Masihkah Ada Cinta?

Assalammualaikum. Aku seorang isteri, surirumah dan ibu anak 5. Aku bernikah dengan lelaki yang amat aku sayang dari umur aku 15 tahun. Dia kekasih pertama aku. Kami sebaya, bernikah ketika umur 27 tahun. Pasangan yang dikenali. Sangat setia antara satu sama lain. Sebelum bernikah, aku seorang yang berkerjaya , aku suka dengan kerja aku sebagai PA. Aku disuruh berhenti kerja kerana cemburu. Kerana sayang , aku turutkan. Aku tidak bekerja sehinggalah aku bernikah dengan suami aku. Ibu ayah agak kecewa sebenarnya dengan keputusan aku.

Setelah setahun bernikah, dikurniakan aku mengandung akhirnya selepas dua kali keguguran. Suami dapat ditukarkan kerja di Kuala Lumpur. Kami berpindah. Disebabkan alahan yang sangat teruk, aku dihantar ke kampung sehinggalah hari melahirkan. Aku percaya suami aku. Sangat percaya. Percaya yang melebihi had. Selepas 6 bulan kelahiran, aku balik ke K.L.

Aku sangat bahagia walau hidup sangat bersederhana. Semua pon sedia maklum kehidupan di Kuala Lumpur gaji RM5,000 pon belum tentu cukup. Aku isteri yang tidak pernah merungut, tidak pernah meminta apa-apa dari suami, boleh dikatakan aku sepenuhnya menurut kata suami. Aku tidak pernah melarang suami aku keluar dengan kawan-kawan balik jam 2-3 pagi. Tidak pernah melarang apa yang dia nak buat, malah tidak membantah cakapnya. Aku tidak tahu kenapa sayangnya aku pada suamiku sampai begitu. Semua aku tinggalkan. Semuanya termasuk kawan baik aku, demi suami aku. Aku buat apa sahaja untuk suami aku. Dari tidak tahu memasak, semuanya aku tahu sekarang. Demi suami aku. Suami aku tidak pernah pula layan aku buruk malah menatang aku, manjakan aku, walau tiada hadiah, barangan mewah, kami sangat bahagia.

Ditakdirkan aku mengandung lagi selepas setahun sembilan bulan anak aku yang sulong. Suami aku ditawarkan kerja yang lebih baik dengan gaji yang lebih baik. Sekali lagi aku dihantar ke kampung kerana alahan yang sangat-sangat teruk. Kepercayaan aku pada suami tak pernah menurun, malah semakin menebal. Tidak pernah ada syak wasangka walau seditik pon. Setelah melahirkan , aku minta izin untuk tinggal lama sedikit di kampung kerana anak-anak kami lahir pramatang dan perlu penjagaan yang rapi.

Masa dalam pantang, pakchik makchik aku datang melawat, paksa aku balik ke Kuala Lumpur , jangan tinggal lama-lama di kampung. Bila ditanya kenapa, mereka hanya membisu. Sedikit pon hati aku tidak terdetik ianya berkenaan dengan suami aku. Setelah hampir 9 bulan di kampung , aku balik ke K.L.

Hari-hari aku tidak lagi sama seperti sebelum ini. Suami aku kerja shift. Jadi, masanya adakala lebih kerja daripada aku dan anak-anak dengan alasan kerja lebih masa ; O.T. Masih tiada apa-apa rasa syak wasangka kerana aku yakin, keluarnya suamiku untuk mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Sehinggalah satu hari, pakchik aku datang ke rumah dan beritahu perihal suamiku di luar. Aku tidak percaya walau satu pon kata2nya malah menghalau pakchik aku keluar dari rumah. Aku menangis semahunya. Dan aku ceritakan, bertanya sama ada cerita itu benar. Suami aku menafikan malah sejak haritu dia akan beri aku salinan jadual kerjanya.

Suami aku tukar kerja lagi. Kali ini masanya dengan aku dan anak-anak makin berkurang. Tiada lagi shift, tetapi selalu sibuk dengan pengurusan pekerja asing. Tapi tiada hari yang suami aku tidak balik ke rumah. Selewat-lewatnya dia dirumah jam 2 pagi. Untuk pengetahuan semua, aku tidak suka “spot check” telephone suami aku. Malah waktu itu juga aku tiada aplikasi whatsapp. Entah kenapa satu hari tangan ni gatal nak guna telephone suami aku. Aku terpempan kerana last memory adalah gambar seorang perempuan. Gambar tu tidak berapa jelas seolah keadaan ketika itu kelam, mungkin penggunanya teragak2 untuk menggunakan aplikasi kamera. Tapi yg pasti, ianya jelas pada pandangan aku gambar seorang perempuan. Dan aku salin nombor telefon yang kerap keluar dalam call listing suami aku. Berlaku sedikit pertelingkahan. Suami aku menafikan sekerasnya. Dia meminta maaf berkali2 mungkin kerana kesilapan dia membenarkan kawan sekerjanya menggunakan telefonnya.

Kes diatas terus berlalu begitu sahaja. Kepercayaan pada suami aku tetap sama. Aku mengandung lagi. Kali ini kandungan sudah mencecah 5 bulan baru aku dihantar ke kampung kerana alahan tidak teruk seperti kandungan sebelum ini. Dan dihantar ke kampung kerana suamiku bertukar kerja lagi.

Kali ini aku di kampung sehingga anak aku berusia setahun memandangkan anak sulongku bersekolah. Hujung bulan November, baru aku balik ke K.L dan kami sudah berpindah ke rumah yang lebih baik. Aku suka sangat dengan rumah tu. Dan dengan izin Allah SWT aku mengandung lagi ketika anak aku yang ke 4 baru berusia setahun 2 bulan. Agak memeranjatkan aku sebab aku tak pernah skip ubat perancang kehamilan. Dan sejak aku mengandung, aku semakin kerap bergaduh dengan suami aku. Boleh dikatakan ada sahaja yang tidak kena pada pandangan matanya. Aku dapat rasa ada sesuatu yang berada dalam fikirannya. Setiap hari, dia akan cari salah aku. Aku cuba positifkan diri aku. Mungkin sebab kandungan aku kali ni aku sering sakit dan sering demam dan mungkin agak menyusahkan dirinya. Berlarutanla pertelingkahan kami sehingga kandunganku masuk 5 bulan. Dan selama 5 bulan tu jugalah aku berendam airmata.

Entah apa yang membuatkan suami aku tiba-tiba memohon maaf ketika kandunganku mencecah 6 bulan. Aku rasa sangat bahagia. Tapi bahagia tu hanya sementara. Cukup usia kandunganku 7 bulan semuanya berubah. Entah kenapa lagi sekali gatal tangan aku dan terdetik hati untuk “spot check” telephone suami aku sedang dia tidur. 2-3 message yang mesra dengan nombor yang tiada nama. Aku salin nombor tu tanpa pengetahuan suami aku, aku bandingkan dengan nombor yang aku salin pada tahun 2013. SAMA!

Aku kejut suami aku, aku tanya dengan tenang siapa yang dia message. Aku nak dengar alasan dari dia. Nampak tergamam, ambil telephone dari tangan aku. Delete message2 tu. Dia pegang tangan aku, dia cakap bukan dia, pekerja dia guna telephone message girlfriend. Aku menangis semahunya. 2013 dan 2017 pekerja dan kawan sekerja tidak sama. Aku tahu dia menipu aku. Dia bersiap dan keluar bekerja. Berkali aku call nombor yang aku salin. Tiada jawapan, seolah tahu itu adalah aku. Aku menghantar message ke nombor itu setelah berkali2 aku cuba untuk bercakap dengan pemilik nombor tu. Message tu hanya meninggalkan “blue tick” sahaja. Sejak dari haritu kepercayaan semakin menurun. Suami aku perasan perubahan diriku. Semahunya mengambil hatiku. Aku tetap melayan suamiku seperti biasa. Tiada kurang , cuma kepercayaan tu semakin hilang. Sehinggalah kandunganku cecah 8 bulan , aku minta dihantar ke kampung untuk bersalin.

Cukup usia kandungan, aku bersalin. Tidak sampai sejam aku keluar dari labour room aku cuba bunuh anak aku. Sebab? Aku ternampak pemilik nombor up status di whatsapp mengucapkan tahniah atas kelahiran baby seolah2 tahu aku baru selamat melahirkan dan message tu macam ditujukan kepada aku. Entah macam mana aku tersedar, aku menangis semahunya. Aku peluk anak aku. Berkali aku minta maaf pada anak aku. Sejak dari haritu , pemilik nombor tu akan up status-status di whatsapp yang seolah2 ditujukan kepada aku. Aku menangis setiap malam. Susu aku makin berkurangan. Hari kedua anak aku warded kerana jaundice.

Hari ketiga ke fisioterapi kaki, sambung ke ward. Bayangkan dari hari pertama aku bersalin hatiku rungsing, anak aku jaundice, kaki anak aku bermasalah. Hari keempat keluar ward. Balik ke rumah, tidak tumpu sepenuhnya pada anak aku. Hatiku runsing. Aku menangis setiap malam. Setiap hari aku ke klinik kerana jaundice. Cukup seminggu masih lagi tidak turun, aku dipanggil doctor. Anak aku diambil darah untuk menentukan samaada anak aku prolonged jaundice atau ada masalah lain. Doctor tanya jika aku ada masalah, susu aku tidak keluarkan kuantiti susu yang cukup untuk anak aku. Dan untuk pertama kali aku menangis di hadapan doctor, orang yang aku tidak kenali. Aku, doctor diagnosis dengan bahasa kita “meroyan” . Doctor suruh aku fikirkan anak aku. Hanya anak aku.

Setiap malam aku terus menangis. Cukup anak aku sebulan , pemilik nombor tu message aku, buat pengakuan dia adalah isteri kedua suami aku. Yang tidak diiktiraf di Malaysia dan mempunyai seorang anak. Dia seorang janda , berusia 10 tahun lebih tua dari suami aku. Gelap aku rasa. Seluruh tubuh badan aku menggeletar. Aku tahu, kalau aku tidak kawal diri aku waktu itu mungkin aku melakukan perkara di luar jangkaan. Aku tanya suami aku, sebulan masa yang diambil untuk mengaku perbuatannya dan dia telah pon menceraikan perempuan tua itu. Dan disebabkan itulah aku tahu semua nya. Kerana perempuan tua itu mahukan hak sebagai isteri kedua dan suami aku tidak mahu aku tahu jadi diceraikan perempuan tua itu. Dan suami aku tidak sangka yang perempuan tua itu akan menceritakan segalanya pada aku.

5 tahun aku ditipu. 5 tahun kepercayaan aku dipergunakan. Sekali lagi aku abaikan anak2 aku. Aku abaikan baby. Setiap malam aku menangis. Siapa pon dalam family aku tidak tahu perihal rumahtangga aku. Aku tak nak family aku, parents aku pandang rendah pada suami aku. Setiap saat aku rasa aku yang banyak kurang , aku rasa aku tidak pandai jaga rumahtangga aku sehingga dicerobohi, aku tidak pandai layan suami aku walau bertahun lamanya aku hidup dengannya sehingga suami aku ada hubungan dengan perempuan lain, tanpa aku sedari.

Baby turun berat badan. Sekali lagi aku dipanggil doktor. Ambil ujian dass. Aku disahkan kemurungan. Tapi doctor tidak galakkan aku untuk on medication, yang hanya akan memusnahkan lifetime aku dengan bergantung pada ubat. Doctor harap sangat aku control diri aku. In sha allah setakat hari ni , saat aku menulis ni, aku masih boleh control diri aku walau kadang episodes emosi aku datang. Apa yang aku buat? Solat sunat, dan ingat kembali waktu2 aku mula bercinta dahulu. Itu sahaja cara aku mengubat hati aku.

Malam-malam aku hanya berteman air mata. Aku rasa malu dengan diri aku sendiri. Buat masa ni, aku masih di kampong. Belum bersedia untuk hidup sebumbung dengan orang yang mengkhianati cinta aku. Aku berdoa ikatan pernikahan ini masih dan akan kekal demi kebahagiaan anak-anak aku. Aku tidak mahu anak-anak aku jadi mangsa penceraian. Aku tenangkan hati aku, pujuk hati aku yang semuanya terjadi kerana Allah ada merancang yang lebih baik untuk aku.

Doakan aku tetap terus mendapat ketenangan. Saat aku menulis, kejadian hitam ini genap setahun dan perempuan tua itu masih mengganggu aku. Mungkin berharap aku bercerai dengan suamiku. Tapi kali ni aku nekad, aku akan laporkan semuanya. Hanya Allah yang tahu apa yang aku rasakan, berperang dengan emosi sendiri. Sebelum ini hanya membaca tentang perwatakan meroyan , murung dan ianya terjadi pada diriku sendiri. Ya Allah, jika kalian tahu rasanya bagaimana…. Sungguh, aku menderita. Aku kecewa dengan diri dan hidupku sendiri. Tiada lagi kepercayaan dariku untuk suamiku. Yang hanya tinggal secebis kasih sayang hanya demi kebahagiaan anak-anak aku.

Pada wanita2 di luar sana baik yang masih single atau janda aku merayu dan memohon janganlah mengganggu rumahtangga dan janganlah jadikan “JODOH” sebagai alasan untuk memiliki. Jika benar rasakan suami orang itu adalah jodoh kalian, datanglah berjumpa , bersemuka dengan isteri pertama lelaki tersebut. Tidakkah kalian juga wanita, punyai rasa hati yang lembut? Kenapa mahu menghancurkan hati yang lembut itu? Mungkin kalian bangga?

Masihkah ada cinta untuk suamiku? – TIADA – ianya pergi dengan setiap titisan airmataku.

– N.H. Narlia

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *