasa dan nasihat bersama.
Dari Hati,
– PEREMPUAN
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit