Salam perkenalan. Aku Seri — sudah tentu bukan nama sebenar. Bekerja, ibu kepada empat anak, umur 40-an, tinggal di utara tanah air.
Saja nak menceritakan kisah yang berlaku padaku di Masjid Sri Sendayan yang betul-betul menginsafkan aku.
Aku bekerja kerajaan dengan gaji tiga kali ganda suamiku. Sungguh pun begitu, segala perbelanjaan isi rumah, makan anak-anak — suamiku yang bayar. Rumah, kereta aku yang beli sebab suamiku tak mampu. Anak-anak sekolah agama swasta semua suami yang bayar.
Suami baik, cuma kadang aku yang kurang bersyukur. Yalah, nak pergi mana-mana kena keluar duit aku. Rumah aku bayar, kereta aku bayar, suami seronok je berjalan. Tugas dia memandu je, segala perbelanjaan percutian aku yang tanggung.
Semuanya okay, cuma bila ada anak kecil — baby setahun — aku cepat letih. Tambah letih bila baby menyusu sepanjang malam, melekap sambil tidur. Di tempat kerja pula kena luangkan masa untuk sediakan susu baby, yang faham, fahamlah… baby fully breastfeeding.
Aku cepat mengeluh. Dulu masa muda aku selalu doa, “Ya Allah, bagi la aku suami yang soleh, yang baik, yang hensem, yang kaya.” Aku dapat semua yang aku doa kecuali aku tak dapat suami yang kaya.
Kadang rasa sedih, kenapa yang aku doa dari muda tak dapat? Kenapa aku yang kena jadi ‘suami’ dalam rumah ni? Aku kena spend duit untuk benda yang besar-besar sedangkan suami untuk benda kecil je.
Biasalah aku manusia, kadang tengok life orang aku mula sedih.
Baru-baru ni aku pergi bercuti. Seperti biasa, semua perbelanjaan hotel 3 hari 2 malam aku yang sponsor. Suami hanya jadi pemandu pelancong. Dalam hotel, tidur pun aku yang kena layan anak-anak main pantai, main kolam.
Bayangkan empat anak semua aku kena jaga — sangat penat. Sampai tersebut, “Baba tu makan tidur, makan tidur je kerjanya.”
Aku dah tak tahan sebab penat. Percutian yang sepatutnya jadi moment yang indah jadi tak best bagi aku. Aku asyik membebel pada anak-anak, kesian anak-anak kena marah.
Bila nak balik semula ke utara, kami singgah di Masjid Sri Sendayan.
Sebab aku dah burnout dengan baby buat perangai dalam tandas masjid — tak nak mandi dan tukar baju semua — aku keluar tunggu suami sambil baby nangis, jerit-jerit, air mata hingus semua berjurai. Aku biar, tak lap pun, muka aku pun macam nak nangis dah.
Masa solat, lepas solat aku doa, “Ya Allah, bantulah aku dalam urusan rumah tanggaku.” Itu je satu doa yang kupohon. Selalunya dalam masjid, panjang doa aku pohon siap untuk masa depan anak-anak bagai. Tapi kali ni aku penat. Aku doa tu je.
Lepas solat aku merungut pada anak aku. Aku pesan,
“Kakak nanti nak kahwin, cari suami yang baik. Jangan jadi macam mama. Mama dah tersilap pilih suami.”
Anak aku tengok aku dengan muka sedih sebab aku pun dah nak nangis.
Keluar dari masjid, bila terpandang je suami aku tengah tunggu aku di kerusi menunggu tu, terus aku jadi berubah. Aku kesian tengok suami aku. Dia penat seharian tak tidur memandu untuk sampai ke Perak, sedangkan aku dan anak-anak tidur sepanjang jalan dalam kereta tu.
Aku terfikir, suami ni tak pernah sekali pun tinggikan suara pada aku. Aku je selalu marah dia. Bila aku marah, dia diam je pandang aku. Selalu penuhkan permintaan aku nak ke mana-mana, bayarkan yuran sekolah anak-anak walaupun gaji dia kecil.
Dia hensem, badan tegap, bidang, tinggi 168 cm — berbanding aku yang kemetot ni. Anak-anak semua jadi segak dan tinggi sebab suami aku segak. Kalau ikut baka aku, confirm kemetot.
Kenapa aku ni tak bersyukur? Salah ke kalau aku kongsi rezeki dengan suami? Semua yang aku doa masa muda untuk suami aku dapat, cuma Allah nak uji aku dapat suami yang tak kaya.
Kenapa aku kufur? Suami aku ni sebaik-baik manusia. Aku tak tahu boleh jumpa suami yang macam ni lagi ke tak kalau aku hilang dia.
Ya Allah… insafnya aku. Aku berdosa pada suami. Masa nak kahwin pun suamiku pulun buat macam-macam, kumpul duit untuk kahwin. Aku lupa semua tu. Sekarang aku bahagia, suami baik, tapi aku lupa semua tu.
Masjid Sri Sendayan betul-betul merubah pemikiran aku. Bukan suami yang salah tapi aku yang kurang bersyukur.
Terima kasih, Allah, sebab sedarkan aku. Untung kami singgah di sana. Kadang-kadang bukan Allah tak bagi, tapi kita yang kurang berdoa. Bila berdoa di masjid tu, Allah tukarkan cara pemikiranku.
Terima kasih, Allah.
– Seri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit